Jumaat, November 25, 2022

Mencari jejak Orang Kaya Arshad melalui dokumentasi lama British part VI

Salam tengah hari Jumaat 30 Rabiulakhir 1444 Hijriah. Merujuk pada artikel-artikel berikut yang dibuat dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan iaitu tentang saya mula rajin membuat kajian kepustakaan untuk mencari cerita-cerita berkenaan datuk kepada datuk saya Orang Kaya Muhammad Arshad bin Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di Perpustakaan Negara, Arkib Negara dan institusi-institusi sebegitu :-


1. Mencari jejak Orang Kaya Arshad melalui dokumentasi lama British  - dipersembahkan pada hari Rabu 27 Julai.
 






Melalui tarikh-tarikh ini dapat dilihat bahawa kali terakhir saya ada membuat kajian  sebegitu adalah pada lebih 2 bulan lalu. Bukanlah bermakna tidak membuat kajian langsung di celah-celah itu. Cuma lebih banyak melalui atas talian. Kali ini baru keluar lagi secara fizikal ke institusi lalu dapat dipersembahkan cerita seterusnya...




Merujuk pada artikel Mencari jejak Orang Kaya Arshad melalui dokumentasi lama British part V di mana diceritakan keadaan ketika kali terakhir membuat kajian di institusi iaitu pada 14-15 September lalu. Ada disebut bahawa pada ketika itulah saya pertama kali melakukannya di Arkib Negara. Sebelum itu setakat pernah datang untuk majlis-majlis ilmu. Sebetulnya ada perkara tergantung dari lawatan pertama itu. Sejurus sebelum arkib tutup waktu petang saya dapat menemui rujukan bagi satu gambar yang mana ada tertera nama moyang saudara saya Ali Wasi (Laksamana Muhammad Ali Wasi) bin Orang Kaya Arshad tetapi tidak sempat melihat gambar.



Ketika itu saya baru mengenali prosedur bagi mendapatkan bahan di Arkib Negara. Seseorang perlu mencari dahulu nama bahan dalam sistem dalaman komputer kemudian membuat tempahan bagi bahan yang disimpan dalam satu gedung khas di lain lokasi. Selepas itu perlu menunggu dalam tempoh sekurang-kurangnya 30 minit untuk bahan sampai ke dewan penyelidikan lalu baru boleh diambil untuk rujukan. Tidak boleh dibawa keluar dewan. Yang boleh adalah membuat salinan photostat atau digital melalui kaunter dengan sedikit bayaran, kalau photostat 30 sen sekeping bagi setiap salinan atas kertas A4, kalau digital RM30 dalam format gambar JPEG. Oleh itu memang tak sempatlah hendak mendapatkan hari itu.

Maka itu jadilah ia perkara tergantung buat beberapa lama. Selain itu ada satu gambar telah ditemui sekian lama melalui sistem luaran atas talian Arkib Negara tetapi rupa-rupanya perlu ditempah secara fizikal di kaunter.  Nak pergi lagi ke arkib kena tunggu masa yang sesuai sedangkan banyak kesibukan berlaku selepas itu. Ini dapat ditunjukkan melalui cerita-cerita berikut...










Di celah-celah itu juga saya sedang menulis buku baru iaitu tentang Laksamana Muhammad Amin dan anaknya Orang Kaya Arshad. Penulisan yang dimulakan pada 1 September ini telah mencapai 370 muka surat. Sambil itu juga kereta-kereta kami ada masuk bengkel agak lama, lepas satu satu. Sedangkan kami suami isteri memiliki dua buah kereta sahaja. Saya tak boleh keluar kawasan lebih setengah hari jika tiada kereta dapat digunakan untuk isteri mengganti bagi menghantar dan mengambil anak ke sekolah. 




Minggu hadapan pula sekali lagi perlu ke Ipoh untuk urusan mahkamah melibatkan keluarga Laksamana. Maka kali ini saya bertekad mesti menyelesaikan hal tergantung sebelum itu. Pagi Selasa 22 November 2022, satu tarikh yang cantik (22/11/22) dipersembahkan artikel Ke Muar bagi PRU-15 supaya lepas daripada dada apa yang berlaku pada hujung minggu baru ini iaitu berkenaan Pilihan Raya Umum 2022. Petang itu, selepas menghantar anak ke sekolah agama jam 2.30 saya pun bergerak ke Arkib Negara lalu sampai sekitar jam 3.10 petang.

Kali ini saya telah membuat sedikit penyelidikan awal melalui atas talian lalu mendapati terdapat 2-3 bahan lagi mahu dipohon di dewan penyelidikan. Tengok-tengok bahan tidak dapat dikeluarkan kerana bahagian berkenaan sedang dibuat kerja renovasi lalu khidmat tersebut cuma terpakai pada waktu pagi. Nasib baiklah diberitahu bahawa bahan yang tergantung itu ada gambar digital lalu boleh dilihat terus di dalam komputer. Dengan itu selesailah satu urusan. Yang lain harus disambung keesokan hari...




Oh. Tentang satu gambar yang sudah disasarkan lebih lama dahulu tetapi nak tempah duit sedang kurang. Kali ini baru ada sedikit bajet. Tengok gambar yang dipohon salinan digitalnya itu pun tidak boleh didapatkan terus hari itu. Kena menunggu dalam tempoh 14 hari bekerja baru dihantar melalui e-mail.

Arkib ditutup jam 4.30 petang.  Maka itu cuma sempat berada kurang satu setengah jam sahaja. Nasib baik dapat memanfaatkan masa dengan mencari lalu mengkaji sebuah buku yang relevan tentang hal keluarga Laksamana. Asalnya hendak dicari di Perpustakaan Negara, tengok-tengok di perpustakaan Arkib Negara pun ada lalu sempat menyemak semua isinya. Saya meninggalkan persekitaran arkib dalam keadaan cukup lega.




Dari Arkib Negara cuma 1.7 km sahaja untuk ke tempat saya belajar iaitu ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam). Kali terakhir singgah adalah ketika membuat kajian di arkib sebelum ini seperti diceritakan dalam artikel Mencari jejak Orang Kaya Arshad melalui dokumentasi lama British part V lebih 2 bulan lalu. Persinggahan tersebut menyaksikan saya pertama kali bermalam di ISTAC sejak berlakunya PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) demi membendung wabak Covid-19 pada bulan 18 Mac 2020.




Persinggahan terbaru ini pula adalah kali pertama saya ke ISTAC setelah bermula semester baru awal bulan Oktober. Bermula semester ini kelas fizikal diadakan kembali sejak lebih 2 tahun digantikan dengan kelas secara atas talian disebabkan PKP.



Keadaan dalam masjid ISTAC. Alhamdulillah sempat mengikuti satu kelas tentang Islam di Alam Melayu. Kali terakhir saya masuk kelas adalah pada penghujung tahun 2018. Selepas itu saya sudah cukup syarat datang kelas lalu cuma ke ISTAC untuk menghadiri syarahan terbuka atau/juga berbincang dengan penyelia tesis saya, Prof Emeritus Datuk Dr Othman Bakar.



Ini adalah gambar ketika hendak memulakan solat Subuh berjemaah di masjid ISTAC pada awal pagi Rabu 23 November. Saya telah bermalam lagi di masjid. Oh ketika bertandang ke ISTAC sebelum ini saya masih lagi dalam proses menguruskan penyerahan tesis secara rasmi. Walaupun tesis sudah siap beberapa lama sebelum itu selagi tidak selesai syarat-syarat penyerahan seperti mengisi borang-borang tertentu yang kemudian ditandatangani oleh orang-orang terentu selagi itu tak selesai perkara lalu boleh  terseret ke semester seterusnya. Kalau terseret sebelum selesai perlu bayaran yuran satu semester walaupun tidak menghadiri kelas mahupun menggunakan apa-apa lagi kemudahan institusi. Membazir duit sahaja...



Alhamdulillah proses akhirnya dapat diselesaikan sebelum semester bermula. Sekarang cuma menunggu selesai penilaian tesis oleh pakar-pakar berkenaan. Pemandangan ke utara Kuala Lumpur dari luar masjid. Bangunan Arkib Negara harus terletak di celah-celah atau sebalik bangunan-bangunan di tengah gambar.




Selepas Subuh saya berzikir dan mengaji Al Quran sehingga matahari naik kemudian menyambung tidur. Selepas jam 10 baru meninggalkan ISTAC untuk ke arkib.




Kali ini perlu mengambil jalan jauh kerana dari ISTAC tidak boleh mengambil simpang terdekat ke arkib disebabkan aturan aliran trafik. Perlu mencari tempat untuk membuat pusingan ke arah arkib, paling dekat adalah di simpang naik ke Istana Negara. Tengok-tengok ia ditutup akibat kemelut politik dalam membentuk kerajaan baru selepas PRU-15 menyaksikan tidak ada pihak mendapat majoriti mudah lalu perlu membentuk gabungan. Sedangkan antara mereka sering sahaja bertelagah disebabkan kelainan matlamat dan ideologi.



Nak tak nak perlu ambil jalan lebih jauh. Lebih 10 km kena lalu walaupun jarak sebenar antara ISTAC dengan arkib sebenarnya cuma 1.7 km. Apapun sampai juga akhirnya selepas jam 10.20.



Saya berada di arkib sehingga ia ditutup jam 4.30. Alhamdulillah dapat sejumlah maklumat yang dihajatkan termasuk bilakah sebenarnya Laksamana Muhammad Amin dipindahkan ke Singapura setelah dibuang ke Pulau Seychelles pada tahun 1877 akibat terlibat dalam pembunuhan Residen pertama British ke Perak iaitu J.W.W. Birch pada 2 November 1875. Satu lagi penemuan menarik, adapun menurut cerita keluarga dan rekod beliau mendapat beberapa orang anak ketika di Singapura bersama isteri bongsu. Seorang bernama Ali Akbar kemudian menjadi Laksamana pada tahun 1981. Saya menemui surat akuan sumpah yang dibuat oleh Ali Akhbar pada tahun 1958 menyatakan beliau lahir pada tahun 1907. Tetapi menurut beberapa dokumen lain Laksamana Muhammad Amin meninggal dunia pada tahun 1904. Nampak tak apa yang tak kena?



Hal ini boleh menimbulkan pertikaian kerana ia melihatkan hak untuk memegang jawatan Laksamana juga hak untuk mendapat harta faraid Laksamana Muhammad Amin. Tidak perlulah dipanjangkan di sini. Pembaca yang jujur dan tidak berkepentingan boleh fikir sendiri. Esoknya pagi Khamis 24 November, selepas bermalam di rumah kawan di Desa Sri Hartamas saya ke Perpustakaan Negara untuk meneruskan kajian.



Tergerak untuk ke bahagian manuskrip terlebih dahulu...




Tengok-tengok di sini pun ada koleksi buku yang boleh membantu.




Kalau tak dapat ditemui maklumat tentang Orang Kaya Arshad pun terdapat maklumat lain untuk membantu penulisan buku tentang beliau dan bapanya Laksamana Muhammad Amin...







Selepas itu baru ke bahagian biasa bacaan.




Seperti biasa saya suka mengambil satu sudut yang terlindung dalam dewan bacaan di mana terdapat banyak buku sejarah terutama tentang negeri Perak, Semenanjung Tanah Melayu ini sendiri juga tentang Aceh kerana berkaitan dengan sejarah keluarga. Rupa-rupanya sambil saya sibuk menelaah ketika itu juga Majlis Raja-raja bersidang untuk memberikan kata putus tentang pembentukan kerajaan baru. Selepas perpustakaan tutup jam 5 petang lalu saya pun keluar lalu menapat tahu satu kerajaan 'perpaduan' telah dibentuk dengan Dato' Seri Anwar Ibrahim dipilih menjadi Perdana Menteri Malaysia yang ke-10.


Selasa, November 22, 2022

Ke Muar bagi PRU-15

Salam pagi Selasa 22/11/22 bersamaan 27 Rabiul Akhir 1444 Hijriah. Sedikit cerita daripada hujung minggu baru ini.



Seperti semua tahu hari pengundian bagi Pilihan Raya Umum atau PRU ke-15 jatuh pada hari Sabtu 19 November 2022. Lalu kerajaan mengisytiharkan cuti umum bermula Jumaat 18 November untuk memudahkan orang ramai bergerak ke tempat mengundi masing-masing. Saya pula menggunakan ini untuk kembali ke kampung ibu bapa saya di Muar. Saya membawa isteri dan anak-anak bergerak selepas Maghrib Jumaaat malam Sabtu untuk mengelakkan kesesakan jalan raya.



Sebelum itu iaitu pada pagi Khamis 17 November saya telah mengambil anak berumur 13 tahun yang sedang belajar di sekolah ma'ahad di Janda Baik. Untuk itu saya telah bergerak pada malam sebelumnya lalu bermalam di rumah bapa angkat saya, penulis buku terkenal, Syed Hussein Al-Attas atau Pak Habib. Dalam perjalanan kembali ke rumah selepas itu pula mengambil anak tiri berumur 20 tahun di Bandar Tasik Puteri. Pada malam kembali ke Muar hantar kembali beliau ke rumahnya sebelum meneruskan perjalanan melalui lebuh raya bertol sejauh mungkin mengambil kesempatan atas tol percuma yang ditawarkan Jumaat dan Sabtu sempena pilihan raya.



Ini adalah keadaan di luar rumah ibu bapa saya di Kampung Temiang, Muar pada keesokan pagi Sabtu 19 November iaitu hari mengundi.






Tengah hari keluar ke bandar Muar atau Bandar Maharani untuk mengundi membawa ibu bapa...







Selepas itu berjalan ke Tanjung Emas dan sekitarnya...







Adik kedua saya ikut sekali dalam satu kereta membawa anak kecilnya. Layan makan minum sekeluarga...



Singgah untuk bersolat di masjid jamek Muar...







Entah kenapa, kali ini timbul rasa untuk naik ke atas mimbar.




Layan aaa duduk sat kat atas tu...




Esoknya tengah hari Ahad 20 November, selepas berjalan-jalan lagi di bandar Muar baru mengorak langkah untuk kembali ke rumah sendiri di Rawang, Selangor.




Tetapi kami perlu menghantar dahulu anak kembali ke ma'ahad di Janda Baik. Maka itu dipilih laluan melalui Jasin membawa ke Bahau membawa ke Karak. Singgahlah di beberapa tempat. Lihat artikel-artikel berikut di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) :-







Selepas Karak, didapati banyak laluan menuju ke arah Lembah Klang dilanda kesesakan teruk.




Kami cuba mengambil laluan yang paling kurang kesesakan. Pun begitu selepas Maghrib baru dapat sampai ke Janda Baik.



Dari Janda Baik kami mengambil jalan ke Genting Highlands lalu keluar di Batang Kali. Sampai rumah jam 11 malam lalu mendapati kami telah berjalan sejauh hampir 650 km.