Salam semua. Merujuk pada artikel pembukaan siri iaitu Kenangan berbasikal ke separuh Semenanjung tahun 1989 - Usaha awal menggali kembali ingatan. Adapun selepas mempersembahkannya di blogspot lima hari lalu saya ada berkongsi pautan di Facebook lalu meminta sekarang kawan lama yang turut bersama dalam perjalanan memberikan maklum balas. Tengah hari semalam baru beliau menjawab lalu memberitahu bahawa kami menginap malam pertama di Slim River iaitu sebelum bergerak ke Ipoh. Turut diberitahu perjalanan dibuat bukan pada bulan Disember malah beberapa bulan lebih awal. Hal ini biarlah ditangani kemudian. Sekarang tanpa memikirkan tempoh waktu tepat bila ia berlaku biar kita ke fasa kedua perjalanan. Bersambung daripada artikel Kenangan berbasikal ke separuh Semenanjung tahun 1989 - Dari Shah Alam ke Ipoh.
Saya tidak ingat kami menginap di manakah di Ipoh. Malah entah betul ada menginap di Ipoh pun sebetulnya tak pasti. Tetapi apabila mendapat tahu daripada kawan kami menginap malam pertama di Slim River rasanya memang logik penginapan seterusnya adalah di Ipoh. Ini kerana Slim River terletak dalam 130 km dari Shah Alam menggunakan jalan lama sedangkan Ipoh terletak lebih 100 km selepas Slim River. Apabila cuba diimbas kembali ingatan terasa seperti di suatu rumah rehat kerajaan (rest house). Tetapi bila diGoogle perkataan "rest house Ipoh" keluar bermacam tempat penginapan yang tiada kena mengena dengan konsep rumah rehat kerajaan.
Untuk pengetahuan suatu masa dahulu rumah-rumah rehat sebegitu yang memiliki tanah luas boleh ditemui di banyak bandar dan pekan besar. Ia boleh dikatakan legasi daripada zaman pentadbiran British (sebelum merdeka tahun 1957) bagi menawarkan penginapan untuk para pegawai kerajaan yang menjalankan tugas di luar kawasan. Kini kebanyakannya sudah hilang menjadi bangunan lain disebabkan pesatnya perkembangan zaman yang menerbitkan banyak hotel.
Di atas adalah gambar stesyen kereta api Ipoh. Ia merupakan satu legasi cantik daripada zaman British. Ada juga terfikir apakah di situ kami menginap kerana terdapat sebuah hotel klasik di bahagian atas? Boleh jadi. Yang ingat saya pernah menginap di situ sekurang-kurangnya 2 kali. Tapi apakah pada ketika perjalanan berbasikal ke separuh Semenanjung tahun 1989? Kalau mengikut kadar sewaan bilik harus tidak kecuali ada pihak yang menaja. Dan lagi pada waktu itu tak pasti apakah bahagian atas itu sudah dijadikan hotel.
Turut timbul walau secara samar dalam ingatan adalah kami diraikan ketika sampai ke Ipoh (atau suatu tempat lain berdekatan?) juga ketika meninggalkan. Rasanya ini disebabkan aturan oleh pihak kolej PPP/ITM (tak perlu dipanjangkan lagi apakah iya kerana sudah disebut dalam 2 artikel sebelum ini) maka kami diraikan oleh pihak atau satu jabatan kerajaan. Dari situ kami pun berkayuh lebih jauh ke arah utara. Menurut laluan jalan lama seperti boleh dilihat dalam peta kami harus melalui pekan Sungai Siput ke arah barat kemudian menyeberangi Sungai Perak menggunakan jambatan lama ke luar dari bandar diraja Kuala Kangsar.
Berdasarkan kadar purata kelajuan kayuhan 20 km/j (rujuk kembali kiraan dalam artikel Kenangan berbasikal ke separuh Semenanjung tahun 1989 - Dari Shah Alam ke Ipoh) perjalanan hari itu harus ditamatkan di pekan Gerik, sekitar 100 km ke utara Kuala Kangsar. Ketika itu tidak terdapat hotel seperti kelihatan dalam gambar (diambil daripada artikel Pusing separuh Semenanjung bersama ibu bapa - Bersama menjejak leluhur di Perak tahun 2014). Harus kami menginap di rumah rehat kerajaan. Semakan Google menunjukkan ia masih wujud sehingga sekarang.
Lakaran ringkas peta perjalanan dari Ipoh ke Gerik. Namun ini berdasarkan keadaan jalan raya sekarang sedangkan dahulu jalan dari Kuala Kangsar ke Gerik lebih jauh kerana banyak berbelok-belok melalui kawasan bukit bukau, selepas lebih 10 tahun gitu baru banyak bahagian diluruskan dan jalan dibesarkan. Pada kadar kayuhan 20 km/j tempoh 7 jam diperlukan untuk meliputi jarak tanpa henti. Kalau campur rehat makan tengah hari dan lain-lain harus lebih 8 jam bermakna kalau bertolak dari Ipoh jam 8 pagi pun dekat 5 petang baru sampai.
Maaf, ini mungkin nampak macam di luar topik saja. Tapi persoalan ini benar benar menghambat fikiran saya.
BalasPadamAdakah tuan Radzi Sapiee perasan kenapa masyarakat di Nusantara kita ini tidak dapat lari daripada memperkatakan tentang hal mistik. Sebagai contoh adalah Hikayat Malim Deman yang ada hubungan dengan orang bunian.
Kenapa di negara atau tempat lain di dunia, kurang kedengaran tentang hal mistik dalam kehidupan mereka.
Adakah kerana alam Melayu ini dikurniakan taburan hutan yang luas sebagai tempat tinggal para jin dan makhluk halus?
Atau adakah kerana ini pengaruh kepercayaan animisme zaman dulu?
Atau pun ada sesuatu yang istimewa terdapat di nusantara ini yang menyebabkan para jin banyak bermukim di sini?
Saya tinggalkan persoalan ini kepada tuan Radzi Sapiee
Apakah orang atau bangsa lain tidak memikirkan perkara-perkara mistik? Lihat sahaja filem-filem atau drama Cina tentang seorang pendeta Buddha mengembara ke barat bersama raja monyet, orang bermuka babi dan seorang lagi yang gagah berani. Bermacam2 makhluk mereka jumpa. Berapa banyak filem dan drama Cina ada melibatkan dewa dewi. Begitu juga drama dan filem2 India. Itu belum masuk lagi hal reinkarnasi atau orang menjelma semula selepas mati dengan tubuh dan watak baru.
BalasPadamFilem dan cerita2 Barat/Omputih pun berapa banyak ada kisah mistik? Banyak. Sangat banyak. Yang ada hantunya, exorcist, vampire, sihir, orang kenit, makhluk Elf yang rupanya lebih kurang macam orang Bunian kita dan macam2 lagi ada. Tengok filem Lord of the Rings dan filem2 sambungannya. Pegggh. Sebenarnya orang Putih lagi banyak percaya perkara mistik. Cuma selain itu ada yang lebih mengenengahkan sains lalu menolak perkara2 mistik dan itulah yang sering diwar2kan sebagai waras padahal tidak juga.
Sebagai seorang yang berdarah Aceh, saya akui kekuatan orang Aceh dan bangsa Melayu secara mutlaknya terletak pada hakikat tasawwuf yang diamalkan oleh nenek moyang kita semua.
BalasPadamSaya akui, Aceh mungkin tidak sehebat kerajaan Melaka yang digelar barat sebagai"Venice of the East" yang memiliki pelabuhan entrepot terbaik di rantau ini.
Aceh juga mungkin tidak mempunyai peradaban kuno seperti yang dimilikinya oleh Kerajaan Kedah Tua melalui tamadun Sg.Batu.
Atau memiliki kehebatan seperti empayar Sriwijaya yang memiliki ratusan negara-kota.
Tapi berdecak rasa kagum dan syukur kerana negeri saya dipilih Allah sebagai salah satu diantara sekian tempat di mana rakyatnya memuji dan mentauhidkan-Nya di kala manusia di tempat lain menyekutukan-Nya sehingga terangkatlah dari makam muslim menuju ke makam muhsin.
Saya minta jasa baik Tuan Radzi Sapiee untuk menerangkan kepada saya apakah makna Wahdatul Wujud dan Martabat Tujuh seperti yang diamalkan di Aceh pada zaman dahulu. Tuan boleh gunakan interpretasi menggunakan bahasa yang mudah untuk orang awam seperti saya. Sekian dari saya.
#luahanhatidikalasepi