Khamis, April 01, 2021

Pengharmonian sains dan Islam di Malaysia - Di manakah kita?

Lagi selingan antara cerita-cerita tentang perjalanan-perjalanan lama. Masuk bab majlis ilmu.



Semalam Rabu 31 Mac telah berlangsung satu webinar bertajuk "Penginstitusian Usaha Mengharmonikan Sains dan Islam". Ia adalah yang ke-4 di bawah siri "Analisis Terhadap Pengharmonian Sains dan Islam di Malaysia".



Majlis dianjurkan oleh Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM). Memberikan kata-kata pengenalan adalah pengarah IKIM, Datuk Dr Azizan Baharuddin.




Tiga orang panelis telah diminta untuk memberikan buah fikiran. Panelis pertama adalah Profesor Emeritus Tan Sri Dr Kamal Hassan, penasihat kehormat Centre for Islamisation (CENTRIS) di Universiti Islam Antarabansa Malaysia (UIAM). Beliau memulakan dengan menyatakan sudah lama tidak terlibat dengan pentadbiran universiti lalu tidak ada maklumat terbaru tentang penginstitusian sains dan Islam. Seterusnya beliau bertanya kepada pihak penganjur apakah sains sosial termasuk dalam perbincangan atau ia untuk sains natural (tabi'i) sahaja. Dijawab oleh Azizan harus masuk juga. Lalu Kamal pun menyatakan betapa pentingnya sains sosial dimasukkan, antaranya adalah bidang ekonomi.

Krisis ekonomi yang melanda dunia tahun 2008 pun dirujuk. Disebut bagaimana pakar-pakar ekonomi dunia menjadi kelam kabut kerana tidak dapat menangani masalah sedangkan Islam harus dapat menawarkan penyelesaian. Disebut pula tentang UIAM sejak zaman Profesor Ahmad Ibrahim (seorang pakar undang-undang) yang berusaha untuk mengharmonikan undang-undang syariah dengan undang-undang awam (civil law ciptaan Barat). Namun ada perkara-perkara yang tidak dapat diharmonikan disebabkan banyak school of thought (sekolah atau aliran pemikiran). Antaranya adalah pemikiran bersifat atheis (menolak kewujudan Tuhan). Yang ini perlukan pengislahan. 

Kamal seterusnya menyebut perkataan "melembagakan" sebagai ganti perkataan "penginstitusian". Disebut pula kalau institusi-institusi asas pun tidak beres susah hendak diselarikan dengan pandangan Islam. Kata beliau kebanyakan saintis Islam di Malaysia masih berpegang pada fahaman dikotomi (pemisahan pandangan dasar sains dengan pandangan dasar Islam kerana tidak dapat membuat pengharmonian atau titik temu). Diberi contoh satu tinjauan akademik telah dilakukan lalu didapati daripada 47 orang saintis Melayu Islam 43 masih berpegang pada fahaman dikotomi walaupun orang kuat agama. Dengan itu konsep tauhid harus diketengahkan. Perspektif atau worldview (pandangan sarwa jagat) Islam harus boleh dipertahankan.
 


Panelis kedua Profesor Emeritus Datuk Dr Osman Bakar yang merupakan penyandang Kursi Pemikiran Al-Ghazali di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) pula membuka dengan menyatakan usaha pengharmonian adalah sesuatu yang legitimate (sah dan bermakna) tapi harus memahami ruang lingkup perkara. Menurut beliau istilah sains itu sendiri menuntut definisi/penjelasan. Beliau setuju dengan Kamal bahawa ia harus meliputi sains sosial/kemanusiaan. Ini kerana epistemologi (kaedah ilmu) dalam  Islam menuntut ini dalam suatu kesatuan. Tambahnya ilmu itu berkait rapat antara satu sama lain. Terdapat hubungan antara sains sosial dengan sains tabi'e dan ia saling mempengaruhi...



Osman pun membuka slaid bagi memanjangkan penerangan.  Disebutlah tentang sains sebagai ilmu terus berkembang. Namun pencipta utamanya bukan umat Islam. Mereka sama ada daripada agama lain atau tidak beragama lalu mengeluarkan agama daripada pemikiran. Oleh itu sains di Barat dicipta berdasarkan falsafah/sistem nilai yang bercanggah dengan pandangan alam Islam. 





Osman seterusnya membahagikan usaha pengharmonian kepada tiga tahap. Kata beliau 30 tahun dahulu penghargaan terhadap Quran lebih tersebar luas (merujuk pada tahap pertama). Ada usaha untuk mencari ayat-ayat Quran yang boleh dikaitkan dengan sains. Namun pada peringkat awal bolehlah berbuat demikian. Seharusnya kita pergi pada tahap lebih tinggi, bukan sekadar "ayatisisation". Bukan sekadar mencari ayat-ayat (untuk disesuaikan dengan apa-apa penemuan sains). Kita harus lebih sofistikated.  Harus faham dan bentuk konsep (tahap kedua). Bukan sekadar melihat teori sedia ada lalu mahu diselaraskan dengan ajaran Islam. Kita harus ada interpretasi sendiri. Ada integrasi berpandukan epistemologi berdasarkan Tauhid. Kalau tak faham ini dalam tradisi Islam kita tidak boleh memainkan peranan.

Pembentukan minda saintifik Islam pun disebut. Diberikan contoh, antaranya Al Biruni (pemikir besar silam Islam yang hidup tahun 973 hingga 1048 Masihi). Kenapa boleh mencipta macam-macam? Disebut pula ada kesamaan minda saintifik Einstein (ahli fizik terkenal Barat abad ke-20) dengan Ibnu Sina (pakar perubatan Islam abad ke-11). Namun ada juga perbezaan. Oleh itu harus diketahui apa itu minda saintifik Islam.

Untuk tahap ketiga Osman ada merujuk pada buku beliau "Classification of Knowledge in Islam". Harus pergi pada mauduk berupa struktur ilmu Islam. Misalnya dalam ilmu biologi (kajian hayat) Islam konsep jiwa  termasuk di dalamnya. Ada jiwa haiwan, ada jiwa tumbuh-tumbuhan. Sekarang ini semua sudah dikeluarkan. 

Seterusnya (harus tahu) setiap ilmu ada andaian yang tidak boleh dibuktikan benar. Dalam epistemogi Islam ia tidak bercanggah dengan ajaran Islam (walaupun tidak dapat membuktikan kebenaran kerana belum dibuka hijab, misalnya kehidupan selepas mati). Kemudian metodologi. Ah. Apa contohnya ya? Ketika inilah saya mendapat satu panggilan telefon yang sangat mengganggu fikiran. Nanti diterangkan pada penghujung artikel.

Kemudian ada disebut bahawa kemuncak Islamisasi ilmu adalah dapat melihat ilmu itu memenuhi tuntutan Tauhid. Osman pun bertanya - Sudahkah kita membudayakan sains yang berbentuk Islam?

Oh. Oleh kerana buku Classifications of Knowledge yang terbit hasil kajian PhD Osman tahun 1980an disebut biar dikongsikan pautan artikel bagi sejumlah syarahan beliau tentang isi buku. Sejak masuk sebagai pelajar pasca-siswazah di ISTAC hampir penghujung tahun 2018 saya selalu menghadiri syarahan-syarahan di sana terutama oleh guru saya itu sehinggalah tidak lagi dapat ke institusi akibat PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) demi membendung penularan virus Covid-19 bermula Mac tahun lalu. Sila ikuti perkongsian saya melalui pautan-pautan berikut :-


9. Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Apabila syarahan ke-10 dijenamakan kembali menjadi syarahan ke-3


10. Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Tentang wahyu lebah dan antropologi spiritual


11. Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Hikmah dan falsafah yang muncul dalam kegelapan


12. Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Socrates... nabi atau hukamah?


13. Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Pengembaraan jauh mencari kebenaran yang memungkinkan sintesis pelbagai faham


14. Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Aku, persoalan wujud diri dan kaitan dengan Tuhan juga alam


15. Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Hierarki yang wujud dalam semua peringkat kejadian dan tahap cahaya yang bertingkat-tingkat


16. Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Keunggulan ilmu metafizik dan 'pampasan' Ilahi bagi masyarakat kini


17. Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Penulisan tesis sebagai pembuktian dakwaan yang diyakini benar


18. Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Antara fakulti universiti dan fakulti yang wujud dalam diri manusia




Berbalik pada majlis semalam. Osman melihat kita di Malaysia masih berada pada tahap pertama dan kedua. Sedangkan sepatutnya kita sudah ada semua tahap itu. Tambah beliau tidak perlu diwujudkan institusi baru bagi usaha pengharmonian. Ini kerana institusi-institusi sedia ada seperti IKIM, UIAM dan USIM (Universiti Sains Islam Malaysia) semuanya relevan. 

Kita tidak kurang daripada segi institusi tambah beliau. Yang perlu diwujudkan adalah jaringan program antara institusi. Perlu ada research (kajian) juga program ilmiah antara institusi. Dan setakat ini belum ada mekanisma untuk menilai perkembangan (bagi usaha pengharmonian sains dan Islam di Malaysia).

Beliau berharap ada strategi untuk mencapai ketiga-tiga tahap yang disebut tadi. Oleh itu dicadangkan keperluan untuk menumpukan perhatian pada jaringan. Nilai apa setiap institusi buat sekarang, apa yang telah dicapai (untuk disalingmanfaatkan). Seterusnya harus difikirkan bagaimana cara untuk melahirkan tokoh-tokoh yang memiliki falsafah sains Islam.



Panelis ketiga adalah Profesor Datuk Dr Ahmad Fauzi Ismail. Beliau adalah naib canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan pengasas Advanced Membrane Technology Research Centre (AMTECH) di UTM. Beliau membuka dengan menyatakan pengharmonian sains dan Islam ini harus diterapkan sejak daripada zaman sekolah lagi iaitu seawal mungkin. Disebutlah tentang kitab Al-Quran bukan semata-mata mengandungi aspek keagamaan malah pelengkap segala ilmu. Disebut apabila Nabi Muhammad SAW menerima wahyu pertama ayat yang turun adalah Iqra' iaitu bacalah. Kita disuruh membaca. Maknanya kita juga disuruh menyelidik.

Disebut pula tentang ulamak-ulamak silam Islam membuat banyak penemuan tetapi kenapa tidak diajar di sekolah? Penginstitusian perlu digarapkan, perlu dikahwinkan tetapi tidak ada. Kenapa? Inilah tujuan analisa dibuat. Supaya sedikit sebanyak dapat dikembalikan (kenyataan tentang ilmu dan ilmuwan Islam itu) supaya embedded (masuk kemas) dalam kurikulum. 

Semua kejadian sudah ada dalam Islam tambah beliau. Disebut dalam Quran (misalnya) Nabi Daud AS adalah orang pertama meleburkan besi. Daripada mana dapat idea? Tentu daripada Allah. Kemudian disebut pengalaman beliau sendiri membuat Masters dan PhD dalam kejuruteraan kimia di luar negara. dengan specialisation (penumpuan kepakaran) pada kajian membrane (lapisan halus yang boleh memisahkan dua bahagian suatu jasad). Rupa-rupanya organ-organ dalam tubuh badan kita diselaputi membrane lalu beliau memberikan beberapa contoh termasuk buah pinggang. Maka kajian berkenaan boleh membantu pesakit buah pinggang.

Disebutlah kajian beliau tentang membrane terbit kerana terinspirasi oleh ayat 19-20 Surah Ar-Rahman. Ia adalah ayat yang menyebut tentang pertemuan antara dua arus laut tetapi tidak bercantum. Hal ini menurut beliau ada berlaku di Selat Gibraltar (yang memisahkan negara Maghribi dengan Sepanyol, pertemuan antara Lautan Atlantik dengan Laut Mediterranean). Ada batas memisahkan dua arus laut. 

Itulah membrane yang tidak dilampaui masing-masing. Ia berlaku akibat perbezaan ketumpatan garam. Antara contoh hasil kajian beliau berdasarkan fenomena ini adalah alat untuk menyuling air laut menjadi air boleh minum. Menurut beliau ia sudah mula digunakan di Kelantan.



Seterusnya masuk sesi ulasan (terhadap perkongsian tiga pakar) bermula dengan Mohamed Zaki Abd Ghani mewakili Kementerian Pendidikan. Kata beliau mereka lebih pada masyarakat pengguna. Apa yang dirintis oleh para pengkaji, ahli sains, ahli agama itulah yang digunakan dalam kurikulum. Tambahnya orang awam secara tabi'i percaya bahawa alam tidak wujud dengan sendirinya kecuali ada satu kuasa menciptanya. Tetapi oleh kerana rujukan-rujukan yang digunakan oleh guru dan para pendidik adalah berdasarkan kajian ahli-ahi sains Barat maka jadi tidak synchronise (segerakkan) antara sains dan Islam

Contohnya kita masih menggunakan perkataan ahli sains mencipta walhal hakikatnya tidak. Tuhan sahaja yang mencipta. Manusia cuma discover (menemukan) sahaja seperti halnya menemukan hukum-hukum yang berlaku dalam alam ini. 

Beliau kemudian meletakkan cabaran-cabaran dihadapi dalam usaha pengharmonian seperti berikut :-

1) Orang Islam bukan peneraju dalam bidang sains - Kita masih merujuk pada buku-buku ahli sains bukan Islam

2) Kurikulum - Orang Islam dididik berdasarkan ilmu-ilmu ahli sains bukan Islam.

Beliau memberikan statistik berikut. Menurut beliau pada 28 Februari 2021 terdapat 71,373 orang guru mengajar matapelajaran sains di sekolah rendah dan menengah. Walaupun sebahagian besar iaitu 66.4% beragama Islam mereka terpaksa ikut keadaan seperti sedia ada. 

Maaf, ada tiga atau empat lagi statistik berkenaan diberikan tetapi tak sempat taip. Ya. Saya menaip terus ke dalam template blogger sambil mengikuti majlis. Boleh jadi apa yang sempat ditulis di atas pun tersilap tetapi kesimpulannya tetap sama - Walaupun majoriti guru/pendidik di semua peringkat pengajian adalah beragama Islam mereka cuma mengikut sahaja apa sedia ada (sains yang tak selari dengan Islam) itu disebabkan cabaran 1 dan 2.




Pengulas kedua Prof Dr Rosnani Hashim dari fakulti pendidikan UIAM pula menyebut tentang kejadian alam dan sebagainya dalam Al-Quran sebagai falsafah hidup. Disebut pula bahawa jika Al-Quran adalah kitab pertama maka kitab kedua adalah alam sejagat dan insan. Kalau kaji ini lalu merujuk pada Al-Quran akan rasa takjub. Banyak kejituan menyebabkan mereka yang mengkaji akhirnya beriman. 

Kedua-dua ini penting bagi manusia. Kalau penting bukankah patut disampaikan? Soalnya bolehkah seorang mualim menyampaikan kalau tiada kedua-dua ilmu (satu bersumberkan Al-Quran, satu bersumber alam sejagat dan insan itu dan inilah yang selalu disebut sebagai sains)? Tambah beliau ilmu sains bersifat empirikal. Al-Quran  pula bersumberkan wahyu tapi boleh dibuktikan secara rasional dan empirikal.

Ulamak sepatutnya tahu sains. Sains dan Al-Quran harus ada kurikulum bersepadu. Kata Rosnani kelemahan kita adalah pensyarah tak punya falsafah. Mereka main tempel ayat Al-Quran sahaja untuk menerangkan sesuatu. 

Disebutlah bahawa Hamka (pemikir besar Alam Melayu abad ke-20) pernah berkata kena belajar falsafah untuk tadabbur Al-Quran. Namun pengajian Al-Quran masih banyak tentang hafazan kemudian tafsir dan syarah. Tidak ada ijtihad untuk memanfaatkan ilmu terkini. Disebut pula pengajian perlu kaedah inquiry (bersoal jawab).

Hal ini memang ada dalam sain, dalam agama harus ada. Beri peluang murid untuk bersoal jawab walaupun pada awalnya tidak betul (landasannya). Ini adalah untuk menyuburkan pemikiran kritis, komunikasi dan sebagainya. Kata Rosnani ini perlu untuk mencapai apa yang disebut Osman sebagai minda saintifik Islam.

Terdapat 2-3 orang lagi pengulas selepas itu tetapi cukuplah perkongsian. Panggilan yang diterima ketika mendengar syarahan Osman adalah tentang suatu perkara yang tidak selesai tentang pendaftaran saya di ISTAC bagi semester sekarang lalu sangat menganggu fikiran. Hal ini cuba diketepikan dahulu untuk mengikuti majlis. Tapi masuk jam 11 saya tidak dapat lagi memberikan tumpuan kerana perlu menyemak perkara-perkara berkenaan.

Sesungguhnya proses penulisan tesis saya di ISTAC terasa sangat mencabar. Sepatutnya ia sudah siap lalu diserahkan pertengahan tahun lalu. Namun saya menghadapi semacam mental block dalam membuat penulisan walaupun segala macam perkara dan ilmu berkenaan sudah sedia ada dalam kepala. Seringkali didapati cuma mampu termenung di hadapan komputer sahaja apabila membuka fail-fail berkenaan. Susah sangat hendak mengeluarkan ayat yang cukup memuaskan walaupun pengetahuan sudah lama ada tentang subjek.

Sesungguhnya ini adalah berkaitan pengharmonian sains dan Islam juga di Malaysia. Antara perkara yang perlu ditangani dalam penulisan tesis adalah soal evolusi manusia menurut kepercayaan Darwinisme. Hal ini mengingatkan bagaimana saya hampir menjadi atheis ketika belajar di London tahun 1991-1995. Ini adalah akibat terlalu berpegang kuat pada sains. Segalanya mahu dilogikkan menurut ukuran ilmu Barat termasuk soal kewujudan Tuhan.

Walaupun tidak lagi percaya (ya, dahulu saya hampir percaya) manusia boleh berasal daripada beruk seperti dinyatakan dalam teori evolusi manusia) menolaknya dalam penulisan akademik bukan semudah menempelkan beberapa ayat Al-Quran. Saya harus mengambil kira perspektif dan fahaman orang bukan Islam terutama masyarakat saintis supaya tidak dilihat 'berat sebelah'. Ini memerlukan hujah lebih mantap, bukan setakat kalau kerusi pun ada yang membuatnya maka alam ini harus ada penciptanya atau sebegitu. Seperti disebut Osman harus mencapai tahap ketiga dalam usaha pengharmonian antara sains dan Islam. Baru hujah cukup jitu lalu tidak boleh dikatakan kebudak-budakan.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan