Khamis, Oktober 22, 2020

Petunjuk-petunjuk baru tentang keberadaan Laksamana Muhammad Amin dan gerak pembukaan ilmu

Salam petang Khamis 22 Oktober 2020 bersamaan 5 Rabiualawal 1442 Hijriah. Kini tinggal seminggu sahaja sebelum masuk 12 Rabiulawal iaitu tarikh hari kelahiran junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW lebih 1,400 tahun lalu. Merujuk pada artikel-artikel berikut yang ditulis dalam tempoh waktu 6 hingga 13 Oktober :-



Al-Ghazali dan Ibnu Rushdi : Dua bintang dalam galaksi intelektual Islam

Bacaan Yasin dan Tahlil bersama srikandi DSSM serta pembukaan gelanggang di rumah

Bicara Perjuangan HIKMAH - Malaysia Tanpa Ahli Politik, Mustahil atau Bagaimana?


Sebetulnya ada satu lagi artikel yang mahu ditulis 'segerak' tetapi didapati boleh dilewatkan buat satu tempoh. Sekarang biar dikongsikan ia.



Artikel kali ini adalah tentang satu gerak fikir dan ilham berangkai yang muncul sekembalinya saya dan keluarga daripada satu perjalanan ke utara Sabtu 29 Ogos hingga Selasa 1 Sept. Rujuk Kompilasi "Misi menghantar anak balik kolej". Pada hari terakhir perjalanan kami ada singgah di rumah peninggalan seorang tokoh Mandailing bernama Raja Bilah di Perak. Dua hari selepas itu seperti mendapat petanda daripada lawatan tersebut. Hal ini menyebabkan saya  membuat update berikut berserta gambar atas di Facebook awal pagi buta Khamis 3 September...


PETUNJUK DARIPADA RAJA BILAH?

Malam ini saya susah hendak tidur dan masih terjaga kerana otak ligat memikirkan pelbagai perkara. Antaranya apakah petunjuk daripada ziarah saya dan keluarga ke rumah besar @ istana Raja Bilah di Papan, Perak pada hari Selasa 13 Muharram baru ini. Ada orang mengaitkan beliau dengan kerajaan Panai-Bilah yang mana pahlawan Melayu terkenal Pahang iaitu Mat Kilau turut terkait sama. Saya pernah mendengar nama dua kerajaan ini kerana dikatakan seorang Sultan Aceh pernah menikahi puteri daripada kerajaan berkenaan sehingga menerbitkan keturunan yang merajai kerajaan Asahan dekat situ-situ juga.

Carian melalui Google menunjukkan bahkan wujud sungai bernama Bilah sebagai satu cabang daripada Sungai Barumun berdekatan itu. Teringat bahawa Barumun yang merupakan sebuah sungai besar dan kawasan sekitarnya termasuk di dalam jajahan takluk sebuah kerajaan lama bernama Haru. Kerajaan ini pernah disebut kitab Sulalatus Salatin sebagai antara 3 kerajaan besar setara dengan Pasai dan Melaka. Sumber lain pula menyatakan ia pernah dirajai oleh Sultan Malikus Mansur, seorang moyang utama saya. Baginda adalah cucu kepada Sultan Malikus Saleh, pengasas kerajaan Samudera dan Pasai.

Adapun Raja Bilah di Perak itu dikatakan adalah orang Mandailing daripada marga Nasution. Ada cerita mengatakan beliau datang daripada nasab diraja Pagar Ruyung. Keberadaan beliau di Perak ada kena mengena dengan apa yang berlaku sekitar Perjanjian Pangkor tahun 1874 yang mana moyang saya Laksamana Muhammad Amin terlibat sama sebelum dibuang negeri ke Pulau Seychelles akibat dikatakan terlibat dengan pembunuhan residen pertama Inggeris ke Perak iaitu J.W.W. Birch tahun 1875. Entah apa lagi petunjuk yang bakal keluar lagi selepas ini.


---------------------


Petang itu saya menerima kunjungan daripada dua orang saudara lalu timbul gerak untuk membuat update berikut di FB...


SATU DEMI SATU HAL YANG DISEMBUNYIKAN PIHAK2 BERKEPINTANGAN TERKUAK - TENTANG LAKSAMANA RAJA MAHKOTA MUHAMMAD ARSHAD...

Salam petang Khamis 15 Muharram. Tadi saya menerima kunjungan 2 orang ahli kaum kerabat Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin (Perak) daripada cabang Muhammad Arshad. Dimaklumkanlah satu perkembangan menarik melibatkan lebih 500 orang ahli keluarga yang masih hidup daripada 34 jalur anak cucu Muhammad Amin dengan seorang isteri (beliau memiliki ramai isteri) bernama Wan Long Saadiah binti Wan Mat Saman (Perdana Menteri Kedah). Dengan itu tergerak saya untuk menaikkan kembali satu artikel lama berkenaan. Ini bukan semata2 kerana menuntut hak keluarga yang sudah dinafikan sekian lama tetapi untuk membina saf perjuangan agama, bangsa dan tanah air demi menghadapi cabaran akhir zaman yang semakin menekan.


Artikel lama yang dimaksudkan ditulis pada pertengahan tahun 2019. Tajuknya adalah Satu gerak berkenaan keberadaan Laksamana Raja Mahkota Muhammad Arshad. Adapun semasa dua orang saudara berkunjung petang Khamis seorang memberitahu bagaimana ada seorang hamba Allah datang dari Ipoh bertemu dengannya untuk menuntut agar keluarga sebelahnya dimasukkan ke dalam daftar besar salasilah keturunan Laksamana Muhammad Amin yang sedang kami bina untuk urusan tertentu. Pagi Jumaat 4 Sept beliau menelefon untuk memanjangkan perkara. Setelah menelitinya saya dapat menemui pucuk pangkal permasalahan dan cara menepisnya lalu mendedahkan ini dalam grup Whatsapp keluarga.

Pada mulanya saya fikir mahu mendedahkan perkara tersebut dalam artikel di blogspot. Tetapi bila difikirkan balik cukuplah ia buat pengetahuan kami sahaja. Di sini cukuplah disebut bahawa ada pihak tertentu main 'tebuk-tebuk' salasilah untuk memasukkan keluarga mereka ke dalam daftar keluarga besar kami. Kelihatan perkara ini timbul kerana mahu menuntut bahagian dalam pembahagian harta pusaka.

Selepas beberapa lama masuk pula tarikh 9 September 2020 lalu genaplah 14 tahun jasad moyang kami Laksamana Muhammad Amin dikembalikan ke Perak setelah lama berada di luar negara akibat dibuang negeri oleh British bermula tahun 1877. Ceritanya boleh dirujuk dalam artikel lama Pengembalian jenazah Laksamana Muhammad Amin ke Makam diraja Bukit Chandan.... Dua hari kemudian tergerak untuk membuat komen-komen berikut di grup Whatsapp keluarga. Yang ini boleh dikongsikan kepada umum. Saya sunting sedikit untuk paparan di sini...


PENCARIAN TENTANG APA YANG BERLAKU KEPADA ORANG KAYA MUHAMMAD ARSHAD BIN LAKSAMANA MUHAMMAD SEBAGAI SATU ASBAB AWAL KEPADA SILATURRAHIM ANTARA KELUARGA BESAR KITA HARI INI

Salam semua saudara mara yang dihormati sekalian. Semalam, ketika mencari artikel-artikel lama saya di blogspot yang melibatkan sejarah lama Taiping untuk dipautkan dalam satu artikel baru terjumpa satu artikel  lama penghujung tahun 2010 melibatkan keluarga besar kita. Tertulis di dalamnya bagaimana perjumpaan pertama saya dengan seorang sepupu ayah menjadi bibit awal untuk melakukan perjumpaan besar keluarga. Itu yang setelah beberapa lama menjadi majlis hari raya keluarga Laksamana Muhammad Amin di Kuala Lumpur lalu membawa kepada penubuhan Group WhatsApp keluarga dan perkembangan-perkembangan seterusnya. Sesungguhnya apa yang berlaku hari ini bukan datang begitu sahaja. Ia berlaku akibat rentetan banyak peristiwa yang mana beberapa daripadanya ada dalam catatan saya termasuk peristiwa pengembalian jasad Laksamana Muhammad Amin dari Singapura ke Perak pada 9 September 2006 iaitu 14 tahun lalu. Tetapi biar dikongsikan beberapa artikel sahaja bermula dengan ini - Menyelesaikan bab Perak : Mendekati keluarga terdekat Haji Musa dan Laksamana Muhammad Arshad

Seterusnya adalah perjumpaan keluarga pertama pada bulan Syawal tahun 2017. Lihat.Majlis perjumpaan keluarga keturunan Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di Selayang. Perjumpaan seterusnya Syawal tahun 2018 tidak dicatatkan panjang lebar tetapi ada diselitkan dalam artikel Ringkasan sambutan raya Aidil Fitri/bulan Syawal tahun 2018. Pertengahan tahun 2019 saya mendapat petunjuk untuk menulis artikel Satu gerak berkenaan keberadaan Laksamana Raja Mahkota Muhammad Arshad. Setengah bulan kemudian berlaku perhimpunan keluarga sempena bulan Syawal tahun 2019. Lihat artikel Perhimpunan dan sambutan raya keturunan Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di Selayang tahun 2019

Ketika itulah hal harta pusaka Laksamana Muhammad Amin mula dibincangkan di hadapan ramai ahli keluarga. Ini yang kemudian membawa kepada lebih ramai  bersilaturrahim sehingga kini 35 jalur dapat dihubung secara nasab bertulis dan lebih 500 nama dimasukkan ke dalam dokumen rasmi tapi saya percaya melibatkan lebih ramai ahli keluarga.  Lebih penting adalah silaturrahim yang tercipta. Insyaallah ini akan membuka lebih banyak lagi cerita dalam keluarga yang telah digelapkan oleh pihak-pihak tertentu. 


Pembetulan : Dalam update FB yang dikongsikan pada awal artikel saya menyebut kami terdiri daripada 34 jalur keluarga. Kemudian saya diberitahu oleh seorang saudara yang lebih dekat dengan perkara bahawa sebenarnya kami dikira terdiri daripada 35 jalur keluarga. Dalam komen di atas ini pula saya menyebut majlis hari raya tahun 2017 membawa kepada penubuhan grup Whatsapp keluarga. Sebenarnya grup ditubuhkan terlebih dahulu tahun 2016. Ia menjadi wadah perbincangan yang membawa kepada majlis hari raya.



Dua hari kemudian iaitu pada awal pagi Ahad 13 September tergerak untuk membuat update berikut di FB berserta gambar atas ...


LAKSAMANA MUHAMMAD AMIN MEMBUNUH SYAHBANDAR - FITNAH ATAU SALAH FAHAM CERITA?

Salam semua. Sudah beberapa kali saya mendengar cerita mengatakan moyang saya Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin (Perak) telah membunuh Syahbandar. Dikatakan beliau telah memeluk Syahbandar untuk menahannya daripada melawan lalu seorang penolong pun menikam dengan keris. Tetapi keris itu tidak dapat menembusi badan Syahbandar kerana beliau memiliki ilmu kebal. Menyedari ini Laksamana pun mengambil keris milik Syahbandar lalu menikamnya. Baru beliau mati.

Entah kenapa Laksamana sanggup berbuat begitu saya tak tahu. Cerita ini katanya ada disebut dalam catatan pegawai besar Inggeris terkenal bernama Frank Swettenham. Baru ini seorang saudara dua pupu saya daripada keturunan Laksamana mengulangi cerita sama. Cuma kali ini dia menambah Syahbandar yang dibunuh itu adalah Uda Ma'amor, menantu kepada Laksamana!

Hal ini menimbulkan tanda tanya. Satu, kenapa Laksamana sanggup membunuh menantu sendiri? Kedua kalau Uda Ma'amor dibunuh bagaimana dia boleh bersama dengan Laksamana mengikut Sultan Abdullah ke Pulau Seychelles tahun 1877 ketika dibuang negeri oleh British kerana dikatakan terlibat dalam pembunuhan Residen pertama mereka ke Perak iaitu J.W.W. Birch tahun 1875? Kami pun meneka-neka. Mungkin Laksamana menurut perintah Sultan. Mungkin Syahbandar yang dibunuh adalah pemegang jawatan sebelum Uda Ma'amor. Mungkin Syahbandar ada membuat kesalahan lalu disuruh bunuh untuk digantikan dengan Uda Ma'amor.

Apapun saya sudah lama terasa pelik tentang cerita ini. Pada saya orang seperti Laksamana Muhammad Amin itu kalau setakat mahu membunuh seorang dua sahaja tak perlu ada orang lain menolongnya. Sebagai seorang Laksamana beliau mampu melakukannya sendiri. Seorang Laksamana harus mampu membunuh ramai lawan seorang diri kerana begitulah kelebihan Laksamana. Kalau tidak takkan dipanggil Laksamana?

Malam ini, setelah beberapa lama tahu tentang kewujudannya, baru saya digerakkan untuk membaca catatan berkenaan. Baru didapati bahawa Laksamana tiada kena mengena langsung dalam permasalahan ini. Yang membunuh Syahbandar itu sebenarnya orang bernama Panglima Perang Semaun - Asbabnya adalah panglima tidak puas hati seorang wanita daripada keluarganya diceraikan oleh seorang bernama Megat Raja yang kelihatan disokong oleh Syahbandar. Namun cerita kononnya Laksamana membunuh Syahbandar itu pula yang tersebar berlegar ke sana ke sini.

Apakah ini fitnah atau salah faham cerita terhadap Laksamana? Pada saya dua-dua pun mungkin. Salah faham berlaku oleh mereka yang tidak membaca cerita sebenar lalu menyebarkan cerita atas cerita. Tetapi fitnah juga boleh berlaku kerana memang ada pihak tidak berpuas hati dengan keluarga kami sejak dahulukala.

Malah menurut Swettenham, Panglima Perang Semaun yang berkhidmat dengan Sultan Ismail (berjawatan Raja Bendahara ketika peristiwa berlaku) datang berlima menyerang Syahbandar yang sedang tidak bersenjata. Syahbandar tidak sangka pun akan diserang. Beliau baru lepas menghantar seorang kerabat raja dari Sumatera turun ke perahu lalu pergi dengan sangka baik tanpa membawa senjata mahupun pengiring. Pada ketika itulah si Semaun ni datang bersama seorang bernama Haji Ali berpura-pura hendak bersalam lalu Syahbandar menyambut salam kemudian diserang.

Tidak lama selepas membunuh Syahbandar beliau membawa pula 30 orang pengikut untuk menyerang rumah seorang moyang saya yang dikenali sebagai Haji Musa di Batak Rabit. Mereka masuk dalam kegelapan malam sebelum Subuh sedangkan ketika itu cuma ada Haji Musa dan isteri berserta seorang anak perempuan mereka dan suaminya. Untuk pengetahuan rumah itu terletak dalam kawasan yang dijadikan kota. Kota itulah tertera dalam gambar terkenal menunjukkan Sultan Abdullah yang disebut memerintah Perak tahun 1874 hingga 1877 bersama sejumlah pengikut juga pegawai British dan orang-orang mereka.

Menurut cerita keluarga kami dalam rumah Haji Musa terdapat singgahsana raja. Bapa saya yang lahir tahun 1942 juga sejumlah sepupu beliau pernah melihat dan bermain-main dengannya sebelum rumah besar itu dirobohkan lalu kayu-kayu dibahagikan antara saudara mara untuk dijadikan rumah mereka pula. Yang pasti Sultan Abdullah bersemayam di Batak Rabit dalam kawasan kota. Sama ada baginda bersemayam dalam rumah Haji Musa atau bagaimana kami tak pasti. Yang pasti dalam rumah moyang kami itu memang ada singgahsana raja.

Saya harus menambah bahawa Sultan Abdullah sebenarnya masih bergelar sultan walau dalam buangan sehingga tahun 1887. Dalam tempoh waktu itu kerabat diraja tertinggi tinggal di Perak adalah Raja Muda Yusuf namun nama Sultan Abdullah terus dijaja British ke sana ke mari dalam membuat perubahan menurut acuan mereka, kononnya semua itu adalah atas perintah perkenan sultan belaka. Kembali pada hal Panglima Perang Semaun yang membunuh Syahbandar bukan moyang saya Laksamana Muhammad Amin juga cerita panglima menyerang rumah Haji Musa. Anda boleh membacanya sendiri dalam buku "Malay Sketches" oleh Swettenham. Klik pada pautan berikut, boleh pergi terus ke bab berkenaan di muka surat 112 kemudian baca dengan teliti - 




Lewat malam itu pula saya membuat update berikut berserta gambar atas...


CONFIRM - YANG BERBAJU PUTIH BERDIRI DI KANAN SULTAN ABDULLAH ADALAH LAKSAMANA MUHAMMAD AMIN

Salam semua. Tentang gambar menunjukkan Sultan Abdullah II (memerintah Perak tahun 1874-1877) dan orang-orang baginda di Kota Batak Rabit saya sudah lama merasakan bahawa orang yang berbaju putih berdiri di kanan baginda dengan keris di pinggang jelas kelihatan menonjol itu adalah moyang saya Laksamana Muhammad Amin. Tetapi baru malam ini saya mendapat kepastian setelah terlihat gambar sama tetapi disertakan nama oleh Arkib Negara. Jelas disebut Sultan duduk di tengah dan ke kiri baginda adalah Residen pertama Inggeris ke Perak iaitu J.W.W Birch. Sedangkan yang berdiri di belakang Birch adalah seorang lagi pegawai besar Inggeris iaitu Frank Swettenham.

Maka disebutlah bahawa ada empat orang laki-laki berdiri sebaris dengan Swettenham. Mereka adalah Laksamana (di kiri) diikuti Syahbandar, Haji Mohd Syed dan Haji Hussein (betul-betul di belakang Birch). Dengan pernyataan ini juga terbatallah pendapat popular bahawa yang berdiri ke kiri Sultan adalah Dato' Sagor. Untuk pengetahuan pernyataan ini telah disebar merata dengan bahagian kepala orang berkenaan dibulatkan terang. Padahal menurut Arkib Negara beliau adalah Haji Mohd Syed. Sila rujuk http://ofa.arkib.gov.my/ofa/group/asset/868830


------------------------


Pagi keesokkanya Isnin 14 September saya membuat update dengan gambar berikut...




BUKTI HUBUNGAN SULTAN PERAK DENGAN ACEH?

Melihat lukisan Sultan ke-27 Perak iaitu Sultan Yusuf ini (bertakhta tahun 1887) kelihatan seperti baginda sedang memakai topi atau kopiah Aceh. Apa maknanya ini? Saja2 pakai atau mahu menunjukkan hubungan tertentu dengan Aceh?


-----------------


Keesokannya awal pagi buta Selasa 15 September timbul perkongsian ini...



FOOD FOR THOUGHT TENTANG DAENG SELILI

Entah apa yang dicari malam ini sampai susah sangat hendak tidur walaupun letih amat. Dalam pelbagai lintasan fikir yang muncul bersimpang siur tentang sejarah lama Perak tergerak untuk mencari kedudukan bukit Selili di kota Samarinda, Kalimantan. Menurut ceritanya kota dibuka oleh orang Bugis yang berhijrah dari kerajaan Bugis Wajo di Sulawesi Selatan sekitar 300 tahun lalu. Mereka masuk ke kerajaan Kutai di Pulau Borneo lalu diberikan satu kawasan di tepian Sungai Mahakam bagi membuat penempatan.

Semakan menggunakan perisian Google Earth menunjukkan kedudukannya adalah sekitar 45 km dari laut. Sungai Mahakam pula mencapai panjang 980 km. Cuma terdapat versi berbeza tentang siapakah ketua orang Bugis yang mengetuai penghijrahan lalu membuka kota tersebut. Satu cerita mengatakan namanya adalah La Mohang Daeng Mangkona, Satu lagi mengatakan Anakhoda Latuji.

Menurut pengkaji tempatan watak Daeng Mangkona itu tiada rujukan kukuh di Kalimantan. Nama tersebut cuma wujud dalam cerita daripada belah Bugis Wajo' yang mana kedatangan beliau dikatakan berkait dengan keberadaan raja tertinggi Wajo bernama La Madukelleng. Makam yang dikatakan milik beliau di Samarinda pula sebenarnya adalah penemuan baru tahun 1990an. Sebaliknya Anakhoda Latuji didapati lebih jelas wujud dalam sejarah - Namanya tertulis sebagai ketua Bugis yang membuat perjanjian dengan Raja Kutai bagi membuka penempatan.

Menariknya di Samarinda itu terdapat sebuah bukit bernama Selili dengan ketinggian sekitar 350 kaki dari paras laut. Penelitian menggunakan Google Earth menunjukkan ia adalah tanah tinggi paling menonjol dalam lingkungan jarak berpuluh batu. Kelihatan rata-rata kawasan situ adalah tanah datar rendah berketinggian hampir paras laut. Maka memang Bukit Selili (saya lihat ada menyebutnya sebagai Gunung Selili) adalah satu landmark atau penanda tempat yang sangat menonjol lalu memberikan makna.

Apakah bukit ini yang membawa kepada terbitnya nama Daeng Selili, tokoh besar yang dikatakan seorang anak raja Bugis yang datang ke Perak pertengahan abad ke-18 Masihi lalu menerbitkan keturunan yang memegang jawatan Dato Maharajalela juga Temenggung di sana? Rasanya ada logiknya. Cuma tokoh mana. Apakah nama asalnya dalam bahasa Bugis? Apakah kedudukan sebenarnya dalam salasilah kerabat diraja Bugis dari Sulawesi Selatan sana...


----------------


Ini pula keluar tengah hari itu...



TENTANG MATLAMAT MENGKAJI SEJARAH - ANTARA WAHABI ILMU DENGAN PUAK KEBATINAN MERAPU - SEGALANYA KEMBALI PADA NIAT...

Salam. Tergerak untuk menyatakan sesuatu tentang pengkajian sejarah terutama di Alam Melayu memandangkan ramai yang berminat sekarang ini, cuma terdapat pelbagai mazhab kaedah dan fikir sehingga sanggup bertelagah saling mengutuk dan menyindir. Pada saya balik pada matlamat dalam mengkaji sejarah. Kenapa, mengapa? Adakah sekadar minat, adakah untuk mencipta nama dan populariti lalu meraih ramai pengikut sambil menjual buku dan/atau tulisan sendiri? Atau kita benar-benar mahu mencari kebenaran hakiki?

Pada saya panduan terbaik terletak pada kitab suci umat Islam iaitu Al-Quran. Ia diketahui mengandungi banyak cerita-cerita lama berupa sejarah para Nabi dan umat-umat terdahulu. Tetapi tujuan kita membaca, memahami dan mengkaji Al-Quran bukanlah untuk menjadi cakna atau pakar sejarah. Sebaliknya ia dirujuk untuk dijadikan panduan, peringatan dan misalan/teladan bagi membentuk peribadi mulia yang diredhai Pencipta.

Saya sendiri mula berminat pada sejarah bukan disebabkan sejarah tetapi untuk memahami perkara-perkara yang berlaku dalam hidup sejak kecil hingga dewasa. Seterusnya saya mengkaji untuk menentukan hala tuju hidup. Saya bermula kerana mencari salasilah keturunan keluarga akibat diasak mimpi-mimpi dan pengalaman demi pengalaman bersifat supernatural dan mistik lalu sering keluar ke lapangan bersendirian mencari petunjuk demi petunjuk ataupun clue. Setelah mendapat tahu siapakah nenek moyang sehingga menjangkau tempoh lebih 1400 tahun melibatkan tokoh-tokoh merentas benua membawa ke Tanah Arab dan Parsi, bagaimana sejarah dan perjuangan mereka baru faham ke mana dan bagaimanakah harus melangkah seterusnya. Di celah-celah itu terjumpa pelbagai sejarah lama melibatkan Islam dan Alam Melayu yang selama ini seperti disembunyikan atau digelapkan pihak tertentu.

Kaedah yang digunakan untuk memahami perkara menggabungkan hal-hal mistik sambil dirujuk silang dengan penulisan dan kajian akademik lalu ada yang dikongsikan kepada umum melalui penulisan di blogspot, Facebook dan buku menurut cara naratif sendiri. Dalam membuat semua itu saya harus menjaga niat agar tidak tercemar apa lagi terpesong lalu hilang bantuan dan petunjuk daripada Ilahi. Sebagai manusia biasa tentu setan juga selalu membisikkan agar kita merasa riya' dan inginkan populariti. Tetapi saya selalu mengingatkan diri setiap kali terlepa kerana tujuan akhir pencarian adalah demi mencari diri dan erti sejati... supaya jelas hala tujuan dan peranan di muka bumi seperti pernah dijanjikan dengan Allah SWT di alam roh lagi.

Baru jiwa dapat selalu merasa tenang kerana melangkah menurut matlamat yang telah ditentukan di Loh Mahfuz. Melangkah menurut jajaran takdir, Qada' dan Qadar peribadi baru hidup jadi bermakna walau tetap ada dugaan dan saat-saat lepa lupa. Itulah tujuan sebenar saya mencari sejarah. Lalu kaedah mencari, bercerita, berkongsi semuanya berlegar-legar di sekitar paksi induk ini iaitu mencari makna diri dan erti serta bagaimana hendak memenuhi fungsi.

Kaedah ini mungkin ditolak dan dicemuh oleh para 'Wahabi sejarah'. Mereka ini jenis yang setiap kali dikemukakan suatu kenyataan mesti meminta rujukan berotoriti, apakah dalilnya, sahih atau tidak lalu menolak sama sekali apa-apa petunjuk bersifat mistik. Kalau diberikan dalil zahir yang tidak bersesuaian dengan aliran fikiran mereka pun tetap ditolak sebagai tidak sahih dan kurang autentik. Pada hujung lain spektrum pula terdapat puak-puak kebatinan yang semua pengetahuan sejarah mereka adalah berdasarkan perkhabaran daripada 'alam sebelah'. Mereka yakin semuanya sahih kerana cara mendapat ilmu tersebut dianggap tinggi dan luar biasa lalu boleh menerima cara saya.

Tetapi pada masa yang sama mereka cenderung untuk melampaui batas kerana sanggup berpegang pada kenyataan-kenyataan serong terutama apabila melibatkan harta dan takhta. Ini disebabkan merasakan apa yang diterima secara ghaib itu semuanya sahih kerana ia satu kelebihan. Padahal mereka boleh terdedah kepada penipuan jin dan syaitan lalu boleh dipesongkan.

Saya boleh dikira duduk di tengah antara kedua-dua mazhab ekstrem ini. Ada masanya saya menggunakan kaedah juga sumber maklumat yang diiktiraf sebagai sahih di alam nyata lagi bersifat akademik, ada masa menggunakan sumber ghaib yang dipersoalkan itu. Tetapi dalam menggunakan sumber ghaib pun tidaklah saya terus bulat-bulat menerima kerana tahu boleh berlaku tipu daya. Saya selalu menyaring maklumat menggunakan panduan berdasarkan ilmu Tasawuf dalam mengenal bisikan serta lintasan hati - Apakah daripada jin, apakah daripada syaitan? Apakah daripada nafsu rendah sendiri? Apakah daripada malaikat atau terus ilham yang benar daripada Ilahi?

Semua ini memerlukan masa dan pengalaman untuk mengenal yang mana kaca yang manakah intan. Kita tidak boleh sekadar membaca ratusan buah buku semata kemudian berhujah dan berteori sahaja tetapi harus selalu turun ke lapangan di mana kita akan diuji dengan pelbagai keadaan termasuk yang boleh mengancam nyawa. Dalam keadaan itulah hati dapat dibentuk untuk mengenal suatu isyarat apakah benar apakah palsu. Sambil itu kita boleh ditemukan dengan guru demi guru lalu sentiasa dipandu.

Tetapi perkara paling pokok tetap niat. Kenapa mencari sejarah? Apakah semata-mata kerana minat? Apakah kerana mahu mencari nama dan populariti lalu meraih pengikut atau demi mencari kebenaran yang haq supaya dapat menjadi insan lebih baik dalam memenuhi matlamat? Hal ini walau secara rata bersifat batin dan dalaman insyaallah akan terpancar jua pada zahir dan pembawakan diri. Cuma itu le, orang tua-tua kata hanya jauhari mengenal manikam. Kebanyakan manusia lebih mudah terpersona dengan wayang lalu percaya kepada orang yang pandai memanipulasikan keadaan dalam mencari nama dan populariti.

Sekali lagi balik pada niat. Kalau sudah jelas dan tahkik untuk memperbaiki diri lalu ini menjadi tujuan kerana Allah SWT semata maka teruskan sahaja melangkah. Usah pedulikan kata-kata sumbang kerana ini akan terus menerus keluar daripada mulut orang yang tak faham atau tidak menyenangi kita. Teruskan melangkah demi memartabatkan agama, bangsa dan negara. Insyaallah setiap langkah itu akan diiringi doa daripada yang ghaib mahupun yang nyata.

Gambar hiasan : Memberikan syarahan secara bidang terjun tentang Tok Pulau Manis di majlis berkenaan April tahun lepas. Untuk memandu syarahan saya menggunakan gambar-gambar yang diambil daripada satu artikel lama saya di blogspot CATATAN SI MERAH SILU tentang ulamak besar bertaraf wali di Terengganu itu lebih 300 tahun lalu dan bagaimana almarhum menjadi wasilah untuk saya menyambung pencarian ke Aceh tahun 2004. Sila baca cerita berkenaan melalui pautan berikut -





Masuk hari Rabu yang tarikhnya 16 September adaklah Hari Malaysia saya disibukkan dengan gerakan bertanjak lalu keluar artikel-artikel berikut :-





Lewat petang Jumaat 18 September saya mempersembahkan artikel Misi menghantar anak balik kolej - Dari Temong mengimbau sejarah Raja Bilah di Papan dan peranan dalam lipatan sejarah. Di dalamnyalah berlaku cerita yang membawa kepada cetusan persoalan terawal dalam artikel yang sedang anda baca ini iaitu yang diberi tajuk "Petunjuk Daripada Raja Bilah?". Malam itu timbul rasa untuk membuat gambar atas lalu meletakkanya di FB tentang dengan caption "Ada apa-apa pertanyaan? Honk honk!". 

Walaupun sekadar untuk bergurau bermain-main boleh jadi juga ia menggambarkan keadaan saya yang sedang memiliki banyak pertanyaan dalam kepala. Esoknya Sabtu 19 September tergerak untuk membuat artikel menunjukkan gerakan bertanjak dan pemakaian busana tradisional Melayu sejak mengenalinya lalu terlibat sama tahun 2012. Oleh kerana terdapat terlalu banyak artikel  berkenaan ia pun dipecahkan kepada 3 bahagian. Terbitlah artikel-artikel berikut dalam tempoh beberapa hari itu... 


Sambil itu iaitu pada lewat malam 21 September tergerak untuk berkongsi gambar atas berserta tulisan berikut di FB...


PETA LAMA PERAK YANG BOLEH MEMBUKA SEJARAH LAMA YANG DIGELAPKAN...

Masih dalam proses meneliti artikel2 lama untuk dikumpulkan bagi menunjuk aktiviti bertanjak tahun 2015-2017. Terjumpa gambar peta ini pula yang diambil daripada satu pameran di Perpustakaan Negara pertengahan Mei 2016. Peta tahun 1779 ini menunjukkan bentuk muka bumi Perak ketika Sungai Beruas masih bersambung dengan Sungai Perak. Bentuk muka bumi lama ini sebenarnya adalah petunjuk bagi sejarah lama Kesultanan Perak yang sudah digelapkan.

Hal ini sama seperti kita melihat Negeri Sembilan sekarang lalu beranggapan begitulah wilayahnya 300 tahun yang lampau. Walhal dahulu Yam Tuan Besar yang dibawa dari Pagarruyung itu cuma memerintah di Seri Menanti sahaja. Selepas beberapa lama baru pemerintahan meliputi wilayah sekarang.

Begitu juga halnya Selangor. Ketika Sultan pertama Selangor iaitu Sultan Salehuddin @ Raja Lumu menerima nobat daripada Sultan Perak sekitar tahun 1760an wilayah pemerintahan baginda cuma sekitar Kuala Selangor sekarang. Kelang yang meliputi seluruh wilayah yang disaliri Sungai Kelang lalu termasuk Kuala Lumpur sekarang memiliki pemerintahnya sendiri, Dato' Engku Klang. Klang sudah memiliki pentadbir yang dikenali sebagai Penghulu Klang sejak zaman Kesultanan Melaka lagi. Tun Perak pernah memegang jawatan ini sebelum menjadi Bendahara.

Jadi bagaimanakah sebenarnya keadaan pemerintahan Perak yang ceritanya digelapkan itu? Yang saya pernah dengar ada wilayah yang memiliki raja sendiri. Ada pula satu zaman di mana anak raja keturunan Aceh dengan anak raja keturunan Bugis dengan anak raja keturunan Melaka berperang sesama sendiri tetapi tiada siapa yang menang. Maka diputuskan biar begini. Biar digilirkan pemerintahan antara 3 keturunan. Tetapi cerita ini dihilangkan sementara nasab daripada 3 keturunan yang telah bersemenda itu dicatatkan dalam salasilah rasmi sebagai berasal daripada satu keturunan induk sahaja walhal bukan.

Entah apa lagi cerita boleh terkeluar kalau perkara ini dikorek dalam-dalam? Sssshhh... 



Update seterusnya di FB yang terasa relevan dengan gerak penulisan timbul lewat malam 30 September...


SEJAUH MANAKAH RELEVAN JAWATAN PEMBESAR TRADISIONAL MELAYU DALAM SISTEM KENEGARAAN MALAYSIA SEKARANG?

Persoalan ini telah bermain-main dalam fikiran sejak sehari dua kebelakangan. Sejauh manakah relevan jawatan pembesar tradisional Melayu dalam sistem kenegaraan Malaysia sekarang? Katakanlah kita diberi peluang memegang satu jawatan pembesar tradisional Melayu yang merupakan warisan dalam keluarga. Pada zaman dahulu jawatan tersebut membolehkan pemegangnya untuk mengerah seluruh angkatan tentera malah semua anak laki2 yang cukup umur untuk bersama menghadapi serangan musuh. Maka itu kedudukannya sangat relevan dalam membentuk dan menentukan hala tuju kerajaan.

Tetapi itu dahulu, sebelum campur tangan British meremehkan semua institusi tradisional Melayu. Zaman sekarang apakah jawatan sama cukup berwibawa dan berpengaruh untuk mengajak anak2 Melayu berjuang sama bagi menghadapi segala cabaran akhir zaman lalu dapat membentuk tapak khilafah yang diimpi2kan? Atau ia sekadar penghias adat istiadat istana yang kelihatan megah daripada segi gelaran dan kedudukan namun tidak mampu menghalang kebejatan ahli2 politik yang sering memanipulasikan agama, bangsa dan negara? Mohon maklum balas kawan2...



Kurang sejam setengah kemudian timbul gerak untuk membuat update ini berserta gambar atas dan peta-peta berikut ...


APA JADI PADA LOMBONG2 LAKSAMANA MUHAMMAD AMIN  DI PERAK?

Salam Sabtu malam Ahad 14 Safar. Hari ini tergerak untuk menyatakan sesuatu tentang moyang saya Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin. Satu, tentang bilakah beliau mula memegang jawatan laksamana bagi kerajaan Perak. Kedua penglibatan sebagai seorang usahawan besar perlombongan biji timah di Perak, terutama di daerah Batang Padang.

Tentang perkara pertama, ada mengatakan Muhammad Amin menjadi laksamana selepas saudara dua pupunya Sulaiman memegang jawatan. Sebetulnya ini adalah salah. Ketika berlaku Perjanjian Pangkor tahun 1874, Muhammad Amin menurunkan tanda tangan sebagai Laksamana Perak. Sulaiman menurunkan tanda tangan sebagai Raja Mahkota iaitu bakal laksamana. Seterusnya sejak bila Muhammad Amin memegang jawatan? Saya pernah mendengar bahawa beliau telah menjadi laksamana sejak zaman Sultan ke-23 Perak iaitu Sultan Ja'afar (memerintah 1857-1865). Cuma baru beberapa hari lalu mendapati hal ini ada tertulis dalam buku Cempaka Sari : Sejarah Kesultanan Negeri Perak tulis M.A. Fawzi Basri.

Satu perkara yang turut menarik perhatian tentang tulisan berkenaan adalah Muhammad Amin adalah seorang pemodal Melayu sebelum menjadi laksamana lagi lalu beliau dan Sultan Jaafar berkongsi untuk memajukan lombong (bijih timah) di Batang Padang. Untuk pengetahuan Sultan Jaafar adalah ayahanda kepada Sultan ke-26 Perak iaitu Sultan Abdullah. Sultan Abdullah inilah yang nanti akan dibuang ke Pulau Seychelles bersama Laksamana Muhammad Amin tahun 1877 akibat dikatakan terlibat dalam pembunuhan Residen pertama British ke Perak iaitu J.W.W. Birch pada tahun 1875. Sebetulnya Muhammad Amin dan sultan-sultan ini berkerabat. Apapun kenyataan dalam buku Cempaka Sari itu menunjukkan bahawa Muhammad Amin sudah menjadi seorang usahawan dan berharta sebelum menjadi laksamana lagi.

Seterusnya adalah tentang lombong2 yang diusahakan bersama Sultan Jaafar di Batang Padang. Untuk pengetahuan daerah ini meliputi bandar-bandar Sungkai, Bidor dan Tapah serta persekitarannya. Ia turut meliputi Tanjung Malim tetapi sejak tahun 2016 bahagian tersebut sudah dipecahkan menjadi daerah Mualim. 

Di sini biar disuakan keratan berkenaan daripada buku Cempaka Sari. Turut disuakan peta menunjukkan kawasan Batang Padang sekarang. Boleh dilihat dalam peta 'lubang-lubang' berwarna biru menunjukkan bekas lombong seperti terdapat pada hari ini. Pada suatu masa dahulu sebahagian daripada lombong2 ini adalah milik Laksamana Muhammad Amin. 

Cuma ke arah Kinta menuju ke Ipoh itu adalah bahagian orang lain terutama Raja Bendahara Ismail (kemudian menjadi Sultan ke-25 Perak) Tetapi apa yang ada sudah cukup untuk menunjukkan jangkauan hartanah laksamana adalah cukup besar dan luas. Selain itu beliau berhak mengenakan cukai bagi segala macam hasil bumi terutama bijih yang lalu di pusat pemerintahan beliau di Durian Sebatang iaitu di sebelah kuala Sungai Bidor. Saya sebut memerintah kerana memang laksamana diberikan mandat untuk memerintah bagi pihak sultan dari kuala Sungai Terus di selatan Kampung Gajah menghilir sehingga ke kuala Sungai Perak. 

Untuk pengetahuan Sungai Sungkai mengalir masuk ke Sungai Bidor, begitu juga halnya Sungai Batang Padang yang berpunca di kawasan tanah tinggi Cameron Highlands. Sungai Bidor pula masuk ke Sungai Perak lalu kualanya menjadi pusat pemerintahan laksamana sejak beberapa keturunan. Tetapi selepas berlaku Perang Perak-British 1875-1876 yang tercetus akibat pembunuhan Birch banyak harta termasuk lombong2 milik para pembesar Melayu dirampas lalu diserahkan kepada orang lain oleh British. Antara yang diberi lombong adalah towkay2 Cina. Padahal dahulu mereka bukan pemilik lombong pun - mereka cuma bertanggungjawab membekalkan tenaga buruh selain terlibat dengan usaha jual beli hasil tetapi tidak memiliki lombong. Begitulah antara secebis sejarah Tanah Melayu ini. Kita selalu disuakan dengan 'fakta' kononnya orang Cinalah yang memajukan ekonomi Tanah Melayu. Walhal mereka dapat naik dengan bantuan British merampas hak milik orang Melayu.
















Akhir sekali., lewat malam 5 Oktober saya membuat update berikut ...


KALAU BENAR WARIS LAKSAMANA MUHAMMAD AMIN...

Salam malam 18 Safar. Sejak beberapa bulan kebelakangan saya diberitahu sudah berlaku beberapa kali orang mengaku sebagai waris keturunan Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin (Perak) ketika berjumpa pihak2 tertentu. Yang jadi masalah apabila hal ini disampaikan kepada saudara mara saya didapati bahawa orang yang mengaku sebagai waris itu tidak ada dalam daftar keluarga besar kami. Namanya tiada, nama ibu atau bapanya tiada, nama datuknya pun tiada. Pendek kata tidak ada bukti untuk menunjukkan mereka sebagai waris keturunan Laksamana Muhammad Amin. 

Sekadar bersangka baik, boleh jadi mereka datang daripada jalur keturunan yang tidak ada dalam rekod kami. Kami sentiasa terbuka untuk kemungkinan itu. Tetapi kalau begitu pihak yang mendakwa harus mengemukakan bukti bagaimana atau daripada jalur manakah dia menjadi waris keturunan Muhammad Amin itu. Kami boleh bersoreh dengan saudara mara lain untuk mendapatkan kepastian. 

Kalau benar ada sangkut paut harus ada yang dapat mengenali bagaimana sangkut paut itu. Kalau setakat ada moyang yang berkahwin dengan saudara 2-3 pupu Laksamana misalnya tidaklah boleh dikira sebagai waris kerana seorang waris itu mestilah daripada salah satu jalur yang menyambung kepada Muhammad Amin melalui salah seorang anak almarhum dengan salah seorang isteri. Sekarang kami perlu berhati2 dengan hal ini kerana ada orang mendakwa sebagai keturunan demi mendapatkan bahagian daripada harta pusaka Laksamana yang katanya bernilai berbillion RM. Ada yang berjumpa pengarah muzium atau pensyarah sejarah di universiti dengan dakwaan sebegitu seolah2 minta diiktiraf sebagai waris. 

Ada yang meminta salasilah besar keluarga daripada kami lalu marah apabila kami tak mahu beri. Mana boleh main beri2 begitu sahaja? La ni dah jadi penyakit ada orang menipu dengan menyelit2kan nama dalam salasilah besar keluarga orang lain.


-------------------------


Apa yang dikongsikan di sini boleh sahaja dipersembahkan di blogspot CATATAN SI MERAH SILU pada mana-mana tarikh selepas 5 Oktober. Cadangan asalnya ketika itu adalah selepas memaparkan artikel Urusan di TV Alhijrah dan renungan terhadap politik semasa tanah air sekitar 23 September diikuti Perbincangan impromptu nasib Melayu dan silaturrahim hujung minggu. Tetapi baru hari ini 22 Oktober dapat melakukannya. Ada le sebabNYA itu. Semoga terbit lagi petunjuk baru tentang keberadaan Laksamana Muhammad Amin dan semoga juga kepala dan dada saya menjadi lapang lalu dapat menyiapkan tesis sarjana yang sudah lama tertunda. Amin, amin Ya Rabbul Alamin... :]