Khamis, September 12, 2024

Kewartawanan dan terbitan berkala awal bahasa Melayu dalam membentuk identiti dan kesedaran Melayu moden

Merujuk pada artikel Dari aktivisme pelajar ke Bukit Lanjan yang dipersembahkan semalam. Ada disebut bahawa asalnya hari itu, Rabu 11 September 2023 mahu ke ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) bagi mengikuti satu majlis ilmu. Tetapi isteri memberitahu perlu ke pejabat utamanya. di Shah Alam lalu saya tidak dapat meninggalkan kawasan berdekatan rumah kerana perlu menguruskan anak pergi balik sekolah.



Ini adalah poster bagi majlis. Tajuknya boleh diterjemahkan sebagai "Kewartawanan dan Terbitan Berkala Awal Bahasa Melayu Dalam Membentuk Identiti dan Kesedaran Melayu Moden". Menyampaikan adalah Profesor Dato' Dr Ahmad Murad Merican daripada ISTAC. Pada hari sebelumnya Selasa 10 September beliau telah berkongsikan pemerhatian terhadap aktivisme pelajar universiti melalui pengalaman sebagai wartawan juga akademik yang mengkaji dunia kewartawan serta seorang yang aktif menulis dalam surat khabar sejak zaman sekolah menengah lebih 50 tahun lalu. Lihat kembali artikel Dari aktivisme pelajar ke Bukit Lanjan.


Sampai masanya jam 2.30 petang saya mengikuti majlis secara langsung melalui Youtube ISTAC TV di kaca televisyen, bukan melalui komputer riba seperti kebiasaan. Ini kerana mahu menonton sambil makan tengah hari lewat. Selalunya kalau menonton di televisyen itu adalah untuk majlis-majlis ilmu yang sudah terlepas siaran langsung kerana tiada kelapangan. Ada yang sudah lebih seminggu berlaku baru ditonton. Banyak juga majlis-majlis diikuti sebegitu rupa tetapi tidak diceritakan langsung di CATATAN SI MERAH SILU. Yang sudah diceritakan, sejak mula menghadiri majlis-majlis sebegitu  penghujung 2009, pun didapati sudah membentuk hampir 500 artikel. Tentang itu akan dikembangkan dalam satu artikel kompilasi akan datang.



Secara rata apa yang diceritakan adalah tentang apakah itu makna kewartawanan. Ini adalah usaha bagi merekodkan keadaan dan peristiwa-peristiwa semasa untuk dijadikan sajian umum melalui media massa seperti surat khabar, kalau zaman sekarang termasuk portal-portal dan laman sesawang di Internet. Disebutlah tentang peranan keintelektualan wartawan sebenar dalam menanggapi suatu isu lalu membentuk identiti dan kesedaran masyarakat. Diceritakan sejarah bagaimana kewartawanan terbentuk di Alam Melayu.

Menurut Murad, antara pelopor awal adalah Munsyi Abdullah (pernah bekerja dengan pegawai Inggeris terkenal Stamford Raffles, orang yang dikatakan 'penemu' Singapura). Ini kerana rajian mencatatkan pemerhatian awal abad ke-19 Masihi. Setelah beberapa lama baru teknik percetakan moden sampai membawa kepada penerbitan surat khabar dan majalah secara berkala termasuk oleh orang Melayu peranakan (bercampur darah India misalnya dengan orang Melayu tempatan) dan Hadrami (oranfg Aras yang berasal dari Hadramaut, Yaman). Dibandingkan dengan perkembangan di dunia Barat juga dengan media sosial sekarang yang sering dilihat umum sebagai satu sumber berita walhal tidak memenuhi disiplin sebenar kewartawanan dalam mensahihkan satu berita. Sila ikuti sendiri melalui rakaman video atas.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan