Isnin, Disember 29, 2025

Kembalinya bonda tersayang ke rahmatullah

Pada penghujung artikel Akhirnya - "Perjanjian Pangkor Setelah 151 Tahun" dilaksanakan di ISTAC yang dipersembahkan Khamis malam Jumaat 25 Disember ada dinyatakan bahawa beberapa jam selepas selesai acara petang Isnin 22 Disember mendapat maklum bahawa bonda tersayang sudah kembali ke rahmatullah. Artikel pula ditulis lalu disiarkan selepas selesai malam ke-3 majlis bacaan Yasin dan tahlil  arwah berturut di surau berdekatan malam Jumaat itu. Sekarang biar dikongsikan cerita.



Saya, isteri, ibu saudara dan sepupu sampai ke rumah keluarga di Muar awal pagi Selasa 23 Disember 2025. Macam tak percaya melihat jenazah ibu terbaring kaku di ruang tamu. Selepas tidur ayam dekat kepala ibu bersiap untuk menerima jemaah kampung memandikan jenazah juga saudara mara datang. Teringat ketika balik kampung sebelumnya sebulan lebih lalu ada terbetik dalam hati hendak tidur di bawah ketiak ibu. Tapi tak terbuat kerana terasa malu sudah berusia. 



Rupa-rupanya itulah kali terakhir dapat meluangkan masa bersama ibu.  Lihat Asbab khidmat kepada ibu bapa - Lebih seminggu di Muar. Nasib baik sempat menolong melaksanakan sejumlah perkara. Itulah paling lama saya berada di kampung sejak entah lebih 17 tahun lalu. Ini disebabkan isteri bersara awal dari pekerjaan bermula 1 November. 

Memang pun antara sebab utama bersara adalah supaya dapat lebih kerap dan lebih lama menjengok orang tua. Berbalik pada pagi Selasa 23 Disember. Selepas saya sebagai anak sulung mengimamkan solat jenazah di rumah, kemudian sekali lagi di surau berdekatan, naik van jenazah bersama seorang adik dan anaknya ke tanah perkuburan. Jenazah ibu pun mula disemadikan...




Sebetulnya saya tergamam. Ketika menulis ini, selepas seminggu ibu kembali ke rahmatullah pun masih tergamam.



Walaupun ibu yang sudah berumur 83 tahun setengah sudah beberapa bulan uzur, walaupun sudah menerima kemungkinan bila-bila masa sahaja nyawanya boleh ditarik, masih lagi tergamam.



Tiada kata-kata yang dapat betul-betul mengungkap apa yang terasa dalam hati. Bersama saudara mara di rumah selepas selesai pengkebumian.








 
Di surau malam itu bersama jemaah lelaki sementara menunggu bacaan Yasin dan tahlil arwah dimulakan. Orang perempuan melakukannya di rumah.


   
Selepas majlis diikuti makan-makan kembali ke rumah berkumpul lagi dengan saudara mara.



Malam itu harus dibuat edisi ke-18 "Merah Silu Live" melalui Tiktok. Sejak memulakan siri 19 Ogos saya telah memberikan komitmen akan melaksanakan secara siaran langsung sekurang-kurangnya sejam setiap Selasa malam Rabu. Lihat Mengimbau perjalanan/pengembaraan lama melalui Merah Silu live di Tiktok setiap Selasa malam Rabu. Namun disebabkan keadaan tak dijangka dibuat suatu macam ganti  kurang 10 minit. Lihat sini.


  



  
Bacaan Yasin dan tahlil dilakukan 3 malam berturut. Pagi Jumaat 26 Disember membawa bapa keluar makan di warung kampung. Seperti almarhumah ibu, beliau juga berumur 83 tahun. Cuma bapa lebih kuat dan sihat. Kalau tidak kerana harus menjaga ibu yang sudah beberapa bulan tidak mampu berdiri sendiri kemudian bercakap pun tak keluar suara tentu aktif ke surau, berkebun malah bertukang lagi. 

Saya, isteri, ibu saudara dan sepupu pula bergerak ke Muar tengah malam Isnin masuk Selasa dengan bekalan pakaian untuk satu malam sahaja sebenarnya. Tak terfikir pun ketika itu harus berada di Muar 3 malam lagi.



Bersama adik membawa bapa ke bandar untuk urusan simpanan almarhumah ibu. Kalau ikutkan selepas sarapan harus bergerak meninggalkan Muar kerana ada hal. Selain itu ibu saudara harus dihantar kembali ke rumahnya di Petaling Jaya. Sepupu yang ikut sama pula harus kembali ke Ampang.


   
Berat hendak meninggalkan bapa tanpa ibu  menemani. Itulah yang diluangkan masa sejam dua jam lagi bagi melicinkan urusan simpanan ibu. Walaubagaimana pun tetap perlu bergerak kembali ke Lembah Klang. Sempat menunaikan solat Jumaat di Rembau.





 
Apabila sampai ke rumah didapati telah memandu sejauh 563 km. Ahad 28 Disember keluar bermusafir lagi untuk urusan keluarga belah isteri. Sebelum itu waktu pagi, mengambil dua orang anak keluar bercuti dari tahfiz di selatan Cheras. Sekarang Isnin 29 Disember di kampung isteri di Tanjung Sepat. Petang esok Selasa 30 Disember mahu ke Muar lagi menemui dan menemani bapa. Kali ini membawa sekali anak-anak.

Merujuk pada artikel Asbab Perjanjian Pangkor - Dari getaran ombak ke ikan busuk ke genggaman keris ke masjid terapung dan macam-macam yang dipersembahkan 27 Disember. Ada disebut bahawa selepas hari ke-2 Simposium Seni Pangkor 17 Disember saya dan isteri keluar pulau untuk ke Ipoh. Dalam artikel sambungannya Asbab Perjanjian Pangkor - Kembali pada hal tanah Laksamana di Mekah yang dipersembahkan 28 Disember ada dinyatakan telah bermalam di rumah kawan di Ipoh,  sebelum ke Mahkamah Syariah Perak pagi 18 Disember. Apa yang tidak diceritakan adalah ketika makan satay di rumah kawan malam selepas sampai dari Pangkor seketul gigi geraham saya yang sudah lama rosak akhirnya patah. Nyaris-nyaris tertelan bersama daging satay.

Dalam artikel Asbab Perjanjian Pangkor - Membuka langkah di Simposium Seni Pangkor  yang dipersembahkan lebih awal iaitu pada 21 Disember ada diceritakan bagaimana diberi peluang untuk membentang tentang salah faham, sebenarnya penipuan, di sebalik Perjanjian Pangkor. Itu yang membawa kepada orang Melayu Perak terjerumus di dalam perangkap penjajahan Inggeris. Ini dibentangkan  pada hari pertama simposium 16 Disember. 

Hal ini dipanjangkan dan diperincikan lagi pada majlis di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) 22 Disember. Itu yang diceritakan dalam Akhirnya - "Perjanjian Pangkor Setelah 151 Tahun" dilaksanakan di ISTAC 25 Disember. Beberapa jam kemudian ibu meninggal dunia. Seolah-olah menunggu saya dan melepaskan apa yang patut tentang Perjanjian Pangkor sampai ke tahap yang sepatutnya, baru beliau pergi. Entahlah... 


Tiada ulasan:

Catat Ulasan