Selasa, Januari 03, 2023

Perjalanan selatan Thailand penghujung 2022 : Mukadimah di Perak dan Kedah

Salam sejahtera buat semua pembaca. Harus masih tidak terlambat untuk mengucapkan selamat tahun baru walaupun hari ini sudah hari ketiga bagi tahun 2023. Merujuk pada artikel Misi keluarga Laksamana dan mencari jejak melalui dokumentasi lama yang dipersembahkan pada 22/12/22 iaitu hampir 2 minggu lalu, artikel terakhir di blogspot ini bagi tahun 2022.  Ada disebut pada permulaan artikel bahawa ketika itu, ketika ia dipersembahkan saya telah memulakan satu perjalanan jauh yang dijangka akan meliputi jarak tidak kurang 2,000 km. Sukacita dimaklumkan bahawa perjalanan berkenaan dapat diselesaikan sebelum tengah hari Jumaat lalu 30 Disember. Namun baru kini ada kelapangan untuk mula berkongsi cerita.



Perjalanan secara rasminya bermula pagi Khamis 22 Disember 2022 apabila saya meninggalkan rumah bersama keluarga sekitar jam 8.40.




Masuk ke Lebuh Raya PLUS menuju ke utara...




Keluar di Tanjung Malim di mana kami bersarapan.



Oh. Kami keluar ini enam beranak. Apabila dapat disepakati waktu semua dapat bercuti cukup panjang dengan seorang anak berumur 22 tahun sudah bekerja dan seorang berumur 20 tahun sedang buat praktikal di kolej. Kali terakhir dapat keluar bersama begini untuk perjalanan jauh  adalah pada sekitar cuti Hari Kebangsaan tahun 2020. Lihat Kompilasi "Misi menghantar anak balik kolej". Sebelum itu pada  penghujung tahun 2019. Lihat Kompilasi cerita perjalanan Krabi dan selatan Thailand Disember 2019.

Sebelum ini ada kerisauan perjalanan tidak dapat dibuat kerana seorang lagi anak berumur 13 tahun yang sedang belajar di ma'ahad tahfiz (baru masuk mula Mac lalu) lain jadual cutinya dengan kebanyakan sekolah. Asalnya beliau dijadualkan cuma dapat bercuti hujung tahun 5 hari sahaja iaitu dari 27 hingga 31 Disember. Lalu kami telah bersedia untuk meminta cuti lebih bagi anak. Tengok-tengok pihak pengurusan ma'ahad memanjangkan cuti untuk semua jadi dari 17 hingga 31 Disember. Mungkin kerana selain kami ada keluarga lain juga ingin memohon cuti lebih memandangkan pada kebiasaannya pada hujung tahunlah anak-anak dapat keluar bercuti panjang lalu boleh berjalan bersama keluarga.




Berbalik pada perjalanan. Entah kenapa kali, setelah tidak terkira banyak kali pernah mengambil laluan sama di Tanjung Malim baru betul-betul hendak mengambil tahu tentang barisan gunung yang menghiasi ufuk ke timur pekan itu. Baru tahu gunung tertinggi dalam barisan itu adalah Gunung Liang (1,934 meter atau 6,343 kaki dari paras laut). Teringat bagaimana pada penghujung perjalanan terakhir di Perak sebelum itu saya telah mengambil satu laluan pendalaman lalu tergerak untuk masuk satu jalan ke pergunungan disebabkan ada papan tanda menyatakan ia membawa ke permulaan trek memanjat naik ke Gunung Liang. Lihat Misi keluarga Laksamana part VII - Menyelesaikan hajat ke Pos Tenau.




Dari Tanjung Malim saya mengambil jalan lama ke Teluk Intan.




Ada mesyuarat melibatkan keluarga Laksamana mahu dihadiri.




Cuma saya menyertai setakat sehingga masuk waktu rehat makan tengah hari sedangkan mesyuarat bersambung hingga ke jam 5 petang. Selepas itu pergi ke masjid keluarga di Batak Rabit untuk menjamakkan solat Zohor dan Asar juga beriktikaf sebentar.



Perjalanan diteruskan dengan menghala ke Lekir untuk mengambil lebuh raya baru Pantai Barat.




Keluar di Beruas kerana lebuh raya belum siap sepenuhnya. Dari situ mengambil jalan kampung hingga ke Taiping lalu masuk kembali ke Lebuh Raya PLUS.



Masuk Seberang Perai jam 5 petang lalu menghadapi kesesakan lalu lintas yang agak teruk.




Jam 5.49 baru bertemu tempat yang sesuai untuk 'makan tengah hari (sangat lewat) iaitu di RnR Gurun menghadap Gunung Jerai.




Dapat pekena hidangan kari teluk ikan murah tapi cukup enak...




Hampir waktu Maghrib sampailah ke bandar raya Alor Setar lalu terus menuju ke Masjid Zahir.



Di sini kami menunaikan solat Maghrib berjemaah kemudian menjamakkan Isyak sebelum menyambung perjalanan. Oh. Adapun sejurus selepas selesai bersarapan di Tanjung Malim saya dan isteri mendapat berita bahawa seorang sahabat seperjuangan kami dalam dunia aktivis mendaulatkan Melayu dan Islam telah kembali ke rahmatullah. Walau tahu sejak sebulan lebih sebelum itu sahabat berumur 50 tahun yang dikenali sebagai Lang Indah itu terdampar atas katil seperti orang lumpuh atas sebab yang tidak jelas, katanya ada kena mengena dengan sakit saraf, kami menyangkakan beliau mampu lagi pulih walaupun harus mengambil masa dan banyak usaha. 

Beliau jatuh sakit itupun secara tiba-tiba daripada keadaan yang kelihatan sihat walafiat dan cukup bertenaga. Sebagai salah seorang pemimpin NGO bernama Armada Malaiu yang dikenali ramai dalam dunia aktivis kami yang melibatkan banyak kumpulan dan perguruan persilatan, busana tradisional Melayu dan gerakan-gerakan berkenaan, sebagai seorang yang paling rajin menyokong gerakan NGO saya sendiri atas nama HIKMAH (lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH)) tentunya kehilangan beliau amat dirasai. Al-Fatihah untuk almarhum Lang Indah.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan