Hari ini Khamis 5 Januari 2023 adalah hari ulang tahun kelahiran ke-48 bagi isteri. Ia adalah tarikh yang baik untuk mengeluarkan satu cerita baru. Tetapi sengaja ditunggu malam hari supaya dapat berkat malam Jumaat sekali. Bersambung dari artikel Perjalanan selatan Thailand penghujung 2022 : Mukadimah di Perak dan Kedah.
Pagi Jumaat 23 Disember 2022. Setelah bermalam di rumah kawan isteri di Jitra kami pun bersedia untuk menyambung perjalanan ke selatan Thailand.
Kami mahu masuk melalu Wang Kelian di Perlis.
Sebetulnya inilan laluan yang mahu diambil bagi perjalanan ke selatan Thailand pada penghujung 2019. Tetapi tak dapat disebabkan kereta rosak teruk sebelum Ipoh lalu harus menyambung dengan pengangkutan awam dan masuk dengan kereta api di Padang Besar. Lihat artikel-artikel lama berikut :-
Sebetulnya ada rasa risau juga kereta sama yang digunakan berusia lebih 20 tahun untuk membawa kami anak beranak akan membuat lagi ragam. Alhamdulillah, halangan pertama berjaya dilepasi apabila dapat mendaki jalan berliku curam ke kawasan pergunungan di Wang Kelian lalu kami berhenti sebentar untuk menikmati pemandangan. Lihat artikel
The heights of Wang Kelian di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.
Turun pergunungan melalui laluan berkenaan baru boleh ke pintu sempadan...
Ingatkan tak ramai orang. Rupa-rupanya beratur kenderaan hendak masuk. Nak sampai ke pintu sempadan pun lebih sejam...
Kemudian harus beratur di luar kenderaan pula untuk urusan cop paspot juga membawa masuk kereta dari Malaysia.
Selepas jam 3 petang waktu Malaysia baru betul-betul segalanya selesai. Kiranya dua jam setengah juga masa diambil sejak sampai ke tempat kereta beratur jam 12.30, masa yang boleh dijimatkan sekitar setengah jam jika tahu awal bahawa urusan isi borang-borang masuk sempadan boleh diselesaikan dahulu secara on-line...
Apapun alangkah leganya rasa dapat masuk ke selatan Thailand melalui Wang Kelian, atau di bahagian sebelah Thai dipanggil sebagai Wang Prachan. Maklumlah dari penghujung 2019 hendak masuk lalu situ, baru kini dapat...
Dengan itu, akhirnya juga, semua laluan sah untuk masuk ke Thailand dari Malaysia melalui jalan darat telah dapat saya lalui. Singgah di sebuah kedai untuk makan tengah hari lewat.
Perjalanan diteruskan ke bandar Satun. Singgah di pasar raya Lotus sebelum bandar untuk satu urusan.
Di situ kami bertukar ke SimCard Thailand bagi setiap orang supaya dapat menggunakan kemudahan Internet.
Bagi saya amatlah penting ada talian Internet supaya boleh menyemak laluan perjalanan melalui Google Map. Bagi anak-anak boleh terus layan games dan macam-macam. Hampir jam 4.30 waktu tempat (lewat sejam berbanding Malaysia) sampailah ke bandar raya Satun.
Terus mencari masjid utama untuk menjamakkan solat Zohor dan Asar. Hajat untuk bersolat Jumaat di sini tidak kesampaian disebabkan banyak masa dihabiskan bagi melepasi sempadan. Oh, wilayah Satun ini dahulu asalnya adalah daerah Setul dalam negeri Kedah. Kemudian ia menjadi negeri yang diperintah oleh kerabat diraja Kedah sebelum dimasukkan ke dalam pemerintahan Siam/Thailand.
Seterusnya kami ke jeti Tammalang sekitar 9-10 km ke barat daya bandar Satun.
Selain menjadi laluan keluar masuk feri ke Langkawi dari selatan Thailand tempat ini menawarkan pemandangan persekitaran tepi laut yang sangat menarik. Lihat
Wide vistas at the Tammalang pier.
Dari sana berkejar pula ke pantai Pak Bara lebih 70 km ke arah utara.
Perjalanan diteruskan lebih 100 km lagi ke utara untuk ke bandar raya Trang di mana kami telah menempah hotel untuk bermalam. Ini sudah keluar dari sempadan wilayah Satun/Setul.
Tengok-tengok ada lampu-lampu cantik berdekatan hotel di tengah bandar raya. Kami pun keluar berjalan kaki untuk menikmati keadaan. Lihat Early new year lights in Trang.
Untuk pengetahuan Trang berasal dari nama Terang, satu wilayah asal orang Melayu yang pernah juga berada di bawah pemerintahan kerajaan Kedah. Nah, sampai ke Trang dapat lampu-lampu cantik yang cukup terang. Semoga membawa makna baik yang lebih mendalam.
.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan