Salam petang Jumaat pertama bulan Jamadil Akhir tahun 1445 Hijrah. Merujuk pada artikel Bicara Laksamana di Pesta Buku Selangor yang dipersembahkan pagi Isnin 11 Disember. Ada disebut di dalamnya bahawa pada petang Sabtu 9 Disember saya telah berbicara tentang buku ke-14 saya "Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad : Perjuangan yang Belum Selesai" di Shah Alam. Selepas itu terus membuat perjalanan ke Perak.
Artikel itu dipersembahkan 2 hari selepas bicara iaitu pada hari ke-3 di Perak. Perjalanan dilakukan sehingga 13 Disember lalu meliputi tempoh 5 hari 4 malam. Ia baru sahaja selesai Rabu malam Khamis selepas jam 9. Sekarang biar dimulakan perkongsian.
Perjalanan ke Perak itu secara efektiknya bermula apabila saya membawa isteri dan anak keluar dari rumah jam 11 pagi Sabtu 9 Disember 2023.
Cuma tidak terus ke Perak yang terletak ke utara dari rumah di Bandar Sungai Buaya. Sebaliknya ke ibu negeri Selangor iaitu Shah Alam yang terletak ke arah barat daya.
Itupun lalu dahulu di Kundang kerana singgah ke sebuah kedai kayu terpakai untuk melihat jika ada kayu-kayu lama yang sesuai untuk digunakan bagi satu penambahan ruang di rumah.
Kemudian baru masuk kembali ke lebuh raya untuk ke Shah Alam.
Sampailah ke lokasi bicara buku iaitu di Pusat Konvesyen MBSA (Majlis Bandar Raya Shah Alam) sekitar jam 12.30 tengah hari. Ketika itu sudah hari kedua terakhir Pesta Buku Selangor 2023.
Lalu berlakulah hal-hal seperti dinyatakan dalam Bicara Laksamana di Pesta Buku Selangor. Dekat jam 6 baru keluar untuk meneruskan perjalanan ke Perak.
Sebetulnya asbab utama ke negeri kelahiran bapa saya itu adalah untuk menghadiri sesi seterusnya perbicaraan di Mahkamah Tinggi Syariah Ipoh tentang harta Laksamana Muhammad Amin di Mekah. Ia dilangsungkan secara berturut pagi hingga tengah hari Selasa dan Rabu 12-13 Disember.
Namun kalau itu sahaja asbabnya saya boleh bergerak ke Perak pada malam sebelumnya iaitu Isnin malam Selasa 11 Disember. Memandangkan tarikh tersebut adalah cuti umum di Selangor kerana hari keputeraan Sultan Selangor itu yang dibawa isteri dan anak keluar berjalan sekali. Selain itu ada istimewanya tarikh tersebut bagi keluarga kami. Tetapi biarlah itu diceritakan kemudian.
Sebetulnya kami juga mahu mencuba satu bahagian Lebuh Raya Pantai Barat (WCE - West Coast Highway) yang baru dibuka iaitu dari Bukit Raja di Klang hingga ke Kapar, lebuh raya yang memanjang dari Banting ke Taiping tetapi belum siap beberapa bahagian. Cuma mencari tarikh kelapangan yang sesuai untuk melakukannya. Apabila ditetapkan bicara tentang buku Laksamana mahu dilakukan pada hari Sabtu 9 Disember di Shah Alam lalu boleh disambung cuti sehingga Isnin 11 Disember maka diputuskanlah untuk mengambil laluan bersama isteri lalu berjalan ke Perak. Maka bicara Laksaman menjadi satu asbab.
Diikuti perbicaraan melihatkan hartanah Laksamana di mahkamah Ipoh maka memang bicara Laksamana (bicara buku diikuti bicara mahkamah) menjadi asbab keseluruhan perjalanan dibuat. Disebabkan bicara buku berlaku di Selangor sebelum ke Perak maka siri cerita tentang perjalanan pun diberi tajuk utama "Dari Selangor ke Perak". Singgah di Kuala Selangor yang pernah menjadi ibu negeri Kesultanan Selangor abad ke-18 Masihi.
Naik ke Bukit Melawati yang pernah menjadi tempat bersemayam 3 orang Sultan Selangor terawal.
Sesungguhnya ada kesinambungan beberapa lagi perkara yang menyebabkan siri ini sesuai dipanggil "Dari Selangor ke Perak". Biar diterangkan apabila peceritaan masuk pada apa yang berlaku pada pada 11 Disember, hari keputeraan Sultan Selangor.
Pada peringkat ini cukuplah dinyatakan bahawa kami sengaja mengambil laluan terdekat ke pantai Barat menyusuri negeri Selangor hingga masuk sempadan negeri Perak kemudian meneruskan lagi ke Taiping. Sesungguhnya ada sejarah lama yang mengaitkan Kesultanan Selangor dengan Kesultanan Perak. Malah keluarga Laksamana Raja Mahkota Perak iaitu keluarga belah ayahanda saya juga ada kaitan tertentu termasuk talian persaudaraan dengan kaum kerabat Sultan Selangor yang berdarah Bugis. Sekali lagi, bicara Laksamana menjadi asbab.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan