Rabu, April 27, 2022

Akhirnya komputer ribaku yang ke-7 tewas juga

Salam pagi Rabu 25 Ramadhan. Merujuk pada artikel Komputer-komputer riba yang pernah dimiliki yang ditulis pada 4 Mac 2022. Ada disebut bahawa pada ketika itu saya telah memiliki 7 buah komputer riba sejak pertama kali memiliki (bukan komputer syarikat dan sebagainya) awal tahun 2002. Telah disebut dalam artikel itu berapa lama suatu komputer itu sempat dimiliki dan apakah kerja-kerja utama yang pernah dilakukan dengannya. Disebut juga bahawa pada ketika itu komputer ke-7 adalah HP Probook 6550b yang dibeli terpakai pada bulan April tahun 2018. Ia dapat bertahan untuk saya menulis lalu menerbitkan buku ke-13 iaitu "Kembara Eropah Tahun 1995" pada musim raya tahun 2019. Selepas itu saya berhenti menulis buku untuk memberikan tumpuan pada penulisan tesis di ISTAC (Institut Antarabangsa Tamadun dan Pemikiran Islam). Maka komputer banyak digunakan untuk itu.



Beginilah rupa komputer yang agak lasak itu. Ketika artikel ditulis ia sudah hampir 4 tahun digunakan. Melihat pada senarai nampaknya ia adalah komputer saya yang paling lama bertahan setakat ini. Oleh kerana ia digunakan untuk menulis buku ke-13 dan terakhir saya (buat masa ini) biar diletakkan artikel-artikel berkenaan tentang buku :-



Sekarang merujuk pula pada artikel Mengharapkan sinar muncul kembali dengan "Tanda Baik" yang dipersembahkan jam 1.55 pagi tadi. Ada disebut bahawa di celah-celah perjalanan ke Janda Baik kemudian ke Bukit Tinggi kemudian ke Janda Baik lagi sebelum ke Kuala Lumpur 24-26 April baru ini saya sempat menyambung lagi kerja-kerja penulisan tesis sehingga sampai ke pusingan ketiga bagi semakan dan menambah yang patut. Ini dilakukan dengan komputer HP Probook 6550b yang merupakan komputer ke-7 saya itu. Tiba-tiba sekitar jam 5 petang semalam ia mati begitu sahaja, tidak dapat dihidupkan lagi, sedangkan saya sedang hampir menyiapkan pusingan ketiga bagi bagi Bab 1. Saya pun bergegas ke kedai komputer terdekat di Bukit Sentosa. Tengok-tengok ada masalah dengan motherboard komputer.



Kalau mahu diperbaiki bukan sahaja perlu menelan belanja tidak kurang RM380 malah harus menunggu lama kerana komputer harus dihantar lalu diperbaiki di kilang. Harga tersebut tidak berbaloi bagi memperbaiki sebuah komputer lama apa lagi ia mengambil masa sedangkan saya perlu mengejar deadline. Saya pun ke bandar Rawang untuk mencari komputer terpakai yang cukup elok. Alhamdulillah dapat komputer dalam gambar dengan harga RM700, processor pun bagus, I5 walaupun jenis lama iaitu generasi kedua. Ia hampir sama rupa dengan komputer ke-5 saya (rujuk kembali senarai dalam artikel Komputer-komputer riba yang pernah dimiliki). Jenama komputer pun sama iaitu Sony Vaio. Cuma warna sahaja lain (dahulu berwarna merah kejambuan gitu). Model pula yang dahulu adalah PCG-61213W, yang ini PCG71311N.

Dengan itu dapatlah diteruskan kerja penulisan tesis. Cuma sejak meninggalkan Bukit Tinggi untuk mengambil anak di Janda Baik pagi Isnin saya terlupa hendak backup di mana-mana. Maka hilanglah segala kerja dari sejak itu sehingga komputer ke-7 rosak petang semalam. Terpaksalah bermula kembali iaitu dari sejak siap pusingan kedua semakan dan penulisan. 

Tak mengapalah. Walaupun asalnya kecewa dan merasa amat terganggu kini, dengan menulis tentang hal ini, saya terasa lega. Cuma susahlah untuk mengejar sasaran siap pusingan ketiga sebelum malam Jumaat ini (atas sebab tertentu yang akan diceritakab nanti) lalu dapat menghantar tesis yang cukup siap kepada penyelia dengan harapan dapatlah memberikan penumpuan bagi persiapan berhari raya dengan keluarga dan sanak saudara. Tak mengapalah. Mesti ada sebab Allah SWT takdirkan begitu.

Satu perkara menarik. Sekarang saya memakai komputer riba ke-8 milik sendiri, kamera digital pun yang ke-8. Tapi kamera dah ada 11 sebenarnya, cuma selepas rosak yang ke-11 awal tahun ini saya dapati kamera ke-8 masih boleh digunakan lalu memakainya kembali hingga kini. Lihat Kamera-kamera digital yang pernah dimiliki. Satu lagi perkara menarik adalah seperti komputer ke-8, kamera ke-8 itu juga berjenama Sony. Entah ada apa-apa makna ke? Walaupun apa semoga ia membawa kebaikan buat saya. Rujuk kembali artikel Mengharapkan sinar muncul kembali dengan "Tanda Baik".




Tiada ulasan:

Catat Ulasan