Salam semua. Adapun saya dan keluarga sedang berada di rumah ibu bapa di Muar. Sampai Sabtu lewat malam Ahad 26 Ogos setelah membuat sejumlah aktiviti dalam perjalanan dari rumah sendiri petang Jumaat 25 Ogos. Ingatkan hendak berkongsi cerita apa yang berlaku dalam tempoh waktu berkenaan. Tetapi apabila memasukkan gambar-gambar dari kamera digital ke komputer riba malam tadi didapati bahawa kali terakhir ada memasukkan gambar ke komputer adalah bagi tarikh 12 dan 13 Ogos.
Gambar-gambar yang dimasukkan pula bermula dari tarikh 15 Ogos. Kali terakhir berkongsi cerita tentang perjalanan di CATATAN SI MERAH SILU adalah setelah kembali dari Perak 6-9 Ogos diikuti satu aktiviti berkesinambungan iaitu satu majlis ilmu yang dihadiri oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah di tempat saya belajar di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) di Bukit Tunku, Kuala Lumpur. Alhamdulillah berpeluang untuk menghadiahkan senaskah buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad : Perjuangan yang Belum Selesai kepada baginda. Itu yang terkumpul menjadi siri yang dipersembahkan dalam artikel Kompilasi cerita "Antara perpustakaan dan mahkamah" Selasa 15 Ogos.
Melihatkan gambar-gambar yang dimuat naik timbul rasa harus dibuat dahulu cerita ringkas tentang aktiviti-aktiviti antara perjalanan Perak hingga sebelum sampai ke Muar yang tidak pernah dikongsikan sebelum ini. Sama halnya seperti artikel Ringkasan aktiviti dan perjalanan Jun-Julai 2023 yang dipersembahkan pada Isnin 31 Julai saya perlu membuatnya supaya tidak hilang jejak apakah yang telah dilakukan dalam tempoh waktu berkenaan.
Sabtu malam Ahad 12 Ogos 2023 saya dan keluarga menghadiri satu majlis tertutup di sebuah bungalow cantik di tepian tasik di Cyberjaya. Ia penuh dengan perabot, panel-panel dinding dan ukiran kayu jati. Pemiliknya seorang mualaf wanita berbangsa Caucassian yang berasal dari Amerika Syarikat pernah membuka sebuah pusat peranginan di Bali menggunakan kayu kayan dari Pulau Jawa. Selepas beralih arah lalu menjual pusat peranginan kayu kayan itulah yang dibawa untuk disebatikan dengan rumah baru batu di Malaysia.
Pagi Ahad 13 Ogos. Sementara menunggu anak selesai latihan silat di Bukit Beruntung kami ke rumah pelukis terkenal Dato' Sharifah Fatimah Syed Zubir bagi membincangkan penyertaan beliau dalam satu majlis yang mahu dianjurkan pihak saya di Tanjung Malim pada 21 Oktober. Lihat artikel
Acara ke-23 di Sarang Art Hub kurang 3 bulan lagi insyaallah yang dipersembahkan di
blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH) pada 1 Ogos. Dalam tempoh sehari dua selepas mengeluarkan artikel saya terus menyusun pengisian bagi majlis. Pada 3 Ogos saya meletakkan gambar berserta teks berikut di Facebook...
ATUR CARA DAN PEMBENTANGAN ILMU PADA ACARA HIKMAH KE-23 DI SARANG ART HUB 21 OKTOBER 2023
Salam. Rasanya sudah boleh dikongsikan sedikit sebanyak atur cara dan pengisian majlis. Secara santainya majlis di Sarang Art Hub dirancang akan dibuka bermula jam 10 pagi untuk hadirin bersama. Ini untuk memberi peluang bagi mereka yang berniaga datang awal mempromosikan jualan masing-masing. Mungkin akan ada majlis Maulidur Rasul sekitar jam 11-12 itu.
Jam 2.30 baru acara secara rasminya
bermula dengan pembentangan ilmu sehingga waktu Asar. Maghrib pula diadakan solat jemaah diikuti tahlil arwah bagi mengenangkan pemilik tempat, sutradara filem terkenal Mamat Khalid yang kembali ke rahmatullah pada 23 Oktober 2021. Selepas itu akan diadakan ucapan alu2an oleh waris beliau diikuti oleh saya sebagai presiden HIKMAH kemudian VVIP, besar kemungkinan Orang Besar Jajahan iaitu Toh Paduka Setia Dato' Ir. Dr. Safry Kamal. Selain daripada yang dinyatakan akan diselitkan persembahan2 silat dan kebudayaan juga aktiviti santai.
Bagi majlis ilmu yang bermula jam 2.30 petang telah diperuntukkan 4 slot sepanjang 30 minit setiap satu. Sukacita dimaklumkan saya telah mendapat persetujuan tentatif daripada tokoh2 berikut untuk membentang :-
1. Pelukis terkenal Dato' Sharifah Fatimah Syed Zubir
2. Tokoh pejuang bahasa Melayu, Senator Datuk Seri Prof Dr Awang Sariyan
3. Profesor sejarah sosial dan intelektual di Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (ISTAC) Prof Dato' Dr Ahmad Murad Merican
Pembentang ke-4 adalah saya sendiri Radzi Sapiee @ Merah Silu. Tapi saya bukan tokoh, cuma seorang yang ada sedikit ilmu dan rasa tanggungjawab untuk memperjuangkan kedaulatan agama, bangsa dan tanah air.
Cuma sejurus sebelum ke Perak 6 Ogos Sharifah Fatimah yang kami panggil sebagai Kak Fatimah menyatakan keraguan untuk bersama dalam majlis. Sebabnya beliau bukanlah orang yang biasa membentang seperti halnya para pensyarah (mungkin setelah melihat nama Prof Awang Sariyan dan Murad Merican yang memang biasa bersyarah). Maka itu selepas kembali dari Perak saya dan isteri pergi bertemu beliau. Saya hendak memberitahu jangan risau tentang itu. Pembentangan boleh dibuat secara soal jawab dengan saya sebagai pemudah cara. Pengisian pun saya boleh bantu.
Caranya, biar dipilih sejumlah lukisan untuk dipaparkan dalam slaid lalu kita berbincang tentang makna setiap lukisan. Antaranya adalah gambar yang ditunjukkan di atas juga sebelum ini. Saya ambil sendiri menggunakan telefon bimbit. Walaupun bukan pakar dalam bidang seni saya boleh faham bagaimana lukisan-lukisan Fatimah relevan dengan tema majlis yang saya sendiri telah tetapkan iaitu "Antara Tradisi dan Kemodenan : Mencari Kebaikan Dalam Setiap Keadaan". Ini kerana tahu latar belakang beliau yang ada keturunan Tunku Kudin @ Sayyid Zainal Abidin yang berdarah Sayyid marga Shahabuddin/Al-Shahab campur darah kerabat diraja Kedah dan minat beliau menelusuri salasilah juga menziarah makam-makam.
Malam itu kami ke Bandar Saujana Putra untuk menghadiahkan senaskah buku Laksamana Raja Mahkota kepada seorang sheikh tariqat yang dikenali sebagai Walid Ibrahim.
Beliau ini sebenarnya seorang penggerak besar banyak aktiviti-aktiviti bagi memperkuatkan gerakan-gerakan Tasawuf dan Sufi di Malaysia sejak lebih 10 tahun kebelakangan. Salah satu aktiviti yang digerakkan merupakan satu majlis besar yang dihadiri dalam perjalanan ke arah Muar petang Sabtu 25 Ogos. Tetapi biar itu diceritakan dalam artikel baru berkenaan.
Petang Selasa 15 Ogos saya ke Perpustakaan Negara untuk membuat sedikit kajian.
Disebabkan muncul suatu kelapangan yang memberikan ruang bagi isteri menguruskan anak pergi balik sekolah saya dapat bermalam di Kuala Lumpur lalu menyambung kajian hingga petang Rabu 16 Ogos. Dapat melakukan sejumlah aktiviti lain di celah-celah itu. Dengan itu biar cerita berkenaan dikongsikan dalam artikel lain selepas ini.
Lewat petang Jumaat 18 Ogos pula keluar membawa anak berjalan-jalan naik motosikal melihat perkembangan dua tapak projek besar dekat rumah kami di Sungai Buaya. Lihat artikel Exploring new project areas in Sungai Buaya di blogspot BERPETUALANG KE ACEH. Ketika hendak menulis artikel tersebut teringat bahawa 2 minggu lebih awal ada membuat perjalanan meneroka satu jalan belakang. Lalu ditulislah terlebih dahulu artikel bertajuk Exploring the rough path from Sungai Buaya towards Batang Berjuntai and back. Di bawah adalah peta laluan bagi perjalanan berkenaan. Ia ada dipaparkan dalam Facebook bersama teks berikut...
Tadi lepas solat Jumaat buat 'eksplorasi' masuk jalan kebun dan hutan 'belakang' Sungai Buaya hingga ke Selangor Fruit Valley dan kembali. Laluan sebenar yang dirancang lain sedikit daripada yang ditunjukkan ini. Cuma disebabkan apabila betul2 turun padang didapati ada 3-4 simpang yang dinyatakan wujud oleh Google Map nampaknya tiada lagi. Kalau ada tentu saya sudah merapat ke Sungai Selangor di utara sejak awal lagi. Pun begitu saya ikut sahaja yang dapat sehingga ada yang kelihatan seperti masuk hutan tanpa jalan dalam Google Map walau sebenarnya ada jalan kebun. Alhamdulillah selamat kembali dan senang hati. Jarak yang diliputi hampir 40 km dengan motocub atas jalan2 kasar yang boleh tahan mencabar
Esoknya lewat petang Sabtu 19 Ogos bergerak bersama keluarga ke Ipoh.
Kami mahu menghadiri majlis perkahwinan anak kepada sutradara filem terkenal arwah Mamat Khalid.
Isteri seronok dapat bertemu kartunis terkenal Datuk Lat. Hari tu baru je pergi ke galeri beliau yang baru dibuka di Batu Gajah. Lihat
Ringkasan aktiviti dan perjalanan Jun-Julai 2023. Untuk pengetahuan Lat adalah abang kepada arwah Mamat Khalid. Satu soalan yang arwah paling tak suka - Abang ke budak kecil telanjang selalu tersengih mata tutup dengan rambut yang Lat selalu lukis dalam sketsa Kampung Boy? Hehe...
Gambar bersama pengantin. Kelihatan sama balu kepada arwah yang kami panggil sebagai Kak Intan. Saya seperti hampir menjadi halimunan dalam gambar. Nampaknya kerana skim warna busana ada kesamaan dengan hiasan pelamin.
Sambil itu dapat bertemu seorang kawan lama wartawan yang pernah bertugas di Berita Harian, saudara Zainuri Misfar. Seperti halnya pengantin lelaki Adam anak Mamat Khalid beliau pernah berlakon dalam filem-filem Mamat. Jika Adam selalu membawa watak asyik hendak menembak dengan senapang dia pula asyik hendak pergi seminar.
Malam itu saya dan keluarga beriktikaf di sebuah masjid di Slim River. Keadaan sebelum solat Subuh pagi Ahad 20 Ogos.
Kami beriktikaf supaya tidak perlu balik awal ke rumah kemudian naik balik ke utara untuk ke Bukit Beruntung bagi menghantar anak ke latihan silat pagi Ahad. Dapatlah makan pagi di Ulu Bernam sebelum menghantar anak.
Sementara menunggu selesai latihan kami mencari surat khabar Berita Harian edisi Ahad 20 Ogos kerana sudah diberitahu lebih awal satu artikel tentang Laksamana Muhammad Amin dan buku tulisan saya yang berkenaan akan keluar. Itulah yang diceritakan dalam artikel sebelum ini iaitu
Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin dalam Berita Harian pada Isnin 21 Ogos.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan