Ahad, April 04, 2021

Kenangan liputan sukan berkuda di Perancis tahun 2000 - Persediaan untuk pemeriksaan hari Jumaat

OK. Saya mahu melepaskan cerita-cerita perjalanan ini secepat mungkin. Kalau ada kelapangan dan gerak sekurang-kurangnya 2 kali sehari, satu pada waktu siang satu pada waktu malam. Ini kerana ada banyak lagi cerita perlu dikongsikan sebelum dapat melengkapkan isi bagi senarai 50 perjalanan terjauh dan 11 istimewa. Dengan itu bersambung daripada artikel Kenangan liputan sukan berkuda di Perancis tahun 2000 - Kali pertama ke sana setelah lebih 5 tahun....yang dipersembahkan hampir tengah malam tadi.


Dalam usaha untuk mencari kembali bilakah tarikh tepat acara berkuda yang diliputi di Perancis tahun 2000 itu terjumpa maklumat berkenaan di lawan sesawang FEI iaitu badan sukan berkuda antarabangsa. Tersenarai acara-acara tahunan di Montcuq kecuali pada tahun 2020 kerana ketika itulah wabak virus Covid-19 sedang hangat melanda lalu banyak acara tahunan di dunia dibatalkan sama sekali. Tersenarai juga apa yang nampaknya adalah rancangan bagi acara tahun 2021 pada 30-31 Oktober menunjukkan ada jangkaan bahawa sekatan perjalanan antarabangsa akibat Covid-19 sudah dibuka ketika itu.


Sayangnya senarai yang kelihatan cukup ekstensif ini meliputi paling awal pun tahun 2004. Tidak kelihatan rekod bagi tahun-tahun sebelum itu sedangkan acara di Montcuq yang dikatakan antara paling penting dalam kalender endurance riding atau tunggangan lasak dunia sudah wujud bertahun sebelum saya sampai tahun 2000. Pun begitu dapat dilihat bahawa tarikh-tarikh acara sepanjang 2 hari bagi setiap tahun jatuh sama ada pada penghujung bulan Oktober atau awal bulan November. Dan ia tetap pada hari Sabtu dan Ahad iaitu hujung minggu. Ini boleh disemak menggunakan program berkenaan yang boleh ditemui dengan mudah di Internet misalnya, pengubah tarikh kalendar Gregorian (Barat) ke kalendar Islam dan sebaliknya. 

Hal ini menunjukkan bahawa acara tahun 2000 harus berlaku sama ada pada hari Sabtu dan Ahad 27-28 Oktober atau tepat seminggu selepas itu iaitu pada 4-5 November. Berdasarkan fakta rasmi bahawa musim sejuk bagi hemisfera utara bumi setiap tahun bermula pada 21 Disember dan berlanjutan sehingga 20 Mac berserta setiap 4 musim mengambil masa 3 bulan maka acara di Montcuq diadakan pada pertengahan musim luruh ketika suhu dan pembahagian panjang hari dan malam (sama 12 jam) dianggap ideal bagi sukan berkuda.


Laporan berkenaan yang ditulis bagi akhbar The New Straits Times seperti dikongsikan dalam artikel  Equestrian endurance in France di blogspot BERPETUALANG KE ACEH pula tidak menyatakan tarikh tepat acara. Ini kerana ia dibuat dalam bentuk rencana yang boleh disimpan sehingga lebih seminggu selepas cerita diserahkan kepada pengarang meja sukan. Rasanya ada ditulis tarikh dalam draf awal tetapi diubah dengan perkataan "recently" untuk menunjukkan ia agak baru berlaku. Tarikh tepat dikeluarkan supaya tulisan kelihatan kekal relevan walau disimpan lama.

Nasib baik ada tarikh bilakah ia muncul di dada akhbar iaitu 15/11/2000. Ini menunjukkan saya sudah kembali ke Malaysia selewatnya beberapa hari sebelum itu, mungkin sudah seminggu. Dalam laporan lain berkenaan sukan sama tetapi bagi satu acara di tanah air setengah tahun kemudian pula ada disebut bahawa acara di Montcuq berlaku pada bulan November. Lihat Endurance 3. Dengan itu tarikhnya harus pada 4-5 November. Kami harus sampai ke Perancis 2 hari sebelum itu iaitu pada pagi Khamis 2 November.

Kami sampai 2 hari awal supaya ada masa untuk bergerak lebih 600 km dari Paris ke Montcuq dengan kereta. Menurut Google Map masa paling minimum diperlukan (mengikut had laju pada jalan-jalan berkenaan) adalah lebih 6 jam tanpa henti. Rujuk balik peta berkenaan dalam artikel Kenangan liputan sukan berkuda di Perancis tahun 2000 - Kali pertama ke sana setelah lebih 5 tahun.... Bila dah sampai pula harus berehat buat satu masa. Maklumlah selepas penerbangan lebih 16 jam dari Malaysia diikuti pemanduan kereta lebih 6 jam. Orang yang bertanggungjawab membawa saya, pengarah eksekutif Bukit Kiara Equestrian Resort iaitu Datuk Awang Kamaruddin Abdul Ghani memandu seorang diri walhal beliau akan masuk bertanding di Montcuq. Takkanlah esoknya terus mengerah tenaga menunggang kuda secara kompetetif bukan?

Dan lagi memang belum boleh bertanding selagi semua kuda peserta tidak disimpan dalam satu kawasan lalu dibuat pemeriksaan veterinarian (oleh doktor atau pakar haiwan) untuk memastikan ia layak digunakan bagi pertandingan selama 2 hari yang setiap satu hari melibatkan jarak 100 km. Terdapat lebih 100 orang peserta dari seluruh dunia bermakna lebih 100 kuda harus dibawa entah dari mana kemudian dikumpulkan untuk disimpan dalam satu kawasan di Montcuq. Selepas itu baru berlaku pemeriksaan. Ini sahaja memakan masa sehari. Maka itu pemeriksaan harus berlaku pada hari Jumaat 3 November iaitu sehari sebelum acara bermula Sabtu 4 November.

Sekarang barulah boleh digunakan sedikit gambar yang diambil sendiri dalam tempoh waktu berkenaan. Ada 36 keping masih wujud dalam simpanan dan ini harus datang daripada 1 rol negatif filem. Sekarang zaman kamera digital tidak perlu lagi diperhatikan had seperti itu. Kalau dahulu cuma boleh pakai 1 rol pada suatu masa sebelum ditukar rol baru kemudian ada risiko gambar tak jadi, satu perkara yang cuma boleh disedari setelah gambar 'dicuci' sekarang boleh ambil beribu gambar tanpa susah payah lagi. Gambar yang tak jadi boleh kelihatan terus melalui paparan digital lalu diambil gambar baru sebagai ganti. Cuma apabila dilihat kembali gambar dalam album kecil yang diterima daripada kedai cuci gambar kelihatan seperti sudah bercampur aduk aturannya. Sudah tidak jelas manakah yang dahulu, manakah kemudian kerana tidak diletakkan tarikh dan masa. Oleh itu biar dikongsikan menurut aliran cerita dan berdasarkan kesesuaian apa yang tertera dalam gambar.


Gambar ini harus menunjukkan keadaan pada hari Jumaat iaitu ketika membawa kuda untuk simpanan dan pemeriksaan dalam satu kawasan sebelum pertandingan bermula. Melihat gambar ini timbul rasa untuk meletakkannya di Facebook berserta teks berikut :-


AKU DAN KUDA...

Salam. Kongsi dahulu satu gambar lama ketika meliputi acara sukan berkuda di Perancis tahun 2000. Cerita berkenaan sedang dibuat di blogger.com. Kelihatan dalam gambar (dari kiri) saya, Datuk Awang Kamaruddin dan kawannya Hose orang Perancis. Hose ini (lebih kurang kuda dalam bahasa Inggeris iaitu Horse) yang menyediakan kuda untuk tunggangan Awang dalam pertandingan ketika itu. Ini dalam usaha untuk mengejar point bagi menjadi juara dunia dalam sukan endurance riding.

Hmm. Sebut kuda banyak2 - kuda kuda kuda kuda kuda. Boleh jadi daku atau aku. Ertinya memang ada kaitan aku dan kuda... :v


Ini pula gambar Awang bersama Hose dan anak perempuannya Celine. Nama keluarga anak beranak ini adalah Just. Mereka bersama ibu Celine iaitu Marie-Noelle juga kawan bernama Latitiea akan bertindak sebagai krew pembantu. Saya pun sesekali turut membantu. 

Tugas kami adalah untuk memastikan kuda sihat, cukup makan dan bertenaga juga menjaga keperluan Awang sepanjang  pertandingan berlangsung. Kami suka menyebut pertandingan, bukan perlumbaan kerana sukan endurance ini menggalakkan peserta supaya sentiasa menjaga keadaan kuda, jangan terlebih had memaksa lalu boleh menyebabkan ia jatuh sakit dan sebagainya. Apa-apa sahaja keadaan yang menunjukkan kuda kurang sihat atau kurang fit ketika pertandingan malah sebelum pertandingan pun (itu yang ada pemeriksaan hari Jumaat sebelum bertanding) boleh menyebabkan kuda dan penunggangnya dibatalkan penyertaan (disqualified). 


Kuda yang digunakan oleh Awang adalah milik keluarga Just. Mereka memiliki sebuah ladang kuda berdekatan. Ada peserta yang membawa kuda sendiri daripada negara masing-masing. Tetapi itu melibatkan banyak kerja dan kos seperti pengangkutan dan surat menyurat kemudian kena kuarantin buat beberapa lama di kawasan khas lapangan terbang. Selepas itu baru boleh dilepaskan ke tempat pertandingan.

Awang memberitahu adalah lebih murah dan efektif memakai atau menyewa kuda dari ladang-ladang kuda berdekatan. Cuma harus lebih pandai dan cepat berbaik dengan kuda supaya serasi dengan kita, berbanding mereka yang membawa kuda sendiri lalu sudah lama dikenali dan serasi. Kuda yang digunakan ini bernama Gusty De L'Aigual. Umurnya 6 tahun sudah cukup matang untuk dibawa bertanding. Dalam 'alam' kuda ni umur 10 tahun sudah boleh dikira tua, orang tak pakai lagi untuk pertandingan. Kalau suka-suka menunggang bolehlah. Itu yang kuda-kuda lama polo boleh dibeli dengan harga serendah RM500 seekor tapi itu cerita lain...

Oh. Bagaimana boleh ingat nama-nama mereka malah nama dan umur kuda? Ini disebabkan ada tertera dalam laporan/rencana yang dipaparkan melalui artikel Equestrian endurance in France. Turut disebut  keluarga Just memiliki ladang seluas 72 hektar dengan 75 ekor kuda dekat sempadan negara Sepanyol. Disebut juga ketika itu Awang yang mula menyertai pertandingan endurance kuda pada tahun 1998 sudah berumur 55 tahun. 

Montcuq tahun 2000 adalah kali pertama beliau menggunakan kuda keluarga Just. Sebelum itu beliau menggunakan kuda daripada bangsal (stable) Jack Begaud, penunggang terbaik Eropah tahun 1999. Sebelum mengakhir artikel ini saya cuma mahu menyebut satu perkara sahaja lagi. Ini adalah tentang kemeriahan yang terasa apabila pertama kali sampai ke kawasan pertandingan atau lebih tepat tempat mula pertandingan kerana pertandingan itu sendiri meliputi jarak 100 km dalam kawasan seluas lebih 1,000 km persegi. Hal ini akan dipanjangkan dalam artikel selepas ini. 

Tentang kemeriahan masih teringat bagaimana kawasan tersebut dipenuhi dengan orang ramai melihat kuda-kuda yang disimpan untuk pemeriksaan sebelum pertandingan esoknya. Teringat ada anjing besar dengan kepala hampir setinggi saya (171 cm) serupa macam kartun Scooby Doo berjalan seronok ke sana ke mari. Teringat juga ada kanak-kanak begitu kecil mungkin umur kurang setahun berjalan terhoyong hayang memakai jaket tebal lalu saya menyakatnya. Terus ditutup mata buat suatu masa sebelum membukanya. Nampaknya fikirnya kalau tutup mata saya boleh hilang daripada pandangan. Bila disakat lagi begitu juga perbuatannya. Comel... :]


Tiada ulasan:

Catat Ulasan