Tajuk acara kali ini boleh diterjemahkan sebagai "Rum(i), Uthmaniyah dan Turki dalam Kesedaran Budaya dan Kewartawanan Orang Melayu". Disampaikan oleh Profesor Dato' Dr Ahmed Murad Merican ia berkisar tentang apa yang difahami oleh orang Melayu tentang kerajaan lama Rum dan orang Rumi juga tentang kerajaan Uthmaniyah di Turki. Kerajaan yang pernah berdiri dari penghujung abad ke-13 hingga awal abad ke-20 Masihi itu sering dirujuk dalam sastera lama Melayu sebagai Rum, orangnya sebagai orang Rumi. Walhal kerajaan Rum yang dikenali dalam sejarah 'rasmi' dunia seperti diwar-warkan Barat adalah yang berpusat di Rome, Itali. Dan ia didirikan oleh bangsa Eropah. Sementara kerajaan Uthmaniyah di Turki dibentuk oleh bangsa Turki yang berasal dari belahan lain dunia.
Ditambah bagaimana ia turut mahu dikupas daripada sudut kewartawanan orang Melayu yang mana perkembangan semasa di Turki seperti perang dengan kuasa-kuasa Barat diikuti jauh di Tanah Melayu lalu ditulis dalam akhbar dan majalah-majalah terbitan orang Melayu penghujung abad ke-19 hingga awal abad ke-20 ia tentu menarik perhatian untuk hadir secara fizikal. Selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Wilayah kemudian membuat sedikit kajian di Arkib Negara saya pun ke bergegas ke ISTAC.
Cuma masuk kereta hendak meninggalkan masjid pun dalam jam 2.45 kerana menunggu kesesakan kereta jemaah keluar perkarangan masjid reda. Kemudian di arkib, ingat boleh dapat buat semakan dalam tempoh 5 minit sahaja tanpa perlu masuk ke dewan penyelidikan dengan bertanyakan pegawai. Rupa-rupanya nak tak nak kena masuk ke dalam dewan juga lalu harus mengikut peraturan ketat seperti beg sandang malah pouchbag di pinggang pun tidak boleh dibawa masuk ke dalam dewan. Mesti ditinggalkan dalam locker yang diberi anak kunci.. Rujuk cerita pengalaman pertama kali membuat penyelidikan di Arkib Negara kurang setahun setengah lalu, dalam artikel Mencari jejak Orang Kaya Arshad melalui dokumentasi lama British part V.
Akibatnya sampai ke bilik persidangan jam 3.30 sedangkan majlis dijadualkan bermula jam 3...
Nasib baik ia sebenarnya bermula lewat lalu tidaklah terlepas banyak perkara.
Ini kerana berlaku masalah teknikal yang sangat mengganggu. Apa sahaja yang disuarakan melalui microphone keluar berulang lambat 4-5 saat gitu dalam sistem pembesar suara yang disambung dengan sistem pemancar atas talian bagi membolehkan majlis turut diikuti secara maya. Maka microphone harus ditutup sambil syarahan diteruskan sementara mencari jalan penyelesaian. Namun bila dibuka masalah sama melanda lagi dan ini berlaku banyak kali. Selepas beberapa lama baru kelihatan seperti dapat diselesaikan.
Di sini cukuplah dikatakan Murad ada menyebut tentang cerita-cerita seperti Hang Tuah dikatakan pernah pergi menghadap Sultan Rum (yang dimaksudkan Sultan Turki Uthmaniyah di Istanbul, dalam Hikaya Hang Tuah) tetapi tidak mahu mengupas. Begitu juga halnya tentang asal usul Raja Kedah yang disebut Hikayat Merong Mahawangsa sebagai melibatkan kedatangan rombongan diraja dari Rum (dikatakan sebagai Rum yang diketahui Barat tetapi ceritanya sangat diragukan). Yang mahu dipanjangkan adalah apa yang boleh disahkan melalui kaedah pengajian sejarah yang cukup sokongan bukti bertulis yang bukan bersifat dongengan. Misalnya bagaimana kerajaan Aceh pernah menghantar rombongan ke Istanbul memohon bantuan senjata abad ke-16 Masihi bagi menghadapi usaha penjajahan Portugis (yang berjaya menakluki Kota Melaka tahun 1511 lalu berpusat di sana). Lebih jelas dan terekod kemas adalah bagaimana hal-hal melibatkan Turki sangat diberikan perhatian oleh orang Melayu penghujung abad ke-19. Sehingga berlaku Perang Dunia Pertama (1914-1918) yang mana Turki berada di pihak yang kalah. Susulan daripada itu Kesultanan Turki diluputkan tahun 1924. Hilanglah peranan sebagai pusat kekhalifan umat Islam sejagat lalu terbitlah kerajaan republik Turki yang sekular dan keBaratan.
Pendek kata banyak perkara menarik dikongsikan. Nasib baik saya datang secara fizikal. Ini kerana cuma sedikit sahaja bahagian rakaman siaran langsung ada suara. Sebahagian besar jadi wayang bisu. Ia menunjukkan siaran langsung tidak dapat diikuti dengan baik secara atas talian disebabkan masalah teknikal.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan