Khamis, Februari 24, 2022

Kembara kekerabatan Laksamana Perak dan Kedah part II - Merungkai hal Wan Ismail dan nenek moyang

Salam petang Khamis 21 Rejab. Merujuk pada artikel Tentang ziarah ke tempat-tempat bersejarah di Perak yang dipersembahkan 8 hari lalu. Ada diberitahu bahawa isteri telah mengajak untuk membuat perjalanan ke Kedah dan ini akan dilakukan tidak lama lagi. Dalam Artikel ke-2,222, bagi tarikh 22/2/22 yang ditulis 3 hari lalu pula disebut ketika hendak mempersembahkan artikel saya sedang berada di suatu tempat di Perak, dalam perjalanan kembali dari Kedah.  Dengan itu sukacita dimaklumkan kami telah sampai kembali ke rumah petang semalam. Sekarang bolehlah dikongsikan cerita berkenaan.



Pagi Ahad 20 Februari 2022 sekitar jam 8.15 kami meninggalkan rumah untuk memulakan perjalanan.




Pergi dulu ke satu kawasan pangsapuri di Bukit Beruntung belasan kilometer ke arah utara dari rumah. Kena hantar anak-anak untuk kelas silat setiap pagi Ahad.




Walaupun mahu membuat perjalanan jauh ke Kedah kami tak mahu anak-anak terlepas silat. Ini kerana seorang anak akan masuk ke sekolah tahfiz di Janda Baik bermula 1 Mac lalu duduk di asrama. Jadi buat suatu yang masa lama dia tidak akan dapat mengikuti kelas di Bukit Beruntung. Sementara menunggu kelas selesai saya dan isteri berehat di bahagian lagi kawasan pangsapuri. Ada satu pondok wakaf. Dapatlah menyambung sekali bacaan Al-Quran.




Kelas silat tamat selepas jam 10.30 lalu kami pun menyambung perjalanan.




Dekat jam 3 baru berhenti makan. Padahal sejak jam 12 sudah terasa lapar.




Sebenarnya kami mahu makan di tempat berhenti dan rehat (RnR) Bukit Gantang. Tetapi ketika itu tak cukup wang tunai sedangkan di situ tiada mesin ATM. Bila dapat jumpa mesin ATM di stesyen minyak di RnR Bukit Semanggol pula sudah terlepas kedai-kedai makan. Dan lagi di sana tidak banyak pilihan. Maka teruskan sahajalah perjalanan sehingga terjumpa lagi RnR yang ada banyak tempat makan. Tengok-tengok sampai ke RnR Gurun, Kedah. Mungkin disebabkan ada panggilan dari Gunung Jerai yang terletak berdekatan?




Dari RnR sudah tidak jauh ke susur keluar tol Pendang. Kami keluar untuk satu urusan di Kampung Titi Deris.




Selesai urusan pergi melawat makam-makam lama di sekitar Langgar.







Kemudian ke Titi Gajah untuk mencari sebuah rumah lama yang katanya adalah milik Wan Ismail, Laksamana Kedah bagi tahun 1822 sehingga hampir penghujung abad ke-19.




Sesungguhnya perjalanan ini boleh dikatakan adalah kesinambungan bagi perjalanan ke Kedah juga ke Perak yang dibuat pada bulan November tahun lalu. Semuanya ada kena mengena dengan nasab keluarga yang berdarah laksamana juga raja daripada kedua-dua negeri. Lihat artikel Kembara kekerabatan Laksamana Perak dan Kedah.



Cuma kami diberitahu oleh waris yang duduk di sebelah rumah agam bahawa walaupun benar rumah didirikan oleh seorang bernama Ismail ia bukanlah Wan Ismail, Laksamana Kedah itu. Dan Ismail ini bukan daripada keluarga Laksamana Kedah pun tetapi satu keluarga bangsawan lain. Lihat artikel Rumah agam (Mansion of) Ismail, Titi Gajah, Alor Setar di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).



Pun begitu seorang waris mereka ternyata memiliki hubungan darah dengan saya (ada dalam gambar). Beliau adalah keturunan belah perempuan daripada moyang saya, Laksamana Muhammad Amin yang merupakan Laksamana kerajaan Perak dari pertengahan abad ke-19 hingga hampir penghujung abad itu. Pertalian ini terbentuk melalui seorang isteri Laksamana bernama Wan Long Sa'adiah. Isteri ini merupakan anak kepada Wan Mat Saman (Perdana Menteri Kedah) bin Wan Ismail (Laksamana Kedah). Maka terkait juga dengan Laksamana Kedah sebenarnya.




Punyalah seronok bersoreh sehingga kami diajak bermalam. Kalau tidak kerana ada lagi lawatan perlu dibuat sedangkan senja kian menjelma tentu kami berada lebih lama. Perjalanan diteruskan ke satu masjid berdekatan. Lihat artikel Lawatan baru ke Masjid Tuan Hussin (New visit to mosque of Tuan Hussin). Di situ terdapat makam seorang ulamak Kedah awal abad ke-20 yang dikatakan bertaraf wali.




Cerita berkenaan pernah disiarkan lebih 10 tahun lalu. Lihat Makam (Tomb of) Tuan Hussin Kedah. Saya dapat tahu tentang kewujudannya melalui satu buku. Lihat Berkenaan 7 wali Melayu dan lawatan ke makam-makam mereka... juga Projek buku masjid - akhirnya, cukup tujuh wali....




Seterusnya kami berkejar ke Kanchut, dekat utara pusat bandar raya Alor Setar untuk mencari makam seorang Laksamana Kedah yang berkhidmat pada abad ke-18. Walaupun batu nesan tidak menyebut nama berdasarkan tahun meninggal dunia yang bersamaan 1792 Masihi besar kemungkinan beliau adalah Wan Qusai, nenda kepada Laksamana Wan Ismail. Lihat Makam (tomb of) Laksamana Kedah, Kanchut, Alor Setar.




Selain itu terdapat sebuah makam berbatu nesan Aceh tunggal juga makam yang katanya milik seorang isteri Wan Mat Saman. Tetapi bukanlah isteri yang menurunkan moyang belah saya. Lihat Batu nesan Aceh di (Aceh tombstone in) Kanchut, Alor Setar diikuti Makam isteri (tomb of wife of) Wan Mat Saman.




Perjalanan diteruskan dengan masuk ke pusat bandar raya.




Pergi ke Masjid Zahir untuk menunaikan solat Maghrib kemudian menjamakkan Isyak.







Turut bersama ke Masjid Zahir adalah kawan lama isteri yang pernah bekerja sepejabat di TM Rawang. Beliau yang sudah beberapa tahun kembali ke kampung di Jitra datang bersama isteri untuk bertemu di Titi Gajah lalu ikut mencari makam Laksamana di Kanchut.



Selepas makan malam kami meninggalkan mereka lalu pergi ke homestay milik saudara dua pupu saya di selatan bandar raya. Waris yang baru dikenali di sebelah rumah agam turut ada bersama untuk bersoreh lagi. Daripada salasilah yang ditunjukkan mereka seperti urutan generasi keturunan demi keturunan dan tahun-tahun berkenaan saya membuat kesimpulan begini. Memang  benar rumah agam tersebut didirikan oleh Ismail yang bukan daripada keluarga Laksamana. Tetapi tanah berkenaan pernah dianugerahkan oleh Sultan kepada Laksamana Wan Ismail sekurang-kurangnya setengah abad lebih awal. Lalu rumah Wan Ismail pernah berdiri di situ sebelum berlaku sesuatu yang menyebabkan tanah dianugerahkan kepada keluarga Ismail yang bukan keturunan Laksamana lalu dibina rumah baru.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan