Ahad, September 08, 2024

Sekali lagi, dari tanah perkuburan ke ISTAC

Adapun 3 bulan lebih lalu saya ada membuat artikel bertajuk Dari tanah perkuburan ke ISTAC ke PBAKL 2024 yang mana diceritakan bahawa saya harus ke tanah perkuburan di Kajang pada pagi berkenaan untuk menghadiri pengkebumian seorang bapa saudara sebelum dapat ke ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) di Bukit Tunku bagi majlis ilmu. Siang tadi berlaku perkara hampir serupa. Ini ceritanya. 



Sejak lebih seminggu lalu keluar poster atas bagi majlis berkenaan dalam grup-grup WhatsApp ISTAC lalu terfikir hendak pergi.  Tapi isteri pula menyatakan ada urusan pada masa majlis dijadualkan bermula pagi Ahad 8 September 2024 lalu saya diharapkan dapat menguruskan anak untuk pergi latihan silat di Bukit Beruntung. Memang kebiasaan pun saya yang menghantar anak ke latihan seminggu sekali bermula jam 8.30 lalu mengambil jam 10.30. ISTAC pula jarang mengadakan majlis ilmu hari Ahad. Jadi jarang timbul keperluan untuk isteri mengambil alih menguruskan anak.




Pengisian majlis memang menarik bagi seorang pengkaji dan pencari kebenaran seperti saya. Tiba-tiba petang Jumaat isteri memberitahu urusan beliau pagi Ahad ditunda ke hari lain. Dengan itu beliau boleh menguruskan anak dan saya boleh pergi ke majlis. Dengan itu juga difikirkan mahu mendaki Bukit Lanjan dekat Kota Damansara hingga ke puncak pada petangnya, satu perkara yang asalnya dirancang mahu dilakukan Rabu lalu tetapi ditukar menjadi pendakian Bukit Dinding dekat Setiawangsa akibat hal tertentu. Lihat Dari 31 Ogos hingga masuk 1 Rabiulawal.




Tapi tu le. Manusia cuma boleh merancang sedangkan Allah SWT yang menentukan. Lewat petang Sabtu semalam mendapat berita seorang kawan baik baru sahaja menghembuskan nafas terakhir. Ketika itu kami sedang bersantai di satu tempat. Lihat artikel Latest look of the lake called Tasik Widuri at Bukit Beruntung di blogspot BERPETUALANG KE ACEH. Pada malamnya pula mendapat tahu akan dibuat solat jenazah di masjid Taman Tun Dr Ismail pada pagi Ahad. Maka kami pun bergegas  membawa sekali anak pagi itu, tak jadi pergi latihan silat. Kiranya dah fikir tak jadi langsung ke ISTAC kerana mahu memberikan tumpuan pada hal jenazah.




Sebetulnya kami suami isteri ada rasa terkilan. Kawan yang dikenali ramai sebagai seorang Puan Sri, bekas isteri seorang billionaire Melayu terkenal itu ada datang ke ISTAC untuk mengikuti majlis diskusi buku saya lalu bertemu kami sekitar 3 minggu lalu. Lihat Diskusi buku "Adam (a.s.) and Origin of Man" di ISTAC berlangsung dengan jayanya 15 Ogos. Ketika itu kami sudah berbulan tidak bertemu akibat kesibukan masing-masing. Selesai sahaja majlis beliau mengajak ke rumah, katanya ada masak sup kambing dan mahu kami bersama menikmatinya.


Namun kami menolak kerana harus berkejar kembali ke rumah. Ini kerana anak bongsu kami yang berumur 11 tahun, anak yang setiap pagi Ahad biasa ke latihan silat itu, sedang berada seorang diri. Dapat balik dari sekolah petang pun minta tolong menumpang orang. Kami pun memberitahu insyaallah cuti sekolah yang dijadualkan bermula Sabtu 14 September nanti akan bertandang. Sekarang apa yang kami mampu buat adalah meluangkan sedikit masa bagi menyaksikan penyempurnaan urusan jenazah.




Sekitar jam 10.45 baru pengkebumian yang diadakan di tanah perkuburan Bukit Kiara selesai. Timbul rasa apa salahnya bertolak ke ISTAC kerana tidak jauh sangat pun dari satu. Dan harus ada lagi masa untuk majlis kerana ia dijadualkan berlangsung sehingga jam 1 petang.










Masuk dewan jam 11.08 didapati guru saya Profesor Emeritus Datuk Dr Osman Bakar sedang bercakap.







Di sini tidak perlulah dipanjangkan tentang majlis. Sila ikuti sendiri rakaman di sini.



Saya mengikuti syarahan Osman sehingga selesai. Kemudian ada lagi 3 ahli panel lalu saya sebenarnya hendak mengikuti mereka semua juga. Namun memikirkan isteri dan anak lapar belum bersarapan sejak keluar rumah jam 8 lebih lagi saya pun membawa mereka ke kafe ISTAC untuk makan.



Selesai makan ingat nak masuk kembali majlis. Tengok-tengok bertembung dengan para VIP dan hadiran yang baru memulakan lawatan ke pameran yang terkait dengan majlis. Ertinya sesi pembentangan ilmu sudah pun selesai...



Biasanya apabila melihat suatu pameran saya akan mengambil gambar sebanyak mungkin untuk dikongsikan. Kalau dalam bahasa Inggeris dijadikan artikel di blogspot BERPETUALANG KE ACEH kemudian dipautkan ke CATATAN SI MERAH SILU. Kali ini tak jadi kerana sedang ramai orang. Lain kali insyaallah apabila tidak ramai atau lebih baik, ketika tiada orang. 

Apabila ramai orang susah hendak betul-betul mengambil gambar sehingga cukup jelas maklumat yang dipaparkan. Dan saya tidak mahu dianggap berada di situ kerana hendak menghimpit atau menyelit di celah-celah VIP yang ramai. Sekarang biar diluahkan sesuatu yang sudah dirasakan sejak bertahun lama.




Kepada mereka-mereka yang berkenaan. Yang kelihatan seperti sentiasa memandang lekeh dan pelik apabila terlihat saya muncul bertanjak berambut panjang terutama pada majlis yang ada ramai orang berpakaian rasmi berkot blazer bagai. Seolah-olah kehadiran saya 'mencacatkan' pemandangan 'orang penting bijak pandai'. Ketahuilah saya bukan jenis orang yang sengaja mahu 'menempel' apabila VIP datang. Saya tak heran. Saudara mara saya ramai yang kaya raya. Dan saya memang berasal daripada keluarga bangsawan, asal usul keturunan raja dan pahlawan. Kawan-kawan lama sejak zaman sekolah menengah dan kolej juga universiti ramai jadi orang-orang penting kerajaan juga syarikat-syarikat korporat gergasi. Malah menurut susur galur kekananan keturunan saya ada lebih keutamaan berbanding lain-lain ahli untuk memegang satu jawatan orang besar istana di sebuah kesultanan.

Saya tidak hairan dengan mana-mana VIP atau VVIP, tidak perlu menghimpit  mahupun menyelit. Sejak berpuluh tahun lalu lagi terutama ketika menjadi wartawan akhbar berbahasa Inggeris The New Straits Times tahun 1996-2001 sudah biasa bergaul dengan para menteri,  jutawan dan sebagainya malah para pembesar dari luar negara. Ada sejumlah rakan wartawan sudah jadi orang penting negara melalui talian berkenaan. Saya tidak pernah pun mahu menggunakan hubungan untuk mendapatkan apa-apa keuntungan dan kedudukan. Saya lebih selesa jadi diri sendiri, tidak terikat dengan budaya "I scratch your back, you scratch my back" atau "Aku garu belakang engkau, engkau garu belakang aku" seperti kebiasaan ramai, orang-orang kebanyakan. 

Jadi janganlah pandang lekeh seolah-olah saya nak 'enter frame' hendak mencari peluang untuk bergaul dengan orang atasan terutama pada majlis-majlis ISTAC. Sebab utama saya hadir ke majlis ini malah ke mana-mana majlis pun adalah kerana tertarik dengan pengisian. Selain itu guru saya Osman ada membentang. Selalunya, kalau beliau terlibat dalam suatu majlis sedangkan saya ada kesempatan atau kelapangan akan diusahakan untuk datang. 




Buktinya. Terdapat sangat banyak artikel tentang majlis ilmu di ISTAC juga di tempat-tempat lain ada dikongsikan dalam CATATAN SI MERAH SILU. Lihat cerita-cerita majlis ilmu yang disenaraikan dan dipautkan dalam artikel-artikel yang mengandungi kompilasi seperti berikut :-










Artikel-artikel ini meliputi lebih 300 majlis ilmu sehingga awal bulan 2020. Selepas itu banyak lagi diikuti kalau tidak pun dihadiri secara fizikal lalu ditulis tentangnya hingga ke hari. Cuma sudah lama tidak dikumpulkan pautan atau dibuat kompilasi. Yang pasti, tidak sekalipun saya datang kerana hendak mengejar point atau mata kokurikulum ke hapa atau yang sewaktunya dengannya. 

Saya tidak perlu itu semua apa lagi sebagai seorang penulis yang telah menghasilkan 15 tajuk buku. Lebih separuh daripada itu ditulis, disunting, dibuat reka letak, reka bentuk, diterbitkan lalu diatur sendiri edaran dan jualan,  pendek kata A to Z dalam dunia penerbitan. Saya tidak ada keperluan untuk mengejar pangkat atau mendapatkan peluang 'lebih baik' melalui kenalan daripada kalangan pihak atasan. Saya cuma sayangkan ilmu dan ada tabiat untuk menulis kerana ia juga menjadi terapi diri selain cara untuk lebih baik menghadam ilmu.

Sejak menjadi pelajar ISTAC bermula September 2018 cuma sekali sahaja ada mengambil peluang untuk 'menghimpit' orang atasan melalui majlis ilmu. Itupun untuk menyerahkan buku ke-14 saya "Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arshad : Perjuangan yang Belum Selesai" ke tangan Tuanku Sultan Perak, Raja Nazrin Syah sendiri secara berhadapan empat mata tanpa melalui perantaraan. Lihat Antara perpustakaan dan mahkamah - Bersama Sultan Nazrin di ISTAC. Ini kerana menyedari sangat tipis sudut pandang keluarga belah saya iaitu anak cucu Laksamana Muhammad Amin melalui anak dan waris utamanya Orang Kaya Arsyad tentang sejumlah perkara yang telah berlaku (dan masih sedang berlaku) dapat sampai kepada pengetahuan Tuanku. Yang kelihatan, ada orang-orang sekeliling seperti begitu gigih hendak menyembunyikan kebenaran demi menjaga kepentingan dan periuk nasi sendiri lalu cuba menenggelamkan kami.  Rujuk artikel-artikel berkenaan :-







Tiada ulasan:

Catat Ulasan