Merujuk pada artikel Perbincangan impromptu nasib Melayu dan silaturrahim hujung minggu yang dipersembahkan 2 hari lalu. Pada penghujung artikel ada disebut begini :-
Hasil persinggahan ke majlis perkahwinan anak seorang kawan di Cheras, sejumlah pesilat wanita telah diundang bertandang ke rumah lalu jadilah majlis tahlil pada malam Jumaat baru ini. Itu yang disebut pada pembukaan artikel ini bahawa saya telah disibukkan dengan pelbagai perkara terutama satu majlis yang mahu diadakan di rumah pada malam Jumaat 2 hari lalu. Selepas itu jadi penat gila, sampailah pada hari ini masih penat amat sebenarnya. Seiring dengan majlis turut dibuka satu gelanggang silat tertutup di hadapan rumah saya. Insyaallah ceritanya akan dikongsikan tidak lama lagi.
Ada ditunjukkan bahawa kami singgah di majlis perkahwinan tersebut pada petang Ahad 27 September. Sekarang biar dikongsikan cerita tentang majlis tahlil yang tercetus daripada itu.
Ia asalnya sekadar undangan santai isteri kepada kawan-kawan pesilat wanita supaya datang bertandang ke rumah kami pada suatu masa. Tetapi apabila ada yang menambah biar dibuat bacaan Yasin dan Tahlil malam Jumaat kami pun menerima.
Asalnya ini mahu dibuat pada malam Jumaat terdekat selepas pertemuan di majlis perkahwinan iaitu pada tarikh 1 September. Elok juga itu fikir saya. Malam itu tarikh Islamnya adalah 14 Safar, sudah masuk bulan penuh. Boleh menikmati suasana malam bawah bulan terang.
Isteri yang suka menerima tetamu seronok menunggu sambil membuat persiapan. Beliau sudah biasa memasak seorang diri, pernah bertungkus lumus menyiapkan pelbagai jenis hidangam untuk lebih 60 orang. Sekitar 2 hari kemudian kami diberitahu majlis ditunda ke malam Jumaat berikutnya. Bulan dah tinggal separuh ketika itu tetapi masih boleh buat aktiviti lagi, insyaallah.
Kenapa saya lebih suka kalau bulan penuh? Sebab terasa lebih seronok meneroka persekitaran luar rumah pada waktu itu. Ini kerana saya sudah terfikir untuk mengajak tetamu berjalan kaki ke kawasan bukit berdekatan. Ada sesuatu yang istimewa bagi mereka yang faham.
Dan lagi ada kawan persilatan yang telah sampai lebih awal mencadangkan agar dirasmikan sekali gelanggang yang terletak di belakang kebun hadapan rumah. Apapun tarikh lain iaitu 8 Oktober telah dipilih. Kelihatan hadirin sedang menunggu saya untuk mengimamkan solat Isyak berjemaah. Ketika ini sudah jam 8.43 malam...
Selepas itu diadakan bacaan Yasin diikuti Tahlil.
Oleh kerana tidak ada lelaki lebih dewasa boleh mengendalikan sebagai tuan rumah saya harus memimpin bacaan.
Selesai itu kami makan malam. Hidangan disediakan oleh isteri dicampur sedikit sumbangan potluck daripada kawan-kawan.
Kebanyakan yang ada ini adalah kaum wanita. Memang pun majlis dikira atas anjuran Dewan Srikandi DSSM iaitu cabang pesilat wanita bagi persatuan Dunia Seni Silat Melayu.
Sekitar jam 10.15 kami bergerak ke gelanggang. Ia adalah satu tapak lapang sedikit menaiki bukit yang telah saya buka dan kemaskan bersama isteri untuk aktiviti-aktiviti persilatan juga amalan kerohanian. Beberapa hari itu kami berdua telah menghabiskan banyak masa dan tenaga untuk menyediakan tempat. Selain menyiapkan rumah bagi majlis bacaan Yasin dan Tahlil kami juga harus mengemas kebun kemudian memasang pelita di beberapa kedudukan untuk mencantikkan seraya memberikan sedikit pencahayaan...
Gelanggang pun dirasmikan oleh kawan-kawan diiringi lagu gendang silat. Ini disampaikan melalui speaker kecil tapi cukup berkuasa yang disambung secara Bluetooth ke telefon bimbit. Sebelum itu saya telah merasmikan menurut cara sendiri, Opps... tiada gambar kami sedang bersilat. Yang ada cuma gambar ketika sedang bersantai dalam kawasan berkenaan.
Biar diberitahu ia lebih pada gelanggang tertutup untuk kawan-kawan berseronok memanaskan badan, bukan untuk mengajar orang luar. Letaknya di sebelah pondok menghadap kebun yang dibina sendiri pertengahan Syawal untuk bersuluk, bersolat dan membaca Al-Quran selain duduk santai. Selepas itu kami membuat aktiviti penerokaan di kawasan bukit sekitar sambil bermesra dengan alam waktu malam. Ada le sesi berhubung dengan 'alam sebelah'...
Selepas tengah malam baru kembali ke rumah lalu berehat santai pula di loteng paling atas rumah. Untuk makluman rumah kami memiliki loteng kayu dua tingkat. Lihat artikel lama Rumahku Baitul Hikmah.
Beberapa orang yang tinggal kemudian bergambar di hadapan rumah. Walaupun yang datang tidaklah berapa ramai cukuplah ini sebagai pembukaan bagi sesuatu yang lebih besar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan