Rabu, April 27, 2022

Mengharapkan sinar muncul kembali dengan "Tanda Baik"

Salam awal pagi Rabu 25 Ramadhan. Ada sesuatu telah berlaku petang semalam menyebabkan saya merasakan ceritanya harus direkodkan di blogspot ini. Tetapi harus dipersembahkan sesuatu yang telah lebih awal berlaku kerana ada kena mengena...



Petang Sabtu 23 April 2022. Saya isteri dan anak bongsu kami Johan meninggalkan rumah lalu bergerak ke utara Kuala Lumpur.




Kami mahu ke Janda Baik. Entah kenapa nama pada pintu gerbang kelihatan seperti "Tanda Baik"...




Pergi ke Ma'ahad Annoer di mana anak kami yang lebih tua telah dimasukkan kurang 2 bulan lalu.




Oh. Cerita anak dimasukkan itu ada disebut secara sepintas lalu pada awal artikel Kembara kekerabatan Laksamana Perak dan Kedah part II - Antara Lenggong dengan panggilan Laksamana Aceh yang ditulis 28 Februari. Artikel ditulis ketika sedang berada di pejabat ma'ahad atau pusat tahfiz tersebut bagi menghantar anak. Kali ini kami datang untuk mengikut satu majlis agama. Ia adalah kali pertama kami singgah selepas itu.




Majlis sebenarnya merupakan penutup bagi daurah selama 2 minggu bersama pengasas ma'ahad, agamawan terkenal Sheikh Nuruddin al-Banjari. Turut bersama adalah kerabat diraja Pahang, Tengku Amir. Majlis berlangsung baik sebelum turun hujan yang menjadi agak lebat. Namun kami terus bertahan buat suatu waktu.



Kelihatan pelangi timbul cantik sekitar jam 6.46 petang.




Selepas majlis bersurai baru berpeluang bertemu dengan Rasyid...








Kami mengikuti majlis sehingga lewat malam.




Ini pula pemandangan dari rumah kawan di Bukit Tinggi esoknya Ahad 24 April. Kami menginap di sana selepas mengikuti majlis di Janda Baik.



Di rumah itu saya telah menamatkan juz ke-25 Al-Quran bagi proses pengkhataman bulan Ramadhan. Awal pagi keesokannya iaitu pada jam 4.51 Isnin 25 April pula berjaya menamatkan pusingan kedua semakan dan penulisan bagi tesis saya di ISTAC (Institut Antarabangsa Tamadun dan Pemikiran Islam. Sekitar seminggu sebelum itu saya telah menamatkan pusingan pertama penulisan tesis. Sebetulnya ia lama terlajak masa. Sepatutnya tesis sudah siap selewatnya penghujung tahun 2020. 

Tetapi berlaku banyak perkara yang menganggu konsentrasi termasuk PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) akibat wabak Covid-19 lalu penulisan asyik tersekat-sekat. Nak masuk pertengahan Mac sebulan setengah lalu baru mendapat kelancaran sehingga dapat menyiapkan dua setengah bab dalam tempoh sebulan, Sedangkan dua setengah bab lagi (tesis saya ada lima bab) sebelum itu mengambil masa hampir dua tahun untuk siap.



Pagi itu kami ke Tanda Baik er... Janda Baik lagi. 



Kali ini baru mengambil Rasyid untuk bercuti panjang. Ia adalah kali pertama beliau dibawa keluar selepas masuk tahfiz lalu kami mengambil jalan lama untuk kembali ke Lembah Klang.



Sebelum sampai ke Kuala Lumpur bawa anak-anak mandi sungai. Sambil itu diteruskan lagi pembacaan Al-Quran sehingga melepasi juz ke-26.



Hampir ke bandar raya terlihat kedai dobi lalu kami mengambil peluang untuk membasuh baju kotor Rasyid yang dibawa berlonggok balik dari asrama. Selepas membaca lagi beberapa muka surat Al-Quran dimulakan pula pusingan ketiga penulisan dan semakan tesis.





Selepas itu singgah untuk menjamakkan solat Zohor dan Asar juga beriktikaf di Masjid Sungai Chinchin.






Ziarah makam pengasas masjid dan kampung iaitu Sheikh Muhammad Nur. Sambung lagi beberapa muka surat Al-Quran.




Petang hampir waktu Asar berjumpa dua orang lagi anak iaitu yang sudah besar di Aeon Maluri kemudian berjalan-jalan di taman berdekatan.




Sebelum Maghrib kami berenam pergi ke Sunway Velocity untuk berbuka puasa.



Selepas solat Maghrib berjalan-jalan melihat suasana malam dari KLCC membawa ke Jalan Tuanku Abdul Rahman.


Kemudian melepak pula di Dataran Merdeka sambil makan sushi. Saya pula dapat meneruskan bacaan Al-Quran sehingga masuk separuh Juz 28 juga menyambung lagi pusingan ketiga penulisan dan semakan tesis. Sekarang biar diterangkan kenapa artikel ini diberi tajuk 'Mengharapkan sinar muncul kembali dengan "Tanda Baik"'. Jawaban mudah adalah kerana dua minggu kebelakangan saya berada dalam keadaan sangat hampa dan hampir hilang semangat disebabkan beberapa hal tertentu. Rujuk artikel Antara 'keemasan', 'keperakan' dan kehampaan

Namun dalam keadaan begitu digagahkan diri juga untuk meneruskan penulisan tesis sehingga dapatlah disiapkan, lalu perkemaskan lagi tulisan sambil membuat semakan dan menambah apa yang patut. Nasib baik Allah SWT membantu dalam hal ini. Walaupun tubuh badan dan kepala agak penat, pemikiran boleh dikatakan sangat lancar. 

"Tanda Baik" pula merujuk pada bagaimana perkataan "Janda Baik" pada pintu gerbang kelihatan seperti itu. Lihat balik pada salah satu gambar awal tadi. Sekarang perlu disiapkan pusingan ketiga tesis baru sesuai untuk dihantar untuk semakan seterusnya oleh penyelia tesis. Tapi berlaku pula satu dugaan yang mencabar petang tadi. Itu yang akan diceritakan kemudian seperti disebut pada awal artikel ini. 


Tiada ulasan:

Catat Ulasan