Khamis, Jun 27, 2024

Dari majlis Takrim/Alumni Homecoming ISTAC ke Books Kinokuniya

Salam semua. Merujuk pada rasa kegelisahan akibat perkara-perkara tertentu yang diutarakan dalam artikel Salah ke kajian saya diakui seorang pemikir tersohor Melayu? Selasa malam Rabu 25 Jun. Ini ada cerita yang boleh dikatakan adalah susulan...



Jam 11 pagi Rabu 26 Jun 2024 iaitu semalam saya pergi lagi ke ISTAC (Institut Antabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) di Bukit Tunku.



Kali ini untuk menghadiri satu majlis bagi meraikan sejumlah orang terutama alumni atau bekas pelajar ISTAC. Berikut adalah poster majlis...






Gambar ini ditemui dalam Facebook ISTAC. Kelihatan jelas ia diambil ketika saya hendak mengambil tempat duduk di meja makan.




Sebetulnya saya hampir-hampir tidak jadi datang. Ini disebabkan kegelisahan yang dinyatakan dalam artikel Salah ke kajian saya diakui seorang pemikir tersohor Melayu?, terutama kerana belum lagi menyiapkan penulisan ilmiah yang diharap dapat dihantar selewatnya Selasa 25 Jun.




Tapi tu le. Apabila hendak menyambung penulisan entah kenapa kepala jadi blank, termenung panjang. Akhirnya persetankan. Lupakanlah hal penulisan. Pergi sahaja ke majlis dengan fikiran yang tidak harus dibelenggu dengan perkara belum siap. Nanti-nanti baru hadap...


Bergambar selepas majlis bersama sejumlah alumni atau bekas pelajar, bersama 'guru besar' ISTAC, pemegang Kursi Al-Ghazali, Profesor Emeritus Datuk Dr Osman Bakar. Beliau adalah penyelia tesis saya di ISTAC, tesis yang diperbaiki isinya untuk menjadi buku ke-15 saya "Adam (a.s.) and the Origin of Man". Beliau juga adalah pemberi kata-kata aluan buku. 



Oh. Ketika masuk sesi membaca puisi saya telah diminta membacakan satu dalam bahasa Melayu. Ini memandangkan ada yang membaca dalam bahasa Inggeris kemudian Arab, bahasa Urdu dan Cina pun ada. Saya diminta kerana merupakan satu-satunya hadirin memakai busana tradisional Melayu walau tak lengkap berkeris dan bersampin. Nasib baik dapat menemui puisi yang sesuai melalui Google dalam telefon pintar lalu saya pun bersedia untuk membawa. 

Sebenarnya, seingat saya, itulah kali pertama saya membaca puisi di khalayak ramai. Saya jarang membaca apa-apa puisi pun. Cuma seingat saya ketika berumur pertengahan 20an tahun hampir 3 dekad lalu rajin membaca satu koleksi puisi Rendra. Sebelum itu suka membaca puisi-puisi Sufi oleh Omar Khayyam, Jalaluddin Rumi dan Faridduin Attar. 

Alhamdulillah dimaklumkan bahawa penyampaian saya cukup terang dan jelas serta cukup rentak. Sayang, tidak dapat ditemui gambar saya membaca puisi apa lagi rakaman video. Tak mengapa. Sebagai ganti biar diletakkan rangkap-rangkapnya...



Pentingnya ilmu tiada bandingan
Dalam dunia yang penuh dengan kemungkaran
Keadaan mengundang kepincangan
Keadaan meragut kebahagiaan

Pentingnya ilmu mengukuhkan pendirian
Pentingnya ilmu mendewasakan akal fikiran
Agar tidak terbenam dalam jurang kehancuran
Agar tidak terus hanyut dibawa arus kepalsuan

Pentingnya ilmu memperbaik perwatakan
Tahu membezakan kejahatan dan kemuliaan
Ilmu dipelajari dengan penuh keikhlasan
Bagi melahirkan tokoh yang cendekiawan

Buku mengandungi pelbagai maklumat
Yang tersirat mahupun yang tersurat
Dalamilah kandungan sehingga tamat
Yang seharusnya diamalkan sepanjang hayat
Demi menjalani kehidupan yang lebih bermanfaat

Pentingnya ilmu mengizinkan pembaharuan
Demi mengharungi dugaan dunia yang kian mengerikan
Demi melahirkan bangsa yang lebih berwawasan
Demi memperoleh kejayaan sebenar dalam kehidupan.


CETUSAN KARYA:
Sajak ini adalah sentuhan ilham Hilmi Zuraimi dari
Maktab Rendah Tampines Meridian


Nah. Bukan hasil nukilan Sasterawan Negara dan sebagainya, cuma nukilan seseorang daripada sebuah maktab rendah di Singapura. Namun isinya cukup dapat menggambarkan aspirasi diri saya sebagai seorang pencinta ilmu. Ia juga harus dapat menggambarkan aspirasi ISTAC sebagai satu institusi keilmuan tinggi yang diakui dalam kalangan cendekiawan Islam di seluruh dunia.




Petang itu, selepas berlegar-legar beberapa lama lagi di ISTAC saya ke KLCC, Kuala Lumpur City Centre.



Pergi ke kedai buku terkenal Books Kinokuniya tengok-tengok buku terbaru saya ada dijual, dan diletakkan di satu kedudukan menarik dalam kedai buku.




Oh. Semasa di ISTAC saya ada menghadiahkan senaskah buku kepada pensyarah yang bertanggungjawab tentang aktiviti pelajar, senaskah kepada Dekan ISTAC dan senaskah untuk perpustakaan iaitu Syed Naquib al-Attas library.




Dengan ini biar dimaklumkan. Buku saya ini akan diwacanakan di ISTAC pada satu tarikh yang akan diumumkan. Walaupun dimaklumkan ada pilihan boleh meminta ia dibuat atas nama Kursi Al-Ghazali (kerana Prof Osman sendiri memang mahu ia diwacanakan), atau atas sokongan terus Dekan (yang menyatakan mahu ia diwacanakan lalu mengundang ahli akademik daripada universiti-universiti lain supaya boleh dibahaskan) saya meminta agar ia dibuat atas nama persatuan pelajar (ISTACSS - ISTAC Student Society). Ini kerana buku terbit daripada tesis sedangkan tesis pula terbit akibat mahu mengangkat kajian lama menjadi lebih akademik melalui ISTAC. Ini berlaku setelah diminta oleh ISTACSS agar membentangkan kajian saya tentang masa seperti diceritakan dalam buku ke-11 dan ke-12 saya yang diterbitkan awal tahun 2018. Lihat cerita berkenaan juga rakaman video majlis selama lebih 2 jam dalam Syarahan "Prophet Adam and the Malays 60,000 Years Ago - Aligment of Time, Revealed Knowledge and Science" di ISTAC.

Dalam fikir saya boleh membentangkan melalui 3 segmen :-


1. Menggunakan slaid daripada syarahan lama di ISTAC tahun 2018 kerana ia menerangkan tujuan kenapa dibuat kajian

2. Menerangkan isi buku dan tesis di ISTAC yang mana kajian lama diangkat tetapi menggunakan pendekatan yang berlainan

3. Menerangkan konsep matematik yang digunakan supaya Nabi Adam (a.s.) yang menurut ulamak dikatakan turun ke muka bumi tidak sampai 10,000 tahun lalu dapat dipadankan dengan makhluk manusia moden pertama, Homo Sapiens yang menurut sains sudah wujud lebih 200,000 tahun lalu.


Saya meminta agar wacana dibuat pada satu petang Jumaat. Biar pihak ISTAC menyemak agar tidak berselisih dengan mana-mana acara lain yang sudah dirancang. Kalau menurut cadangan Dekan ISTAC iaitu Profesor Dr. Abdelaziz Berghout semalam boleh buat 2 sesi syarahan. Kalau begitu biar yang pertama dibuat dibawa atas nama ISTACSS. Yang kemudian saya ikut sajalah. Janji ilmunya sampai, diambil perhatian sewajarnya dan berkembang. Kerana percayalah. Ia ada implikasi besar terhadap keilmuan Islam terutama bagaimana kita mengatur sejarah manusia sejak zaman Nabi Adam (a.s).


Tiada ulasan:

Catat Ulasan