Rabu, Julai 30, 2025

Pemikiran "Berpetualang ke Aceh" dalam Routledge - Satu kajian sejarah dan antropologi

Salam. Saya baru sahaja selesai mengikuti secara fizikal satu majlis ilmu di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam). Insyaallah akan dibuat perkongsian tentangnya. Sebelum ini biar dikeluarkan lagi satu kajian akademik tentang penulisan saya. Bersambung  daripada artikel Membaca diri dalam "Berpetualang ke Aceh" - Satu penilaian akademik terhadap penulisan Radzi Sapiee.



Hampir 2 minggu lalu iaitu pada pagi Jumaat 18 Julai 2025 saya telah meletakkan gambar atas di Facebook bersama teks berikut :-


Subhanallah. Baru terjumpa satu kajian akademik tentang penulisan saya yang dibuat oleh seorang pensyarah. Beberapa tahun lalu pernah terjumpa satu.

Apa yang berlaku adalah pada pagi itu terjumpa satu lagi ulasan akademik terhadap penulisan juga pemikiran saya melalui siri buku "Berpetualang ke Aceh" selain yang dikongsikan dalam Membaca diri dalam "Berpetualang ke Aceh" - Satu penilaian akademik terhadap penulisan Radzi Sapiee. Yang baru ini sebenarnya telah dimuatnaik ke laman sesawang ResearchGate pada tahun 2024. Namun ia sebenarnya terbit September 2023. Lihat Charting a Malay-Islamic Past: An Emerging Transnational Geography of Meaning and the Consolidation of an Exclusivist Identity in Malaysia.

Yang menarik terbitan awal itu adalah dalam jurnal Routledge, satu badan penerbitan yang sangat dikenali dan dipandang tinggi dalam dunia akademik. Penulis. Dr Sumit K. Mandal adalah seorang pensyarah di University of Nottingham Malaysia (cawangan kampus Semenyih) semasa artikel diterbitkan di situ. Ketika salinan dimuatnaik ke ResearchGate beliau sudah berpindah ke National University of Singapore.



Jika artikel jurnal yang diketengahkan dalam Membaca diri dalam "Berpetualang ke Aceh" - Satu penilaian akademik terhadap penulisan Radzi Sapiee menilai penulisan saya daripada sudut teori sastera artikel Routledge ini pula menilai daripada segi sejarah dan antropologi.




Pada awalnya ada sudut pandang yang kelihatan agak negatif. Pendekatan saya mahu mengangkat Melayu dan Islam dalam negara Malaysia yang berbilang bangsa dilihat sebagai suatu macam ketaksuban ekslusif, dan perkara serupa dilihat berlaku di beberapa negara.



Namun penilaian daripada segi intelektual dan penampilan ilmu pengetahuan dalam penulisan saya tetap dipandang tinggi. Saya dilihat dan dinyatakan sebagai seorang informal expert, pakar tidak rasmi yang memiliki cukup pengalaman dan kesarjanaan untuk mengkehadapankan perkara.



Dinyatakan penulisan saya dalam siri buku "Berpetualang ke Aceh" malah dalam blogspot (CATATAN SI MERAH SILU) ditemui kerana pensyarah ini sedang membuat kajian tentang keramat di Malaysia. Diakui tulisan-tulisan saya membekalkan banyak maklumat berdasarkan pengalaman sebenar mengembara ke sana ke mari lalu sangat membantu.


Saya dilihat sebagai seorang yang membawa kembali aspirasi anak bangsa Melayu selepas menggali sejarah dan budaya melalui perjalanan hidup yang membawa ke arah itu. Disebabkan bergerak bebas tanpa terikat dengan mana-mana institusi saya tidak mengalami kekangan yang boleh membantutkan pencarian, atau mencemarkan perjuangan dengan agenda "udang di sebalik mee".





































Tiada ulasan:

Catat Ulasan