Selasa, Julai 22, 2025

Perkhemahan keluarga di Port Dickson - Menyahut panggilan Lukut

Salam. Pagi semalam saya dan isteri baru kembali dari satu perjalanan yang meliputi tempoh masa 3 hari 2 malam. Cuma yang ini ceritanya cukup disampaikan dalam dua artikel bermula dengan ini.



Merujuk pada artikel Asbab majlis di Jelai - Dapat mendaki 3 bukit merangkumi 12 puncak setelah lama menyimpan hajat yang dipersembahkan sebulan lalu. Adapun dalam tempoh waktu majlis berlangsung keluarga belah isteri telah sepakat mahu mengadakan perkhemahan keluarga di Port Dickson. Tarikh yang dipilih kemudian adalah Sabtu hingga Ahad 19-20 Julai 2025. Pagi Sabtu saya dan isteri pun bergerak ke lokasi.



Tanpa dipinta isteri mengajak singgah ke makam diraja Selangor yang terdapat di pekan Lukut, 9 km sebelum sampai ke bandar Port Dickson. Lihat artikel Lawatan baru ke makam diraja Lukut (New visit to the Lukut royal mausoleum) di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN. Isteri yang sudah beberapa lama seronok membuat video untuk dimuatnaik ke Tiktok mengajak membuat satu sesi. Lihat Raja Jumaat - Kerabat diraja Riau-Selangor yang memajukan Lukut.




Sekitar jam12.45 baru sampai ke persekitaran bandar Port Dickson.




Beberapa minit kemudian sampai ke tapak perkhemahan.




Sejumlah saudara mara sudah mendirikan khemah. Ada beberapa orang belum lagi sampai. Lihat artikel Camping with the family at a beach in Port Dickson di blogspot  BERPETUALANG KE ACEH.




Selepas khemah sendiri yang baru sekitar 2 minggu dibeli selesai didirikan saya mengambil peluang untuk menyambung bacaan Al-Quran bagi proses pengkhataman bulan Muharram.




Saudara mara pula rata-rata berlegar di kawasan lapang antara khemah, makan minum dan bersembang. Ada sekitar 50 orang datang, ada belasan khemah didirikan. Makanan yang dibawa bermacam-macam. Ada sekali durian.



Begitulah keadaan sehingga lewat tengah malam. Maklumlah bukan selalu dapat berkumpul begini walaupun yang dapat datang tak sampai separuh daripada anak cucu adik beradik isteri (beliau adalah ke-11 daripada 13 orang adik beradik).




Keadaan waktu pagi  keesokannya Ahad 20 Julai. Beberapa khemah telah diturunkan lantaran angin kuat bermula sekitar jam 3.30 pagi menyebabkan ada yang jadi tidak stabil. Lebih selamat diturunkan. Nasib baik tak hujan.




Aktiviti santai diteruskan. Ada yang mandi laut ada sekadar duduk atau mundar mandir di sekeliling.




Bergambar beramai-ramai sebelum bersurai sekitar jam 12.30 tengah hari.




Masing-masing pun membawa haluan. Ada yang kembali ke Tanjung Sepat, ada ke Seremban, ada ke Melaka, ada ke Semenyih, ada ke Felda Jelai.




Terlihat simpang menuju ke Kuala Lukut, atau lebih tepat bahagian selatannya ambillah. Dari jeti dekat kuala boleh kelihatan bukit di mana disemadikan jasad Raja Busu, kerabat diraja Selangor yang pernah menerajui pemerintahan Lukut. Lihat The waters at southern side of Kuala Lukut. Sesungguhnya wilayah Lukut pernah berada di dalam KeSultanan Selangor. Berpusat di kota atas bukit lain berdekatan ia pernah menjangkau Sungai Udang (di Melaka) sehingga ke Sepang (Selangor dekat sempadan Negeri Sembilan sekarang). Raja Busu yang hidup 200 tahun lalu pernah bersemayam di istana dalam kota, tetapi terkorban bersama keluarga selepas diserang gerombolan pelombong Cina yang membakar istana. Sejarah rasmi menyatakan disebabkan menaikkan cukai. Namun ada memberitahu sebab sebenar adalah melarang aktiviti menghisap candu, berjudi, minum arak dan pelacuran yang menjadi kebiasaan masyarakat pendatang.




Saya pun mengajak isteri ke tinggalan kota Lukut. Dibuatlah satu video untuk Tiktok. Kali ini saya sendiri merakamkan kerana isteri terlalu penat dan mahu tidur dalam kereta lantaran banyak dilakukan untuk memastikan kelancaran aktiviti perkhemahan keluarga. Lihat Kota Lukut - Tempat Raja Busu diserang lalu dibunuh pelombong Cina.




Keluar dari kota menuju jalan ke Sepang tengok-tengok lalu masjid lama ini. Saya pun singgah untuk beriktikaf sebentar. Lihat Rupa baru masjid Lukut (New look of the Lukut mosque).




Di masjid Lukut menjamakkan solat Zuhur dan Asar sementara isteri meneruskan rehat dalam kereta. Di Sepang baru beliau hendak menjamakkan solat lalu singgahlah di masjid sana. Lihat Lawatan baru ke masjid Sepang (New visit to Sepang mosque)
.

Secara rata saya melihat perjalanan ini sebagai menyahut 'panggilan' Lukut, Perkhemahan keluarga di Port Dickson menjadi asbab.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan