Selasa, April 18, 2023

Iktikaf hujung Ramadhan 2023 - Berangkat lewat ke Perak

Salam petang Selasa 27 Ramadhan 1444 Hijriah. Adapun pada tarikh ini genaplah umur saya 54 tahun menurut kalendar Islam. Merujuk pada artikel Kali pertama balik Muar tahun 2023 yang dipersembahkan jam 1.37 petang tadi. Pada pembukaannya ada disebut bahawa sebetulnya saya dalam peringkat akhir satu perjalanan solo di Perak lalu bercadang untuk berkongsikan cerita hari pertama perjalanan yang bermula Sabtu 15 April 2023 bersamaan 24 Ramadhan 1444 Hijriah. Tetapi apabila memuatnaik gambar-gambar daripada kamera digital ke komputer riba didapati ada cerita-cerita lebih awal harus dilepaskan. Lalu ditulislah artikel tersebut diikuti Demi anak-anak (dipersembahkan jam 1.57). Sekarang baru boleh dibuat cerita Perak.



Perjalanan ini berlaku atas asbab mahu menghadiri perbicaraan kes melibatkan harta Laksamana Muhammad Amin di Ipoh. Ia adalah kali pertama hadir buat tahun 2023. Sebelum itu iaitu pada tahun 2022 sudah beberapa kali. Lihat artikel Misi keluarga Laksamana dan mencari jejak melalui dokumentasi lama yang dipersembahkan pada 22/12/22, artikel terakhir di blogspot CATATAN SI MERAH SILU bagi tahun lalu.




Oleh kerana perbicaraan dijadualkan berlangsung pada pagi Isnin 17 April bersamaan 26 Ramadhan dirancanglah supaya malamnya 27 Ramadhan atau Malam Tujuh Likur dapat beriktikaf di masjid warisan keluarga Laksamana di Batak Rabit. Biar dibuat iktikaf 3 malam Batak Rabit menjadi penutup. Itu yang bergerak lewat hari Sabtu malam Ahad 15 April. Padahal sebelum itu telah memandu lebih 200 km bersama isteri dan anak-anak. Lihat Demi anak-anak.


Ikutkan penat mahu sahaja bermalam di rumah. Esoknya baru bergerak. Tapi kalau begitu tak dapat kejar sasaran. Asalnya mahu malam pertama  di Kuala Kangsar tapi tak larat. Disebabkan masa yang perlu diluangkan bersama keluarga selepas jam 10.30 malam baru bergerak.  Fikirnya di masjid Tanjung Malim sekitar 40 km dari rumah pun  dah boleh iktikaf kerana sudah masuk Perak.

Namun timbul rasa untuk terus bergerak lebih jauh ke arah utara. Hampir jam 11.40 baru berhenti di masjid ini untuk menunaikan solat Tarawikh yang tidak sempat sebelum itu. Kemudian berehat sebentar dan beriktikaf. Lihat Masjid (Mosque of) Kampung Kelan, Slim River  di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).


Selepas itu ada berhenti makan ringan di sebuah restoran mamak di Slim River. Timbul rasa mahu mencari masjid lama sebelum pekan Gopeng untuk beriktikaf dan menginap. Nampak dalam Google Map ada satu. Tetapi apabila sampai masjidnya dah tinggal tembok dan tapak. Nasib baik ada masjid selesa lain berdekatan. Saya pun singgah dan bermalam 25 Ramadhan. Lihat Masjid (Mosque of) Kampung Gunung, Gopeng.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan