Salam semua. Dalam artikel Pertama kali ke ISTAC tahun 2024 dan Perjanjian Pangkor yang dipersembahkan sejurus selepas masuk waktu Maghrib malam tadi ada disebut bahawa pada hari Khamis dan Jumaat lalu 18-19 Januari berlangsung satu seminar ilmu anjuran bersama ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) dengan sebuah universiti terkemuka di United Kingdom. Tajuk seminar adalah sesuatu yang sangat diminati namun saya tidak menghadiri kerana berada dalam mood tidak mahu jumpa orang sejak beberapa hari kebelakangan. Namun apabila datang ke ISTAC akibat panggilan guru pagi Selasa 23 Januari saya jadi ceria kembali. Itu yang dapat ditulis artikel kali pertama ke ISTAC itu. Keceriaan dan semangat baru membuatkan ingin berkongsi cerita tentang majlis ilmu yang terlepas itu walau tidak menghadiri.
Khamis, Januari 25, 2024
Teologi Islam - Menyatukan suara-suara yang pelbagai
Ini posternya yang telah dilihat berlegar-legar di Facebook dan WhatsApp ISTAC sejak lebih 2 minggu lalu. Tajuk majlis berupa persidangan antarabangsa dalam bahasa Inggeris ini boleh diterjemahkan sebagai "Teologi Islam - Menyatukan Suara-suara yang Pelbagai". Diadakan dalam bentuk seminar dengan beberapa sesi pembentangan yang mana setiap sesi menyaksikan dalam dua tiga orang pembentang bergilir menyatakan dapatan ia adalah tentang bagaimana pelbagai aliran ilmu dalam dunia Islam menanggapi makna keTuhanan daripada zaman dahulu hingga sekarang. Walaupun tidak hadir saya tahu ia menarik kerana telah mengikuti rakaman.
Dalam artikel Pertama kali ke ISTAC tahun 2024 dan Perjanjian Pangkor ada dinyatakan bahawa rakaman video hari pertamanya sepanjang 8 jam 30 minit sudah habis ditonton 2 hari lalu (sebelum menulis artikel). Rakaman video hari kedua yang sama panjang pula tinggal lagi 2 jam lebih. Lewat malam tadi saya telah menyambung sedikit lagi tetapi tidak dapat dihabiskan akibat kepenatan. Ini kerana selain aktiviti-aktiviti yang diceritakan dalam artikel saya juga sedang membuat kajian baru tentang Perjanjian Pangkor. Sambil itu juga meneruskan bacaan dan menelaah tentang satu subjek berat sebagai persediaan untuk membuat PhD akan datang insyaallah.
Lalu tinggal lagi 1 jam suku lagi rakaman untuk menamatkan. Cadangnya mahu diselesaikan pagi tadi tapi belum berkesempatan. Fikiran ini sekejap menarik ke arah hal Perjanjian Pangkor, sekejap ke arah kajian untuk PhD yang subjeknya belum bersedia untuk dikongsikan dengan awam. Setakat ini cuma isteri saya dan dua orang kawan rapat serta guru saya di ISTAC, Profesor Emeritus Datuk Dr Osman Bakar sahaja yang tahu tentang cadangan.
Tengah hari ini pula harus ke Tanjung Malim untuk membincangkan hal mengadakan satu syarahan tentang Laksamana Raja Muhammad Amin berdasarkan buku saya yang berkenaan. Lihat Mengenang 150 tahun Perjanjian Pangkor - Tawaran istimewa buku Laksamana. Dengan itu biarlah dibuat perkongsian ini demi melepaskan 'gerak'.
Di sini tidaklah ingin diulas panjang tentang pengisian majlis. Cukuplah dinyatakan ia memang sangat menarik. Pelbagai aliran mazhab dan ilmu dalam dunia Islam telah dibincangkan termasuk hal empat mazhab paling besar dan terkenal (Maliki, Hanafi, Syafiee, Hanbali), reaksi terhadap pemikiran Muktazilah dan puak Khawarij, hal puak Syiah, golongan Sufi dan macam-macam. Yang mengupas pula ilmuwan daripada pelbagai negara termasuk dari Eropah dan Afrika. Ada antaranya 'Mat Saleh' yang masih mengekalkan nama asal Barat. Tapi saya tahu mereka sudah lama memeluk Islam.
Disebut nama dan pemikiran ilmuwan-ilmuwan terkenal lampau seperti Al-Farabi dan Ibnu Sina. Malah beberapa orang pembentang memperkatakan lalu mengupas tentang pemikiran Ibnul Arabi yang tinggi lagi kontroversi. Ini termasuk bagaimana ia mewarnai pemikiran Hamzah Fansuri dan golongan Wujudiyah di Aceh dan Tanah Melayu pada abad ke-16 Masihi dan kemudian.
Secara rata yang diusahakan adalah bagaimanakah pelbagai aliran pemikiran yang sesetengahnya bercanggah dalam menanggapi makna keTuhanan lalu membawa implikasi besar terhadap hubungan manusia dan peranan mahu dibawa untuk memajukan ummah malah manusia sejagat. Sila ikut sendiri melalui video-video yang dipaparkan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan