Salam lewat petang Jumaat 31 Disember merangkap hari terakhir bagi tahun 2021. Pergi kita ke cerita hari ke-3 perjalanan ke Pantai Timur. Bersambung daripada artikel Pantai Timur penghujung 2021 - Cabaran akibat hujan lebat luar biasa.
Awal pagi Isnin 20 Disember 2021. Kemunculan matahari di celah awan setelah beberapa hari asyik hujan memberikan harapan.
Hari menjadi semakin terang, tiada lagi tanda-tanda akan turun lagi hujan. Sekitar jam 1.30 petang saya dan keluarga pun keluar meninggalkan rumah kawan di Bukit Tinggi. Kawan yang memiliki rumah turut keluar sama kerana mahu kembali ke rumah utamanya di Petaling Jaya.
Kami mengambil jalan turun bukit yang terdekat dengan harapan tanah runtuh yang menghalang laluan semalam sudah dibersihkan oleh pihak berkenaan. Rujuk cerita dalam artikel Pantai Timur penghujung 2021 - Cabaran akibat hujan lebat luar biasa.
Tengok-tengok tiada tanda pun berlaku sebarang usaha pembersihan. Cuma cuaca panas telah menyebabkan sebahagian tanah runtuh menjadi cukup keras lalu kawan pun meneruskan untuk menyeberang. Kelihatan kereta beliau di hadapan.
Cuma tinggal sedikit sahaja tanah runtuh perlu dilalui sebelum keretanya tersangkut dalam pasir selut. Saya pun keluar untuk menolong membersihkan tanah yang menghalang...
Setelah 5 minit berusaha kereta beliau pun lepas. Beliau pun mengajak untuk mengambil laluan sama. Tetapi kereta Kenari kami kecil, tayarnya pun kecil dan kuasa kurang, tidak seperti kereta besar beliau. Adalah lebih selamat untuk berpatah balik lalu mengambil jalan jauh yang naik dahulu ke puncak kemudian turun dari bahagian lain bukit. Selepas kereta tersangkut petang Sabtu rasa serik takut terkena lagi. Sekali lagi rujuk cerita berkenaan dalam artikel Pantai Timur penghujung 2021 - Cabaran akibat hujan lebat luar biasa.
Namun beliau terus memujuk untuk mencuba. Kami pun bersama-sama membersihkan bahagian tanah runtuh yang boleh menyebabkan kereta tersangkut. Oh. Sebetulnya gambar ini diambil jam 2.03 selepas kereta kami lepas. Namun kami menyambung usaha membersihkan tanah supaya kereta lain pula tidak mengalami masalah...
Walaupun kereta kecil kami sendiri dapat melepasi rintangan dengan sekali pergi, cuma ada sedikit tergelincir ke kiri dan ke kanan kami usahakan juga supaya lebih mudah bagi orang lain kalau mahu mencuba laluan sama.
Setelah cukup puas baru berhenti buat kerja. Kebetulan terdapat air terjun tercipta akibat tahan runtuh. Sambil kawan balik dahulu saya dan anak-anak pun layan.
Tu dia mandi air terjun tanah runtuh...
Selepas jam 2.39 petang kami pun menyambung perjalanan. Ternyata jalan ke timur sudah dibuka...
OK. Ketika menulis ayat ini sudah jam 7 lebih petang sedangkan saya dan keluarga harus ke Bangi untuk ke satu majlis Maulidur Rasul selepas ini. Oleh itu biar diringkas penceritaan. Kami mengambil laluan alternatif untuk sampai ke destinasi. Banyak bahagian jalan masih tinggal kesan banjir dan tanah runtuh akibat hujan lebat tak henti yang melanda separuh Semenanjung hari Jumaat dan Sabtu. Boleh dilihat kereta-kereta tersadai dan sebagainya akibat ditenggelami air...
Untuk lebih banyak gambar dan penerangan sila lihat artikel-artikel berikut di blogspot BERPETUALANG KE ACEH :-
Ada pula bahagian yang kami perlu tunggu lama kerana masih dalam proses pembersihan. Ada bahagian yang masih digenangi air lalu kami harus mencuba jalan lain.
Lihat artikel-artikel berikut :-
Kami juga ada membuat video secara siaran langsung di Facebook menunjukkan keadaan di satu bahagian tanah runtuh. Lihat sini.
Halangan-halangan tersebut menyebabkan begitu banyak masa terbuang. Ketika singgah di masjid ini untuk menjamakkan solat Zohor dan Asar sudah jam 6.15 petang. Lihat artikel Masjid (Mosque of) Simpang Pelangai, Bentong, Pahang di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART). Sedangkan untuk ke mana-mana pun selepas itu harus turun lebih jauh lagi ke selatan masuk ke Negeri Sembilan.
Masih jauh lagi untuk sampai ke Temerloh apa lagi hendak ke Kuantan sedangkan tidak kelihatan jaminan laluan seterusnya boleh dilalui dengan mudah dan selamat. Isteri pun mencadangkan agar kami kembali sahaja ke Lembah Klang. Mungkin melalui Kuala Klawang ke Hulu Langat. Itupun ada kemungkinan laluan bermasalah. Atau turun ke Kuala Pilah kemudian ke Seremban. Itu mungkin lebih selamat.
Apakah anda sendiri akan buat dalam keadaan begini? Perjalanan masih jauh, anda sudah penat. Tiada jaminan jalan selamat dan boleh dilalui. Takut terhalang oleh banjir dan/atau tanah runtuh. Lagi pun memang Pantai Timur sedang musim tengkujuh. Fikir-fikirkan. Sekarang biarlah saya bersiap untuk ke majlis di Bangi. Apa-apapun untuk tengah malam ini biar diucapkan selamat tinggal tahun 2021 dan selamat datang tahun baru 2022.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan