Jumaat, Oktober 20, 2023

PengIslaman ilmu pengetahuan daripada sudut pandang rakan sekerja Prof Kamal Hassan

Beralih seketika daripada cerita-cerita perjalanan ke majlis ilmu.



Majlis ilmu kali ini berlangsung pagi tadi Jumaat 20 Oktober 2023 di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) di Bukit Tunku, Kuala Lumpur. Dibawa oleh Profesor Mumtaz Ali daripada UIA (Universiti Islam Antarabangsa tajuknya boleh diterjemahkan sebagai "PengIslaman Ilmu Pengetahuan Daripada Perspektif Rakan Sekerja Prof Kamal Hassan". Ia merupakan kesinambungan bagi majlis di ISTAC tentang bidang sama iaitu "Penglslaman Ilmu Pengetahuan" (Islamisation of Knowledge) yang berlangsung pada 15 September. Oh. Saya fikir ada membuat artikel tentang majlis terdahulu itu walaupun menontonnya melalui saluran Youtube ISTAC TV beberapa hari kemudian. Apabila disemak betul-betul nampaknya tiada. 

Apapun yang dahulu itu adalah tentang "PengIslaman Ilmu Pengetahuan" menurut 'mazhab' cendekiawan besar Tan Sri Profesor Syed Muhammad Naquib al-Attas, disampaikan oleh Dr Ugi Sugiato yang masih menganggap dirinya anak murid Syed Naquib. Lihat rakaman video di sini. Yang ini pula menurut 'mazhab' seorang lagi cendekiawan besar Melayu, almarhum Tan Sri Profesor Ulung Kamal Hassan yang baru meninggal dunia awal tahun ini.



Mumtaz yang lahir tahun 1955 iaitu 13 tahun lebih muda berbanding Kamal menyampaikan pemikiran almarhum sebagai seorang yang pernah bersama berkhidmat di UIA.




Walaupun menyebut tidak bercakap sebagai anak murid seperti halnya Ugi tentang Syed Naquib kelihatan beliau sangat memandang tinggi Kamal.




Dinyatakan Kamal sebagai seorang yang tidak pernah memikirkan kepentingan diri sendiri. Sebaliknya yang difikirkan kesemuanya adalah demi kemajuan dan kemaslahatan ummah.




Disebut tentang kerjaya cemerlang Kamal dalam dunia akademik termasuk pernah menjadi Rektor (seperti Timbalan Canselor) UIA yang ketiga (1998-2006). Menariknya baru saya tahu, pada tahun 1982, ketika berumur 40 tahun, beliau dipilih oleh Perdana Menteri Malaysia (ketika itu Dr Mahathir Mohammad) untuk menulis kertas kerja dan hujah bagi menubuhkan UIA. Ketika itu almarhum sudah dikenali sebagai seorang cendekiawan yang memiliki kepandaian menyeluruh. Selama ini, yang sering didengari adalah bagaimana UIA itu dikatakan terbit daripada wawasan pemikiran Syed Naquib lalu dilaksanakan melalui political will Anwar Ibrahim (Perdana Menteri sekarang). Sedangkan semakan di Internet menunjukkan, pada tahun 1982 itu Anwar baru hendak menyertai parti politik pemerintah iaitu UMNO. Tahun 1983 baru menjadi Menteri Belia dan Sukan, 1984 menjadi Menteri Pertanian, 1986 baru menjadi Menteri Pelajaran lalu ada kuasa dalam hal-hal universiti dan pendidikan negara.




Kamal dinyatakan sebagai memiliki wawasan jelas tentang Islam lalu memberikan UIA asas falsafah, epistemologi dan ideologi yang mantap. Beliau sentiasa aktif menentukan hala tuju UIA dari mula pengasasan sehinggalah meninggal dunia 23 Februari 2023.




Beliau memiliki pandangan yang bersifat holistik atau menyeluruh tentang pendidikan tinggi.




Menurut Kamal seluruh dunia cendekiawan Islam telah berhujah bahawa kejatuhan ummah (sejak 2-3 abad kebelakangan) berlaku kerana gagal memahami kepentingan ilmu wahyu dalam pelajaran dan pembangunan sumber manusia.




Oleh itu harus dibuat reformasi terhadap ummah, antaranya melalui "PengIslaman Ilmu Pengetahuan" yang beliau kemudian labelkan sebagai "PengIslaman Ilmu Pengetahuan Manusia" (Islamisation of Human Knowledge atau singkatannya IOHK). Ini kerana ilmu 'bukan manusia', merujuk pada ilmu wahyu, tidak perlu "diIslamkan". Ia sudah sedia bersifat Islam.




PengIslaman ilmu pengetahuan adalah usaha untuk memurnikan segala jenis ilmu yang terbit daripada penerokaan dan wawasan fikiran manusia (seperti matematik, fizik, ilmu jiwa/saikologi) yang selama ini berpaksikan penemuan Barat berasaskan penolakan terhadap peranan Tuhan (atau langsung tiada wujud Tuhan) agar menepati kehendak dan ajaran Islam. Untuk itu harus terlebih dahulu mendapat persepsi atau pemahaman yang betul tentang Islam.




Tentang usaha yang merupakan gagasan besar para cendekiawan Islam sejak tahun 1980an ini, tetapi boleh berbeza cara pendekatan dalam melaksanakannya boleh lihat artikel lama saya, Renungan terhadap legasi pengIslaman ilmu pengetahuan dan masa hadapannya - Satu gagasan besar ummah yang harus diteruskan yang ditulis 2 tahun lalu. Untuk mengetahui lebih lanjut tentang gagasan Kamal menurut Mumtaz ikuti sendiri rakaman video majlis di sini.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan