Ahad, Februari 16, 2025

Forum tentang Palestin : Pencerobohan, perang, penentangan dan melangsungkan hidup dalam pembantaian

Salam. Seminggu dua kebelakangan ada beberapa majlis ilmu menarik berlangsung di beberapa tempat tetapi tidak dapat diikuti lantaran kesibukan pelbagai urusan, kurang sihat dan kepenatan. Isnin lepas baru sempat mengikuti satu. Tetapi belum dikongsikan lagi cerita kerana tiada kelapangan. Sekarang biar diusahakan  walau kurang perincian. Itupun ketika minum petang di Masjid India, Kuala.l Lumpur. Di celah-celah membawa keluarga berjalan-jalan...



Majlis diadakan secara atas talian pada petang 10 Februari 2025.  Ia adalah forum tentang Palestin yang tajuknya boleh diterjemahkan sebagai "Pencerobohan, Perang, Penentangan dan Melangsungkan Hidup dalam Pembantaian".



Pergi terus pada perkongsian ilmu. Pembentang pertama, Dr Osli Jazexhiu dari Jabatan Sejarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) memulakan dengan menyorot sejarah pencerobohan dan pendudukan Palestin oleh kuasa Zionis Israel. Beliau menyatakan ia sebagai perang yang telah berlangsung selama 128 tahun...



Ini kerana ia bermula apabila gerakan Zionis mengadakan persidangan antarabangsa pertama mereka secara terang-terang pada tahun 1897.



Ketika itulah ditegaskan keinginan untuk menerbitkan negara Israel di atas tanah milik Palestin yang ketika itu berada di bawah keKhalifahan Uthmaniyah yang berpusat di Istanbul. Sejak itu berlaku rentetan peristiwa demi peristiwa yang membawa kepada penzahiran rancangan peringkat demi peringkat. Ini termasuk Perang Dunia Pertama 1914-1918 yang menyaksikan kejatuhan Uthmaniyah diikuti pembubaran sistem khalifah Islam. Ketika itulah tanah Palestin mula dipegang kuasa-kuasa Barat. Selepas Perang Dunia Kedua 1939-1942 diikuti penubuhan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), negara haram Israel ditubuhkan tahun 1948. Berlaku lagi pelbagai rentetan peristiwa yang menyebabkan lebih banyak bumi Palestin diceroboh dan diduduki lalu ditelan Israel membawa kepada keadaan terkini.




Pembentang kedua Dr Ahmad El-Muhammady, dari Pusat Melawan Islamofobia yang baru ditubuhkan di UIA pula mengambil pendekatan berkenaan Islamfobia atau rasa benci Islam yang telah melanda dunia sejak sekian lama. Keadaan ini sebenarnya dipacu oleh ejen-ejen Zionis yang menunggang negara-negara Barat. Disebabkan kebencian yang telah ditanam dan disuburkan melalui pelbagai cara sejak sekian lama nasib umat Islam tidak diambil peduli walaupun jelas apa yang berlaku melanggar hak asasi manusia.




Pembentang ketiga, Profesor Emeritus Dr Nazari Ismail dari Pusat Kajian Palestin di Universiti Malaya kemudian bercakap tentang satu usaha mampu buat dalam menangani kezaliman Israel terhadap orang Palestin terutama di Gaza.


Ia adalah kempen boikot bersasar terhadap syarikat-syarikat yang dilihat ada membantu Israel, boikot bersifat ekonomi yang menurut beliau telah terbukti berjaya menyebabkan beberapa syarikat menarik sokongan atau keterlibatan dengan negara haram itu.




OK. Cukuplah sedikit ini ya. Saya harus kembali memberikan sepenuh tumpuan kepada keluarga. Sila ikut sendiri perjalanan majlis melalui video bawah. Untuk makluman ini adalah artikel ke-2,620 di CATATAN SI MERAH SILU.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan