Khamis, Mei 06, 2021

Ke Cardiff di Wales sekitar tahun 1992-1993

Menyambung proses berkenaan daripada artikel Kenangan outward bound training di Pulau Pangkor Disember 1989. Pergi kita ke zaman saya sedang belajar di London tahun 1991-1995.




Dalam artikel  Sewa kereta ke separuh England tahun 1994 - Membina perspektif berdasarkan beberapa perjalanan lain yang ditulis 20 Mac ada disebut bahawa dalam tempoh 4 tahun menetap di London saya ada membuat banyak juga perjalanan ke tempat-tempat lain di United Kingdom. Tetapi cuma dua perjalanan sahaja dipanjangkan cerita sehingga dijadikan siri. Ini kerana kedua-duanya memakan jarak lebih 1,000 km lalu layak dimaksudkan ke dalam Senarai 50 perjalanan terjauh dan 10 istimewa. Lihat :-

1. Kompilasi cerita perjalanan ke Scotland tahun1993

2. Kompilasi cerita sewa kereta ke separuh England tahun 1994


Cuma apabila muncul beberapa maklumat baru ketika menulis timbul kesangsian bilakah perjalanan-perjalanan ini berlaku. Lihat  Perjalanan-perjalanan di UK tahun 1991-1995 - Satu penilaian semula tempoh waktu perkara.  Selepas melihat kembali lebih 100 perjalanan selain Senarai 50 perjalanan terjauh dan 10 istimewa (rujuk Perjalanan-perjalanan lain yang perlu diambil kira - Lagi proses yang perlu untuk melengkapkan analisis) timbul rasa bahawa satu perjalanan di UK yang telah diabaikan sebelum ini harus diceritakan kembali dalam satu artikel khas. Sebelum ini ia cuma disebut dalam artikel Sewa kereta ke separuh England tahun 1994 - Membina perspektif berdasarkan beberapa perjalanan lain sebegini :-


Harus mendapat sebutan khas (special mention) adalah perjalanan ke Bristol diikuti Cardiff dan Exeter memandu kereta sewa dengan seorang kawan dan adiknya. Kami pergi menziarahi kawan-kawan yang belajar di sana selain mengikut majlis sukan pelajar Malaysia di UK (lupa apakah di Bristol atau di Cardiff). Itulah satu-satu kalinya saya masuk negeri Wales di timur UK kerana Cardiff terletak di sana. Teringat ada menyeberang jambatan di satu bahagian Sungai Severn yang lebarnya 3-4 km.

Perjalanan ini harus mendekati 800 km kerana jarak antara kota sahaja ditunjukkan oleh Google Map sebagai mencapai jumlah 716 km. Tetapi ia tidak cukup jauh untuk dimasukkan ke dalam senarai 50 perjalanan terjauh, kalau tidak tentu dibuat siri kecil tentangnya.



Dahulu saya tidak ingin memanjangkan cerita kerana lebih memikirkan pada jarak perjalanan sahaja. Selepas membuat artikel Senarai 50 perjalanan terjauh dan 10 istimewa lalu bercadang untuk membuat artikel analisis tentang tren/corak perjalanan saya sejak tahun 1989 baru terasa tak cukup itu. Harus dimasukkan juga sejumlah perjalanan lain yang telah dikongsikan cerita dalam blogspot CATATAN SI MERAH SILU lalu terbitlah artikel Perjalanan-perjalanan lain yang perlu diambil kira - Lagi proses yang perlu untuk melengkapkan analisis 4 hari lalu. Di dalamnya terdapat senarai lebih 100 perjalanan yang tidak boleh diabaikan lagi malah sejumlah daripadanya boleh menolak apa yang sudah ada dalam Senarai 50 perjalanan terjauh dan 10 istimewa kerana ternyata lebih jauh jaraknya. 

Dengan itu perjalanan ke Cardiff yang juga merupakan pertama kali saya masuk ke negeri Wales harus diberikan lebih perhatian. Sesungguhnya Wales merupakan satu daripada empat negeri yang tergabung dalam negara United Kingdom. Tempat saya belajar London yang merupakan ibu kota UK terletak di England. Negeri ini telah diwakili oleh penceritaan yang terkumpul dalam artikel Kompilasi cerita sewa kereta ke separuh England tahun 1994. Satu lagi negeri iaitu Scotland diwakili penceritaan dalam artikel Kompilasi cerita perjalanan ke Scotland tahun1993. Negeri seterusnya yang duduk dalam lingkungan satu pulau besar sama (dikenali sebagai Great Britain) adalah Wales. Tinggal satu lagi negeri yang membentuk UK iaitu Northern Ireland tapi tak pernah sampai kerana terletak di pulau besar lain iaitu Ireland. 

Maka patutlah ada sekurang-kurangnya satu artikel untuk mewakili Wales. Namun ingatan terhadapnya berbanding perjalanan ke Scotland mahupun pusing separuh England adalah sangat terhad. Yang ingat saya diajak seorang kawan yang sedang menuntut di LSE (London School of Economics) agar pergi bersama ke Cardiff dengan menaiki kereta sewa. Ketika itu ada seorang adiknya datang bercuti dari Malaysia lalu akan ikut sama. 

Hmm. Tiba-tiba terfikir ada kemungkinan terdapat seorang adik lagi turut serta. Terbayang dalam fikiran seorang adik yang lebih tinggi daripada kawan itu agak pemalu orangnya. Seorang lagi adik yang lebih muda kelihatan lebih ranggi dan lebih berkeyakinan diri. Apapun saya bersetuju. Lalu pergilah kami pada suatu hari dari London.


Tarikh tepat tak ingat. Tahun pun tak pasti sebenarnya. Cuma pada fikiran saya ketika itu belum lagi agak down atau kurang bersemangat seperti halnya selepas gagal peperiksaan tahun kedua universiti sekitar Mei atau Jun tahun 1993. Yang pasti bukan pada tahun pertama 1991-1992. Maka ia harus pada tahun kedua 1992-1993. 

Kawan memandu dahulu buat suatu jarak yang agak jauh. Hmm. Di sini saya mula terasa ragu-ragu apakah kami pergi ke Bristol dahulu baru ke Cardiff atau terus ke Cardiff baru ke Bristol. Kedudukan antara dua bandar ini boleh dikatakan agak dekat. Mana-mana dahulu pun boleh. Cuma Cardiff dah masuk ke dalam Wales malah merupakan ibu kota negeri tersebut, Bristol masih di England...

Yang pasti kita akan mendekati Bristol sebelum ke Cardiff dari arah London. Berdasarkan itu kami harus singgah di Bristol terlebih dahulu. Yang ingat saya ada membawa kereta menyeberang sungai lebar yang kelihatan dalam peta iaitu Sungai Severn. Seingat saya memandu agak laju juga walhal sedang kabus tebal. 

Sampai di kota Cardiff ada sedikit masalah. Saya sebenarnya belum pandai membawa kereta malah takda lesen pun. Bila berjalan jauh lancar OK, bila masuk bandar perlu main clutch dan gear itu yang lemah.


Apa yang saya ingat tentang Bristol adalah terjumpa seorang junior yang pernah menetap satu kolej ketika zaman A Level di Damansara Utama (sekitar tahun 1989, selepas itu berpindah ke kampus Shah Alam lalu tidak lagi sama bilik). Lalu kami dan beberapa pelajar Melayu Malaysia suka-suka bermain ragbi di padang. Di Cardiff pula berlaku majlis sukan antara pelajar-pelajar kita mewakili pelbagai universiti di UK. Ada banyak jenis sukan atau permainan dipertandingkan. 

Hmm. Timbul dalam fikiran satu perlawanan bola jaring. Ada pelajar perempuan agak menarik minat tapi saya sudah ada steady girlfriend dan pelajar tersebut sudah ada steady boyfriend. Tak tahu ketika itu steady boyfriend yang dimaksudkan, seorang junior sebilik juga ketika di Damansara Utama sudah lama meminati steady girlfriend saya. Saya cuma tahu selepas memutuskan hubungan pertengahan 1996 kerana keliru dengan kemunculan teman wanita lain. Tak lama kemudian, dalam tahun 1998 kalau tak salah mereka menjadi suami isteri.

Saya menyebut ini untuk menyatakan betapa secara rata ramai antara pelajar Malaysia di UK saling mengenali lalu terjumpa ramai kawan lama dalam sukan antara universiti. Secara rata pun ramai yang memilih untuk menyewa rumah dengan berkongsi sesama sendiri. Cuma sedikit sahaja seperti saya yang sengaja memilih untuk duduk dengan bangsa lain. Tetapi tidaklah sampai putus hubungan dengan orang Melayu kerana selalu bertandang ke Jabatan Pelajar Malaysia di Malaysia Hall, London untuk makan minum murah juga membaca surat-surat khabar yang dibawa dari Malaysia dengan penerbangan sekali seminggu.


Oh. Ketika itu tidak terfikir pun bahawa saya sudah sampai buat pertama kali ke Wales. Sebetulnya ada ramai kawan lama belajar di negeri itu terutama dalam jurusan undang-undang di Aberystwyth lebih 150 km ke barat laut Cardiff. Satu perkara menarik tentang Wales dan orang tempatannya yang disebut sebagai orang Welsh (seperti halnya orang England dan bahasanya disebut English, orang Scotland disebut Scottish, orang Ireland disebut Irish) adalah ia ada bahasa tersendiri yang tulisan dan bunyinya kedengaran seperti daripada alam bunian Barat iaitu Fairyland. Dahulu zaman kanak-kanak saya sangat suka membaca cerita-cerita berkenaan yang disebut sebagai Fairy Tales. Daripada situlah terkeluar konsep pari-pari dalam cerita terjemahan ke bahasa Melayu, asalnya daripada watak perempuan penyelamat daripada alam Fairy yang dikenali sebagai Fairy Godmother.

Antara perkataan Welsh yang menarik perhatian dan sering membuat saya tersenyum adalah Prifsygol. Ini selalu dilihat pada makalah tentang universiti kerana memang pun ia membawa makna universiti. Apapun nama-nama asli orang perempuan Welsh seperti Gwendolyn dan Gwyneth terasa seperti memiliki aura mistik dan keaslian zaman Robin Hood. Ah. Melalut pasal nama dan bahasa pulak aku daah... :]


Selepas Cardiff rasanya kami ada singgah ke Bristol lagi. Destinasi seterusnya adalah ke Exeter di mana terdapat juga sejumlah pelajar Malaysia. Cuma jumlahnya tidak begitu ramai seperti di Bristol dan Cardiff. Mungkin kami ada menginap barang semalam dua di bandar-bandar tapi memang tak ingat.

Yang ingat di Exeter rasanya mula jadi baik dengan kawan kepada kawan (pelajar LSE yang mengajak membuat perjalanan ini) berserta teman wanitanya yang sama universiti. Apabila masuk bekerja sebagai wartawan akhbar The New Straits Time di Malaysia September 1996 tengok-tengok seorang wartawan senior adalah kakak beliau. Mereka dan kawan di LSE sama-sama berlepas sekitar tahun 1988 untuk membuat A Level di UK di bawah program British Top University. Saya ada sejumlah kawan daripada program ini kerana ada yang pernah satu sekolah menengah, ada yang dikenali ketika mereka membuat persediaan selama 3 bulan di Damansara Utama iaitu di kolej bawah PPP/ITM (Pusat Persediaan Pelajar di bawah Institut Teknologi Mara, kini bertaraf universiti).

Saya sendiri pernah dipanggil temu duga untuk ke program tetapi tidak melepasi saringan akhir kerana cuma mendapat 14 agregat ketika peperiksaan SPM, Sijil Pelajar Malaysia. Maklumlah tengah periksa pun boleh lari rumah kerana bergaduh dengan ayah lalu menginap 3 malam di rumah kawan. Ulangkaji memang tiada langsung, asyik keluar malam main gitar dan melalak dengan kawan-kawan. Sedangkan kebanyakan yang ditemuduga itu, ramai pelajar daripada sekolah-sekolah ternama seperti Maktab Melayu Kuala Kangsar dan Maktab Tentara Diraja memiliki 6 agregat berserta penglibatan kokurrilum yang boleh dibanggakan. 

Sebetulnya 14 agregat itupun bukan masalah sangat kerana saya dipanggil akibat cemerlang dalam matematik dan bahasa Inggeris. Yang merosakkan agregat tu antaranya adalah sebab dapat 6 dalam agama Islam.  Mungkin saya ada berkata perkara tidak menyenangkan ketika temu duga kerana itu zaman saya besar kepala. Asyik hendak melawan pihak berkuasa atau anti-establishment.

Apapun mereka yang sudah dipanggil ke temu duga tapi tak lepas secara automatik dapat masuk ke program A Level secara tempatan di PPP/ITM. Begitulah aturan hieraki pelajar ketika itu sehingga mereka yang gagal di kolej secara automatik pula dapat masuk ITM.



Selepas Exeter saya tidak ingat apakah lagi persinggahan sebelum kembali ke London. Dengan itu perjalanan iboleh dilakarkan secara ringkas seperti di atas dalam Google Map. Bila sudah melihat peta baru terasa kenapa ya tak singgah di tempat-tempat seperti Salisbury misalnya di mana terdapat bongkahan batu purba yang sangat terkenal iaitu Stonehenge? Ke ada singgah tapi tak ingat?

Pun begitu yang dilakarkan ini cuma jarak terdekat dan ringkas antara bandar-bandar. Kalau dicampur jarak pusing dalam setiap bandar harus melepasi 750 km malah mungkin mencapai 800 km. Dengan ini cukuplah perkongsian. Lepas sudah gerak untuk mengangkat cerita walaupun banyak tak ingat.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan