Selasa, Mei 28, 2024

Dari tanah perkuburan ke ISTAC ke PBAKL 2024

Dalam artikel Sedikit rasa awal Pesta Buku KL 2024 yang dipersembahkan Ahad malam Isnin jam 9.36 ada diberitahu bahawa selepas itu saya harus berkejar ke Kajang. Ini kerana bapa saudara yang ada disebut dalam artikel dilihat sakit tenat di hospital petang Sabtu 25 Mei baru sahaja meninggal dunia petang Ahad. Beliau mahu dikebumikan pagi Isnin 27 Mei tidak jauh dari kubur abangnya, seorang lagi adik ibu saya yang meninggal dunia bulan Ramadhan lalu di Sungai Kantan Selepas itu saya mahu ke ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) di Bukit Tunku untuk ke satu majlis ilmu kemudian ke pesta buku. Ini ceritanya.


Pagi Isnin 27 Mei 2024 setelah bermalam di rumah milik keluarga di Kajang yang sudah banyak tahun tidak diduduki orang saya singgah di masjid ini untuk mandi dan bertukar pakaian. Lihat artikel Masjid (Mosque of) Bandar Teknologi Kajang di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).



Saya singgah kerana sudah tidak jauh dengan rumah seorang bapa saudara di mana jenazah almarhum abangnya, bapa saudara yang meninggal dunia petang Ahad telah dihantar dari hospital. Namun ketika saya sampai semua orang sudah beralih ke surau berdekatan untuk solat jenazah. Kemudian ke tanah perkuburan di Sungai Kantan.






Saya berada sehingga hampir jam 10.45. Sedangkan acara di ISTAC dijadualkan bermula jam 10.30.





Sampai sahaja ke ISTAC jam 11.17 terus menuju ke satu bahagian belakang.




Ini kerana acara diadakan di dalam perpustakaan ISTAC. Atau nama rasminya Perpustakaan Syed Naquib al-Attas.




Kelihatan di dalam orang sedang tekun mengikuti acara.




Poster acara. Yang membuat perkongsian adalah puan Sharifah Shifa al-Attas, anak kepada pemikir ulung Islam Profesor Tan Sri Syed Naquib al-Attas.



Perkongsian berkisar tentang bagaimana bapanya Syed Naquib bertanggungjawab mengisi perpustakaan dengan koleksi-koleksi nadir termasuk salinan manuskrip-manuskrip lama berusia beratus tahun dari perpustakaan utama Sarajevo yang cuba dihancurkan puak Serbia ketika mahu menghapuskan etnik Islam Bosnia tahun 1990an.  Turut diceritakan bagaimana pemikir ulung itu sangat terlibat dengan perincian pembinaan bangunan perpustakaan malah seluruh bangunan ISTAC yang dibina berdasarkan Istana Alhambara peninggalan kerajaan Islam Andalusia di Sepanyol.



Sambil itu juga mendapat tahu buku terbaru saya sudah siap dicetak lalu dihantar ke tempat penerbit di Batu Caves. Rujuk artikel-artikel berikut :-




Pun begitu cadang saya asalnya pagi Jumaat 31 Mei baru hendak mengambil sejumlah naskah kemudian ke majlis ilmu di ISTAC petang itu kemudian baru ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2024 di WTC (World Trade Centre, dahulu PWTC iaitu Putra World Trade Centre). Sebaliknya selepas sedikit lagi urusan di ISTAC timbul rasa harus mengambil sejumlah buku daripada pihak penerbit...




Walaupun diberitahu akan ada beberapa syarikat dan reruai menerima buku terbaru itu untuk PBAKL 2024 saya memang perlu mengambil sejumlah naskah untuk jualan sendiri terutama di ISTAC. Sudah ada ramai menyatakan minat untuk mendapatkannya apa lagi kerana yang memberikan kata-kata aluan bagi buku adalah seorang lagi pemikir ulung Islam, Profesor Emeritus Datuk Dr Osman Bakar, pemegang Kursi Al-Ghazali di ISTAC, satu Kursi yang sebelum ini cuma pernah dipegang oleh Syed Naquib al-Attas.




Dan lagi ada sejumlah naskah mahu diletakkan di reruai kawan di Taman Pustaka.



Beliau menyatakan belum sempat berurusan dengan penerbit iaitu Crescent News KL. Sekarang baru sebut nama...




Jadi biar diletakkan sejumlah naskah atas nama saya dahulu apa lagi nanti saya mahu menggunakan ruang beliau yang dikongsikan bersama Akademi Jawi untuk membuat diskusi buku. Tentang itu biar diceritakan dalam artikel sambungan. 



Sekadar memberitahu. Dahulu saya pernah membuat satu artikel bertajuk Dari ISTAC ke PBAKL 2022. Tu yang timbul rasa untuk artikel ini tambah "tanah perkuburan" di hadapan. Kerana itulah yang sebenar-benarnya berlaku hari itu. Malam sebelum itu sangat susah hendak melelapkan mata lalu tidak cukup rehat kemudian kena pergi ke tanah perkuburan sebelum berlaku yang lain-lain. Pada ketika menulis ini pun belum lagi betul-betul berehat. Dan belum kembali ke rumah. Malam tadi menginap di rumah kawan di Desa Sri Hartamas.  Kini menulis dari RnR atau perhentian rehat bertingkat Sungai Buloh. Selepas ini ada lagi beberapa urusan sebelum boleh kembali ke rumah.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan