Salam lewat malam Jumaat. Artikel ini telah disediakan seminggu lalu tetapi disemak lalu disunting waktu Subuh tadi. Gambar bawah ini pula diambil daripada satu rakaman video selepas solat Isyak. Semuanya untuk perkongsian selepas jam 11 malam ini atas sebab tertentu...
Ya, malamnya adalah malam Jumaat berdasarkan kiraan Islam bahawa apabila masuk sahaja waktu Maghrib maka bermulalah hari baru. Tetapi siangnya adalah hari Khamis. Maka 26 November 2020 jatuh pada hari Khamis sedangkan malamnya adalah malam Jumaat. Menarik ini. Saya akan menyambut hari ulangtahun ke-50 pada hari Khamis yang malamnya adalah malam Jumaat seperti halnya ketika lahir setengah abad lalu.
Ini membuatkan timbul rasa untuk menyemak sudah berapa kalikah ulang tahun saya jatuh pada hari Khamis malam Jumaat. Semakan boleh dibuat dengan menggunakan program Gregorian to Hijriah converter (mengubah tarikh Barat kepada tarikh Islam, boleh cari programnya menggunakan Google) kerana ia turut menunjukkan pada hari apakah suatu tarikh itu jatuh. Tetapi hendak menyemak setiap tahun sehingga sampai yang ke-50 harus memakan masa. Untuk mempercepatkan proses terfikir untuk menggunakan kira-kira matematik seperti berikut :-
------------
Adapun satu tahun dalam kalendar Gregorian memiliki 365 hari. Suatu hari akan berulang selepas seminggu atau 7 hari. Misalnya 19 November jatuh pada hari Khamis. Maka 26 November iaitu 7 hari selepas itu juga jatuh pada hari Khamis. Begitu juga seminggu selepas itu dan seterusnya.
365 hari bahagi 7 = 52 minggu + 1 hari... ada anjakan satu hari. Ini bermakna setahun selepas 1970 iaitu pada tahun 1971 tarikh 26 November jatuh satu hari selepas Khamis iaitu pada hari Jumaat.
Saya menyemak ini menggunakan program Gregorian to Hijriah converter lalu mendapati ini adalah benar. Cuba pula bagi tahun 1972. Ingatkan 26 November jatuh sehari selepas Jumaat iaitu pada hari Sabtu. Tengok-tengok salah. Ia jatuh pada hari Ahad.
Ah. Nampaknya saya sudah terlupa bahawa 1972 adalah Tahun Lompat yang mengandungi 366 hari. Ini adalah bersamaan 52 minggu + 2 hari. Dalam kalendar Gregorian ia berlaku sekali pada setiap 4 tahun. Setiap kali berlaku Tahun Lompat suatu hari pada suatu tarikh teranjak sebanyak 2 hari. Jika 26 November 1971 jatuh pada hari Jumaat maka 26 November 1972 jatuh pada 2 hari selepas Jumaat iaitu Ahad.
Ya. Faktor Tahun Lompat mesti diambil kira. Nasib baik boleh mengenal mana satu Tahun Lompat. Ia jatuh pada tahun yang boleh dibahagi 4 tanpa meninggalkan baki. Misalnya 1970 bahagi 4 adalah 492 darab 4 campur baki 2. Sedangkan 1972 bahagi 4 adalah tepat 493. Setelah mengetahui ini kita boleh tambah 4 pada 1972 untuk mengetahui Tahun Lompat seterusnya adalah 1976. Ini diikuti 1980, 1984, 1988 dan seterusnya.
1) 26 November 1981 = 29 Muharram 1402
2) 26 November 1987 = 4 Rabiualwal 1408
3) 26 November 1992 = 1 Jamadilakhir 1413
4) 26 November 1998 = 7 Sya'aban 1419
5) 26 November 2009 = 9 Zulhijjah 1430
6) 26 November 2015 = 14 Safar 1437
7) 26 November 2020 = 11 Rabiulakhir 1442
Seterusnya tergerak untuk cuba mengingati di manakah saya berada pada tarikh-tarikh berkenaan...
1) 26 November 1981 - Ketika ini baru habis Darjah 5 di Sekolah Rendah Ismail 2 di Muar. Harus sudah masuk cuti sekolah hujung tahun. Mungkin sedang berjalan ke mana-mana dibawa ibu bapa. Ketika ini anak ke-5 dan bongsu mereka iaitu satu-satunya adik perempuan saya sudah hendak masuk umur 2 tahun.
2) 26 November 1987 - Semasa ini harus cuti sekolah juga. Pada tahun ini saya berada di Tingkatan 5 Sekolah Tinggi Muar. Cuma tak pasti apakah ketika itu sudah tamat mengambil SPM (Sijil Peperiksaan Malaysia) atau bagaimana. Satu perkara menarik dalam ingatan. Saya pernah bergaduh dengan bapa sehingga lari rumah ketika peperiksaan menjelang. Hampir-hampir tidak mengambil SPM.
Nasib baik terfikir juga tentang masa hadapan lalu meminta adik membawakan baju sekolah ke satu tempat perjumpaan. Selama 2-3 hari juga saya mengambil peperiksaan dalam keadaan 'pelarian' menumpang di rumah kawan. Selepas mengambil peperiksaan di sekolah membantu beliau menjual rojak di taman peranginan sebelah Sungai Muar. Nasib baik masih boleh dapat Gred 1 walaupun agregatnya tidak berapa cemerlang.
3) 26 November 1992 - Ketika ini sudah masuk Tahun 2 pengajian ijazah sarjana muda dalam bidang Matematik di Universiti College of London. Tetapi saya selalu ponteng kelas. Malah rasanya tak sampai 5 peratus kehadiran dalam kelas. Masa banyak dihabiskan tidur atau berjalan. Saya sedang menghadapi pergolakan jiwa yang hebat akibat diri yang dahulu sangat meminati ilmu sains dan logik akal mula beralih arah masuk ke dunia spiritual bersifat Tasawuf. Nasib baiklah selepas itu dapat juga ijazah kepujian walau tidak cemerlang.
4) 26 November 1998 - Ketika ini sudah 2 tahun lebih bertugas sebagai wartawan di akhbar berbahasa Inggeris The New Straits Times di Kuala Lumpur. Rasanya sudah masuk meja sukan yang bersifat lebih santai berbanding misalnya meja berita (newsdesk) yang dipandang lebih berwibawa kerana sering berurusan dengan para menteri dan pentadbiran tertinggi negara mencari berita-berita penting yang boleh menentukan hala tuju. Namun pada zaman itulah rupanya dapat mengenali para VVIP dalam kapisiti lebih peribadi. Misalnya, saya pernah diperkenalkan dengan seorang Tengku Mahkota dan seorang Raja Muda dalam keadaan santai minum-minum bersama kawan-kawan. Tidak lama kemudian mereka menaiki takhta negeri masing-masing.
5) 26 November 2009 - Ketika ini sudah hampir setahun bernikah dengan isteri sekarang. Anak pertama kami (bersama kerana kami masing-masing sudah ada anak) sudah berumur hampir sebulan setengah. Ketika ini juga saya sudah menghasilkan 4 tajuk buku. Berdasarkan tarikh adalah bersamaan 9 Zulhijjah 1430 kami harus sedang berada di kampung saya di Muar untuk menyambut Hari Raya Haji atau Aidil Adha.
Oleh kerana pada ketika ini sudah lebih 3 tahun saya aktif menulis dalam blogspot maka dapatlah juga disemak aktiviti apakah yang dilakukan pada sekitar waktu itu. Didapati bahawa selain balik kampung kami mengambil peluang untuk berjalan ke selatan sehingga ke Singapura setelah isteri habis pantang bersalin 40 hari iaitu pada 22 November. Lihat artikel Akan datang : Pengembaraan Al-Rasyid ke selatan!. Bila disemak betul-betul artikel-artikel berkenaan didapati bahawa pada 26 November 2019 kami sekeluarga telah melakukan perjalanan dari Bandar Tenggara ke Muar. Singgah di Sekolah Menengah Sains Johor di Kluang di mana saya pernah belajar Tingkatan 1 hingga 4 kemudian membawa anak kecil kami berziarah ke makam Sultan Alauddin Riayat Syah di Pagoh sebelum kembali ke kampung untuk berhari raya. Lihat artikel Pengembaraan Al-Rasyid ke selatan : Kerajaan lama Gelanggayu, kopi Kluang dan kenangan sekolah menengah lalu... diikuti Pengembaraan Al-Rasyid ke selatan : Menutup perjalanan di makam Sultan Alauddin!
6) 26 November 2015 - Ketika ini anak kedua bersama isteri sudah berumur 3 tahun lebih. Saya pula telah menghasilkan 8 tajuk buku. Pada jam 11.31 malam saya telah mempersembahkan satu artikel bertajuk Daulah Melayu di Jawa Timur - Sunan Giri, panggilan Raden Santri dan Sunan Ampel. Perjalanan dalam cerita berlaku sebulan lebih awal. Dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan itu saya sibuk dengan penggambaran satu projek dokumentari selain beberapa hal.
7) 26 November 2020 - Setelah menghasilkan tajuk buku yang ke-13 pada bulan Syawal tahun 2019 saya memilih untuk berehat daripada menulis apa-apa buku baru. Sepatutnya saya sudah siap menulis tesis sarjana di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) 2-3 bulan lalu kerana sudah cukup 4 semester bersama institusi (rujuk artikel lama Menyahut Panggilan Andalusia setelah 30 tahun ia menjelma - Qada' dan Qadar seorang pelajar berusia). Tetapi masih menghadapi masalah gangguan mood dan rentak penulisan. Besar harapan agar segala gangguan sirna dan saya dapat menyiapkannya sebelum akhir tahun ini. Semoga luahan dalam penulisan ini membawa kelancaran yang didambakan. Doakan saya ya kawan-kawan. Sekian. Selamat malam.
Nota tambahan : Siang tadi saya ada menelefon ibu di Muar untuk bertanya waktu tepat saya dilahirkan 50 tahun lalu. Beliau yang sudah berumur 78 tahun sudah lupa tapi ia harus sekitar jam 11.40. Saya pun menunggu suatu waktu berdekatan untuk memaparkan artikel ini. Sengaja dipilih jam 11:31 kerana ada nombor 131 yang saya suka.
Oh. Selepas solat Isyak isteri melakukan kejutan dengan membawa keluar kek yang ditempah khas untuk menyambut ulang tahun kelahiran saya. Kebetulan ada sejumlah kawannya datang ke rumah untuk satu urusan berlainan. Maka dijadikanlah acara menyambut ulang tahun sekali. Itu yang ada gambar atas tadi. :]
Alhamdulillah saudara semoga dalam sihat hendaknya.
BalasPadam