Selasa, Mei 11, 2021

Meliputi Asian X-Games di Phuket tahun 2000

Salam pagi Selasa 29 Ramadhan. Selepas mempersembahkan artikel Jelajah Mesra PDRM sekitar tahun 2000 dekat jam 4 pagi tadi cerita perjalanan lama yang mahu dikongsikan juga adalah daripada tahun 2000. Kali ini lebih dekat ke hujung tahun. Menariknya ia berlaku di luar negara kurang sebulan selepas dihantar meliputi acara berkuda di tempat lain lebih jauh, tentunya di luar negara juga. Lihat Kompilasi cerita kenangan liputan sukan berkuda di Perancis tahun 2000.



Gambar yang ditemui di Internet ini menunjukkan Timbalan Menteri Sukan Malaysia Datuk Ong Tee Keat menerima lambang X Games daripada Gabernur Phuket, Pongtayome Vasaputi. Ini adalah sebagai tanda Malaysia akan menjadi hos baru kejohanan bagi tahun 2002 hingga 2004. Upacara penyerahan berlaku pada tarikh 8 Disember 2000. Phuket di Thailand adalah tempat pertama menjadi hos Asian X Games (bagi tahun 1998 hingga 2001)

Masalahnya saya tak ingat langsung meliputi upacara ini walaupun seingat saya berada di Phuket sepanjang acara berlangsung 3 hingga 10 Disember. Mungkin kerana terlalu banyak jenis sukan ekstrem berlangsung dalam tempoh masa tersebut lalu boleh terlepas pandang? Mungkin juga. Tapi tak patutlah saya sebagai wartawan akhbar The New Straits Times yang dihantar khas untuk meliputi acara terlepas satu upacara yang melibatkan menteri. Tak patut. Mungkin saya ada meliputinya tapi tak ingat? Yang ingat ada menghadapi masalah dalam menghantar laporan berita mengenai sukan kerana belum memiliki alatan canggih seperti hari ini untuk berkongsi cerita. Harus  mencari Internet Cafe bagi menghantar cerita. Ini sangat-sangat tidak efisyien, tidak cekap dalam membuat kerja.

Berbeza sungguh dengan hal ketika saya ke Perancis untuk meliputi acara berkuda awal November 2000. Saya berada lebih seminggu tanpa keperluan untuk menghantar laporan keputusan acara setiap hari seperti semasa meliputi Asian X Games di Phuket. Ini kerana acara berupa tunggangan lasak kuda jarak jauh (endurance riding) belum dikenali di Malaysia ketika itu. Saya telah ditaja oleh seorang penunggang tempatan yang sedang mengejar mata untuk menaiki ranking dunia lalu boleh menulis laporan setelah kembali ke Malaysia.



Pun begitu didapati kemudian bahawa sebenarnya tidak ada keperluan pun untuk membuat laporan harian Asian X Games kerana Malaysia pun belum mengenali sangat sukan lasak ini. Apabila laporan dihantar ke meja sukan akhbar saya The New Straits Times di Kuala Lumpur pengarang dan kakitangan editorial yang lain seperti tidak berminat untuk mengeluarkan berita. Ini kerana mereka lebih biasa dengan sukan-sukan tradisi seperti bola sepak, hoki, ragbi dan sukan-sukan padang seperti berlari pecut 100 meter diikuti 200 meter, 400 meter dan sebagainya. Sehingga hendak menyebut pemain X-Games sebagai atlet pun mereka keberatan. Kalau tidak kerana ketua pengarang NST sendiri meminta agar diberikan perhatian tentu mereka langsung tak layan.

Acara yang memperagakan beberapa jenis sukan seperti kecekapan bermain papan luncur (skateboarding) dalam litar khas tertutup dan panjat dinding tinggi (wall climbing) ini lebih dianggap sebagai sukan underground atau bawah tanah yang cuma digemari remaja bandar yang kuat memberontak, bersifat anti-establishment. Ia sudah menjadi sangat popular di Amerika sejak beberapa tahun sebelum itu lalu ada pemuda di Malaysia mengikutinya. Di Amerika acara-acara sukan berkenaan telah dikumpulkan dalam satu kejohanan yang dikenali sebagai X-Games lalu dapat meraih perhatian berjuta penduduk diikuti dunia. Pada tahun 1998 kejohanan diperkenalkan pada peringkat benua lalu terbitlah Asian X-Games dengan Phuket sebagai lokasi dan hos pertama.

Saya disuruh mula mendekati para pemainnya di Malaysia sejak pertengahan tahun 2000 atau mungkin lebih awal kerana ada ura-ura Malaysia mahu menjadi hos Asian X Games selepas tamat tempoh di Phuket. Saya pun mula mengikutinya dengan mengambil inisiatif sendiri menjejak para pemain berkenaan. Sambil itu dapat dilihat ramai di meja sukan seperti mencebik muka. Macam ni pun nak panggil sukan? Saya seperti ingat itu daripada kata-kata dan air muka mereka lalu tersenyum sahaja.

Walaupun sendiri kurang berminat saya anggap ini satu proses pembelajaran dalam hidup sambil mengenali perkara baru. Apabila mengenali para pemain utama di Malaysia (ya. sebagai wartawan sebuah akhbar terkemuka saya boleh terus pergi pada 'ikan-ikan besar' dalam apa-apa bidang, bukan bermain dengan orang-orang kecil atau budak baru belajar) saya turut dapat mengenali lebih dekat satu sisi kehidupan. Saya sebut lebih mengenali kerana pernah melalui keadaan serupa. Ramai daripada mereka yang terlibat ini adalah jenis remaja yang memberontak terhadap sistem sedia ada. 

Saya sendiri pernah bersifat sebegitu sehingga pernah dibuang daripada sekolah kemudian dibuang  kolej. Malah saya pernah lari rumah di tengah-tengah menduduki peperiksaan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) tahun 1987 di Muar. Nasib baik termasuk dalam golongan semulajadi pandai lalu tetap mendapat keputusan yang baik sehingga boleh melanjutkan pelajaran ke luar negara. Saya pernah duduk beberapa lama dengan para pemuzik jalanan di Pasir Seni atau Central Market. Pernah bergaul dengan geng-geng anak muda yang kerjanya selalu bergaduh bertumbuk di luar sana. Saya dapati mereka yang terlibat dengan sukan ekstrem ini ramai jenis begitu. Mereka berhati kering, pantang dicabar. Kalau bergaduh boleh keluar pisau menikam tanpa memikirkan akibatnya.

Ya. Ini bukan kehidupan biasa yang boleh dibanggakan apa lagi hendak dijadikan contoh seperti halnya atlet-atlet dalam sukan-sukan tradisi. Oleh itu saya faham kenapa meja sukan sendiri di The New Straits Times pun keberatan untuk meliputi acara dan sukan berkenaan. Pada mereka ini bukan sukan tapi aktiviti gelagat remaja. Tapi bila bos besar sendiri dah suruh liputi ikut sahaja le walau tak suka. Maka dalam konteks ini meliputi upacara yang melibatkan Timbalan Menteri Sukan Malaysia seperti ditunjukkan dalam gambar paling atas adalah jauh lebih penting daripada meliputi sukan itu sendiri.




Ah. Saya bercakap tentang hal remaja dan jiwa memberontak ini seperti mengalir keluar begitu sahaja ketika mengingatkan perkara. Apapun artikel ini dibuat lebih dalam konteks untuk berkongsi perjalanan-perjalanan lama. Dahulu saya ingat boleh mengabaikannya. Kemudian didapati, seperti halnya banyak perjalanan lama lain ia harus ditonjolkan juga supaya nanti dapat membuat analisis tentang tren/corak perjalanan saya sejak tahun 1989 dengan lebih adil dan saksama.

Sebelum ini saya cuma menyebut hal Phuket ini secara sepintas lalu. Dalam artikel Kenangan liputan sukan berkuda di Perancis tahun 2000 - Berapa perjalanan sebagai wartawan akhbar The New Straits Times yang dipaparkan pada 2 April saya meletakkan gambar atas diikuti teks berikut sahaja...


Sebagai wartawan sukan saya juga disuruh mengikuti acara sukan lasak generasi baru seperti berlawan main skateboard dan rock climbing pada peringkat profesyional. Untuk itu saya pernah dihantar lebih seminggu untuk meliputi Asian X Games di Phuket, Thailand. Gambar dari paspot lama yang dikongsikan dalam artikel berbahasa Inggeris Reminiscing some old travels via international passports ini menunjukkan saya berada di sana 3 hingga 13 Disember tahun 2000. Sekitar sebulan dua sebelum itu berlakulah perjalanan ke Perancis yang ceritanya mahu dijadikan siri...


Ini dibuat dalam konteks untuk menyatakan bahawa selain dihantar untuk acara berkuda ke luar negara saya ada pergi lagi ke luar negara bagi meliputi acara lain pada tahun sama. Dalam artikel Kali pertama ke makam-makam lama tahun 2001 - Asbab perjalanan berlaku yang dipaparkan 4 hari kemudian baru dipanjangkan perkara. Itupun dalam konteks lain iaitu untuk menunjukkan bagaimana berlaku perubahan keadaan hidup. Daripada seorang wartawan cemerlang mula menghadapi zaman kejatuhan akibat iri hati dan dengki juga politik pejabat melibatkan tokoh-tokoh bernama besar peringkat negara dan antarabangsa lalu mula beralih ke arah hal-hal yang lebih kerohanian. Begini cerita berkenaan yang dikongsikan...


Ketika perjalanan ke Perancis berlaku awal November 2000 reputasi saya sebagai wartawan sukan di akhbar The New Straits Times sudah mencapai suatu tahap cemerlang malah masih meningkat naik. Saya cukup dikenali di pejabat juga dalam kalangan wartawan akhbar lain dan majalah selain memiliki hubungan baik dengan ramai VVIP termasuk para menteri dan peneraju syarikat-syarikat korporat. Saya begitu dipercayai sehingga tak sampai sebulan kembali dari Perancis terus dihantar untuk meliputi kejohanan sukan ekstrem (skateboarding, wall climbing dan sebagainya) Asian X Games di Phuket, kali ini oleh akhbar NST itu sendiri. Saya dibekalkan wang sebanyak US$2,000 (ketika itu harus hampir RM8,000) dalam bentuk travellers cheque untuk belanja sepanjang berada di sana 3-13 Disember. Saya ingat tarikh kerana ada cop berkenaan dalam paspot lama. 

Ini tidak termasuk tiket pergi balik penerbangan kerana telah ditempah oleh syarikat secara berasingan. Saya cuma ada menambah RM600 kalau tak salah untuk tiket penerbangan isteri lama kerana mahu membawanya bersama. Syarikat tiada masalah asalkan tidak mengganggu kerja. Malah katanya lebih baik membawa isteri kerana tahu Phuket memiliki reputasi tidak senonoh melibatkan perempuan. Rasanya semua orang tahu apa maksudnya ini...

Kami menginap di hotel termahal dan terbaik di pulau peranginan sehingga seorang pegawai muda tapi kanan bagi Menteri Sukan Malaysia terasa iri hati melihat keadaan kami. Ini berlaku setelah terserempak di  Phuket lalu saya mengajaknya makan secara room service di bilik kami, saya yang belanja. Terus dia menyatakan mahu meminta kementerian menukarkannya ke hotel yang lebih bagus. Kalau saya yang 'cuma' bekerja sebagai wartawan boleh mendapat hotel terbaik sebegitu kenapa tidak dia pegawai kanan yang rapat dengan menteri?

Pegawai muda yang merupakan junior setahun saya semasa zaman kolej di A Level itu dihantar untuk meninjau kerana sukan ekstrem sedang meningkat naik di merata dunia. Beliau turut menemani beberapa orang atlet sukan ekstrem Malaysia lalu mereka pun diajak sama makan di bilik hotel saya. Ketika itu kementerian sedang memikirkan mahu membawa Asian X Games ke Kuala Lumpur lalu saya ada terlibat dalam kempen untuk mendapatkannya. Dan memang pun KL menjadi hos kejohanan dari tahun 2002 hingga 2004. 


Pun begitu artikel ini bukanlah tentang hendak mengenangkan acara juga apa yang berlaku sangat tetapi tentang perjalanan yang berlaku dalam tempoh masa membuat liputan acara. Adapun sepanjang 11 hari berada di Phuket saya ada menyewa motosikal besar lalu jalan merata selain menaiki pengangkut awam kerana saja-saja hendak merasa. Lakaran mudah laluan perjalanan seperti ditunjukkan di atas menunjukkan jumlah jarak 198 km. Lihat sini. Ia termasuk jarak bergerak dari lapangan terbang ke hotel di Phatong Beach atau Pantai Phatong ketika mula-mula sampai juga hotel ke lapangan terbang ketika hendak kembali ke Malaysia. Dekat pantai itulah acara Asian X-Games diadakan lebih kurang 1-2 km dari hotel. 

Tetapi ini masih tidak dapat menggambarkan seluruh penjelajahan saya di Phuket. Ia akibat had jumlah menyambungkan tempat-tempat yang ditetapkan oleh Google Map. Saya ada membuat sekurang-kurangnya 3 kali pusingan Phatong Beach ke Karon Viewpoint ke Phuket Old Town sebelum kembali ke Phatong Beach.  Tapi cuma sekali pusing sahaja dapat dimasukkan ke dalam Google Map disebabkan had 10 tempat boleh disambung dalam satu peta. Selain itu cuma dapat dimasukkan satu pusingan lain yang dibuat bersama isteri dengan motosikal. 

Semua harus diambil kira untuk mendapatkan jumlah keseluruhan jarak. Sudah disemak bahawa satu pusingan Phatong Beach-Karon Viewpoint-Phuket Old Town-Phatong Beach memakan jarak lebih 44 km. Tiap-tiap hari pula saya juga ada berjalan lebih 2 km pergi balik dari hotel ke tempat acara, kadangkala sehingga 3 kali sehari. Ada masa dengan motosikal, ada masa naik pengangkutan awam, ada masa berjalan kaki ikut 'angin' dan rasa. Dicampur jarak lain sesuka hati berjalan ke sini ke mari harus lebih 300 km saya berjalan di pulau itu. Cukuplah maklumat ini bagi melengkapkan perkongsian.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan