Ahad, September 15, 2024

Dari online ISTAC ke fizikal ke Bukit Besi - Masuk sedikit hal rambut panjang...

Salam semua. Ini ada cerita daripada hari Jumaat 13 September, Friday the 13th. Ada dua majlis ilmu telah dijadualkan diadakan di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) di Bukit Tunku. Lalu saya bercadang untuk menghadiri kedua-duanya kerana isteri boleh bekerja dari rumah lalu boleh menguruskan anak. Namun tak semua yang kita rancang itu jadi seperti yang diinginkan. Ini ceritanya...



Poster bagi majlis pertama. Tajuk boleh diterjemahkan sebagai "Semakan Manuskrip Kuantitatif yang Diserahkan kepada Jurnal Perpustakaan dan Sains Maklumat Malaysia". Ia diadakan di perpustakaan ISTAC atau Syed Muhammad Naqib al-Attas Library bermula jam 10 pagi. Saya bercadang untuk bertolak lebih 40 km dari rumah selewatnya jam 9.30.




Tetapi hendak dijadikan cerita saya menghadapi masalah untuk membuat transaksi bank bagi membayar yuran semester pertama dan pembukaan pengajian peringkat PhD di ISTAC. Ada yang saya kurang faham sejak bank memperkenalkan sistem apps baru lalu transaksi yang mahu dibuat melalui komputer riba, menurut aturan sistem dalam universiti, asyik tersangkut. Yang bermasalah bukan sistem universiti tetapi sistem bank. Sehingga ada peringkat akses melalui telefon yang dicuba kemudian selepas akses melalui komputer riba beberapa kali gagal pun disekat. Antaranya akibat ditanya soalan keselamatan (security question) yang seingat saya tidak pernah ditetapkan dalam akaun.

Bayangkan keluar soalan seperti "What is your high school mascot?" - Apakah maskot sekolah tinggi anda? Sedangkan sekolah saya tidak pernah ada maskot. Bila masa ada buat setting atau tetapan sebegitu rupa? Bagaimana hendak menjawab? Tersilap jawab boleh kena sekat. 

Nampaknya soalan-soalan keselamatan yang ada diambil bulat-bulat daripada kebiasaan di dunia Barat. Satu lagi misalan : "What is the middle name of your mother?" - Apakah nama tengah ibu anda? Kita orang Melayu mana ada nama tengah? Alahai.

Disebabkan hendak menyelesaikan masalah pembayaran yuran universiti banyak masa dihabiskan. Perlu hubungi bank melalui telefon untuk membuka sekatan, selepas itu perlu buat tetapan-tetapan baru bagi akaun. Selepas itu didapati masih bermasalah hendak menurut prosedur perbankan atas talian lalu perlu menghubungi lagi bank. Akibat itu lebih sejam dihabiskan untuk menyelesaikan masalah.




Selepas selesai hal pembayaran prosedur seterusnya untuk pendaftaran memakan masa cuma beberapa minit. Selepas itu dibuat panggilan ke pejabat berkenaan untuk mendapatkan kepastian apakah yang dilakukan itu sudah cukup sekurang-kurangnya buat masa ini. Alhamdulillah, mereka kata selesai. Cuma menunggu bahagian kewangan menyemak lalu menghantar e-mail. Selepas itu baru boleh dibuat temujanji untuk pemeriksaan kesihatan di klinik kampus utama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di Gombak, badan yang menaungi ISTAC. Boleh ambil kad matriks sekali

Apabila semua keperluan untuk pendaftaran betul-betul selesai sudah dekat jam 10.40. Memang tak sempatlah hendak berkejar ke ISTAC untuk mengikuti majlis secara fizikal. Nasib baik teringat  ia turut dipancarkan secara atas talian melalui Youtube. Maka tontonlah di komputer riba apa yang sempat..




Sebetulnya tak perlu pun ikuti majlis ini kerana tidak ada kena mengena dengan pengajian atau cara (metodologi) pengajian saya. Yang dibincangkan adalah cara kuantitatif berdasarkan pengumpulan data yang diberikan tafsiran melalui ilmu statistif. Sedangkan kajian saya adalah menggunakan cara kualitatif yang lebih pada mentafsir makna suatu perkara lalu membandingkan dengan makna perkara lain yang ada kena mengena.



Namun disebabkan sayangkan ilmu saya tetap mengikuti...








Sekurang-kurangnya ada pengalaman berguna dalam menangani hal-hal formaliti universiti dikongsikan pembicara. Sila tonton rakaman di sini.




Majlis dan siaran langsung tamat sekitar jam 11.30. Sekitar jam 11.45 baru bergegas meninggalkan rumah tapi ke medan selera berdekatan pejabat lama iaitu The New Straits Time untuk menikmati hidangan kegemaran nasi beringin terlebih dahulu.




Selepas jam 1 baru bertolak ke ISTAC lalu sampai sekitar waktu azan kedua solat Jumaat berkumandang...







Solat Jumaat di masjid situ.




Ini pula poster bagi majlis ilmu sebelah petang. Tajuknya boleh diterjemahkan sebagai "Mempasakkan Penaakulan : Menetapkan Ilmu dan Kepercayaan Melalui Penghujahan yang Logikal".




Secara rata pembicara iaitu Profesor Ismaillatif dari Universiti Istanbul mahu menunjukkan bagaimana ilmu logik cara pemikir silam Yunani Aristotle (hidup sekitar 2,300 tahun lalu) yang dikutip ilmuwan-ilmuwan Islam sejak abad ke-8 Masihi boleh digunakan untuk menggali ilmu pengetahuan yang lebih mendalam dalam pelbagai bidang. Namun sebelum dapat melakukan apa-apa perbincangan yang bermakna kita harus terlebih dahulu mempasakkan beberapa perkara. Antaranya menetapkan takrifan setiap apa yang mahu dibincangkan terlebih dahulu. Ini supaya jelas merujuk pada objek dan makna yang sama, tidak ada samar-samarnya. Daripada situ baru boleh dilanjutkan perbincangan sehingga menerbitkan pena'akulan yang berguna.







Satu perkara menarik selain pengisian dan perkongsian adalah keadaan pembicara yang berambut panjang (selain santai memakai t-shirt itu). Kalau dibuka ikatan pada rambut harus sekurang-kurangnya sama panjang dengan rambut saya yang 2-3 inci melepasi bahu. Hal ini membuat tergerak untuk meletakkan teks berikut di Facebook kira-kira 22 jam lalu...


APABILA PROFESOR BERAMBUT PANJANG MENYERLAHKAN BUAH FIKIRAN LUAR BIASA
Semalam petang Jumaat di ISTAC ada syarahan menarik daripada seorang Profesor dari Turki. Memang menarik isi syarahan. Dan boleh dikatakan luar biasa. Lebih menarik lagi Profesor lelaki ini berambut panjang, satu bukti bahawa jika kita seorang ilmuwan yang terserlah jangkauan fikrah fikirnya maka penampilannya insyaallah boleh diterima oleh institusi2 akademik. Sekurang2nya bagi mereka yang betul2 tahu menghargai ilmu, bukan sekadar bermuka2 dengan 'penampilan orang berilmu' yang harus berambut pendek pakai kot tali leher blazer bagai konon. Ada kelapangan nanti saya cerita.




Perkongsian beliau cukup luar biasa, penuh isi dan sarat makna hinggakan Dekan ISTAC, Professor Datuk Dr. Abdelaziz Berghout menyatakan ia adalah syarahan terbaik beliau pernah dengar sejak 3 tahun kebelakangan. 




Sekarang biar ditambah. Semasa sesi soal jawab saya ada bertanyakan hal tentang berambut panjang. Soalannya lebih kurang begini - Tentang selesa menjadi diri sendiri (be comfortable in your own skin). Saya lihat tuan dapat berfikiran sebegini rupa, mengalir begitu sahaja buah fikiran yang baik dengan begitu jujur disebabkan selesa dengan diri tuan yang berambut panjang itu. Apakah perasaan tuan kalau dipaksa untuk menurut anggapan ramai bahawa seorang ahli akademik harus mengikut tatacara penampilan 'terpelajar' seperti berambut pendek. Jawab beliau ringkas - Teruk (badly). Ertinya beliau akan jadi teruk terganggu kalau dipaksa menurut sahaja tanggapan orang lain. Ikuti sendiri majlis di sini.




Majlis tamat sekitar jam 4.30. Tetapi sejam kemudian baru meninggalkan ISTAC kerana banyak berbual dengan hadirin termasuk Ismail .Disebabkan lambat keluar itu harus melalui kesesakan jalan raya teruk untuk ke destinasi seterusnya...




Saya mahu mendaki Bukit Besi di Sungai Besi. Menurut maklumat yang ditemui di Internet, tingginya sekitar 291 meter dari paras laut. Ia adalah salah satu bukit yang sudah lama ingin didaki. Tetapi baru kebelakangan ini  betul-betul mencari daripada boleh dimulakan pendakian itu.




Sampai ke tempat permulaan pendakian jam 6.40 petang. Sudah lewat, hari mahu gelap. Tetapi tetap bersemangat untuk melakukannya.



Alhamdulillah dapat sampai sejurus sebelum masuk waktu Maghrib. Cahaya lampu daripada pondok pengawal stesyen telekomunikasi di puncak bukit menyebabkan mahu menyambung bacaan Al-Quran bagi bulan Rabiuawal. Kebetulan masuk Surah al-A'raf yang bererti "Tempat tertinggi".




Pusat bandar raya Kuala Lumpur dilihat dari atas puncak. Lihat artikel Climbing up Bukit Besi in Kuala Lumpur di blogspot BERPETUALANG KE ACEH. Punyalah terasa selesa, agak lama juga berlegar-legar seorang diri.  Siap bersolat Maghrib di puncak.




Masuk jam 8 baru mengorak langkah turun, dalam kegelapan malam. Dapatlah dirasakan kehadiran makhluk halus di beberapa bahagian bukit, ada satu bahagian itu siap terhidup bau kemenyan. Singgah di masjid ini untuk mandi dan bertukar pakaian. Lihat artikel Masjid (Mosque of) Al-Muqarrabun, Bandar Tasek Selatan, Kuala Lumpur  di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).




Seterusnya ke sebuah surau yang terletak kira-kira 6 km ke tenggara bukit.




Saya datang kerana anak yang baru bertukar ke tahfiz berdekatan mengikut aktiviti Maulidur Rasul di surau.



Anak boleh diambil bercuti selepas majlis. Disebabkan hendak mengambil anaklah saya mendaki Bukit Besi, kerana tidak jauh dari situ. Oh. Tadi ada disebut rambut panjang saya 2-3 inci melepasi bahu. Sebenarnya apabila disemak betul-betul panjangnya lebih 3 inci lagi. :]


Tiada ulasan:

Catat Ulasan