Rabu, Julai 23, 2025

Festival Buku Islami 2025 di Masjid Negeri, Shah Alam

Bahagian kedua dan terakhir daripada cerita hujung minggu lalu. Bersambung daripada Perkhemahan keluarga di Port Dickson - Menyahut panggilan Lukut.



Perjalanan diteruskan ke Masjid Negeri di Shah Alam.



Ada Festival Buku Islami 2025 sedang berlangsung. Hari itu Ahad 20 Julai 2025 adalah hari terakhir.




Kami terus menuju ke dalam masjid.



Isteri yang masih kepenatan asalnya tidak mahu keluar kereta. Saya cakap lebih elok berehat dalam masjid. Memang ada ruang untuk berehat malah ramai selamba tidur. Orang tak kacau.




Rupa-rupanya festival berlangsung dalam bangunan bersebelahan, masih sebahagian daripada kompleks masjid yang juga mengandungi halaman yang sangat besar.



Ia adalah bangunan dewan muzakarah masjid. Saya yang sejak beberapa bulan kebelakangan selalu singgah ke masjid negeri apabila menghantar isteri pergi kerja ke pejabat yang terletak berdekatan baru kali pertama masuk ke dewan.



Cantik bangunan dan ruang dalaman. Tak kalah dengan dewan-dewan konvesyen (Convention Centre) yang selalu menempatkan acara-acara sebegitu di Kuala Lumpur dan bahagian lain Lembah Klang.




Difahamkan inilah kali pertama Festival Buku Islami ini diadakan, festival khas bagi kitab-kitab dan buku tentang agama Islam dan tokoh serta pemikiran berkenaan. 




Kalau sekadar pesta bagi menjual kitab dan buku-buku berkenaan saya pernah nampak di lain-lain tempat.



Tetapi seingat saya belum ada yang sebegini, yang tempat dan penggunaan ruang, cara papar dan susun letak buku kelihatan agak mewah dan profesyional.



Yang biasa dilihat adalah keadaan tempat dan atur letak pesta buku-buku agama seperti di kedai-kedai tepian jalan di Masjid India dan Jalan Tuanku Abdul Rahman di Kuala Lumpur. 



Sebaliknya saya melihat keadaan Festival Buku Islami ini agak serupa dengan Pesta Buku Selangor ketika pertama kali diadakan di Pusat Konvesyen Shah Alam sedekad lalu. Lihat  Pesta Buku Selangor 2015



Pesta buku itu sendiri sudah menjadi acara tahunan sejak lebih dua dekad.  Sebelum di Pusat Konvesyen ia diadakan di Kompleks PKNS yang terletak hampir bersebelahan.



Cuma maaf cakap suasana pesta di kompleks agak kekampungan.




Bukan hendak memandang rendah. Kompleks PKNS yang dibuka hampir setengah abad lalu merupakan kompleks membeli belah pertama di Shah Alam memang asalnya yang dibina untuk peniaga kecil Melayu mendapat ruang. Ia bukan untuk menunjukkan kemewahan.




Kini Pesta Buku Selangor telah mencapai taraf antarabangsa dan kelihatan menyaingi Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) yang biasa diadakan di PWTC, sekarang Putra World Centre. Lihat Sejenak di Pesta Buku Selangor 2024.



Tetapi ia mengambil masa hampir dua dekad untuk mencapai tahap tersebut, sebelum itu sedekad untuk mencapai tahap yang kelihatan cukup profesyional, tidak 'kekampungan'.




Festival Buku Islami pula kelihatan sudah terus dapat mencapai tahap profesyional yang dimaksudkan. Tahniah.




Apapun. Selepas Shah Alam kami ke rumah ibu saudara di Petaling Jaya lalu bermalam. Pagi baru bergerak kembali ke rumah lalu sampai sekitar jam 9. Itu yang diberitahu pada permulaan artikel Perkhemahan keluarga di Port Dickson - Menyahut panggilan Lukut bahawa saya dan isteri baru kembali daripada satu lagi perjalanan 3 hari 2 malam. Disebut satu lagi kerana minggu sebelumnya ada perjalanan memakan masa begitu. Cuma lebih jauh dan banyak tempat persinggahan. Lihat Kompilasi asbab mesyuarat keluarga di Taiping.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan