Isnin, Februari 10, 2025

Pengaruh masjid jamek Muar dalam perjalanan pertama balik kampung ibu tahun 2025

Merujuk pada artikel 'Berbulan madu' dengan motosikal besar ke Cameron Highlands yang dipersembahkan 31 Januari. Tidak dinyatakan dalam artikel bahawa itulah kali pertama saya ke Perak bagi tahun 2025, kali pertama tahun baru juga ke kampung ayah di Batak Rabit, Teluk Intan. Baru ini saya telah membawa keluarga ke Muar, kali pertama untuk tahun 2025 juga kali pertama kembali ke kampung ibu yang telah menjadi tempat ayah menetap sejak berpuluh tahun lama. Ada sesuatu yang menarik melibatkan masjid jamek Muar. Ini ceritanya.



Kami sampai ke rumah ibu bapa malam Jumaat 6 Februari 2025. Pagi Jumaat 7 Februari, selepas selesai satu urusan melibatkan peguam yang datang dari Selangor, saya membawa anak bongsu ke bandar Muar.



Selepas minum air pear kegemaran pergi ke masjid jamek Muar untuk menunaikan solat Jumaat.




Seingat saya inilah kali pertama sejak puluhan tahun sampai ke masjid tempat permainan zaman kanak-kanak ini sebelum azan Jumaat berkemundang.




Selalu sampai ketika imam berkhutbah. Lalu jarang sekali dapat tempat di dewan utama solat.




Esoknya pagi Sabtu 7 Februari membawa ibu bapa yang kedua-duanya hendak masuk umur 83 tahun berjalan-jalan.



Makan nasi beringin kegemaran di tepi Sungai Muar. Selepas itu berjalan hingga ke Parit Jawa membawa ke Bakri Batu 6.




Petang itu isteri mengajak keluar berdua menjejak satu kawasan pemakaman lama, setelah mendapat tahu kawasan itu baru dijejak oleh seorang kenalan di Facebook. Kawasan persekitaran ini pernah kami jejaki bersama seorang anak lebih 13 tahun lalu. Lihat artikel-artikel lama berikut :-





Namun ketika itu kami terlepas pandang kawasan yang ditemui kenalan. Lihat artikel Tanah perkuburan lama di Pantai Layang (Old cemetery at Pantai Layang) di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).



Dah alang-alang, cari lokasi-lokasi di tepian Sungai Muar yang betul-betul menghadap persekitaran kampung ibu iaitu Kampung Temiang. Lihat artikel-artikel berikut di blogspot BERPETUALANG KE ACEH :-






Rumah ibu bapa terletak sekitar 700 meter sahaja seberang sungai menghadap sedikit ke kiri.




Makan malam berdua di medan selera Bentayan...




Lalu di Parit Tiram terlihat ada orang sedang membersihkan tiram yang baru dikutip selepas menyelam di tengah Sungai Muar petang itu. Dapatlah merasakan dua isi tiram mentah.




Pagi Ahad 9 Januari 2025 kami meninggalkan rumah ibu bapa untuk kembali ke rumah sendiri di Selangor.




Singgah lagi di Parit Tiram melihat orang membuka kulit tiram untuk mengambil isi bagi jualan di restoran...







Ini pula di satu tempat berdekatan Sungai Bentayan. Kami menyahut permintaan pengenalan untuk mencari lokasi makam tokoh bernama Tok Bentayan di kawasan rumah dan kedai-kedai Cina. Lihat Tinggalan daripada makam lama di Bentayan? (Remains from old tombs in Bentayan?).




Selepas itu melepak lama di kafe Kopi 434. Siap sambung penulisan tesis PhD di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Ketamadun Islam).



Adapun malam sebelum itu ada seorang kenalan yang nampaknya rajin mengikut penulisan saya di Facebook juga di CATATAN SI MERAH SILU menghubungi melalui WhatsApp bertanyakan jika saya masih berada di Muar. Beliau ingin menghadiahkan lukisan masjid jamek Muar yang dibuatnya tahun 2016. Maka singgahlah kami ke rumah beliau dekat Sungai Rambai, Melaka. Berbual panjang tentang pelbagai perkara terutama hala tujuan kehidupan sebelum lukisan diserahkan. Kata beliau kerana mengingatkan tulisan saya mengatakan rapat dengan masjid jamek Muar, banyak menghabiskan masa zaman kanak-kanak.




Perjalanan diteruskan ke bandar raya Melaka kemudian makan asam pedas di Alor Gajah. Sampai di Taboh Naning bersolat dan beriktikaf di masjidnya juga ziarah makam tokoh berkenaan. Lihat Lawatan baru ke makam Dol Said dan makam-makam berdekatan (New visit to the tomb of Dol Said and nearby tombs)




Di tengah bandar raya Seremban berhenti rehat seraya membaca beberapa muka surat Quran bagi proses pengkhataman bulan Sya'aban. Oh, saya sering bertukar-tukar tempat dan suasana supaya dapat istiqamah mengaji. Maklumlah manusia biasa yang banyak dosa lalu selalu ditimpa rasa malas hendak beramal. Bila bertukar tempat dan suasana boleh dapat semangat baru. Di celah-celah itu juga mengambil peluang menyambung penulisan tesis. Kalau tidak dijaga dan dipantau mood atau 'angin' boleh tersasar langsung tak dapat menulis apa-apa. Pernah berlaku sehingga berbulan tiada hasil...




Sampai di Kuala Lumpur selepas masuk waktu Maghrib. Baru tahu ada masjid baru telah setahun dibuka di sebelah Stadium Merdeka juga bangunan tinggi yang menjadi mercu tanda paling menonjol bandar raya. Lihat Masjid (Mosque of) Sultan Abdullah, Menara (Tower of) Merdeka 118
.



Sampai ke rumah lewat malam didapati saya sudah memandu sejauh hampir 620 km.




Malam itu juga digantungkan lukisan masjid jamek Muar di satu bahagian dinding ruang tamu.




Ia mengambil alih tempat ukiran besar atas ini telah digantung sejak sekitar 10 tahun. Ukiran pula dialih ke atas rak tanjak. Sekian  perkongsian.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan