Sabtu, April 06, 2024

Musafir akhir Ramadan 1445 Hijriah - Bergerak ke Perak dengan berkat

Dalam artikel Musafir akhir Ramadan 1445 Hijriah - Menyelesaikan bacaan Futuhat dan artikel berkenaan yang dipersembahkan pada pagi Khamis 4 April.  ada dinyatakan bahawa ketika itu saya sedang berehat di rumah di Bandar Sungai Buaya, Rawang, setelah kembali dari Janda Baik pada pagi hari sebelumnya. Turut dinyatakan petang Khamis itu insyaallah akan menyambung permusafiran dan iktikaf, kali ini di negeri Perak. Sukacita dinyatakan sekarang sudah 3 hari fasa kedua permusafiran dan iktikaf dilakukan, malam ini masuk malam ke-3. Sekarang saya sedang berada di tepian Sungai Dinding di Lumut. Ada sedikit kelapangan dan kesempatan untuk berkongsi cerita hari pertama ke Perak. Selesai ini mahu berkejar ke Teluk Intan.



Adapun saya kembali dari Janda Baik itu adalah pada pagi Rabu 3 April 2024, dengan membawa bersama anak yang belajar di ma'ahad tahfiz untuk kembali bercuti panjang bagi musim raya. Berehatlah satu malam di rumah, solat Tarawih di masjid kampung berdekatan sebelum bersedia untuk menyambung kembali permusafiran. Petang Khamis 4 April yang tarikh Islamnya adalah 24 Ramadan, selepas menghantar anak ke sekolah agama petang saya pun menuju ke utara melalui Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS). Kiranya sebaik sahaja keluar rumah untuk menghantar anak permusafiran fasa kedua pun bermula.



Ambil susur keluar ke Tanjung Malim lalu singgah beriktikaf di Masjid Sheikh Ismail di Ulu Bernam. Letaknya sekitar 150 meter sebelum jambatan menyeberangi Sungai Bernam yang menjadi sempadan negeri Selangor-Perak. Oh. Sekadar merekodkan keadaan. Permusafiran sebelum ini memakan jarak pemanduan 200 km. Meter kereta sambung daripada situ untuk merekodkan jarak pemanduan seterusnya.



Di Masjid Sheikh Ismail dihabiskan bacaan juz ke-29 Al Quran kemudian disambung sedikit usaha suntingan kali ketiga buku berdasarkan tesis. Rujuk artikel Buku ke-15 dalam pembikinan untuk terbitan lepas raya.



Jam 4.01 petang baru masuk ke Perak.



Singgah pula ke masjid Tanjung Malim.



Dimulakan bacaan Juz ke-30 Al-Quran hingga beberapa muka surat kemudian menunaikan solat Asar berjemaah.



Sambung perjalanan melalui jalan lama...



Didapati hampir 80 peratus perjalanan menuju ke destinasi seterusnya lebih 120 km dari Tanjung Malim adalah dalam keadaan hujan lebat. Ini adalah melalui Sungkai diikuti Langkap dan Chenderong Balai.



Sampai ke Kampung Gajah cuma hujan gerimis. Sampai ke destinasi iaitu makam Sultan Muzaffar Syah I (Sultan pertama Perak, bertakhta 1528-1549) yang berjarak 18 km selepas itu sudah jam 6.46. Alhamdulillah cuaca terang elok. Cuma sudah lewat petang...






Seterusnya ke makam Sultan Muzaffar Syah II (Sultan ke-10 Perak, bertakhta 1636-1653) beberapa kilometer lagi ke arah utara. Sampai pada jam 6.57.






Lagi ke utara singgah ke makam Sultan Muzaffar Syah III (Sultan ke-13 Perak, bertakhta 1728-1752). Maklumat yang berserta dengan gambar menunjukkan saya sampai jam 7.10.



Cukuplah ziarah ke makam tiga Sultan bernama Muzaffar ini sebagai mewakili ziarah ke makam beberapa ramai orang Sultan Perak yang makam-makam mereka berada dalam laluan perjalanan tetapi tiada kelapangan untuk singgah. Saya pernah pergi semua. Ia memakan masa beberapa jam.



Selesai ziarah ke makam Sultan Muzaffar III baru berkejar untuk berbuka puasa di masjid jamek Parit. Alhamdulillah sempat sampai ketika azan Maghrib baru berkumandang.






Hampir masuk waktu Isyak singgah beriktikaf di Masjid Pulau Semat, Manong...



Bacalah Surah Yasin seperti kebiasaan setiap malam Jumaat sebelum solat berjemaah.



Untuk solat Tarawikh pula berkejar ke  Masjid Ridzwaniah, Kuala Kangsar.






Selepas itu saya pergi merata di Kuala Kangsar kerana hendak mencari laksa sarang. Teringin hendak makan. Sayang kedai-kedai jual laksa semua didapati tutup kerana bulan puasa. Selepas jam 12 tengah malam baru sampai ke surau ini untuk berehat dan menginap.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan