Artikel sebelum ini Kenangan liputan sukan berkuda di Perancis tahun 2000 - Antara dressage, showjumping dan endurance harus telah memberikan cukup latar belakang tentang bagaimana saya boleh terlibat dengan sukan berkuda. Dengan latar belakang itu baru mudah untuk menerangkan bagaimana boleh berlaku perjalanan ke Perancis tahun 2000.
Sudah disebut bahawa antara tempat saya selalu pergi untuk meliputi acara-acara sukan berkuda adalah Bukit Kiara Equestrian Resort. Ini membawa pada perkenalan dengan pengarah eksekutifnya Datuk Awang Kamaruddin Abdul Ghani. Beliau ialah seorang penunggang kuda tegar yang sudah mengenali dunia berkenaan sejak remaja lagi. Seingat saya ini disebabkan dibesarkan di bandar diraja Pekan, Pahang lalu pernah bekerja menjaga kuda-kuda polo milik keluarga diraja Pahang di kawasan istana.
Satu hari beliau menghantar surat ke meja sukan akhbar The New Straits Times untuk meminta kebenaran membawa saya ke Perancis bagi meliputi satu acara berkuda endurance atau tunggangan lasak. Sudah lupa apakah beliau telah bertanya kepada saya terlebih dahulu. Mungkin ada tapi tak ingat. Saya juga tak ingat apakah sudah tahu tentang sukan endurance sebelum itu.
Apapun boleh dikatakan disebabkan ke Perancis itulah saya mula mengenali sukan tersebut. Awang memberitahu dalam surat sedia menanggung segala perbelanjaan berkenaan. Ini termasuk tiket pergi balik kapal terbang dari Kuala Lumpur, belanja pengangkutan di Perancis, makan minum, penginapan dan sebagainya. Segalanya sedia ditanggung sepanjang berada di sana yang seingat saya meliputi tempoh tidak kurang seminggu.
Walaupun acara itu sendiri memakan masa 2 hari ada sehari sebelum itu harus dibuat persediaan terlebih dahulu. Selain itu harus dimasukkan tempoh masa perjalanan untuk sampai dengan kereta ke tempat sukan berkuda yang terletak jauh dari ibu negara Perancis, Paris (di mana terletaknya lapangan terbang antarabangsa yang menerima penerbangan dari Kuala Lumpur). Kena campur juga tempoh masa untuk bergerak dari tempat ke lapangan terbang ketika kembali. Itu sahaja sudah memakan tempoh 5 hari. Sedangkan beliau juga mahu membawa melihat beberapa ladang kuda.
Pada mulanya pengarang meja sukan cuba bermain politik dengan mengatakan tidak boleh ada surat meminta wartawan tertentu bagi meliputi acara. Kena buat surat umum meminta tanpa menyatakan sesiapa. Hal ini akan dipanjangkan dalam satu artikel lain tentang "hari-hari terakhir ku sebagai wartawan" nanti. Cukuplah disebut saya dapat pergi tetapi pengarang pula mengaku konon-kononnya ia berlaku atas cadangannya lalu saya terhutang budi dengannya.
Pada satu tarikh yang tak ingat bila tetapi harus pada awal bulan November tahun 2000 atau sekitarnya isteri lama pun menghantar ke pintu belakang Bukit Kiara Equestrian Resort. Ini adalah pintu yang dekat dengan Pusat Sains Negara. Di situ Awang mengambil dengan kereta lalu kami pun bergerak ke Lapangan Terbangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang lebih 60 km perjalanan ke selatan ibu kota. Seingat saya beliau memandu sendiri, tidak memakai driver.
Kami bergerak pada waktu malam. Rasanya bertolak dari Bukit Kiara itu sekitar jam 9 lalu sampai hampir jam 10. Hal ini menunjukkan kami harus naik pesawat paling cepat pun jam 11. Ini kerana harus ada tempoh sekurangnya sejam untuk check-in bagasi, buat pemeriksaan paspot dan sebagainya.
Itu adalah kali pertama saya menaiki pesawat dari KLIA, sebelum itu dari lapangan terbang Subang yang terletak lebih dekat ke ibu kota. Kalau tak salah ia baru beberapa bulan beroperasi. Sebelum itu rasanya ada 2-3 kali juga saya ke KLIA tetapi untuk meliputi perkembangan terbaru tentang pembinaan lapangan terbang bersama Menteri Pengangkutan ketika itu, apa ke nama tu pernah jadi presiden parti politik MCA (Malaysian Chinese Organisation) sezaman dengan Tun Mahathir jadi Perdana Menteri Malaysia yang ke-4. Mukanya ada ternampak dalam kepala. Dah semak senarai Menteri Pengangkutan di Internet baru ingat. Namanya Ling Liong Sik, sangat terkenal waktu itu.
Saya ingat kali pertama menggunakan autogate untuk pemeriksaan paspot waktu itu. Saya ingat apabila sampai ke lapangan terbang Charles de Gaulle ke utara Paris pegawai imigresyen bertanya kenapa tiada cop keluar (meninggalkan Malaysia) dalam paspot kami? Saya tak ingat bagaimana Awang menangani ini tapi alhamdulillah kami lepas. Yang pelik kenapa pasport berkenaan tidak ada cop keluar masuk Perancis (saya sudah memakai 6 keping paspot antarabangsa setakat ini dan masih menyimpan 5 yang sudah luput tarikh). Ini kerana seingat saya mereka belum lagi memakai sistem pengesahan elektronik melalui autogate tanpa perlu mengecop paspot seperti di Malaysia (mungkin negara pertama di dunia menggunakannya).
Apapun bergeraklah kami malam itu lebih 10,000 km ke Perancis. Saya tidak ingat jika ia penerbangan terus atau ada henti. Kalau terus ke London dari Kuala Lumpur 13 jam. Setelah disemak dalam Internet didapati tidak ada penerbangan terus ke Paris. Yang ada harus membuat satu perhentian di mana entah lalu memakan masa 16 jam lebih.
Kenapa diambil berat hal ini? Kerana nak tally dengan ingatan bahawa kami sampai pada waktu siang. Kalau bertolak pada jam 12 malam dengan penerbangan 16 jam maka harus sampai keesokannya jam 4 petang waktu Malaysia. Tolak perbezaan waktu 7 jam lebih lambat Perancis jadilah ia 9 pagi. Ini agak bersesuaian dengan ingatan bahawa memang kami sampai waktu pagi. Tapi boleh juga jadi pada 8 pagi kalau pesawat bertolak jam 11 malam dari Malaysia. Boleh jadi pula jam 10 kerana ada masanya jam dipercepatkan waktu atas faktor daylight savings akibat perubahan musim antara panas dan sejuk (sila Google sendiri untuk penerangan lanjut).
Sebenarnya ini adalah kali ke-3 saya ke Perancis. Kali pertama adalah dalam perjalanan dari London ke Amsterdam 17 hingga 18 Ogos tahun 1995. Saya ingat ini kerana ada direkodkan dalam buku ke-13 saya "Kenangan Kembara Solo Hitchhike Eropah Tahun 1995" yang terbit Jun 2019. Kelihatan di atas laluan yang ditunjukkan dalam buku.
Selepas keluar dari United Kindom dengan feri saya mendarat di pelabuhan Calais di Perancis lalu menyambung kembali perjalanan dengan bas yang dinaiki dari London. Sekitar 60 km selepas itu baru masuk ke negara lain iaitu Belgium di selatan Belanda. Oleh itu dicampur tempoh masa pemeriksaan imigresyen di Calais harus ada lebih sejam juga berada di Perancis.
Kali kedua adalah apabila sampai dari Itali 11 September pada tahun sama. Ini juga ada ditunjukkan dalam buku kerana ia adalah sebahagian daripada perjalanan sama pusing Eropah seorang diri. Ketika itu sudah mula mengorak langkah untuk kembali ke London. Kali itu saya berada lama di Perancis iaitu hampir 6 malam. Ini kerana singgah di beberapa kota dalam perjalanan merentas negara dari selatan ke utara yang memakan jarak lebih 1,000 km.
Di atas adalah peta daripada buku menunjukkan laluan berkenaan bersama laluan lain yang diambil keliling Eropah. Dalam perjalanan tersebut saya pernah dimasukkan satu malam dalam lokap polis di Lyon dan berjalan kaki lebih 50 km di Paris. Sila baca cerita berkenaan dalam buku (ada tawaran murah jimat RM23, lihat artikel Berita terbaru tentang buku-buku Merah Silu). Boleh juga dapatkan ringkasan melalui artikel Kenangan perjalanan pusing Eropah secara solo hitchhiking tahun 1995.
Perjalanan lama ditunjukkan supaya boleh dibandingkan dengan perjalanan tahun 2000. Dahulu saya berjalan dalam keadaan daif, sangat kurang duit belanja lalu harus menumpang kenderaan orang ke sana ke mari juga tidur dalam sleeping bag di tepian jalan dan sebagainya. Untuk perjalanan ke-3 baru dapat bergerak selesa sebagai wartawan yang dihormati, dalam kereta sewa yang dipandu seorang pengarah eksekutif sebuah kelab eksklusif untuk orang kaya lalu segalanya ditanggung beres. Apabila sampai dapat duduk di rumah bungalow agak mewah dengan satu bilik cantik dan luas dikhaskan untuk saya.
Dari lapangan terbang kami bergerak terus ke destinasi iaitu sebuah pekan lama bernama Montcuq tanpa masuk pun ke pusat bandar raya Paris. Tak ingat ikut laluan mana, yang ingat ada satu kawasan pendalaman memerlukan kami turun jalan berliku ke satu lembah kemudian naik balik jalan berliku ke dataran tinggi. Menurut Google Map laluan paling dekat adalah sepanjang 629 km lalu destinasi boleh dicapai dalam tempoh 6 jam lebih. Satu lagi laluan berjarak jauh 708 km lalu destinasi boleh dicapai dalam tempoh 7 jam setengah.
Kedua-duanya ada melalui pesisir pusat bandar raya Paris seperti halnya orang mengambil Jalan Pekeliling untuk mengelak masuk ke pusat bandar raya Kuala Lumpur. Apapun ini menunjukkan destinasi boleh dicapai dalam tempoh kurang 8 jam. Adapun proses melepasi imigresyen di lapangan terbang berserta mendapatkan kereta sewa harus memakan masa sekurangnya sejam. Kalau sampai dari Malaysia jam 10, maka itu boleh sampai ke Montcuq sebelum jam 7 petang.
Ketika itu harus masih siang lagi kerana semakan di Internet menunjukkan hampir jam 7.30 baru gelap dalam bulan November yang termasuk dalam musim luruh. Seingat saya memang sampai waktu siang. Seingat saya juga terus mencari rumah bungalow berkenaan lalu berehat setelah jauh berjalan.
Semakan seterusnya di Internet menunjukkan Montcuq adalah sebuah pekan dengan cuma 1,200 orang penduduk (bancian tahun 2017). Namun ia menjadi sangat sibuk dan meriah apabila masuk tempoh pertandingan kuda endurance yang dikatakan antara paling terkenal di dunia. Cukup cerita buat masa ini. Insyaallah selepas ini akan mula ditunjukkan sejumlah gambar yang diambil sendiri. :]
Tiada ulasan:
Catat Ulasan