Jumaat, Ogos 19, 2022

Mencari jejak Orang Kaya Arshad melalui dokumentasi lama British part IV

Salam petang Jumaat 21 Muharram, Jumaat kedua bagi tahun baru 1444 Hijriah. Hari ini ingin dipersembahkan satu cerita yang merupakan kesinambungan bagi artikel-artikel berikut :-







Ia juga merupakan kesinambungan daripada cerita perjalanan ke Perak dan Pulau Pinang 7-11 Ogos 2022 seperti dihimpunkan dalam artikel Misi Keluarga Laksamana part III. Ini kerana perjalanan tersebut menyaksikan saya membuat kajian dokumentasi lama British di Perpustakaan Hamzah Sendut di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang pada hari Selasa dan Rabu 9-10 Ogos. Dan sebelum itu iaitu pada petang Isnin 8 Ogos saya telah membuat kajian serupa di perpustakaan Muzium Perak di Taiping. Ini ceritanya...




Pagi Rabu 17 Ogos 2022. Sekali lagi, buat kesekian kali dalam tempoh lebih dua bulan kebelakangan saya harus meninggalkan rumah untuk hal-hal melibatkan keluarga besar belah bapa saya, keluarga Laksamana Raja Mahkota Perak.




Sampai berdekatan satu tempat terasa hendak berhenti menikmati pemandangan sungai dan mendengar bunyi aliran air yang mendamaikan sambil menyambung proses pengkhataman Al-Quran bagi bulan Muharram. Pada ketika itu baru hendak masuk Surah Ar-Rum, surah ke-30 Al-Quran iaitu pada awal juzuk ke-21. Oh. Beberapa hari sebelum itu saya diberitahu oleh saudara ada kemungkinan harus menghadiri mesyuarat bersama ahli jawatankuasa masjid lama warisan keluarga di Batak Rabit pada malam 17 Ogos.

Adus. Penat tu. Baru 7-11 Ogos ke Perak dan Pulau Pinang membuat perjalanan lebih 1,000 km selain kepala penat menelaah sangat banyak dokumen, satu kerja yang sebenarnya sambung menyambung sejak lebih sebulan lebih kebelakangan seperti dinyatakan dalam artikel Mencari jejak Orang Kaya Arshad melalui dokumentasi lama British diikuti Mencari jejak Orang Kaya Arshad melalui dokumentasi lama British part II dan Mencari jejak Orang Kaya Arshad melalui dokumentasi lama British part III. Di celah-celah itu ada membuat perjalanan ke Perak 24-26 Julai seperti diceritakan dalam Misi Keluarga Laksamana part II. Sebelum itu ada urusan berkenaan di Perak (lihat Day trip misi Teluk Intan 14 Jun 2022) diikuti hal melibatkan mahkamah lalu keluar bermusafir  27-29 Jun (lihat Kompilasi cerita "Misi keluarga Laksamana"). Yang disebut ini cuma hal-hal melibatkan keluarga Laksamana. Sedangkan terdapat banyak lagi urusan juga perjalanan lain dibuat dalam tempoh masa berkenaan.

Untuk hal melibatkan mahkamah (lihat apa sebenarnya ceritanya dalam Misi keluarga Laksamana - Solidariti keturunan Orang Kaya Arshad dan adik seibu sebapanya Aminah) saya dijadualkan perlu berada di Ipoh lagi pada 24 Ogos kemudian 19 September. Jadi bayangkan penatnya kalau perlu berada di Batak Rabit pada 17 Ogos sedangkan baru sahaja kembali dari perjalanan lebih 1,000 km meliputi Perak dan Pulau Pinang 7-11 Ogos. Itu penat berjalan campur penat mengkaji dokumentasi. Bagaimana pula penat menulis untuk berkongsi cerita semua ini dengan jujur? Bayangkan.




Nasib baik pada hari Isnin 16 Ogos mendapat panggilan dari pihak masjid bahawa tidak ada keperluan untuk saya ke sana. Cukup mesyuarat diadakan ringkas bersama AJK qariah. Dengan itu tidaklah perlu berada di Perak pada 17 Ogos. Lalu ditukar rancangan menjadi ke Perpustakaan Negara pula untuk menyambung lagi kajian terhadap dokumentasi-dokumentasi lama British.

Oh. Yang di tepi sungai tadi adalah di Hutan Lipur Kanching, Rawang. Kalau dalam perjalanan ke Teluk Intan ada beberapa tempat serupa boleh disinggahi. Terbaru yang saya tahu adalah di Ulu Slim. Lihat Misi Keluarga Laksamana part II - Dari Lubuk Merbau ke Kuala Kangsar membawa ke Ulu Slim.





Kali ini terus menuju pada bahagian buku-buku bacaan, bukan pada bahagian dokumentasi primer seperti Perak Government Gazette dan Perak Estimates atau koleksi surat menyurat pejabat British dalam koleksi C0273 dan sebagainya seperti dilakukan pada hari-hari sebelum itu di pelbagai tempat.




Tetapi jangan ingat buku-buku tidak mengandungi dokumentasi primer British. Ini kerana jurnal-jurnal tulisan pegawai kolonialis seperti J.W.W. Birch, Frank Swettenham, Leftenan Gabernor Anson, Major McNair dan sebagai boleh ditemui dalam bentuk buku. Selain itu adalah buku-buku dalam bentuk dokumentasi sekundar kerana dinyatakan jelas merujuk pada dokumen-dokumen primer seperti C0273 lalu dinyatakan dengan teliti nombor dokumen dalam sistem filing berkenaan dan tarikh-tarikhnya. Dan di bahagian buku juga terdapat tulisan-tulisan lama juga tulisan lebih baru tetapi merujuk pada zaman yang lama dalam koleksi besar jurnal berguna lagi berotoriti seperti JMBRAS, Journal of Malaysian Branch of Royal Asiatic Studies.




Lewat petang selepas perpustakaan tutup jam 5 baru keluar untuk menikmati mee Aceh di Chow Kit.




Dari situ boleh berjalan kaki sahaja ke masjid Kampung Baru untuk menunaikan solat Maghrib.







Selepas itu pergi ke Dataran Merdeka dan Bangunan Sultan Abdul Samad di hadapannya. 




Tengok-tengok persiapan sedang dibuat untuk menyambut Hari Kemerdekaan Negara 31 Ogos...




Sambung lagi berjalan melihat pertemuan aliran Sungai Klang dengan Sungai Gombak iaitu tempat asal yang memberikan nama Kuala Lumpur sebelum ke bahagian-bahagian lain bandar raya. Teringat ketika berumur 18-19 tahun, tahun 1988-1999 dahulu yang mana saya suka berjalan kaki tak kira siang mahupun malam merata seorang diri di KL. Walaupun ramai kawan juga ramai teman wanita boleh menemani ke mana-mana hakikatnya ada masa-masa tertentu saya lebih suka berjalan seorang diri. Bersama kawan dan teman wanita saya mungkin lebih santai, lebih banyak bersuka ria. Tetapi apabila berseorangan? Fikiran saya jadi lebih mendalam memikirkan pelbagai hal termasuk bab-bab keTuhanan.




Ini pula tempat saya menginap pada malam itu. 




Gambar diambil sebelum menunaikan solat Subuh berjemaah awal pagi Khamis 18 Ogos 2022.




Saya telah bermalam di masjid ini di Jalan Pahang. Tepat 3 minggu sebelum itu saya telah bermalam di masjid lama berusia hampir seabad di sebelahnya. Lihat cerita berkenaan dalam artikel  Mencari jejak Orang Kaya Arshad melalui dokumentasi lama British part II.




Sesungguhnya begitulah saya sejak 20 tahun lalu. Bersedia untuk bermalam di mana-mana masjid ketika keluar bermusafir. Kalau terasa penat boleh sahaja berhenti di mana-mana. Dapat setengah jam rehat  di suatu surau ataupun masjid pun jadi kemudian sambung perjalanan. Kalau penat lagi rehat di tempat lain pula...




Nasib baik isteri kesayangan sangat memahami. Dia tahu saya mahu memberikan tumpuan pada kajian. Kadangkala saya belum menyuarakan hasrat beliau pula mencadangkan lalu menyiapkan barang keperluan seperti pakaian malah selimut dan bantal. Ikutkan Perpustakaan Negara tidaklah jauh sangat, dalam 50 km dari rumah. Tapi ulang alik jadi 100 km juga selain perlu menempuh kesesakan jalan raya lalu membuang tenaga dan masa.

Maka isteri sedia faham kalau sekali keluar terus dibuat kajian selama dua hari berturut-turut, tidurlah mana-mana di luar yang mudah buat saya. Selain menjimatkan masa dan jarak perjalanan (dua hari pergi balik dah jadi 200 km) saya memang suka beriktikaf di masjid. Ada suatu macam ketenangan yang susah hendak digambarkan apabila keluar bermusafir seorang diri. Bahasa mudahnya, saya selalu masuk dalam keadaan syahid iaitu 'menyaksikan' apabila keluar mengembara. Mereka yang faham faham le apa maksudnya.




Oh. Tadi tu gambar selepas berehat di sebuah masjid dekat Tasik Titiwangsa. Selepas itu singgah sebentar di tasik. Selain berehat sebentar kerana sudah bangun jam 5 saya perlu menunggu perpustakaan dibuka pada jam 10 pagi. Ketika gambar ini diambil sudah tepat jam 9.39...




Gambar ini pula diambil pada jam 9.49, selepas meletakkan kereta dalam kawasan perpustakaan.




Gambar ini diambil pada jam 9.54. Belum jam 10 tapi sudah dibenarkan masuk alhamdulillah. Terus menuju ke bahagian sama seperti hari sebelumnya.

 


Kali ini bawa sleeping bag sekali supaya dapat masuk separuh badan. Bukan apa. Sejuk wooo air cond bila dah duduk lama dalam perpustakaan. Dan saya sedang berpuasa sunat hari Khamis, jadi kurang pembakaran lalu kurang haba dalam badan. Di sudut berkenaan  'berkampung' sehingga ke petang. Sambil mengkaji buat rujukan silang atau cross reference menggunakan komputer riba juga menaip maklumat tambahan.




Satu perkara yang disedari sepanjang rajin mengkaji dokumentasi British dalam lebih sebulan kebelakangan itu adalah betapa telitinya pihak penjajah (yang disebut cuma sekadar penaung oleh sesetengah orang disebab perjanjian-perjanjian tertulis begitu walhal hakikatnya perbuatannya tetap menjajah) dalam merekodkan peristiwa, nama-nama orang, nama-nama tempat, belanjawan untuk itu dan ini dan sebagainya. Saya telah melihat dokumen-dokumen primer asli  berumur seawal 150 tahun berserta dokumen-dokumen sekunder yang merujuk pada dokumen-dokumen primer daripada pertengahan abad ke-17 dan sebagainya lalu melihat para pegawai Belanda juga sama teliti. Yang tinggal nampaknya adalah apakah kita sendiri memiliki koleksi rekod mereka yang lengkap. Jelas pada saya tidak kerana ada 'rongak' tahun-tahun yang tiada rekod.

Pun begitu kita tidak boleh mengharapkan mereka untuk merekodkan semua perkara. Ini kerana ada yang mungkin dianggap penting oleh kita tetapi tidak bagi mereka. Untuk perkara-perkara yang direkodkan pula kita harus juga tahu menapis mana yang boleh diambil terus kerana bersifat objektif, mana yang harus ditapis kembali melalui sudut pandang kita sebagai orang Melayu kerana ada yang jelas bias keBaratannya akibat memandang kita orang Timur sebagai tidak bertamadun. Misalnya mengatakan orang Melayu dahulukala tidak berpelajaran. Padahal ramai yang berpelajaran tetapi menurut pengajian Melayu Islam tradisional, bukan pengajian acuan Barat. Atau mengatakan ramai buta huruf. Tetapi sebenarnya cuma tahu membaca tulisan Jawi, tidak tulisan Rumi.

Apapun secara rata saya kagum melihat bagaimana rajinnya pegawai-pegawai Barat menulis dan merekodkan pemerhatian dan pengalaman. Dan mereka-mereka ini ramai yang memiliki rekod perkhidmatan cemerlang. Pernah berkhidmat di lain-lain bahagian dalam Empayar British seperti di Afrika dan India, ada latihan ketenteraan, banyak pengalaman berurusan dengan orang tempatan, biasa lasak keluar masuk hutan menghadap binatang buas bagai. Kalau di Tanah Melayu ni sampai jampi serapah kita pun dikajinya. Diberitakan, selain tahu selok belok bahasa orang Melayu sampai ke pantun dan syair ada yang sebetulnya turut belajar silat dan mengambil ilmu kebal. Memang bukan calang-calang.




Dalam pencarian kali ini saya menemukan sesuatu yang sangat memberangsangkan melibatkan nombor 13 dalam kedudukan Laksamana di negeri Perak. Saya pun memberitahu ahli keluarga terdekat melalui WhatsApp, ahli keluarga keturunan Laksamana yang selama ini paling rajin ke sana ke mari untuk mencari kebenaran yang sudah lama tersembunyi. Tengok-tengok jam telefon pintar saya menunjukkan waktu 13:13. Seolah-olah mengesahkan perkara yang melibatkan nombor 13 itu selain terkait pula dengan kesukaan terhadap nombor 131 yang pada saya melambangkan home sweet home atau rumahku syurgaku. Lihat artikel lama Punca kesukaan pada nombor 131 - Hal rumah yang membuka sedikit luka lama juga Nombor 131 dan makna satu pernikahan...

Cuma di sini tidaklah dapat dikongsikan apakah perkara memberangsangkan melibatkan nombor 13 itu. Ini kerana saya tahu ada pihak-pihak tertentu sedang memantau penulisan-penulisan saya terutama yang melibatkan keluarga Laksamana. Saya tahu ada pihak sedang mencari cacat cela untuk menjatuhkan jalur atau cabang belah saya iaitu daripada waris keturunan Orang Kaya Muhammad Arshad bin Laksamana Muhammad Amin.

Sambil itu ada pula pihak mahu menumpang penat lelah kajian saya untuk mengenengahkan diri mereka sebagai champion. Kononnya mahu membela keluarga Arshad padahal sebenarnya mahu menaikkan jalur lain yang pihak kami sendiri semakin lama semakin sangsi apakah benar keturunanan Laksamana? Atau sebenarnya keturunan anak tiri, mungkin anak angkat malah mungkin sekadar keturunan penjaga seperti nurse lelaki Laksamana pada zaman lanjut usia. Tetapi anak cucunya pula kemudian mengaku sebagai keturunan lalu dapat menyelitkan nama ke dalam salasilah yang dibuat seperti mana halnya ada pihak cuba melakukan 2-3 tahun kebelakangan tetapi kami dapat menyedari lalu menyanggahnya.

Oh. Melihat bagaimana gigihnya para pegawai British membuat catatan peristiwa dan perjalanan sambil rajin juga turun ke padang masuk ke tempat-tempat pendalaman sama ada dengan menaiki bot, naik gajah atau berjalan kaki sehingga turun naik gunung, bukan sekadar pandai bercakap dalam Internet menggunakan maklumat-maklumat ciplak seperti dilakukan ramai orang sekarang timbul pertanyaan dalam fikiran apakah datuk kepada datuk saya Orang Kaya Arshad dan bapanya Laksamana Muhammad Amin tidak membuat catatan tentang perjalanan-perjalanan dan tindakan mereka di Perak? Atau di mana sahaja mereka berada, misalnya ketika Laksamana berada dalam buangan di Pulau Seychelles dari tahun 1877 sebelum dialihkan ke Singapura tahun 1891 di mana beliau meninggal dunia tahun 1904? Saya fikir harus ada. Cuma mungkin sudah hilang atau dirosakkan. Kalau tidak bagaimana boleh ada anak cucu keturunan seperti saya yang boleh menjadi wartawan walaupun merupakan seorang lulusan universiti luar negara dalam bidang matematik? Yang sehingga kini umur hendak masuk 52 tahun  pun masih rajin mengembara ke sana ke mari lalu mencatat tentangnya walaupun tidak semua dapat dikongsikan atas sebab-sebab tertentu termasuk kerahsiaan ilmu dan maklumat?

Yang saya dapat tahu melalui kajian-kajian kebelakangan ini baik Arshad mahupun Muhammad Amin adalah orang yang bijak pandai dan kuat penghayatan agama Islam selain tinggi ilmu kepahlawanan dan berani orangnya. Selain itu  mereka adalah orang yang rajin membaca. Sehingga ada catatan Barat memberitahu naskah Hikayat Shamsul Bahrin yang katanya ada kena mengena dengan kerajaan Beruas lama yang berada dalam edaran zaman sekarang sebenarnya adalah salinan daripada naskah tulisan tangan simpanan Arshad. Cukup.


Rabu, Ogos 17, 2022

Misi Keluarga Laksamana part III

OK. Artikel kompilasi bagi perjalanan ke Perak dan Pulau Pinang baru ini.  Untuk makluman ia adalah artikel ke-2,299 di CATATAN SI MERAH SILU.


Perjalanan ini berlaku 7 hingga 11 Ogos 2022 dengan tujuan utama mahu melakukan penyelidikan menggunakan dokumen-dokumen lama British yang tersimpan di perpustakaan Universiti Sains Malaysia di Pulau Pinang bersama saudara mara daripada keluarga Laksamana Raja Mahkota. Katanya perpustakaan memiliki banyak koleksi yang Arkib Negara pun kini tiada lagi kerana kerosakan mikrofilem. Sambil itu ada saudara telah mengatur agar diadakan majlis tahlil buat nenek moyang kami di masjid peninggalan keluarga di Batak Rabit, Teluk Intan, Perak. Maka diaturlah perjalanan agar dapat ke tahlil yang kebetulan jatuh pada malam 10 Muharram sebelum bergerak ke Pulau Pinang. 

Sambil itu diambil kesempatan untuk berziarah ke banyak tempat sepanjang keluar bermusafir selama 5 hari 4 malam itu lalu meliputi jarak keseluruhan 1,001.3 km. Sebenarnya itu adalah jarak pemanduan kereta yang dibuat oleh saya berdasarkan meter kereta. Jarak sebenar perjalanan kena tambah lagi 36 km kerana ada naik kereta kawan ke Balik Pulau dari USM sebelum dihantar kembali untuk menyambung kerja-kerja penyelidikan di perpustakaan.


1. The Bernam river at the end of Pulau Ganda Suli 

2. Makam (Tomb of) Ibrahim bin Taha

3. Makam (Tomb of) Laksamana Sulaiman

4. Misi Keluarga Laksamana part III - Mencari makam di Sungai Durian

5.  Perak river from the backyard of a house at Batak Rabit

6. Lawatan baru ke Muzium Perak (New visit to the Museum of Perak), Taiping 

7. Misi Keluarga Laksamana part III - Ke Taiping sebelum ke Pulau Pinang

8. Pasir Panjang beach at one end of Pulau Pinang

9. The fisheries jetty at Teluk Bahang

10. Masjid terapong (Floating mosque of) Tanjung Bungah 

11. Misi Keluarga Laksamana part III - Mengkaji di USM sebelum pusing pulau

12. Lawatan baru ke Masjid Haji Kassim (New visit to the mosque of Haji Kassim)





















Selasa, Ogos 16, 2022

Misi Keluarga Laksamana part III - Tasik-tasik di Lenggong membawa ke Ipoh diikuti Tapah

Salam petang Selasa 18 Zulhijjah 1444 Hijriah.  Setelah beberapa lama pergi kita pada cerita hari ke-5 dan terakhir bagi perjalanan baru Perak dan Pulau Pinang. Bersambung daripada artikel Misi Keluarga Laksamana part III - Menyambung penyelidikan seorang diri sebelum berkejar ke Kota Raja Bersiong.



Pagi Khamis 11 Ogos 2022. Pemandangan dalam sebuah masjid sebelum masuk Subuh di sebuah masjid ke selatan pekan Lenggong.




Saya telah bermalam di masjid ini kerana sudah tidak larat lagi hendak memandu lebih jauh.




Selain itu saya mahu melihat pemandangan kawasan-kawasan seterusnya pada waktu siang.




Di beberapa bahagian terdapat tasik-tasik cantik malah sebuah makam tunggal betul-betul di tepi tasik. Lihat artikel-artikel berikut di blogspot BERPETUALANG KE ACEH dan SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART)  :-











Selepas itu pergi ke Lubuk Merbau untuk singgah di masjidnya kemudian ke makam seorang ulamak besar zaman moden. Lihat Masjid (Mosque of) Lubuk Merbau diikuti Makam (Tomb of) Sheikh Idris Al-Marbawi.




Dari situ terus masuk ke Lebuh Raya Utara Selatan menuju terus ke bandar raya Ipoh.







Singgah ke Masjid Paloh dengan tujuan untuk menziarahi makam sutradara terkenal Mamat Khalid yang katanya telah diletakkan batu nesan Aceh. Ambil gambar beberapa makam di sekitar. Lihat Makam-makam di (Tombs at) Masjid (mosque of) Kampung Paloh, Ipoh.




Ambil laluan Pengkalan Pegoh untuk singgah di masjid ini di selatan Ipoh, asalnya sebuah masjid lama yang dialihkan dari Teluk Memali di selatan Kampung Gajah.




Kemudian mengambil satu jalan kecil menarik yang membawa keluar terus ke masjid lama di Kampung Kepayang berdekatan Gopeng.








Perjalanan diteruskan ke arah Kampar.




Timbul rasa untuk membelok masuk ke jalan ke Kuala Dipang dan Kinjang juga Chenderiang...




Terlihat pondok ini di tepi jalan berhenti berehat sebentar.








Singgah di masjid ini yang terletak di tepian sungai yang mengalir dari air terjun tinggi Lata Kinjang. Lihat Masjid (Mosque of) Kampung Kinjang, Chenderiang.







Sebetulnya saya bercadang untuk bermandi-manda di air terjun tinggi itu. Tapi tak jadi kerana nak masuk sekarang orang dewasa kena barang RM6 seorang, letak kereta RM5. Tidak berbaloi buat saya yang datang seorang diri sekadar untuk bermandi-manda mungkin 10-15 minit. Kalau ke luar bersama sekeluarga sekurang-kurangnya setengah hari mungkin berbaloi.



Perjalanan pun diteruskan ke bandar Tapah di mana saya tergerak untuk mencari makam seorang pembesar. Lihat  Makam (Tomb of) Toh Tan Dewa Sakti Abdul Rahman.




Seterusnya ke Kampung Ampang lalu berjalan kaki menyeberang jambatan kecil ini. Lihat Batang Padang river from the small bridge at Kampung Ampang.




Tujuannya adalah untuk mencari makam seorang lagi pembesar bagi persekitaran Tapah iaitu atas nama daerah Batang Padang.






Namun setelah beberapa kali berulang alik bertanyakan orang akhirnya saya harus mengalah. Sudahlah lewat petang, saya pula sedang berpuasa sunat hari Khamis.



Berbuka di bandar Tanjung Malim sebelum bersolat di masjid seberang Sungai Bernam iaitu masuk ke negeri Selangor. Jam 9.30 baru sampai rumah lalu mendapati perjalanan kali telah meliputi jarak keseluruhan 1,001.3 km.


Isnin, Ogos 15, 2022

Misi Keluarga Laksamana part III - Menyambung penyelidikan seorang diri sebelum berkejar ke Kota Raja Bersiong

Masuk pula kita pada cerita hari ke-4 perjalanan. Bersambung daripada artikel Misi Keluarga Laksamana part III - Mengkaji di USM sebelum pusing pulau.



Awal pagi Rabu 10 Ogos 2022. Setelah bermalam di sebelah kolam wuduk masjid Lebuh Aceh baru dapat masuk ke dalam dewan solat apabila ia dibuka jam 5.30 pagi. Saya pun mengambil kesempatan menyambung pembacaan al-Quran untuk dikhatamkan bagi bulan Muharram tahun 1444 Hijriah. Ketika itu, pada tarikh yang bersamaan 12 Muharram saya baru mencapai juzuk ke-14.



Selepas solat Subuh berjemaah dan sedikit wirid saya meninggalkan pusat bandar raya Pulau Pinang melalui Jalan Dato' Keramat. Ketika itulah tersedar kasut plastik saya ada dikencing oleh kucing, harus di masjid Lebuh Aceh.




Saya berhenti di masjid pertama dapat dilihat dari tepi jalan untuk membasuh kaki dan kencing kucing. Atas asbab itu sampailah ke masjid yang memiliki sejarah yang tersendiri.



Sebelum ini pernah sampai tahun 2014. Lihat Misi HIKMAH Pulau Pinang - 24 jam menuju ke acara. Sebelum itu mungkin pernah sekali. Kali ini baru tahu sejarah sebenar masjid dan penempatan di sekitar dan kaitannya dengan Aceh, tempat asal nenek moyang saya sebelah bapa 300 tahun lalu. Maka beriktikaflah buat beberapa lama selain menziarahi makam-makam lama di sebelah. Lihat artikel-artikel berikut di blogspot  SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).







Adapun destinasi sebenar saya adalah ke Universiti Sains Malaysia bagi menyambung kajian di perpustakaan sana. Rujuk cerita berkenaan dalam artikel Misi Keluarga Laksamana part III - Mengkaji di USM sebelum pusing pulau. Sebetulnya terdapat jalan lebih mudah dan dekat melalui persisiran pantai untuk ke USM. Tetapi saya mengambil laluan ini kerana mahu melihat satu bahagian jalan baru di Pulau Pinang yang katanya kini memiliki jejantas tertinggi di Malaysia.



Saya adalah orang yang sukakan struktur-struktur menarik buatan manusia selain pemandangan semulajadi alam. Dahulu jejantas tertinggi adalah di laluan baru Seremban ke Kuala Pilah dekat Bukit Putus, saya dah lalu banyak kali. Kemudian jalan pintas atau bypass Rawang dibina lalu di situlah berdirinya jejantas tertinggi di Malaysia. Ini lagi banyak kali sudah lalu kerana dekat dengan rumah, sudah jadi laluan biasa saya dan keluarga untuk ke Kuala Lumpur. Tapi yang di Pulau Pinang ini belum lagi, sejak ia siap lalu dibuka setahun dua lalu. Maka atas asbab mahu ke jejantas terbaru laluan berkenaan diambil diikuti asbab kencing kucing pada kasut saya singgah di masjid tadi. Ke hadapan sedikit singgah pula makan nasi kandar di kedai bawah pokok Cheri untuk bersarapan nasi kandar telur ikan ini.



Perjalanan diteruskan itu ke jejantas tertinggi itu.



Lalu bahagian ini yang cukup tinggi. Tetapi bukan yang tertinggi kerana rupa-rupanya harus membelok ke arah Balik Pulau untuk itu. Sedangkan saya sudah harus berkejar ke USM.




Sampai ke perpustakaan jam 8.43 pagi.




Pegawai perpustakaan sudah sedia untuk membantu keperluan...




Hari ini tumpuan diberikan terhadapan dokumen-dokumen lama British atas nama CO273. Tidak seperti pada hari sebelumnya saya harus melakukannya seorang diri kerana semua saudara mara ada hal lalu harus pulang ke tempat masing-masing.




Tak mengapa. Sebagai seorang yang suka dikenali sebagai pemikir saya memang sudah bersedia untuk mengorbankan masa dan tenaga untuk itu. Sejak menyambung kembali pengajian ke peringkat pasca-siswazah di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) September 2018 saya memang selalu membaca buku-buku dan tesis ratusan muka surat. Malah sebetulnya saya sudah biasa berbuat begitu sejak sebelum masuk sekolah rendah tahun 1977 lagi kerana suka membaca ensaiklopedia. Cuma apabila masuk umur 20an saya dilekakan dengan perkara-perkara lain lalu sudah kurang membaca. 

Dalam tempoh sebulan kebelakangan saya telah membiasakan diri untuk membuat scanning iaitu membaca pantas tanpa perlu mencerna semua maklumat kerana cuma mahu menuju pada kata-kata kunci tertentu sahaja sehingga lebih 1,000 muka surat  dokumen dalam sekali duduk. Lihat ceritanya dalam artikel-artikel berikut :-






Cuma kajian kali ini lebih mencabar kerana harus meneliti banyak dokumen bertulisan tangan. Tulisannya pula masyaallah... ala peninglah, ala peninglah...




