Salam. Satu cerita daripada perjalanan kecil hujung minggu baru ini.
Tengah hari Sabtu 2 September 2023 saya dan keluarga menghadiri majlis perkahwinan jiran di lorong belakang rumah.
Selepas itu keluar bersendirian ke Kuala Lumpur.
Pergi ke tempat menyambung pengajian iaitu ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) di Bukit Tunku.
Kali ini untuk melihat satu pameran seni lukis yang julungkali diadakan di sana. Lihat artikel Art exhibition at ISTAC di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.
Selepas itu masuk pusat bandar raya untuk ke Sunway Putra Mall, atau dikenali warga lama kota sebagai The Mall.
Di situ mahu melihat pameran dan jualan buku pula. Kiranya beralih dari seni lukis ke seni tulis. Lihat Merdeka book fair at The Mall
Adapun asbab utama saya keluar hari itu adalah bagi menghadiri majlis zikir di Petaling Jaya pada waktu malam. Dari pesta buku saya ke majlis kemudian bermalam di rumah kawan di Hartamas. Esoknya pagi Ahad 3 September masuk lagi ke pusat bandar raya.
Pekena hidangan istimewa lontong pecal mee di satu bahagian Chow Kit.
Ikut cadangan asal selepas itu mahu bersenam di Taman Tasik Titiwangsa. Tiba-tiba muncul rasa untuk bergerak ke arah KLCC (Kuala Lumpur City Centre) lalu masuk ke tanah perkuburan Islam berdekatan. Lihat artikel Lawatan baru ke tanah perkuburan Islam (New visit to the Muslim burial ground), Jalan Ampang di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).
Ziarahlah ke beberapa makam tokoh, antaranya seniman terkenal arwah P. Ramlee...
Didapati makam milik seorang tokoh lain yang dikatakan adalah antara pembuka Kuala Lumpur sekitar 150 tahun kini lebih terserlah cantik. Lihat Rupa baru makam (New look of the tomb of) Raja Alang ibni Raja Berayun.
Selepas itu baru ke KLCC.
Tujuannya untuk bersenam di taman belah sana pula.
Sempatlah mengaji satu surah panjang demi mengejar kuota bacaan satu juz sehari.
Selepas masuk Zohor makan tengah hari nasi kandar di Jalan Tuanku Abdul Rahman.
Selepas itu ke Pesta Buku Merdeka lagi kerana seronok mengikuti diskusi buku-buku yang ada.
Tak sangka boleh terjumpa seorang kawan lama zaman kewartawanan di sana. Beliau pernah menjadi seorang wartawan hiburan terkemuka tanah air. Kami pernah bekerja bawah satu bumbung di ibu pejabat kumpulan akhbar The New Straits Times di Jalan Riong, Bangsar.
Kawan ini baru menghasilkan buku pertama beliau sekitar sebulan lalu. Kami pun membuat barter trade. Buku beliau ditukar dengan buku ke-14 saya, Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arshad : Perjuangan yang Belum Selesai...
Malam itu apabila mendapati susah hendak melelapkan mata saya pun membuka lalu membaca buku tulisan kawan.
Beliau yang membesar dalam kalangan anak wayang kerana kedua-dua ibu bapa pernah menjadi pelakon tahun 1960an ada menceritakan tentang arwah P. Ramlee dalam beberapa muka surat awal. Ini termasuk bagaimana beliau sendiri mengenali seniman tersohor itu dan bagaimana bapanya bersama P, Ramlee pernah mengusahakan pawagam. Ini mengingatkan pada bagaimana siangnya saya ada ke makam seniman tersebut tanpa dirancang. P. Ramlee seperti menjadi faktor pengikat bagi apa yang berlaku hari itu terutama pertemuan dengan kawan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan