Cerita lama seterusnya mahu dikongsikan melibatkan perlumbaan basikal. Tetapi saya tidak tergerak untuk berkongsi apa-apa gambar basikal. Sebaliknya hati menyuruh menunjukkan gambar motosikal.
Motosikal besar standard atau piawai bagi polis trafik Malaysia tahun 80an dan 90an...
Dalam buku pertama saya "Berpetualang ke Aceh : Mencari Diri dan Erti" (terbit Jun 2006) ada satu satu bahagian cerita menyebut begini :-
Dia pun keluar mandi di sungai bersebelahan
rumah lalu bersiap-sedia. Ringkas, sebuah beg knapsack besar diisi penuh
pakaian yang akan dibawa balik ke Kajang. Pakaian di badan sekadar t-shirt,
seluar tracksuit dan sebuah jaket kalis hujan tertera lambang Polis
diraja Malaysia serta perkataan “JELAJAH MESRA PDRM” di dada kiri. Hingga ada
orang yang menganggap Rasyid seorang anggota polis, walaupun ketika pemuda itu
sedang berambut panjang. Ramai juga menduga dia mungkin seorang polis undercover
kerana gayanya yang agak tenang tetapi tegas dan berani, lebih-lebih lagi
ketika memakai jaket labuh berwarna biru gelap ini. Nasib baik dia bukan jenis
yang suka menyamar...
Anak muda ini tergelak apabila ditanya tentang
itu. Geli-hati pun ada.... Lalu dia akan menyuakan bahagian lain jaket supaya
dapat dilihat dengan jelas, jaket yang merupakan salah satu daripada pelbagai
hadiah yang diterima ketika bertugas sebagai wartawan dahulu.
“Ini, tengok ini,” katanya menerangkan keadaan.
“Lambang KFC ada, Telekom ada, EON, Majlis Sukan Negara malah Persatuan Lumba
Basikal Kuala Lumpur pun ada. Pilihlah yang mana, kamu hendak kata saya bekerja
di mana. Semua pun boleh,” pemuda ini berseloroh.
------------
Cerita ini disebut dalam buku sebagai sebahagian daripada kisah mahu memanjat Gunung Nuang seorang diri sekitar tahun 2003. Kisah pendakian yang menyaksikan saya sesat dalam hutan selama 19 jam boleh dibaca dalam artikel
lama Pendakian dan sesat di Gunung Nuang dalam ingatan.... Nampaknya ia adalah satu-satunya penulisan berkenaan Jelajah Mesra PDRM pernah saya kongsikan di mana-mana. Walaupun sedikit ia dapat menunjukkan bahawa acara boleh tahan besar.
Wujudnya lambang KFC (Kentucky Fried Chicken), Telekom (sekarang TM), EON (Edaran Otomobil Negara, dahulunya syarikat utama bagi mengedar kereta jenama Proton milik Malaysia), Majlis Sukan Negara juga Persatuan Lumba Basikal Kuala Lumpur pada jaket menunjukkan acara disokong ramai pihak berwibawa kalau tidak pun mendapat tajaan besar mereka. Namun apa yang dapat diingati cuma sedikit sahaja. Biar dibuat senarai seperti berikut sambil cuba menggali ingatan :-
1) Ia adalah acara lumba basikal terbesar di Malaysia selepas Le Tour De Langkawi (yang merupakan acara antarabangsa bertaraf dunia).
2) Ketika saya ditugaskan meliputinya sekitar sama ada pada tahun 1999 atau tahun 2000 ia adalah edisi pertama.
3) Berpuluh kalau tidak pun lebih 100 orang pelumba basikal menyertai sambil diiringi ramai marshal yang merupakan polis trafik Malaysia dengan motosikal besar standard issue ketika itu. Itu yang ditunjukkan dalam gambar atas. Sekarang dah pakai model lain.
4) Kami mengelingi seluruh Semenanjung dan berhenti menginap di bandar-bandar utama. Semuanya dapat hotel bagus-bagus belaka...
Saya seperti ingat-ingat lupa keadaan perlumbaan di bandar diraja Pahang iaitu Pekan diikuti Mersing. Entah kenapa yang kekal dalam ingatan sehingga kini cuma beberapa perkara sahaja. Biar diceritakan setakat boleh...
1) Ketika menginap di Alor Setar saya dan kawan-kawan wartawan masuk berseronok di sebuah kelab malam dalam sebuah kompleks membeli belah yang bersambung dengan hotel. Kemudian ramai kawan polis ikut serta. Lain-lain tak mahu sebut kerana itu zaman saya masih jahiliah.
2) Walaupun masih jahiliah saya tidak lagi terlibat dengan perempuan. Pemilik kelab malam mahu menyuakan perempuan. Tapi saya lebih seronok layan menari disko dan minum-minum bersama kawan-kawan.
3) Dalam rombongan kami ada seorang artis wanita yang baru meningkat naik dalam tempoh setahun dua itu tetapi sudah cukup terkenal. Dalam gambar di majalah dan sebagainya kelihatan macam ada sombong sedikit. Tetapi bila berjumpa berhadapan mata kelihatan lembut dan boleh tahan pemalu.
4) Entah kenapa beliau seperti hendak berbaik dengan saya. Diceritakanlah ayahnya pernah bekerja dengan syarikat saya iaitu The New Straits Times, bukan sebagai wartawan, rasanya kakitangan biasa. Sehingga apabila ada seorang pemuda yang kelihatan agak berada mengajaknya keluar makan ke Pulau Pinang beliau mengajak saya bersama. Kemudian baru saya tahu pemuda itu mahu menguratnya. Sedangkan beliau kelihatan lebih berminat dengan saya.
5) Setelah mendapati beliau lembut orangnya, bukan seperti dalam gambar majalah saya mengaku ada sedikit tertarik. Mungkin gambar yang kelihatan sombong itu adalah keperluan untuk menampilkan diri dalam dunia selebriti yang penuh mencabar? Nasib baik saya bukan lagi kaki perempuan ketika itu.
6) Jadi apa yang menghalang untuk berbaik dengannya kalau pun bukan kaki perempuan lagi? Apa salahnya kalau berkenalan lebih rapat asal tidak berbuat maksiat? Bila difikirkan balik baru teringat kenapa. Sebabnya saya sudah beristeri sejak penghujung 1999 lalu berazam untuk belajar setia dengan satu.
7) Ya. Kalau begitu Jelajah Mesra PDRM ini harus berlaku sekitar tahun 2000. Seorang kawan lama wartawan Berita Harian yang turut meliputi acara telah dihubungi baru-baru ini. Beliau sendiri cenderung mengatakan ia berlaku pada tahun 2000. Kalau tahun 2001 acara ditangguhkan atas sebab tertentu.
8) Tentang artis tersebut, selepas beberapa tahun beliau menghilang terus daripada dunia seni. Kemudian baru terlihat cerita dalam majalah rupa-rupanya sudah berkahwin dengan pemuda yang ingin menguratnya itu. Baru saya tahu beliau sangat rapat dengan istana satu negeri. Rupa-rupanya sejak dahulu dah jadi adik ipar seorang Sultan yang isterinya bukan daripada kalangan kerabat diraja.
Patutlah semasa makan kuey teow (yang ini baru teringat) dekat Gurney Drive (kalau tak salah) di Georgetown beliau asyik memetik nama orang inilah, ketua polis negerilah dan berbagai nama orang besar lain ketika bercerita. Nampaknya memang kenal orang-orang ini. Adik ipar Sultan le katakan. Cuma tu le. Apa keperluan hendak bercerita sebut nama orang itu ini semasa makan di hadapan artis tersebut dan dengan adanya saya seorang wartawan biasa sahaja? Lu fikirlah sendiri... :]
Sayang satu-satunya rujukan dapat ditemui di Internet tentang acara adalah seperti dalam gambar atas. Kelihatan ada pautan untuk laporan berkenaan di Utusan Online. Bila diklik memang masuk ke laman sesawang berkenaan iaitu bagi akhbar Utusan Malaysia. Tetapi laporannya sudah tiada. Nampaknya sudah tidak disimpan lagi kerana acara sudah berlaku lebih 20 tahun lalu.
Nasib baik ada tarikh acara 22 April hingga 1 Mei bagi tahun 2000. Jelas bahawa ia memakan tempoh masa selama 10 hari dan saya ikut ke semua destinasi sepanjang itu. Walaupun tak ingat setiap lokasi apa lagi semua yang berlaku saya tahu ia melalui bandar-bandar di jalan-jalan utama di Pantai Barat Semenanjung membawa ke Pantai Timur sebelum kembali ke Kuala Lumpur. Dengan itu bolehlah dibuat lakaran ringkas laluan seperti berikut...
Nah. Ini adalah lakaran ringkas sedangkan di setiap bandar yang disinggahi dalam tempoh 10 hari itu kami ada berjalan ke sana kemari. Oleh itu tidak salah untuk mengatakan jarak sebenar diliputi adalah 1,900 km. Rasanya ada masuk ke Georgetown di Pulau Pinang sekali sebelum ke Alor Setar. Tapi tidak dapat dimasukkan ke dalam lakaran akibat had yang ditetapkan oleh Google Map. Kalau campur itu ada lagi tambahan sekurang-kurangnya 12 km.
Selain itu belum dimasukkan jarak saya sendiri mengikut artis berkenaan dalam kereta dari Alor Setar ke Georgetown untuk makan kemudian kembali ke hotel pada suatu malam. Bila disemak dengan Google Map itupun memakan jarak 243 km. Nah. Campurkan 1,900 km dengan 12 km dan 243 km dah jadi 2,155 km. Bukan sedikit jarak tu. Maka itu perjalanan tidak boleh abaikan walaupun sangat sedikit dapat diingati tentangnya.
Adus. Ketika menulis ayat ini sudah jam 3.59 pagi. Walaupun penat ada rasa keberatan untuk melelapkan mata. Ada rasa berharap semoga malam ini Lailatul Qadar. Semoga penulisan ini menjadi ibadah yang memberikan ganjaran berganda kerana dilepaskan dalam konteks menurut gerak jujur dan melegakan dada supaya dapat menjadi insan yang lebih berguna untuk agama, bangsa dan negara.
Terselit cerita zaman jahiliyah 20 tahun lalu. Tentu senyum sendiri mengenang semula kisah-kisah itu.
BalasPadamIya. Daripada satu segi ia kelihatan seperti membuka aib pekung di dada. Daripada segi lain pula mungkin boleh menyebabkan ada orang menuduh nak bangga diri le tu dulu ramai orang perempuan minat dan perangai boleh tahan taiko agaknya.
BalasPadamSaya? Itu cuma penulisan jujur yang terbit dalam perkongsian pengalaman dan luahan rasa seperti biasa. Sesungguhnya tanpa saya yang dahulu dengan segala macam kelemahan jatuh bangunnya tiadalah diri saya hari ini yang lebih berusaha untuk mendekati agama.