Sabtu, Februari 26, 2022

Kembara kekerabatan Laksamana Perak dan Kedah part II - Dari Kota Kuala Kedah membawa ke Kerian membawa ke Ijok

Adapun ketika ini saya sedang berada di kampung isteri di Tanjung Sepat kerana ada majlis perkahwinan anak saudara. Pun begitu saya mahu menyelesaikan cerita-cerita perjalanan ke Kedah dan Perak secepat mungkin dan saya dapati elok dibuat pada kadar satu cerita setiap 2 hari. Dengan itu masuk kita pada hari ke-2 perjalanan. Bersambung daripada Kembara kekerabatan Laksamana Perak dan Kedah part II - Merungkai hal Wan Ismail dan nenek moyang.



Pagi Isnin 21 Februari 2022 sekitar jam 8.20 kami bersedia untuk meninggalkam homestay tempat menginap di selatan bandar raya Alor Setar.




Bergerak masuk ke bandar raya...




Saudara dua pupu ajak bersarapan di satu medan selera berdekatan Pekan Rabu. Hmm. Tak ambil pun gambar dia sebaliknya cuma ambil gambar capati daaa...




Perjalanan disambung sekitar jam 9.15 dengan mencari simpang terdekat untuk menuju ke Kuala Kedah.




Dalam perjalanan terlihat sebuah bangunan kayu menarik. Kami pun menghampiri untuk melihat lebih dekat. Tengok-tengok ia adalah sebuah rumah persendirian yang dijadikan galeri. Lihat artikel Galeri (Gallery of) Dato' Maharaja Lela, Kampung Padang Mergong, Alor Setar di blogspot  SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).




Ini pula di satu kampung nelayan berhadapan dengan pintu utama Kota Kuala Kedah. Saya datang untuk bertemu seorang kenalan di rumah berdekatan. Dahulu isteri ada memberitahu mahu membeli ikan kering buatan sendiri dari beliau. Itu adalah ketika kali terakhir singgah di Kuala Kedah iaitu pada 13 November tahun lalu. Tapi tak singgah rumah lalu tak jadi beli ikan kerana sedang terkejar-kejar untuk meliputi banyak tempat. Lihat artikel-artikel berikut :-

1. Panggilan Musuh Bisik : Berkejar ke Kedah untuk majlis hol dan maulidur rasul

2. Panggilan Musuh Bisik : Jangan jadi Wahabi sejarah

3. Panggilan Musuh Bisik : Menjejak laluan saudara tanpa dirancang



Kali ini kami juga mahu meliputi banyak tempat. Malah memang biasa pun apabila berjalan jauh kami cuba singgah ke sebanyak tempat menarik dan/atau bersejarah dan mungkin. Cuma kali ini saya dapat mengatur masa dengan lebih baik. Oleh kerana kenalan tersebut ada membuat bekam saya pun cubalah lalu berada di rumahnya dekat dua jam setengah.



Selepas itu kami masuk ke Kota Kuala Kedah. Jika dahulu pergi tak bawa anak-anak kali ini mereka ada kerana yang dijejaki ini adalah aura nenek moyang mereka juga. Sekali lagi, boleh rujuk cerita berkenaan dalam artikel-artikel berikut :-


Dahulu saya pergi bersama isteri dan dua orang kawan dalam keadaan baru tahu sedikit hubungan keluarga dengan Laksamana Kedah. Selepas majlis berkenaan di Kota Kuala Kedah ada yang mengajak untuk ke makam Laksamana di Alor Setar tapi kami harus berkejar ke Yan di selatan. Sekembali dari perjalanan pula baru diberitahu terdapat rumah agam yang terkait dengan Laksamana Kedah. Alhamdulillah dua perkara 'tertunggak' ini dapat diselesaikan pada hari pertama sampai ke Kedah dalam perjalanan terbaru ini. Lihat kembali artikel Kembara kekerabatan Laksamana Perak dan Kedah part II - Merungkai hal Wan Ismail dan nenek moyang.



Sebab itu dinyatakan dalam artikel tersebut bahawa perjalanan kali ini merupakan kesinambungan daripada perjalanan terdahulu seperti mana telah dihimpunkan dalam artikel Kembara kekerabatan Laksamana Perak dan Kedah. Dari Kota Kuala Kedah kami mengambil jambatan menyeberangi Sungai Kedah untuk ke pekan Kuala Kedah.






Ziarah sat makam Tok Pasai di lapangan letak kereta kompleks jeti feri ke Langkawi...






Selepas itu menuju ke Yan.



Dalam perjalanan terdahulu kami juga ke Yan selepas selesai urusan di Kota Kuala Kedah. Tujuan utama adalah untuk menziarahi seorang tokoh yang mengenali ramai ulamak besar tanah air termasuk mereka yang dianggap bertaraf wali. Kami panggil beliau sebagai Ayah Hashim. Jika dahulu setakat singgah rumah kerana beliau berada di luar kawasan kali ini dapat berbual panjang.



Sambil itu ada kawan dari Kubang Semang iaitu dalam Seberang Perai, Pulau Pinang menghantar pesanan WhatsApp meminta pendapat saya tentang menghidupkan pembayaran zakat menggunakan emas. Oleh kerana kami memang hendak ke Seberang Prai selepas Yan diaturlah pertemuan di tempat henti dan rehat (RnR) Juru untuk berbincang. Sampai di sana sekitar jam 5.30 petang. 




Pertemuan dengan Ayah Hashim di Yan yang mana kami harus menunggu dahulu beliau menyelesaikan satu urusan di luar kawasan menyebabkan timing perjalanan kami jadi lari lebih sejam. Pun begitu tetap diberikan masa untuk berbincang dengan kawan di Juru demi perjuangan mendaulatkan Melayu dan Islam. Seterusnya kami berkejar ke Changkat Keledang untuk mencari satu kesan yang terkait dengan Laksamana Wan Ismail Kedah. Saya tidak boleh memanjangkan apakah kesan yang dimaksudkan kerana sudah berjanji tidak akan mendedahkan selagi pihak yang memberikan maklumat belum bersedia untuk berkongsi kepada umum. 

Cukuplah disebut bahawa kawasan ini dan sekitarnya iaitu daerah Kerian pernah menjadi tempat Wan Ismail melatih tentera bagi melawan pendudukan Siam di Kedah selepas berlaku Perang Musuh Bisik tahun 1821. Rujuk cerita berkenaan dalam artikel Panggilan Musuh Bisik : Jangan jadi Wahabi sejarah. Dahulu boleh dikatakan seluruh Kerian terletak di dalam negeri Kedah. Selepas beberapa lama ia terpecah dengan sebahagian terletak dalam negeri Perak, sebahagian dalam negeri Pulau Pinang.




Dekat jam 6.20 baru selesai urusan berkenaan Wan Ismail. Kami pun berkejar ke lokasi seterusnya iaitu dekat Ijok, Selama sekitar 60 km atau sejam perjalanan.




Kami mahu melihat apa yang dipanggil sebagai Kota Raja Bersiong. Ia ada ditanda dalam Google Map. Kalau ikut gambar-gambar yang ditemui melalui Google Image terdapat papan tanda menunjukkan ke arah lokasi. Tetapi tidak kelihatan papan tanda apabila sampai di kawasan. Sebaliknya yang boleh nampak dari tepi jalan adalah formasi batu hampir serupa dalam gambar.



Kami pun turun kereta untuk melihat dekat. Ait? Takkan Kota Raja Bersiong sudah dihancurkan untuk pembangunan. Selepas beberapa lama baru tergerak untuk menyemak kedudukan. Rupa-rupanya kami sudah terlajak dalam 200-300 meter lalu harus berpatah balik. 



Disebabkan itu kami sampai selepas masuk waktu Maghrib . Didapati juga papan tanda sudah hilang, yang tinggal cuma bingkai dan tiang. Lihat Kota (Fort of) Raja Bersiong.



Persinggahan seterusnya adalah ke masjid yang kelihatan. Lihat Masjid (Mosque of) Toh Paduka. Masjid ini kali pertama kami sampai tanpa dirancang pada perjalanan terdahulu iaitu pada bulan November tahun lalu. Ketika itu kami sekadar mahu mengambil jalan bukit dan pergunungan untuk memotong ke Lenggong dari arah Sungai Petani lalu sampai lewat malam. Selepas itu baru tahu masjid ini terkait dengan darah keturunan daripada belah Kedah. Rujuk cerita berkenaan dalam artikel Panggilan Musuh Bisik : Menjejak laluan saudara tanpa dirancang




Cuma menurut rancangan kami mahu sampai selewatnya jam 7 petang. Ini supaya dapat meredah laluan bukit dan pergunungan ke Lenggong sebelum langit menjadi gelap. Tetapi sudah ditakdirkan sampai malam walau tidak lewat seperti dalam perjalanan terdahulu. Jika dahulu masjid sedang berkunci ketika kami sampai kali ini dapat masuk ke dalam. Dapatlah melihat sejarah berkenaan juga menziarahi makam seorang moyang saudara yang berhijrah dari Kedah ke Perak. Lihat artikel Galeri kecil (Small gallery of) Toh Paduka Raja diikuti Makam (Tomb of) Wan Abu Bakar bin Laksamana Wan Ismail.






Tiada ulasan:

Catat Ulasan