Selasa, Jun 25, 2024

Salah ke kajian saya diakui seorang pemikir tersohor Melayu?

Sekadar mengisi kelompongan dalam perkongsian cerita. Melepaskan beban rasa sebenarnya...


Adapun gambar atas ini diambil selepas mengikuti satu majlis ilmu di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) pada petang Jumaat 31 Jun 2024. Lihat artikel Musafir ilmu dan buku - Antara ISTAC dan PBAKL. Selepas majlis saya telah menyerahkan senaskah buku terbaru merangkap buku ke-15 saya "Adam (a.s.) and the Origin of Man" kepada guru saya di ISTAC Profesor Emeritus Datuk Dr Osman Bakar. Ini kerana beliau adalah penyelia bagi tesis Sarjana saya di ISTAC yang isinya diperbaiki untuk menjadi buku. Dan beliau adalah penulis kata-kata aluan bagi buku. 

Selepas menerima buku beliau ada menyarankan kepada hadirin bahawa adalah elok jika persatuan pelajar ISTAC iaitu ISTACSS (ISTAC Student Society) dapat mengadakan satu wacana atau diskusi tentang buku. Tentunya saya amat bersetuju kerana buku terbit daripada tesis sedangkan tesis pula terbit akibat saya pernah diminta ISTACSS agar berkongsi kajian saya yang berkenaan pada April 2018. Lihat Syarahan "Prophet Adam and the Malays 60,000 Years Ago - Aligment of Time, Revealed Knowledge and Science" di ISTAC. Namun hal menyerahkan buku juga saranan tidak diceritakan dalam Musafir ilmu dan buku - Antara ISTAC dan PBAKL mahupun apa-apa artikel di CATATAN SI MERAH SILU. Yang ada diceritakan adalah tentang wawancara yang dibuat bersama Osman tentang buku. Itu ada dikongsikan rakaman videonya.

Dengan pengenalan ini baru boleh pergi ke hal yang lebih recent ataupun baru...


Adapun kali terakhir saya mengemaskinikan CATATAN SI MERAH SILU adalah ketika mempersembahkan artikel Ringkasan cerita sekitar Aidil Adha 1445 Hijriah pada Selasa malam Rabu 18 Jun jam 10.55 malam iaitu tepat seminggu campur sejam lalu. Biar dinyatakan, sebelum itu iaitu pada petang Selasa sekitar jam 4 petang saya ada berkongsikan rakaman video atas berserta teks berikut di Facebook dan WhatsApp...


--------


APA YANG SALAH TENTANG WAWANCARA INI?
Isteri saya ada memuatnaik rakaman video wawancara selama hampir 15 minit dengan Prof Emeritus Datuk Dr Osman Bakar ini ke Tiktok sejurus selepas wawancara berlaku 31 Mei. Baru ini didapati bunyi/suara telah dihilangkan, atas alasan "your contents is against our Community Guidelines". Apa salahnya wawancara ini? Apakah kerana Prof Osman yang diakui sebagai salah seorang pemikir tersohor dalam dunia Islam sekarang menyokong penulisan dan hujah dalam buku ke-15 dan terbaru saya "Adam (a.s.) and the Origin of Man"? Tonton sendiri rakaman sama yang dimuatnaik ke Youtube dan nilai...


----------


Maklum balas yang didapati daripada para pembaca dan kenalan, tidak ada pun apa-apa perkara dalam rakaman video yang menyebabkan ia layak diganggu sebegitu rupa. Tidak ada isu perkauman, politik mahupun agama. Tidak ada serangan terhadap Israel, Zionis mahupun sokongan terhadap Palestin atau sebagainya. Yang ada adalah tentang buku, kajian dan ilmu. Selain itu, apa yang boleh menyebabkan ia diganggugugat lalu ada yang mengadu sehingga dihilangkan suara dalam Tiktok nampaknya rasa tidak puas hati.

Kenapa tak puas hati? Ada pembaca berkongsi sama dengan telahan saya bahawa ada pihak tidak suka kajian saya mendapat kata-kata pujian oleh seorang pemikir tersohor Melayu Islam seperti Osman Bakar, seorang pemikir peringkat dunia. Orang nak kata perasan pun perasanlah. Tetapi saya ada sebab untuk ber'buruk sangka' bahawa ada pihak tidak mahu hal kajian dan pemikiran saya diakui ini sampai kepada Sultan sebuah negeri, pihak yang tidak mahu saya mendapat tempat di istana mengambil kembali satu jawatan orang besar yang layak dipegang atas faktor kekananan dalam susur galur keturunan, kekananan yang harus lebih kuat lagi apabila disedari tahap keintelektuan yang dimiliki. 

Namun ada juga mengatakan, ada kemungkinan yang membuat aduan adalah orang daripada ISTAC lama iaitu ISTAC sebelum diterajui Osman Bakar. Ada kemungkinan juga orang dalam ABIM (Angkatan Belia Islam Malaysia). Ini boleh jadi kerana saya ada menyentuh  tentang pengasas ISTAC, Tan Sri Profesor Syed Naquib al-Attas dalam wawancara juga kedudukan Osman sebagai antara orang yang mengasaskan ABIM. Mungkin kerana saya ada menyebut Osman lebih senang untuk ditemui (more accesible) berbanding Syed Naquib walaupun beliau juga orang yang sangat sibuk, sering dicari untuk mendapatkan nasihat juga menyampaikan ilmu. Saya sebut ini dalam konteks kerja-kerja perjuangan aktivis. Kerana saya seorang aktivis kedaulatan Melayu dan Islam. Sedangkan Osman telah lebih awal terlibat dalam dunia aktivis memperjuangkan Islam, antaranya melalui ABIM.

Sebetulnya ada perkara besar mahu diperjuangkan melalui penulisan tesis di ISTAC yang kemudian dijadikan buku. Tetapi saya harus bersedia dengan kemungkinan ada pihak, atau beberapa pihak, mahu menghalang daripada ia mendapat perhatian yang sewajarnya. Gangguan terhadap rakaman video yang isteri letak di Tiktok seperti mengesahkan 'buruk sangka' ini. Dan memang realiti kehidupan... kalau dalam dunia politik kita tak hairan. Tetapi dalam dunia akademik pun sebenarnya ramai yang suka bermain politik lalu sanggup menenggelamkan usaha baik orang lain walaupun ia sebenarnya berfaedah bagi mengangkat maruah dan kedaulatan ummah. Mereka bercakap tentang ilmu, tentang "loss of adab" dan sebagainya. Tetapi tujuan utama cuma hendak mengangkat diri dan kelompok sendiri sahaja, selain hendak mengaut peluang membuat duit dengan menjual ilmu.

Berbalik pada artikel Ringkasan cerita sekitar Aidil Adha 1445 Hijriah yang ditulis 18 April. Ada disebut pada permulaannya bahawa fikiran saya sedang terganggu (ketika itu) kerana belum menyiapkan lagi satu penulisan ilmiah yang diharapkan dapat dihantar kepada pihak berkenaan selewatnya pada 25 Jun. Pada penghujung artikel pula disebut, apabila sampai kembali ke rumah dekat jam 5 pagi Selasa 18 Jun iaitu selepas selesai membuat perjalanan berkenaan didapati saya telah memandu sejauh 573 km. Ini adalah kurang 100 km berbanding perjalanan yang dilakukan seminggu lebih sebelum itu. Rujuk kembali artikel kompilasi Musafir ilmu dan buku. Selepas itu (dijangka) kena memandu beratus kilometer lagi dalam tempoh beberapa hari akan datang. 

Apa yang tidak diberitahu adalah, sepatutnya pada pagi 25 Jun tadi saya berada di Ipoh untuk mendengar keputusan kes faraid harta Laksamana Muhammad Amin di Mahkamah Tinggi Syariah. Tetapi Khamis lalu 20 Jun diberitahu bahawa keputusan ditunda ke 9 Julai iaitu tepat 2 minggu lagi. Pun begitu saya masih perlu memandu beratus kilometer dalam beberapa hari berikutnya (selepas mempersembahkan Ringkasan cerita sekitar Aidil Adha 1445 Hijriah pada18 Jun). Pada Rabu hingga Jumaat 19-21 Jun ada beberapa urusan di Lembah Klang membawa ke Janda Baik di mana saya beriktikaf di surau sebelum mengambil anak lalu telah memandu sejauh 328.9 km. Sabtu hingga Ahad 22-23 Jun ke kampung isteri di Tanjung Sepat kerana ada majlis perkahwinan anak buah lalu memandu lagi 269 km. Tadi pula ke Lembah Klang lagi kerana ada bapa saudara meninggal dunia waktu pagi lalu dikebumikan selepas jam 3 petang. Dah memandu lagi 125.4 km. Jumlahkan jadilah 723.3 km. Tetap jauh juga walau tak pergi Perak. Kalau pergi harus melebihi 1,000 km.

Tentang penulisan ilmiah yang diharapkan dapat dihantar kepada pihak berkenaan selewatnya pada 25 Jun pula nampaknya tak dapat. Sepatutnya hari ini digunakan sepenuhnya untuk menyiapkan kerja. Tetapi apabila berlaku lagi kematian dalam keluarga, yang ketiga dalam tempoh 2-3 bulan kebelakangan memang tidak dapat memberikan tumpuan. Untuk makluman ada seorang bapa saudara meninggal dunia awal bulan Ramadhan. Saya terlibat membasuhkan jenazah dan merupakan seorang sahaja ahli keluarga yang menemani dalam van jenazah dari rumah kakaknya, adik ibu saya, di Bukit Damansara ke masjid sana kemudian ke tanah perkuburan di Kajang.

Ini mengingatkan bagaimana saya adalah satu-satunya ahli keluarga yang menemani dalam van ketika membawa jenazah ibu kepada ibu, orang yang banyak membesarkan saya lalu dipanggil Mak (saya panggil ibu sendiri Mami), dari Petaling Jaya ke Muar. Selepas itu sayalah satu-satunya orang yang menemani ibu kepada ayah dalam van dari hospital Raub ke rumah. Ketika itu beliau yang saya panggil sebagai Nenek sedang nazak. Nenek meninggal dunia dalam perjalanan. Hal bapa saudara meninggal dunia bulan Ramadhan ini tidak ada dikongsikan dalam CATATAN SI MERAH SILU mahupun di mana-mana media sosial. Namun untuk bapa saudara seorang lagi, adik kepada beliau yang meninggal dunia ketika bulan Syawal ada disebut sedikit dalam artikel Dari tanah perkuburan ke ISTAC ke PBAKL 2024 hampir sebulan lalu. 

Bapa saudara yang baru meninggal dunia pagi tadi pula sebenarnya adalah suami kepada adik ibu saya. Isterinya telah beberapa tahun meninggal lebih awal. Saya pernah menumpang lama di rumah mereka di Ampang, ketika zaman pertengahan mencari makna diri dan erti 2005-2008. Lalu di rumah merekalah dapat menulis sehingga menerbitkan sendiri siri trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" tahun 2006-2007. Saya cuma berpindah keluar setelah kembali berumahtangga penghujung 2008, setelah lama menduda sejak awal tahun 2002. 

Fikirkan. Bagaimana dapat menyiapkan penulisan ilmiah buat masa ini? Namun saya perlu menyiapkan ia juga walau lewat beberapa hari. Itulah antara sebab menulis artikel ini. Untuk melepaskan beban rasa, supaya dapat kembali lancar melakukan kerja. Sekian selamat malam.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan