Salam. Berkongsi cerita aktiviti-aktiviti beberapa hari kebelakangan terutama sekitar Hari Malaysia 16 September yang tahun ini kebetulan bersamaan tarikh Hijriah 12 Rabiul Awal, hari Maulidur Rasul.
Pagi Sabtu 14 September. Saya membawa isteri dan anak-anak ke Masjid Ara Damansara.
Ada majlis pernikahan anak buah kepada isteri, pengantin lelaki.
Selesai majlis diikuti makan-makan kembalilah ke rumah di Bandar Sungai Buaya.
Saudara mara belah isteri yang hadir majlis pernikahan tadi ikut sama.
Maka makan-makan di rumah kami pula...
Selain itu boleh berehat sebelum ke majlis susulan pada malamnya.
Kami ke majlis resepsi perkahwinan yang diadakan oleh keluarga pengantin perempuan di Bukit Beruntung, tidak jauh dari Bandar Sungai Buaya.
Petang Ahad 15 September saya, isteri dan anak-anak keluar lagi, Kali ini hendak menuju ke Batu 14 Hulu Langat untuk satu urusan bersama seorang bapa saudara saya.
Selepas itu cadangnya hendak ke majlis Maulid Nabi seperti tertera dalam poster atas. Ini kerana lokasinya di Batu 15 Hulu Langat sudah cukup dekat dengan tempat berurusan. Kemudian bolehlah menginap di mana-mana sebelum ke satu majlis perkahwinan lain di Bangi pada tengah hari Isnin 16 September. Selepas itu mahu balik bercuti ke rumah ibu bapa saya di Muar.
Hendak dijadikan cerita kereta yang kami naiki ada masalah suhu naik. Ini semakin menjadi-jadi apabila hendak menghampir Tol Duta di Kuala Lumpur. Hal ini membuatkan terasa elok kembali ke rumah untuk bertukar kereta. Tetapi bagaimana pula janji hendak berurusan dengan bapa saudara di Batu 14 Hulu Langat pada sekian waktu?
Selepas keluar di Tol Duta kami memberhentikan kereta di bahu jalan lalu menghubungi bapa saudara. Tengok-tengok beliau sedang berada di rumah anaknya di Sentul, belum bergerak ke Hulu Langat lalu kami bertemu di situ. Kereta saya yang ada masalah suhu enjin naik itu pun ditinggalkan dekat rumah anaknya. Sementara isteri dan anak-anak berehat bersama anak bapa saudara, bapa saudara membawa saya dengan keretanya ke Hulu Langat untuk menyelesaikan urusan kami. Selepas itu menunaikan solat Asar di Pandan Indah. Lihat artikel Masjid (Mosque of) Al-Azim, Pandan Indah di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).
Disebabkan hal kereta kami menukar keputusan tidak jadi mengikut majlis Maulid Nabi di Hulu Langat. Sebaliknya ke Bukit Bintang, Kuala Lumpur di mana ada satu majlis Maulud lain. Bapa saudara tolong hantar kerana dalam perjalanan ke rumahnya di Pandan Indah. Kereta saya sendiri ditinggalkan dekat rumah anak bapa saudara.
Sudah aturan Allah SWT nampaknya. Kami mengikuti majlis yang dipanggil Bukit Bintang Berselawat 2.0.
Peserta berarak sambil berselawat juga mengalunkan Qasidah sebelum berhenti di persimpangan utama Bukit Bintang...
Memang meriah dan luar biasa aturan majlis...
Sila tonton sendiri melalui rakaman video atas...
Alhamdulillah lewat malam itu kami dapat kembali ke rumah tanpa kereta menunjukkan apa-apa lagi masalah suhu enjin naik. Apapun disebabkan harus kembali untuk bertukar kereta itu juga seorang anak buah isteri dapat bertandang ke rumah bersama keluarganya pagi Isnin 16 September. Selepas itu baru kami ke majlis perkahwinan di Bangi.
Selepas majlis singgah di rumah seorang kenalan akademik di Kajang kemudian baru bergerak ke arah kampung ibu bapa di Muar. Singgah di satu tempat di Rembau disebabkan anak ingin mandi sungai. Lihat Recreational area of Sungai Talan di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.
Oh. Tentang balik kampung ini asalnya saya sebenarnya bercadang untuk kembali seorang diri pada malam Jumaat 19 September, selepas menghantar seorang anak kembali ke tahfiz di Cheras sebelum jam 8 malam. Ini kerana asalnya pada 16 September harus secara rasmi mendaftar masuk untuk program PhD di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) secara atas talian. Malamnya pula harus membuat pembentangan tentang buku ke-15 saya "Adam (a.s.) and the Origin of Man" secara atas talian dalam forum anjuran satu persatuan pelajar antarabangsa.
Tengok-tengok apa yang dilakukan pada hari Jumaat 13 September sudah dikira cukup untuk pendaftaran rasmi. Lihat cerita berkenaan dalam Dari online ISTAC ke fizikal ke Bukit Besi - Masuk sedikit hal rambut panjang.... Pembentangan bagi malam 16 September pula ditunda ke selepas seminggu kemudian. Itu yang memberikan kelapangan untuk kembali ke Muar selepas majlis di Bangi. Alhamdulillah isteri pun mendapat kelapangan untuk ikut lalu dibawa bersama 2 orang anak.
Pagi tadi, Selasa 17 September. Fikirnya hendak membawa ibu bapa bersama isteri dan anak-anak makan nasi beringin di tempat kegemaran di bandar Muar. Namun apabila isteri menghubungi melalui telefon dapat tahu nasi dan habis. Maka tukar menghala ke pekan Panchor. Sampai dekat tengah hari jadi kira sarapan campur makan tengah harilah ini.
Tengok-tengok ada Pesta Tanglung sedang berlangsung. Lihat artikel-artikel berikut :-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan