Salam petang Selasa 5 Sya'aban. Merujuk pada artikel kompilasi Tentang projek buku pertamaku dalam bahasa Melayu tahun 2002 yang dipersembahkan lewat malam semalam. Adapun artikel-artikel yang disenaraikan lalu dibuat pautan di situ semua disiarkan di/dari Muar. Kenapa dari Muar? Biar dimulakan satu siri kecil berkenaan.
Khamis malam Jumaat 3 Februari 2022 selepas jam 9. Saya membawa isteri dan seorang anak menuju ke selatan. Masuk bandar raya Kuala Lumpur makan malam lewat di Kampung Bahru. Selepas itu menuju ke Lebuh Raya LEKAS ke Seremban sebelum mengambil jalan lama melepasi Pedas, Rembau dan Alor Gajah.
Gambar ini diambil pada jam 1.32 pagi Jumaat 4 Februari di Jonker Walk, bandar raya Melaka. Sebelum itu saya telah pergi menziarahi makam Sheikh Shamsuddin as-Sumatrani di Kampung Ketek tidak jauh dari Jonker Walk. Selepas membelok ke sini baru tergerak untuk mengambil gambar. Ini kerana ada makam tokoh boleh kelihatan di sebelah.
Ia adalah makam Hang Kasturi, salah seorang daripada pahlawan 5 bersahabat terkenal daripada zaman kegemilangan Kesultanan Melaka lebih 500 tahun dahulu. Saya mengambil gambar kerana kelihatan cukup jelas di Jonker Walk. Tidak seperti makam Sheikh Shamsuddin yang terletak sedikit ke dalam lalu tempatnya gelap. Yang itu biar diambil gambar bila datang lagi pada waktu siang.
Sesungguhnya sudah lama kami tidak berjalan-jalan di pusat bandar raya Melaka dan sekitar. Rasanya dah lebih 2 tahun tak singgah. Kami cuma ada mengambil jalan di luar kerana mahu mengelak kesesakan yang biasa melanda kawasan. Kali ini ada keperluan untuk ke pusat bandar dan ini akan diterangkan dalam artikel kemudian.
Dari Jonker Walk timbul rasa untuk menuju ke tinggalan kota lama yang dikenali sebagai A Famosa. Yang tinggal ini cuma pintu gerbang bagi tembok kota lama yang pernah mengelilingi Bukit Melaka.
Secara rasminya ia dikenali sebagai Bukit St. Paul kerana nama itulah yang ditinggalkan lalu dipakai hingga sekarang iaitu selepas Portugis menjajah Kota Melaka tahun 1511. Tergerak untuk singgah kerana beberapa hari sebelum itu ada terbaca laporan berita bahawa ia akan ditukar kepada nama asal Bukit Melaka. Dalam laporan ada gambar menunjukkan kain rentang besar dengan nama Bukit Melaka tertera dekat puncak. Untuk pengetahuan di puncak itu harus pernah berdiri istana utama kerajaan Melaka sebelum diruntuhkan penjajah lalu digantikan dengan gereja.
Kalau boleh saya ingin menyaksikan kain rentang. Terasa begitu bersemangat apabila membaca proses pertukaran nama sudah dimulakan. Isteri pula seperti faham apa yang bermain dalam fikiran. Belum dinyatakan niat lagi, tiba-tiba beliau pula memberitahu hendak naik puncak bukit naiklah. Beliau sanggup menunggu dalam kereta.
Ya. Saya boleh sahaja pergi begitu tanpa kebenaran beliau. Namun sebagai seorang suami yang bertimbang rasa saya tahu beliau juga penat kerana perjalanan. Sedangkan ketika kami sampai berdekatan kaki bukit pun sudah jam 1.45 malam. Sedangkan destinasi sebenar iaitu rumah ibu bapa di Muar masih lebih 40 km perjalanan.
Seperti halnya apabila ada tempat mahu dilawati sedangkan isteri kepenatan beliau sedia menunggu dalam kereta. Anak kami yang berumur 10 tahun pula sudah nyenyak tidur. Lalu bergegaslah saya ke kaki bukit. Timbul rasa kecewa nama tempat masih dinyatakan sebagai Bukit St. Paul pada papan maklumat. .
Tak mengapa pujuk hati ini. Mungkin nama belum ditukar kerana belum digazetkan. Harap ada kain rentang bertulis nama "Bukit Melaka" di atas.. Saya pun naik menuju ke puncak. Dalam perjalanan perlu melalui beberapa kubur lama daripada zaman penjajah Belanda tahun 1641 hingga 1824.
Tidak dipedulikan pun bahawa ketika itu sudah lewat malam Jumaat, malam yang biasa disebut paling menyeramkan.
Masuk pula ke dalam gereja St Paul binaan zaman penjajahan Portugis tahun 1511 hingga 1641. Dalam itu terdapat beberapa buah lagi kubur termasuk milik orang Portugis.
Walaupun dapat dirasakan kehadiran makhluk halus yang kuat saya tak peduli semua itu. Lagipun dah biasa menghadapi seorang diri di kubur-kubur, bangunan lama dan hutan. Saya tak peduli dan tak hairan. Bukan kerana merasakan diri kuat mahupun berani tetapi kerana mahu berpegang pada kenyataan dan keyakinan bahawa cuma Allah SWT sahaja berkuasa, bukan sekadar cakap-cakap...
Yang ingin dicari adalah kain rentang bertulis "Bukit Melaka" itu. Pusing segenap puncak dan lereng berdekatan langsung tak jumpa. Walhal baru dilihat dalam gambar pada laporan berita berkenaan. Terasa bukan mudah hendak menggantikan balik nama tempat kepada nama asal sebelum dijajah. Banyak pihak berkepentingan, pihak yang tak mahu kedaulatan Melayu naik sebenar-benarnya naik kembali di bumi Melaka akan berusaha menghalang.
Bila dah balik ke rumah sendiri lalu menyemak gambar-gambar untuk digunakan dalam artikel ini baru tersedar bahawa papan maklumat di kaki bukit ada menyebut nama Bukit Melaka. Cuma tinggal tajuk besar Bukit St. Paul perlu diubah. Insyaallah ada harapan...
Gambar ini pula diambil di Masjid Jamek Muar pada jam 1.30 petang. Dari Melaka kami telah bergerak ke rumah ibu bapa di Kampung Temiang lalu sampai sekitar jam 3 pagi. Berbual-bual dengan orang tua sebelum masuk tidur dekat jam 4. Bapa menunjukkan televisyen baru Android bersaiz 70 inci yang baru sebulan dibeli lalu memainkan cerita Ertugrul. Bangun untuk bersolat Subuh kemudian tidur kembali jam 6 lebih. Bangun lagi jam 8 lebih untuk bersarapan bersama keluarga sebelum menyambung tidur jam 9 lebih. Dekat jam 1 baru bersiap untuk menunaikan solat Jumaat di masjid ini.
Bapa dan adik lelaki yang muncul kerana saya ada memilih untuk bersolat di masjid berdekatan. Saya sahaja pergi seorang diri ke masjid jamek yang terletak 8 km dari rumah. Ini kerana masjid ini meninggalkan banyak kenangan. Dahulu, sejak lahir tahun 1970 sehingga betul-betul meninggalkan Muar tahun 1988 (kerana pernah bersekolah asrama penuh di Kluang 1983-1986 tetapi balik bercuti di Muar) saya menetap di rumah datuk kurang 500 meter dari masjid. Di situlah selalu menunaikan solat Jumaat juga lain-lain solat terutama solat Teraweh semasa bulan Ramadhan. Di sini dan sekitarnya saya mula mengenali silat juga permainan batin berkenaan.
Selepas solat Jumaat saya beriktikaf sehingga jam 4. Sempatlah menamatkan Juz 1 Al-Quran. Oh. Hari itu tarikh Jumaatnya adalah 1 Sya'aban. Selepas mengkhatamkan bacaan 30 juz bagi bulan Rejab pada siang Khamis iaitu hari sebelum saya telah memulakan satu lagi pusingan bacaan bagi bulan Sya'aban.
Satu perkara menarik dapat dilihat apabila menghampiri kawasan rumah ibu bapa di Kampung Temiang adalah bendera-bendera parti untuk pilihan raya negeri Johor yang berkibaran di tepian jalan.
Nampak begitu meriah walaupun pada musim Covid-19 sedang melanda ini. Dan jumlah kes kembali meningkat...
Walaupun tidak gemar pada dunia politik suasana pilihan raya tetap terasa mengujakan. Maklumlah pernah menjadi wartawan akhbar berbahasa Inggeris di The New Straits Times tahun 1996-2001. Secara automatik minda akan menilai dan menafsir keadaan.