Misi hartanah dan wacana Laksamana - Akhirnya terlaksana rancangan lebih 3 bulan lalu
OK. Sudah disebut dalam artikel pertama siri kecil ini iaitu Misi hartanah dan wacana Laksamana - Panggilan tak dirancang ke Tanjung Rambutan yang dipersembahkan pagi Rabu 18 Oktober bahawa perjalanan terbaru saya ke Perak berlaku kerana dua sebab utama. Satu mahu menghadiri sesi perbicaraan mahkamah di Ipoh melibatkan harta moyang, atau lebih tepat moyang kepada datuk saya iaitu Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di Mekah, pada pagi Selasa 17 Oktober. Kedua, mahu membentang tentang Laksamana dalam satu majlis yang dikatakan bakal dihadiri Menteri Besar Perak dan ketua-ketua pasukan keselamatan negeri pada pagi Khamis 19 Oktober. Sekarang biar diberitahu. Itulah sebabnya siri kecil ini diberikan tajuk utama "Misi hartanah dan wacana Laksamana". Kerana ia terjadi akibat perbicaraan seterusnya wacana ilmu tentang moyang saya itu.
Tentang perbicaraan telah diceritakan dalam artikel kedua iaitu Misi hartanah dan wacana Laksamana - Dari Ulu Kinta ke hulu Sungai Siput. Turut diceritakan, ada perkembangan baru melibatkan hartanah Laksamana di Singapura. Namun kelihatannya saya lebih banyak bercerita tentang perjalanan dan persinggahan ke tempat-tempat kerana itulah saya. Walaupun hal perbicaraan dan hartanah itu penting saya sebenarnya seorang yang kurang memandang harta. Saya lebih gembira diberikan kesihatan, kelapangan dan kekuatan untuk keluar mengembara. Dan pilihan saya bukan ke tempat-tempat mewah tetapi tempat-tempat terpencil yang rapat dengan alam. Kerana lebih sukakan kedamaian, sesekali sahaja melayan hiruk pikuk dunia. Itupun disebabkan tanggungjawab melibatkan pergaulan dengan masyarakat
Ketika artikel kedua itu dipersembahkan petang Khamis wacana yang diadakan di Ipoh sudah pun selesai. Malam itu baru sampai ke rumah. Esoknya petang Jumaat dipersembahkan artikel ketiga iaitu Misi hartanah dan wacana Laksamana - Mem"Bawong" ke hulu daerah Kuala Kangsar. Artikel tentang hari ketiga perjalanan iaitu pada hari Rabu ditamatkan dengan saya membuat ziarah ke makam Laksamana Muhammad Amin di kawasan pemakaman diraja Perak di Bukit Chandan, Kuala Kangsar selepas masuk waktu Maghrib. Sekarang biar ditambah. Lewat malam itu saya kembali Ipoh lalu ke stesyen keretapi untuk mengambil isteri dan anak supaya dapat bersama pada majlis pagi Khamis. Selepas itu ke rumah kawan di Kampung Pasir Puteh untuk berehat dan bermalam. Dengan itu barulah boleh masuk cerita tentang apa yang berlaku seterusnya. Baru boleh disentuh tentang wacana melibatkan Laksamana.
Pagi Khamis 19 Oktober 2023. Sampai waktunya untuk kami bergerak ke lokasi majlis.
Letaknya di Hotel Casuarina di Meru.
Selepas bersarapan di Aras 1 bergeraklah ke dewan majlis.
Kelihatan ada pameran daripada pasukan keselamatan seperti askar dan polis.
Sampai masanya saya sebagai panelis kedua (rujuk poster dan atur cara) dipanggil naik mengambil tempat di atas pentas bersama panelis pertama dan moderator. Untuk penceritaan seterusnya saya harus menggunakan gambar-gambar yang diambil orang lain selain diambil sendiri.
Moderator, Encik Ibrahim bin Ahmad membuka kata-kata tentang wacana. Beliau adalah Setiausaha Kehormat Persatuan Sejarah Malaysia (PSM) Cawangan Perak. Majlis ini mengandungi wacana diikuti perasmian dan petangnya bicara tentang kerjaya dalam badan-badan keselamatan. Dianjurkan oleh Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak dengan kerjasamana PSM Perak, ini adalah julungkali mereka mengadakan majlis sebegini rupa.
Panelis pertama, Mejar (B) Nor Ibrahim bin Sulaiman kemudian membuka tentang pengalaman sebenar beliau menjadi juruterbang helikopter Nuri bersama Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM). Kata beliau ramai orang tidak sedar bagaimana TUDM terlibat aktif dalam misi-misi penentangan terhadap Komunis. Yang orang tahu cuma peranan polis dan tentera darat. Ramai juga tidak sedar bagaimana helikopter Nuri (sekarang tidak lagi dipakai) begitu penting bagi angkatan tentera.
Diceritakanlah tentang beberapa misi yang mana beliau ada terlibat menerbangkan helikopter Nuri.
Diceritakan tentang mara bahaya yang dihadiri, dihujani peluru Komunis sehingga ada yang tercedera malah terkorban di hadapan beliau.
Setelah beberapa lama sampai giliran saya untuk berkongsi ilmu.
Diceritakanlah siapakah Laksamana Muhammad Amin. Tentang ketokohan sebagai seorang pahlawan sebelum menjadi Laksamana lagi, tentang bagaimana beliau sudah sedia kaya raya lalu dinyatakan dalam catatan British sebagai pemodal paling berkebolehan dalam kalangan Orang Melayu pada zamannya. Diceritakan sekali hubungan dengan keluarga diraja Perak, bagaimana beliau kemudian diangkat menjadi Laksamana (sekitar tahun 1858-1859) oleh Sultan ke-23 Perak, Sultan Ja'afar yang merupakan saudara tiga pupu.
Diceritakan bagaimana Laksamana bertanggungjawab mengangkat anak Sultan Ja'afar iaitu Raja Abdullah menjadi Sultan Perak ke-26 melalui Perjanjian Pangkor pada 20 Januari 1874. Diceritakan bagaimana Sultan Abdullah yang berpangkat anak saudara Laksamana pada belah ayahandanya tetapi berpangkat tiga pupu di belah lain (belah ibu sebenarnya) menetap di Batak Rabit, kampung ayahanda saya, dalam rumah dan kawasan milik saudara mara daripada keluarga Laksamana. Terpapar di sini gambar terkenal menunjukkan Sultan dan sejumlah orang Melayu Perak bersama Residen pertama British ke Perak iaitu J.W.W. Birch pada 12 April 1874. Untuk pengetahuan ia diambil dalam kota keluarga saya.
Gambar ini adalah satu-satunya diketahui ada menunjukkan wajah Laksamana. Di sini tidaklah ingin dihuraikan semua yang berlaku. Anda boleh menonton sendiri melalui rakaman yang dibuat pihak perpustakaan di sini.
Video ini dan berikutnya pula dirakamkan oleh isteri khas bagi menunjukkan perkongsian saya.
Sekarang biar dinyatakan. Usaha untuk mengenengahkan peranan Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin sebegini rupa sebenarnya telah dirancang lebih 3 bulan lalu. Akhirnya ia terlaksana.
Kalau ikut rancangan asal selepas itu saya mahu membawa isteri dan anak melihat penggambaran drama yang sedang dilakukan oleh saudara Amen Khalid, anak dan pengganti kepada sutradara terkenal Mamat Khalid, di sekitar Lambor Kanan. Tetapi selepas majlis terasa penat amat lalu berehat di rumah kawan. Apabila sudah bersedia untuk keluar dapat tahu penggambaran bagi hari itu selesai.
Maka kembalilah kami ke rumah lalu sampai lewat malam. Didapati saya telah memandu sejauh 724 km dalam perjalanan Perak kali ini.
Selepas itu didapati wacana ilmu ada diliputi oleh orang daripada Dewan Bahasa dan Pustaka lalu diulas dalam majalah atas talian mereka. Lihat sini. Semoga semua ini meningkatkan minat umum untuk lebih mengambil tahu tentang Laksamana Muhammad Amin juga menaikkan maruah serta martabat keluarga.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan