Meneruskan penceritaan bagi perjalanan terbaru ke selatan. Bersambung daripada artikel Perjalanan pertama ke Muar tahun 2022 - Antara Bukit Melaka dengan pilihan raya negeri Johor.
Pagi Sabtu 5 Mac 2022. Kami anak beranak menuju ke pusat bandar Muar atau Bandar Maharani.
Bawa sekali ibu bapa, adik bawah saya (berumur 50 tahun ini) dan anak kecilnya makan nasi beringin di kedai makan terkenal di perhentian bas ke Melaka tepian Sungai Muar. Seorang adik ibu kemudian turut sekali makan.
Puas makan kami berjalan ke Tanjung Mas kemudian menjambil Jalan Junid untuk kedai rempah Mak Pon. Selepas membeli sejumlah barangan ambil lagi jalan sehingga ke hujung selatan lalu masuk ke jeti nelayan yang kelihatan iaitu di Parit Unas.
Masuk pula ke Jalan Abdul Rahman lalu ke pekan Parit Jawa. Membelok ke arah laut untuk ke Pantai Leka...
Perjalanan sejak dari Tanjung Emas itu boleh dikatakan menyusur jalan raya biasa (bukan jalan kampung) terdekat ke garisan pantai. Dekat jam 12 kami mengambil pula jalan ke Bukit Mor lalu menuju ke pendalaman.
Dari situ boleh masuk ke jalan Bakri-Parit Sulong lalu menuju kembali ke arah bandar Muar. Singgah di tanah perkuburan besar di Batu 6 Bakri untuk menziarahi kubur sejumlah ahli keluarga bermula dengan kubur datuk belah ibu yang meninggal dunia pada tahun 1984. Untuk makluman melalui datuk bernama Ismail bin Hussein bin Daeng Betak ini kami dipercayai memiliki titisan darah Bugis daripada Daeng Parani. Isteri datuk iaitu ibu kepada saya berdarah Jawa.
Di bahagian lain tanah perkuburan terdapat kubur adik laki-laki bongsu saya. Beliau meninggal dunia tahun 2002 dalam satu kemalangan, dipercayai dihimpit ke tepi salah satu jambatan kecil di Shah Alam oleh sebuah kereta pada waktu malam. Adik yang menunggang motosikal terlanggar besi penghadang atau sesuatu serupa ini. Pemandu kereta pula lari meninggalkan beliau. Orang lain pula yang jumpa lalu memaklumkan.
Ketika melihat tahun beliau meninggal pada batu nesan iaitu 2002 baru teringat bagaimana berlaku banyak perkara yang mencengkam jiwa pada tahun tersebut. Timbul rasa bahawa penulisan bertajuk Artikel ke-2,222, bagi tarikh 22/2/22 yang disiarkan setengah bulan lalu ada kena mengena dengan hal tahun 2002 itu.
Cuma beberapa kaki sahaja dari kubur adik pula adalah kubur ibu kepada ibu. Beliau yang pernah menjaga saya sejak kecil sehingga remaja juga meninggal dunia tahun 2002. Lihat cerita berkenaan dalam artikel Tentang projek buku pertamaku dalam bahasa Melayu tahun 2002. Melawat kubur adik dan nenek timbul isyarat dalam hati bahawa antara perkara penting perlu dilalui bagi tahun 2022 adalah berhadapan dengan segala yang terbuku dalam hati akibat apa yang berlaku 20 tahun lalu. Nampak seperti sudah begitu lama ditinggalkan dan sudah lupa. Sebenarnya ada luka-luka lama yang belum betul-betul terubat sedangkan saya sekadar menggagahkan diri.
Sebetulnya ibu yang menyebut sudah lama tidak menziarahi kubur adik di Batu 6 Bakri itu, sudah lebih 2 tahun gitu, iaitu pada hari sebelumnya. Kalau dah ke situ tentu ziarah sekali kubur ibu bapa kepada ibu. Saya pun mengajar ke kubur lalu mengatur ke dalam rancangan perjalanan hari Sabtu. Dari tanah perkuburan kami menuju kembali ke pusat bandar Muar. Didapati dalam perjalanan melalui jalan Bakri-Parit Sulong inilah kelihatan paling banyak dan paling rapat-rapat terkibar bendera-bendera parti bagi pilihan raya Johor. Rujuk sedikit hal berkenaan dalam artikel sebelum ini iaitu Perjalanan pertama ke Muar tahun 2022 - Antara Bukit Melaka dengan pilihan raya negeri Johor.
Perjalanan diteruskan dengan menyeberangi Sungai Muar melalui jambatan lama. Masuk ke satu bahagian yang dahulu adalah separuh utara daerah Muar tetapi kini telah dijadikan daerah sendiri iaitu Tangkak.
Anak bongsu saya mahu ke pasar raya di sebelah sini. Kelihatan sebahagian dari bandar Muar dari tempat rehat tepian sungai bersebelahan pasar raya.
Petang itu selepas berehat sejam dua juga menunaikan solat Zohor di rumah (saya, isteri dan anak menjamakkan sekali Asar) kami membawa ibu bapa dan adik saya serta anaknya berjalan ke arah timur daerah Muar pula.
Singgah sebentar di pusat rempah Nasuha di mana terdapat ladang besar untuk rempah ratus yang dijual atas jenama Mak Siti.
Kemudian mengambil jalan ke Bandar Universiti Pagoh lalu ke Panchor di mana kami makan-makan di tepian Sungai Muar lagi. Lihat artikel The waterfront and jetty besides the Muar river in Panchor di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.
Dari Panchor terfikir hendak membawa ibu bapa ke Gerisek diikuti Bukit Gambir kemudian ke kaki Gunung Ledang. Seterusnya ke Bukit Kepong sebelum kembali melalui Lenga kemudian Pagoh. Tetapi mereka merasa tidak selesa lama di luar kerana mahu menunaikan solat Asar di rumah. Saya pun mengambil jalan kecil mengikut ladang kemudian persisiran Sungai Muar untuk ke makam Sultan Alauddin Riayat Syah (Sultan Melaka lebih 500 tahun lalu) di sebelah Masjid Kampung Raja, Pagoh. Dari situ boleh kembali ke rumah ibu bapa di Kampung Temiang...
Rasanya sudah lebih 2 tahun juga tidak menziarahi makam ini walau sudah beberapa kali balik ke Muar dalam tempoh tersebut. Nasib baik ayah sudah tidak berapa pelik lalu turut keluar dari kereta untuk ke makam. Apabila kembali ke rumah didapati kami sudah berjalan sekitar 130 km hari itu. Walhal cuma pusing-pusing di sebahagian daerah Muar sahaja. Kalau pergi hingga ke kaki Gunung Ledang kemudian Bukit Kepong harus melepasi 230 km.
Oh. Ketika hendak memulakan artikel baru teringat bahawa pada 20-23 Februari iaitu 2 minggu lalu kami telah membuat perjalanan ke Kedah dan Perak lalu memakan jumlah jarak 1,200 km. Lihat artikel Kembara kekerabatan Laksamana Perak dan Kedah part II. Hujung minggu 26-27 Feb pula kami ke kampung isteri di Tanjung Sepat. Pergi balik ada dalam 250 km juga. Tapi tak buat apa-apa cerita. Cuma ada disebut pada awal artikel kedua "Kembara kekerabatan" iaitu Dari Kota Kuala Kedah membawa ke Kerian membawa ke Ijok bahawa disiarkan dari sana.
Esoknya pagi Isnin 28 Februari kami ke Janda Baik untuk menghantar anak masuk tahfiz. Lalu pada awal artikel ketiga "Kembara kekerabatan" iaitu Kembara kekerabatan Laksamana Perak dan Kedah part II - Antara Lenggong dengan panggilan Laksamana Aceh ada disebut ia disiarkan dari sana. Taklah jauh sangat tempatnya. Tetapi perjalanan pergi balik harus memakan jarak lebih 170 km juga. Tiga hari selepas itu iaitu pada hari Khamis 3 Mac baru mengorak langkah ke rumah ibu bapa di Muar sekitar 240 km perjalanan.
Maka dalam tempoh sejak bergerak ke Kedah 20 Februari hinggalah selepas membawa ibu bapa berjalan-jalan pusing sebahagian daerah Muar pada 5 Mac iaitu kurang 2 minggu saya telah memandu lebih 2,000 km, Ini adalah jumlah jarak yang disebut tadi campur ada berjalan sendirian hari Jumaat 4 Mac bersamaan 1 Sya'aban seperti diceritakan dalam artikel Perjalanan pertama ke Muar tahun 2022 - Antara Bukit Melaka dengan pilihan raya negeri Johor. Di celah-celah itu saya mempersembahkan sejumlah artikel di blogspot ini. Malah ketika di Muar sahaja pun terbit 10 artikel baru. Lihat artikel Kamera-kamera digital yang pernah dimiliki diikuti Komputer-komputer riba yang pernah dimiliki dan Tentang projek buku pertamaku dalam bahasa Melayu tahun 2002 juga 7 artikel yang tersenarai di dalamnya.
Sambil itu saya juga membuat bacaan, kajian dan penulisan tesis untuk ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Dunia Islam) selain melakukan amalan seperti menghabiskan sekurang-kurang satu juz bacaan Quran sehari berserta 10 ayat pertama dan 10 ayat terakhir Surah Al-Kahfi, kalau pagi Jumaat mesti habiskan satu surah. Nah. Banyak perkara dilakukan setiap hari selain berjalan-jalan ke sana ke mari sambil mencari kesan sejarah setiap kali berpeluang. Mana tak penat?
Saya sebut hal ini kerana ia berkenaan apa yang timbul ketika menziarahi kubur adik dan nenek (ibu kepada ibu) yang meninggal dunia tahun 2002 itu. Ini disebut dalam konteks mungkin tahun 2022 ini harus berhadapan dengan luka-luka lama yang masih wujud walau digagahi selama ini seperti tiada apa-apa. Ya. Jika 2 minggu kebelakangan pun sudah memenatkan bayangkan apa yang telah dihadapi dalam tempoh 20 tahun kebelakangan. Kalau nak kira perjalananan sahaja harus sudah lebih 100,000 km. Lihat artikel Senarai 60 perjalanan terjauh 30 istimewa dan 81 lain-lain diikuti Setakat 179,389 km apa barang kan?. Bayangkan betapa penat berjalan ke sana ke mari dalam tempoh 20 tahun itu. Apabila disemak kembali banyak perjalanan dibuat rapat-rapat, lepas satu satu seperti halnya 2 minggu kebelakangan ini.
Belum campur usaha sehingga terbitnya 13 buku tulisan saya dari tahun 2006 hingga tahun 2019, juga penulisan artikel-artikel yang berjumlah hampir 7,000 sejak penghujung 2006 hingga kini. Untuk makluman di blogspot ini pun sudah terdapat 2,239 setakat ini termasuk artikel ini. Terdapat lagi 2,180 artikel di SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART), 2,169 di BERPETUALANG KE ACEH dan 400 di Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH). Ini belum dikira bermacam beban emosi, juga cabaran berbentuk kebatinan kerana selalu ke makam-makam lama juga tempat jin bertendang seperti dalam hutan.
Cuma tu le. Saya selalu terlupa. Selalu tak ingat juga tak endah entah beberapa banyak perkara dihadapi. Sedangkan ada yang sebenarnya memberikan luka baik secara fizikal mahupun pada dalaman dan jiwa. Luka secara fizikal tu sekurang-kurangnya boleh nampak ia pulih walaupun tak sama lagi keadaan seperti halnya saya patah kaki tahun 2013. Dalam keadaan begitu pun tetap banyak perkara dilaksanakan, ribuan kilometer dibuat perjalanan. Lihat artikel-artikel lama berikut :-
Tetapi luka dalam jiwa siapa yang tahu? Selalu saya gagahi sahaja walaupun kesannya tetap ada. Itu yang agaknya badan dan kepala selalu terasa penat selain sebab-sebab nyata seperti perjalanan fizikal dan buat bermacam kerja. Itu yang perlu dihadapi dan diselesaikan tahun 2022 ini. Doakan saya ya.
P/s : Nak fahami apa yang berlaku pada tahun 2002 dengan lebih baik, bagaimana ia meruntun jiwa, sila rujuk artikel Tentang projek buku pertamaku dalam bahasa Melayu tahun 2002 serta artikel-artikel yang tersenarai di dalamnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan