Ahad, April 07, 2024

Musafir akhir Ramadan 1445 Hijriah - Kuale-Tepen-Beruas

Salam semua. Sukacita dimaklumkan bahawa pada hari ini Ahad 27 Ramadan 1445 Hijriah genaplah umur saya 55 tahun menurut kalendar Islam. Alhamdulillah dapat menyambutnya dengan beriktikaf di masjid warisan keluarga Laksamana Raja Mahkota di Batak Rabit, Teluk Intan. Hari ini juga saya perlu kembali ke rumah kerana sudah berjanji akan membawa anak-anak dan isteri berbuka puasa di Dataran Merdeka, hari terakhir acara berkenaan diadakan bagi tahum ini. Sebelum itu biar dilepaskan satu lagi cerita perjalanan. Bersambung daripada artikel Musafir akhir Ramadan 1445 Hijriah - Bergerak ke Perak dengan berkat.



Pagi Jumaat 5 April 2024 bersamaan 25 Ramadan, setelah menginap di surau Kampung Temong saya bersedia untuk menyambung perjalanan.



Ke hadapan dalam gambar boleh kelihatan papan tanda menunjukkan arah ke makam Tok Temong. Surau biasa menjadi tempat persinggahan apabila hendak menziarahi makam.



Boleh kata setiap kali ke Kuala Kangsar atau lalu berdekatan saya akan menziarahi makam.






Cuma kali ini turun untuk mandi di Sungai Perak terlebih dahulu.



Selepas itu beriktikaf sebentar di surau sebelah makam.



Kemudian baru ke makam lalu menyambung bacaan beberapa lagi muka surat Juz ke-30 Al Quran.



Seterusnya saya ke Masjid Kota Lama Kanan, lebih dekat ke bandar diraja Kuala Kangsar...



Ziarah makam tanda Sultan ke-2 Perak, Sultan Mansur Syah yang bertakhta 1549-1577. Batu nesan tunggal pada saf pertama masjid ini menandakan tempat baginda dikatakan ghaib lalu tidak dapat ditemui lagi selepas bersolat Jumaat.



Perjalanan diteruskan dengan menyusur Sungai Perak menggunakan laluan kampung dari Kota Lama Kanan ke Sayong. Terlihat papan tanda menandakan lokasi yang kelihatan pernah menjadi tempat penggambaran satu filem Hollywood terkenal. Lihat artikel Anna and the King shooting location in Kuala Kangsar di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.



Selepas itu baru naik ke Bukit Chandan.




Ziarah makam Daeng Selili di kampung belakang Istana Iskandariah...




Kemudian baru ke kawasan pemakaman diraja untuk menziarahi makam Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin.



Jam 12.30 baru bergerak untuk masuk ke Masjid Ubudiyah...



Alhamdulillah dapat mengkhatamkan Al-Quran bagi bulan Ramadan sebelum bersolat Jumaat.



Jam 2.30 pergi ke Sekolah Perempuan Raja Kelsom kerana hendak meninjau pemandangan dari tapak rumah seorang usahawan wanita terkenal abad ke-19 bernama Che Mida, lokasi yang kemudian menjadi rumah Residen British ke Perak. Lihat Views from the British resident's place in Bukit Chandan.




Selepas itu baru meninggalkan Kuala Kangsar (yang orang tempatan biasa sebut sebagai Kuale itu) untuk ke Taiping yang biasa disebut sebagai Tepen.



Terlihat masjid ini di Bukit Gantang singgah sebentar untuk beriktikaf...



Hampir ke bandar Taiping singgah ke makam Daeng Kuning. Orang Silat Gayong harus tahu siapakah tokoh ini.




Kemudian baru ke masjid lama Taiping, masjid yang didirikan oleh Toh Puan Halimah, anak Laksamana Muhammad Amin yang berkahwin dengan usahawan Melayu terkenal, Menteri Ngah Ibrahim.




Solat Asar berjemaah. Saya telah berjanji untuk menemui dua pihak berbeza di sini selepas Asar...



Sementara menunggu mereka sampai sambung lagi kerja suntingan peringkat ketiga bagi buku berdasarkan tesis sarjana saya di ISTAC (Institut Antarabangsa Tamadun dan Pemikiran Islam). Hal buku ada dinyatakan dalam artikel  Buku ke-15 dalam pembikinan untuk terbitan lepas raya.



Lewat petang baru bergerak meninggalkan Taiping untuk ke Beruas melalui lebuh raya baru. Lihat  Checking out the West Coast Highway from Taiping to Beruas.


Alhamdulillah sampai ke destinasi seterusnya iaitu Masjid Kampung Kota sejurus selepas masuk waktu Maghrib.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan