OK. Adapun apa yang diceritakan dalam artikel Asbab pertanyaan ibu - Dari Kota Sufi ke majlis di Hang Tuah Centre meliputi 2 hari perjalanan. Sekarang pergi pada hari ke-4 perjalanan baru ke Muar. Kenapa hari ke-4? Kerana pada hari ke-3 iaitu Ahad 27 Ogos saya dan keluarga sekadar berehat di rumah ibu bapa di Muar. Kami tidak ke mana-mana, sekadar ada menerima kedatangan saudara mara melawat.
Petang Isnin 28 Ogos 2023. Baru saya keluar berjalan lagi. Kali ini sekadar membawa anak bongsu bersama. Isteri perlu melakukan kerja dari rumah. Tujuannya adalah untuk membuat sumbangan buku ke perpustakaan-perpustakaan awam.
Kali ini telah diatur terlebih dahulu laluan berdasarkan apa yang dapat ditemui melalui Google Map, bukan lepas jumpa satu baru dicari laluan ke perpustakaan seterusnya. Ini kerana pengalaman menunjukkan belum tentu dapat isyarat Internet bagus di suatu tempat lalu boleh menjadi masalah untuk mengatur laluan seterusnya. Kalau dah siap-siap atur kemudian terus start dalam Google Map insyaallah boleh terus mendapat panduan walau tiada signal di suatu tempat. Yang penting sistem GPS (Global Positioning System) pada telefon bimbit masih berjalan.
Persinggahan pertama adalah ke perpustakaan awam Muar. Baru tahu ada tempat baru bagi menggantikan bangunan lama dekat stadium Muar. Itupun saya mendapat tahu ia sebenarnya bangunan sementara... sementara menunggu dapat ditemui lokasi yang lebih elok bagi mendirikan bangunan baru perpustakaan. Patutlah kecil, setakat rumah kedai setingkat yang disewa. Tak padan dengan kedudukan sebagai perpustakaan awam Muar.
Dari situ bergerak lebih jauh ke arah selatan.
Ikutlah panduan dan arahan Google Map ke tempat seterusnya yang ditanda ada perpustakaan. Tengok-tengok yang kelihatan cuma rumah dan kilang. Nampaknya ada orang tersilap tanda lokasi tepat. Agak lama kemudian, baru terfikir mungkin lokasi sebenar adalah dalam kompleks penghulu yang dilihat wujud tidak begitu jauh daripada lokasi yang ditanda. Kadangkala boleh jadi begitu. Memang ada sesetengah perpustakaan kampung terletak dalam lokasi penghulu. Cuma tadi tak nampak.
Perpustakaan seterusnya ditanda sebagai bertempat di masjid jamek Parit Jawa.
Alhamdulillah. Memang ada. Dapat membuat sumbangan buku kali kedua.
Perpustakaan seterusnya adalah di bawah mukim Seri Menanti. Adapun kebiasaan saya adalah memberikan 5 naskah buku ke-13 saya Kenangan Kembara Solo Hitchhike Eropah Tahun 1995 bagi setiap perpustakaan. Pustakawan di situ memberitahu terdapat 5 buah perpustakaan yang terkait di bawah mukim Seri Menanti lalu mahu memberi senaskah setiap satu. Saya jawab jangan. Biar diberi 5 naskah bagi setiap perpustakaan.
Termasuk dalam 5 perpustakaan yang terkait adalah yang di Parit Jawa tadi. Maka saya berikan terus sebungkus 20 naskah iaitu 5 naskah bagi 4 lagi perpustakaan termasuk yang utama atas nama mukim Seri Menanti itu. Dengan itu saya tidak perlu lagi mencari perpustakaan-perpustakaan belah situ yang telah diatur laluannya. Saya cuma lalu sahaja pekan Seri Menanti dan lain-lain tempat berkenaan selepas itu.
Di Parit Yusof hampir ke sempadan Batu Pahat saya berhenti lama di masjidnya kerana satu sakit perut. Kedua, kerana bonet depan kereta yang bermasalah didapati lekang sendiri lalu baru boleh dibuka setelah agak lama tidak berbuat begitu. Baru dapat semak paras minyak hitam kemudian menambah air putih untuk kegunaan radiator.
Saya juga mengambil masa mengambil gambar dengan niat hendak membuat artikel tentang masjid. Ketika hendak menulis baru tersedar rupa-rupanya pernah membuat selepas satu perjalanan di selatan penghujung 2014. Lihat artikel lama Masjid jamek (Main mosque of) Parit Yusof, Muar di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).
Perjalanan lama tersebut membawa masuk ke daerah Batu Pahat. Lihat artikel Misi Sungai Batu Pahat - Bukit Pasir mengapit sungai, faktor 131 pada penghujung perjalanan pula... diikuti Misi Sungai Batu Pahat - Faktor 131 di Tanjung Tohor. Dari simpang yang kelihatan ini terus ke hadapan akan masuk Batu Pahat.
Kali ini membelok ke kiri lalu mengambil satu laluan yang seingat saya belum pernah dilalui.
Terjumpalah masjid yang agak menarik ini. Lihat Masjid (Mosque of) Sarang Buaya Darat.
Terjumpa itu pun disebabkan ada gerak untuk mengambil jalan kecil walau ada jalan lebih besar. Selepas itu mengambil satu jalan yang lebih kecil...
Tengok-tengok ada kampung dan kawasan banyak menanam nenas...
Laluan ini lari sedikit daripada laluan yang telah dirancang melalui Google Map.
Ia keluar ke jalan Bakri (Muar) menuju ke Parit Sulong di hadapan Kampung Parit Kelantan.
Dari situlah saya menuju ke perpustakaan seterusnya yang sudah dikenal pasti dalam laluan. Ternampak kawasan sekitar dikenali sebagai Air Hitam (bukan Ayer Hitam antara Batu Pahat dan Kluang itu) teringat bahawa kecik-kecik dahulu pernah dibawa keluarga di suatu tempat sekitar ini. Teringat di sebuah rumah kampung kelihatan budak-budak seronok bermandi-manda dalam parit yang airnya berwarna hitam seperti air cincau. Bukan hitam kotor, sebaliknya hitam akibat jenis tanah
Laluan seterusnya membawa ke Bukit Naning menghala ke Bakri dan bandar diraja Muar.
Ini adalah perpustakaan seterusnya, tidak jauh selepas papan tanda Bukit Naning tadi.
Akhir sekali adalah di Jeram, Muar. Sudah tidak berapa jauh dari rumah ibu bapa di Kampung Temiang.
Dengan itu tercapailah sasaran hari itu iaitu hendak menyumbang buku ke 8 buah perpustakaan di Muar.'Walaupun ada satu tidak dapat ditemui ia digantikan dengan satu yang lain terkait dengan perpustakaan mukim Seri Menanti tetapi tiada dalam senarai asal.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan