Sabtu, November 25, 2023

Dari nasi beringin ke hal ilmu pengetahuan ke Janda Baik

Salam semua. Ada sedikit perkongsian harus dilepaskan sebelum masuk tarikh 26 November cuma beberapa jam sahaja lagi.



Semalam, hampir tengah hari Jumaat 24 November 2023 saya bergerak keluar untuk satu urusan di bandar raya Kuala Lumpur. Sesungguhnya agak jarang saya dapat meninggalkan kawasan rumah di Bandar Sungai Rawang sebelum solat Jumaat kerana perlu menghantar anak ke sekolah agama petang selepas solat selesai, sekarang ini sekitar jam 1.35 hingga 1.45 petang. Kali ini muncul kelapangan yang mana isteri dapat menguruskan anak lalu saya dapat keluar awal.




Pergilah makan tengah hari nasi beringin di medan selera dalam bangunan berdekatan tempat saya pernah bekerja sebagai wartawan iaitu ibu pejabat The New Straits Times Press (NSTP) di Jalan Riong, Bangsar.




Terlihat bungkusan ini di meja hadapan tertarik untuk mengambil gambar. Ada tempahan 11 bungkus nasi beringin dari Parlimen. Ini harus dapat menunjukkan bagaimana hidangan istimewa ini cukup diminati ramai.




Selepas itu bergerak ke tempat saya menyambung pelajaran ke peringkat pascasiswazah iaitu ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) di Bukit Tunku.




Alhamdulillah cantik timing. Sebaik sahaja meletakkan kereta terdengar azan Zohor berkumandang menandakan tidak lama lagi akan bermula khutbah diikuti solat Jumaat.




Keadaan dalam masjid ISTAC.




Orang luar dibenarkan masuk bersolat.



Rupa-rupanya ada seminar sehari anjuran Majlis Keselamatan Negara (MKN) berlangsung pagi hingga ke petang. Selepas solat saya pun menjenguk sebentar.




Sebetulnya tujuan utama saya ke keluar rumah kali ini adalah untuk mengikuti satu majlis ilmu di ISTAC. Tajuk dan pengisian adalah seperti kelihatan dalam poster. Sementara menunggu ia bermula jam 3 sempat ke pejabat akademik untuk memastikan sesuatu tentang pengajian saya di ISTAC. Ada satu pertanyaan timbul apabila melihat senarai para penerima ijazah pada majlis konvokesyen tahun ini (yang sebenarnya telah bermula tadi pagi Sabtu 25 November). 




Ia adalah tentang kedudukan saya sebagai graduan sarjana atau Master dalam bidang Malay World Studies (Pengajian Alam Melayu). Hal berkenaan ada dinyatakan dalam artikel Antara dunia Melayu dan pemikiran ketamadunan Islam sejagat hampir 3 minggu lalu. Saya mahu tahu setakat mana uniknya kedudukan sebagai graduan bidang tersebut. Jawaban yang diterima membuatkan saya membuat perkongsian berikut di Facebook...



GRADUAN TERAKHIR MALAY WORLD STUDIES DARIPADA ISTAC
Salam petang Jumaat. Tadi baru confirm di pejabat akademik bahawa saya adalah graduan terakhir program pascasiswazah Malay World Studies (Pengajian Dunia Melayu) daripada ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) di Bukit Tunku. Untuk pengetahuan program ini mula diperkenalkan pada tahun 2017 tetapi dihentikan tahun 2019. Namun mereka yang sudah mendaftar dan diterima masuk tetap boleh meneruskan pengajian selepas itu hingga selesai.
Saya difahamkan ada belasan atau lebih sedikit 20 orang dahulu mendaftar masuk. Namun seorang demi seorang 'gugur' lalu tidak meneruskan pengajian. Akhirnya tinggal 2 orang sahaja lulus. Seorang menerima ijazah tahun lepas . Tinggallah saya untuk menerima ijazah pada hujung minggu ini. Alhamdulillah...
😎




Berbalik pada majlis ilmu yang menjadi asbab utama saya ke ISTAC. Tajuknya boleh diterjemahkan sebagai "Bagaimana Kita Tahu Apa Yang Kita Fikir Kita Tahu". Ia adalah ceramah ketiga (diadakan sebulan sekali pada petang Jumaat) atas nama Al-Ghazali Chair Philosophical Discourse (Perbincangan Falsafah Kursi A-Ghazali) bagi tahun 2023-2024. Saya telah menghadiri ceramah pertama, dibuat dalam bahasa Inggeris pada  29 September. Lihat Mendekati falsafah melalui persoalan-persoalan fundamental tentang keadilan sosial manusia. Tetapi tidak berkelapangan untuk menghadiri yang kedua, dibuat dalam bahasa Melayu, diberi tajuk "Teori Evolusi Budaya" dan disampaikan oleh Dr Syafiq Faliq Alhan daripada Universiti Malaya, pada 27 Oktober.




Sebetulnya tajuk ceramah kali ini adalah semacam lanjutan pengisian daripada ceramah pertama. Kenapa perlu menimbulkan polemik "Bagaimana Kita Tahu Apa Yang Kita Fikir Kita Tahu"? Sebab boleh jadi apa yang kita tahu dan anggap benar itu sebenarnya palsu. Contoh mudah saya berdasarkan situasi dan sosiopolitik semasa dunia adalah ramai orang terutama di Barat sekarang merasakan diri mereka "tahu" bahawa para pejuang Palestin "adalah pengganas". Sedangkan ia sebenarnya propaganda anti-Islam yang dipacu oleh gerakan Zionis Israel. Sedangkan mereka itulah yang sebenarnya pengganas. Itu contoh mudah yang harus boleh difahami semua. Contoh kurang mudah adalah kita sebenarnya melihat suatu objek fizikal lalu membuat tanggapan tentangnya berdasarkan apa yang dapat dilihat oleh mata kita. Sebetulnya bagaimana kita boleh pasti apa yang dilihat dengan mata itu benar, bukan ilusi? Fikir sahaja silap mata...




Untuk menanggapi persoalan ini dibawalah dua orang pembentang dengan dua subtajuk pembentangan, Dr Burhanddun Al-Helmy membawa tajuk "Berbincang Teori Ilmu Pengetahuan : Sumber-sumber Primer dan Matematik" (terjemahan saya) dan John Wong membawa "Had-had Ilmu Pengetahuan : Adakah Mengejar Ilmu Pengetahuan itu Diingini? Adakah boleh Membawa Bencana pada Tamadun?"




Cuma sayang sampai masanya Burhanuddin tidak dapat datang kerana beliau dan seluruh ahli keluarga dijangkiti virus Covid lalu cuma John sahaja membentang. Moderator/pemuda cara iaitu Profesor Madya Dr Isham Pawan Ahmad daripada ISTAC menambah sedikit pandangan berdasarkan apa yang beliau faham tentang ilmu falsafah Plato berbanding Aristotle (kedua-duanya ilmuwan hebat Yunani abad ke-4 Sebelum Masihi. Aristotle pernah menjadi murid Plato tetapi sungguh berlainan sudut pandang).




Secara rata apa yang disampaikan oleh John sama seperti telah ditulisnya dalam satu laman sesawang hampir 3 minggu lalu. Lihat Capturing My Reflections at the Malaysia Philosophy Society’s Thinkers Café: the Limits of Knowledge.  Bahkan beliau diundang bercakap pun akibat artikel tersebut juga beberapa artikel lain tulisan beliau tentang falsafah yang ada dikongsikan dalam grup WhatsApp "ISTAC Falsafah" yang mana saya ditarik menjadi salah satu anggota. 

Di sini tidak perlulah dihuraikan isi pembentangan dan perbincangan ya. Beliau telah menghuraikan dengan baik dalam artikel yang dipautkan. Malah, apabila muncul pelbagai lagi perspektif tentang ilmu pengetahuan hasil maklum balas dan perbincangan dalam ceramah beliau cepat-cepat menulis tentangnya. Lihat dan baca sendiri artikel Standing on the Shoulders of Giants: Takeaways from Giving a Talk at the International Institute of Islamic Thought and Civilization (ISTAC-IIUM) yang dipersembahkan sekitar jam 2 petang tadi.




Selesai ceramah saya berlegar-legar lagi di ISTAC barang sejam dua sebelum masuk ke pusat bandar raya. Singgahlah ke Pertama Complex kemudian ke Sogo. Dah lama tidak melepak di sebelah air terjun buatan dalam bangunan.




Ini pula di surau Kampung Chemperoh, Janda Baik ketika hendak solat Subuh berjemaah Sabtu 25 November iaitu pada awal pagi tadi.




Saya telah bermalam di surau kemudian berjalan-jalan melepak di tepi sungai.




Tujuan ke Janda Baik adalah untuk mengambil anak keluar bercuti dari ma'ahad tahfiz. Jadi alang-alang mahu ke ISTAC 40 km dari rumah terus berjalan-jalan ke beberapa tempat sebelum ke Janda Baik di negeri Pahang. Kalau ikutkan bukan masanya untuk bercuti balik rumah, kena tunggu hujung minggu awal bulan atau cuti tahunan pada pertengahan dan penghujung tahun. Tapi kali ini anak diberikan kebenaran atas sebab istimewa. 

Ini supaya dapat bersama ibunya melihat saya menerima ijazah daripada ISTAC dalam majlis konveksyen ke-39 UIA (Universiti Islam Antarabangsa) yang berlangsung 25-29 November. Saya punya sesi adalah pada esok pagi Ahad 26 November, satu tarikh yang sendiri sangat-sangat istimewa buat diri ini. Nanti akan dikongsikan cerita. Untuk makluman ini adalah artikel ke-2,454 di blogspot CATATAN SI MERAH SILU. Selamat malam dan wassalam... :]


Tiada ulasan:

Catat Ulasan