Merujuk pada artikel "Salam Kasih" oleh Prof Kamal Hassan yang dipersembahkan jam 1.05 pagi Sabtu 10 Ogos 2024. Ada dinyatakan pada pembukaan artikel bahawa kemudian nanti pagi itu mahu ke Lembah Klang untuk mengikuti satu majlis ilmu berdekatan kampus utama Universiti Malaya. Kemudian ke majlis melibatkan busana tradisional Melayu dan silat di Bukit Damansara sehingga petang. Seterusnya ke majlis zikir tertutup sebelah malam.
Selepas jam 10 pagi baru meninggalkan rumah untuk ke majlis berdekatan Universiti Malaya itu.
Tempatnya adalah di bangunan IAIS (International Institute of Advanced Islamic Studies - Institut Antarabangsa Pengajian Lanjutan Islam) Malaysia di Jalan Elmu.
Saya sudah lama mendengar tentang badan pemikir atau think tank ini. Ada orang-orang daripada badan pernah menyertai majlis-majlis ilmu yang saya ikuti dan/atau hadiri.
Tapi baru kini sampai ke tempat mereka.
Poster majlis. Saya tertarik untuk hadir kerana tajuk yang boleh diterjemahkan sebagai "Legasi Malcom X : Satu Perjalanan Pemerkasaan dan Kesamarataan" itu. Ia dinyatakan bermula jam 10. Tetapi saya keluar dari rumah 50 km perjalanan selepas waktu itu kerana perlu menyelesaikan beberapa perkara terlebih dahulu.
Ketika masuk ke dewan jam 10.53 pengerusi IAIS Prof. Dr. Maszlee bin Malik, mantan Menteri Pendidikan, sedang memberikan ucaptama. Disebutlah tentang sejarah perjuangan Malcom X, seorang pemuda kulit hitam di Amerika Syarikat yang pernah masuk penjara kerana suatu jenayah, kemudian menyertai satu organisasi orang kulit hitam yang bersifat militan tetapi memakai nama Islam. Asbab daripada penyertaan beliau muncul menjadi tokoh besar perjuangan bagi memperkasakan dan memberi kesamarataan untuk orang kulit hitam tahun 1960an.
Ketika itu perkauman sangat kuat di Amerika. Orang kulit hitam selalu ditindas oleh orang kulit putih dalam pelbagai aspek. Ini kerana sejarah asal usul orang kulit hitam ditangkap dan dibawa dari Afrika untuk dijadikan hamba abdi bagi mengerjakan pelbagai perusahaan terutama perladangan di Amerika abad ke-18. Sebagai tindak balas muncul organisasi yang merekrut Malcom, bernama Nation of Islam membawa naratif berlawanan yang secara melampau mendakwa orang kulit hitam itu yang asalnya bertaraf tinggi, orang kulit putih pula bawahan tetapi berjaya menterbalikkan. Selepas pergi haji di Mekah baru beliau betul-betul mengenali Islam yang sebenar yang mana semua orang tidak kira warna kulit dipandang sama sahaja dan dianggap sebagai keluarga.
Saya sudah sedia tahu banyak yang diperkatakan kerana pernah menonton filem "Malcom X" lakonan Denzel Washington tahun 1992. Itulah yang membuat tertarik untuk hadir ke majlis. Selepas itu panelis pertama Profesor Dr Syed Farid al-Attas daripada National University of Singapore pun bercakap. Beliau membandingkan perjuangan Malcom X membela nasib orang kulit hitam di Amerika dengan perjuangan orang Melayu di rantau sebelah sini berjuang bukan sahaja untuk melawat penjajahan Barat. Sejumlah kemudian berjuang untuk mendapatkan kembali keyakinan diri bangsa selepas lama direndahkan taraf. Antara contoh yang diberikan adalah perjuangan Jose Rizal, tokoh rakyat Filipina yang sentiasa bangga menyatakan diri sebagai orang Melayu walaupun rakyat sana sudah lama diKristiankan akibat pemaksaan daripada Sepanyol.
Panelis kedua Profesor Dr Ridhwan Fontaine, orang Perancis yang kini mengajar di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Malaysia pula memulakan dengan menceritakan pengalaman hidup membesar dalam keadaan selalu diajar Islam itu agama yang memaksa orang menganutnya secara paksaan dengan jalan perang. Setelah dewasa baru mengetahui hal sebenar lalu belajar dan memeluk Islam. Barulah dibandingkan dengan perjalanan hidup Malcom X yang mula mendengar tentang Islam dalam penjara melalui organisasi Nation of Islam walaupun ia bukan mengikut cara Islam yang sebenar. Namun ia tetap menjadi pembuka sehingga mendapat jalan yang sebenar ketika hendak menunaikan haji.
Menutup majlis adalah pengerusi IKIM (Institut Kefahaman Islam), Professor Dato' Muhammad Nur Manuty. Entah kenapa ketika hendak menulis ini tak ingat langsung apa yang diperkatakan. Berbalik pada hal Malcom X, beliau akhirnya mati dibunuh oleh orang dari Nation of Islam. Ini kerana tidak mahu lagi mengikut acuan perjuangan mereka yang terlalu mengangkat orang kulit hitam sehingga melebihi kenyataan, sehingga tidak lagi berpegang pada konsep kesaksamaan semua manusia tanpa mengira warna kulit. Dan selain itu mereka memang tidak mengamalkan ajaran Islam yang sebenar, cuma memakai nama bagi mendapatkan sokongan.
Merujuk pada kenyataan saya pada awal artikel iaitu mahu menghadiri majlis ilmu berdekatan kampus utama Universiti Malaya pagi Sabtu kemudian ke majlis melibatkan busana tradisional Melayu dan silat di Bukit Damansara sehingga petang, seterusnya ke majlis zikir tertutup sebelah malam. Tentang majlis busana itu sudah diletakkan cerita dalam blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH). Lihat artikel Perasmian Hari Tanjak di Pavilion Damansara Heights diikuti Sekitar program Hari Tanjak. Tentang majlis zikir, itu rahsia. Sekian. :]
Tiada ulasan:
Catat Ulasan