Yang bertaip cuma sebahagian sahaja. Kalau pada hari sebelumnya juga sebelum itu rata-rata bertaip.




Nasib baik saya sudah lebih awal memuat turun senarai katalog dokumen-dokumen berkenaan yang pernah dibuat oleh Arkib Negara pada tahun 1990. Menggunakan katalog saya dapat melihat dokumen manakah yang tidak relevan bagi pencarian lalu boleh diketepikan, dokumen mana yang mungkin relevan lalu isinya harus dibaca dengan teliti perkataan demi perkataan.



Jam 1 bahagian berkenaan iaitu tempat di mana disimpan mikrofilem ditutup untuk rehat waktu tengah hari sebelum dibuka kembali jam 2. Saya telah berjanji dengan seorang kawan lama zaman kolej yang merupakan seorang Profesor di USM untuk keluar makan tengah hari.



Asalnya beliau mahu membawa ke restoran makanan Barat dalam kampus. Tetapi apabila mendengar cerita saya ada mencari jejantas tertinggi di Malaysia beliau pun membawa lalu ke sana.







Alang-alang melihat jejantas terus ke restoran makanan Melayu tradisional di Balik Pulau. Di situ saya makan lagi telur ikan sambil kami bercerita macam-macam.




Selepas jam 2.30 baru bergerak untuk kembali ke perpustakaan. Singgah sebentar di tempat perhentian tinggi ini untuk mengambil gambar. Lihat artikel A vantage point near Balik Pulau di  blogspot BERPETUALANG KE ACEH.




Selepas perpustakaan tutup jam 4.30 saya mengorak langkah untuk meninggalkan kawasan pulau melalui jambatan kedua Pulau Pinang.
 





Terus berkejar ke arah Serdang dan Selama memasuki negeri Kedah kemudian Perak.



Di pekan Selama baru berhenti untuk buang air dan beli air minum.




Saya sampai ke destinasi yang mahu dikejar iaitu Kampung Kota Raja Bersiong dekat jam 6.30 petang.




Alhamdulillah akhirnya dapat melihat dengan jelas tempat misteri yang dikatakan pernah menjadi tempat watak terkenal dalam sejarah lama negeri Kedah itu Raja Bersiong berlindung buat suatu masa. Lihat Kota Raja Bersiong waktu siang (Fort of Raja Bersiong during daytime).




Di atas batu-batuan di Kota Raja Bersiong saya menyambung bacaan Al-Quran lagi. Kalau tidak kerana ada lagi tempat mahu dilihat sebelum gelap tentu akan dibaca lebih banyak muka surat. Lihat artikel Masjid Toh Paduka waktu siang (The mosque of Toh Paduka during daytime) diikuti Makam Wan Abu Bakar waktu siang (Tomb of Wan Abu Bakar during daytime).



Pada jam 7.19 iaitu hampir waktu Maghrib baru perjalanan disambung lagi dengan menuju ke laluan rentas gunung membawa ke Lenggong.



Kali ini baru dapat melihat dua air terjun tinggi cantik dengan jelas lalu boleh dicapai dari laluan.




Dahulu, ketika pertama kali sampai ke Kota Raja Bersiong bulan Februari iaitu setengah tahun lalu bersama keluarga saya tidak dapat melihat semua ini kerana sampai ketika hari sudah gelap. Lihat Kembara kekerabatan Laksamana Perak dan Kedah part II - Dari Kota Kuala Kedah membawa ke Kerian membawa ke Ijok.



Kalau tidak kerana hampir masuk waktu Maghrib tentu akan singgah bermandi manda juga berusaha untuk mencapai bahagian paling tinggi air terjun. Perjalanan masih agak jauh untuk merentas kawasan pergunungan dalam keadaan masih ada cahaya untuk melihat keadaan. Sampai ke sebelah sana pergunungan menghampiri Lenggong singgah untuk bersolat Maghrib seraya menjamakkan Isyak di masjid di suatu tempat bernama Sumpitan. Terlihat satu makam yang seperti hendak memberitahu sesuatu tentang moyang, atau lebih tepat, datuk kepada datuk saya Orang Kaya Muhammad Arshad bin Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin. Lihat Makam (Tomb of) Penghulu Meor Alwi, Sumpitan.