OK. Sesuatu bagi bulan Februari ini yang pada hari ini sudah masuk hari ke-12, sementara tarikh Islamnya sudah masuk 2 Sya'aban. Kurang sebulan sahaja lagi sebelum berpuasa bulan Ramadhan.
Sekitar jam 12.45 petang Jumaat 9 Februari 2024 iaitu 3 hari lalu saya bergegas seorang diri ke bandar raya Kuala Lumpur.
Pergi ke masjid kampus ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) di Bukit Tunku.
Kelihatan halaman kampus yang jarang dikunjungi orang penuh dengan kereta.
Kampus ISTAC cuma jadi hidup dengan kehadiran ramai manusia apabila ada majlis besar atau sampai waktu untuk menunaikan solat Jumaat.
Cuma masjid ditutup selama lebih 2 bulan untuk kerja-kerja pembaikan lalu solat Jumaat diadakan di sebuah dewan syarahan. Baru beberapa hari sahaja dibuka kembali...
Kali terakhir saya bersolat Jumaat di masjid ISTAC adalah pada 24 November.
Saya tahu tarikh tepat kerana ada merekodkan cerita. Lihat Dari nasi beringin ke hal ilmu pengetahuan ke Janda Baik.
Masjid ini biasa dikunjungi orang kenamaan. Kali ini ada Yamtuan Negeri Sembilan, Tuanku Mukhriz dan dua orang anak laki-laki.
Selepas beberapa lama baru bergerak ke luar kawasan.
Singgah di Jabatan Sejarah, Universiti Malaya untuk satu urusan.
Kemudian berjalan-jalan di pusat bandar raya Kuala Lumpur.
Ini pula adalah keadaan dalam sebuah surau di Kampung Janda Baik, Pahang sebelum solat Subuh berjemaah pagi Ahad 10 Februari.
Saya telah bermalam di sana, kali pertama bermalam bersendirian di luar kawasan bagi tahun 2024.
Kali terakhir bermalam di luar kawasan adalah ketika mahu mengikut perbicaraan di Mahkamah Tinggi Syariah Ipoh melibatkan harta Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di Mekah, pada 12-13 Disember 2023. Lihat Kompilasi "Dari Selangor ke Perak".
Bersarapan pagi bersama anak di sekitar Chow Kit. Sebetulnya sejak 2 tahun kebelakangan, hampir setiap bulan saya ke Ipoh untuk mengikuti perbicaraan lalu bermalam seorang diri di masjid. Selain itu juga hampir setiap awal bulan bermalam seorang diri di Janda Baik. Sebabnya untuk mengambil anak yang belajar di tahfiz keluar bercuti pagi Sabtu. Seperti halnya baru ini, saya selalu bertolak ke sana petang Jumaat atau malam Sabtu lalu menginap.
Petang Ahad sebelum masuk waktu Maghrib pula harus menghantar kembali ke tahfiz. Lalu menjadi kebiasaan menginap satu malam sebelum kembali ke rumah pagi Isnin. Ini kerana mahu berehat selain tidak mahu mengharungi kesesakan jalan raya orang balik dari Pantai Timur ke Lembah Klang hari Ahad dan malam Isnin.
Membawa anak berjalan-jalan di bandar raya. Pelajar tahfiz selalunya dibenarkan bercuti dan bermalam di luar kawasan pada hujung minggu pertama setiap bulan. Cuma hujung November lalu ada lain sedikit. Saya ada mengambil anak supaya dapat bersama isteri melihat saya menerima ijazah sarjana.
Ketika itulah, Jumaat malam Sabtu 24 November 2023 kali terakhir saya bermalam di Janda Baik. Ia adalah selepas kali terakhir bersolat Jumaat di ISTAC. Hal ini ada diceritakan dalam artikel Dari nasi beringin ke hal ilmu pengetahuan ke Janda Baik. Artikel yang ditulis pada hari Sabtu malam Ahad 25 November itu kemudian diikuti oleh artikel Menerima ijazah Sarjana ISTAC pada hari lahir ke-53. Saya menerima ijazah pada pagi berikutnya Ahad 26 November kemudian menghantar anak kembali ke Janda Baik.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan