Ahad, Oktober 11, 2020

Al-Ghazali dan Ibnu Rushdi : Dua bintang dalam galaksi intelektual Islam

Salam petang Ahad 23 Safar 1442 Hijriah. Adapun selepas mempersembahkan artikel Perbincangan impromptu nasib Melayu dan silaturrahim hujung minggu malam semalam saya fikir artikel seterusnya cuma akan ditulis lalu dikongsikan 3 hari selepas itu iaitu pada hari Selasa 13 Oktober. Tetapi ada perkembangan tertentu membuat ia harus diluahkan petang ini. Begini ceritanya...


Hampir sebulan lalu, guru saya Profesor Dato' Dr Osman Bakar telah menghantar poster atas melalui WhatsApp menunjukkan dia akan bersyarah dalam satu majlis ilmu yang disampaikan melalui format Webinar (seminar melalui jaringan atas talian atau Web Online). Sebelum ini beliau telah menghantar beberapa poster majlis Webinar lain melibatkan beliau tetapi saya tidak menunjukkan minat. Ini kerana  belum lagi selesa dengan penyampaian ilmu melalui format sedemikian.

Namun umum tahu sejak PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) untuk menyekat penularan virus COVID-19 mula dikuatkuasakan di seluruh Malaysia 18 Mac kebanyakan jenis majlis ilmu termasuk syarahan di universiti tidak dapat diadakan secara berhadapan dalam satu bilik mahupun dewan. Ini menyebabkan ramai berubah cara penyampaian dengan menggunakan kemudahan atas talian lalu tidak perlu lagi hadir secara fizikal di suatu tempat. Kali terakhir saya menghadiri apa-apa majlis ilmu adalah satu edisi syarahan bersiri "Classification of Knowledge in Islam" oleh Osman di tempat saya sedang menyambung pengajian iaitu ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam). Ini berlaku pada hari Rabu 11 Mac seminggu sebelum PKP dilaksanakan. Lihat Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Antara fakulti universiti dan fakulti yang wujud dalam diri manusia. Sepatutnya syarahan yang diadakan secara mingguan setiap petang Rabu itu disambung 18 Mac. Tetapi larangan bergerak keluar lebih 10 km dari tempat kediaman menyebabkan ISTAC ditutup kepada semua orang lalu syarahan pun dibatalkan.




Disebabkan itu format Webinar terutama melalui satu aplikasi bernama Zoom menjadi pilihan ramai. Saya yang lebih suka bertemu orang secara berhadapan pula menjadi agak tertinggal - Kali pertama menggunakan Zoom adalah pada hari raya pertama bulan Syawal empat bulan setengah lalu. Itupun disebabkan seorang adik yang menetap Melaka mengajak kerana kami tidak dapat balik kampung ke Muar bertemu ibu bapa lalu perhubungan atas talian menjadi satu-satunya pilihan.




Selepas itu saya tidak pernah menggunakan Zoom lagi walaupun mendapati ia cukup menarik dan berguna kerana dapat menghubungkan ramai pengguna sekali gus sambil memberikan pilihan untuk berhubung secara one on one dengan mana-mana pengguna dalam satu sesi sama. Saya tetap lebih suka bercakap berhadapan muka apa lagi kalau mengikuti majlis-majlis ilmu. Cuma setelah mendapat poster atas baru terbit komitmen untuk mengikuti Webinar walaupun belum selesa. Itupun nyaris-nyaris tak jadi disebabkan kepenatan menguruskan satu majlis yang berlangsung malam Jumaat lalu, majlis yang ceritanya insyaallah akan dikongsikan esok...




Apapun sampai masanya Jumaat malam Sabtu 9 Oktober saya pun mengikut Webinar melalui Zoom. Tajuk syarahan dalam bahasa Inggeris itu boleh diterjemahkan menjadi "Al-Ghazali dan Ibnu Rushdi : Dua Bintang Dalam Galaksi Intelektual Islam". Ini merujuk kepada ulamak besar silam Imam Ghazali yang sangat terkenal dalam dunia Islam hingga sekarang kerana menulis kitab Ihya Ulumiddin (menghidupkan kembali agama) diikuti Ibnu Rushdi yang lebih dikenali sebagai ahli falsafah dan saintis dalam pelbagai bidang lalu dunia Barat memanggilnya sebagai Averroes. Menurut Osman beliau terpanggil untuk bersyarah tentang kedua tokoh yang hidup hampir 1,000 tahun lalu kerana ramai menyangkakan kedua-dua saling bertembung lalu bergaduh dalam medan ilmu. Padahal mereka tidak pernah bertemu kerana ada perbezaan jangka waktu hidup yang cukup ketara. Al-Ghazali (kadangkala dieja Al-Ghazzali) meninggal dunia di Tous, Iran pada tahun 1111 Masihi sedangkan Ibnu Rushdi (kadangkala dieja Ibnu Rushd) lahir pada tahun 1126 di Cordoba di Andalusia (sekarang dalam Sepanyol). 

Atas sebab itu jelas mereka tidak pernah bertemu. Kalau hidup sezaman pun tempat mereka hidup lalu mencipta nama jaraknya beribu batu antara satu sama lain. Tetapi iya, alam fikir mereka pernah berlaga. Al-Ghazali pernah menulis kitab bertajuk Tahafut al Falasifah (kecelaruan para ahli falsafah) untuk menegur para ahli falsafah Islam yang mana boleh kata rata-rata mereka adalah daripada aliran Mashshai iaitu pengikut ajaran pemikir purba Yunani iaitu Aristotle (hidup pada abad ke-4 Sebelum Masihi). Sedangkan Ibn Rusd adalah salah seorang penganut fahaman tersebut. Oleh itu dikatakan sebab itu beliau menulis kitab Tahafut at-Tahafut (kecelaruan atas kecelaruan atau kecelaruan mereka yang celaru). Menurut pendapat popular Ibnu Rushd menulis untuk menyanggah kembali Al-Ghazali.




Kelihatannya penyanggahan tersebut memang berlaku. Tetapi tidaklah sampai bergaduh berhadapan kerana mereka tidak pernah bertemu. Kalau bertemu kata Osman tentu Al-Ghazali akan menjawab kembali dengan kitab bertajuk Tahafut at Tahafut at Tahafut (celaru kuasa tiga? :]). Apapun pengkaji Barat sering menganggap Al-Ghazali telah membantutkan perkembangan sains disebabkan kritikan beliau terhadap ilmu falsafah yang turut mengandungi kritikan terhadap ilmu sains kerana seperti falsafah ia dilihat sebagai meletakkan akal sebagai alat paling tinggi dalam mencari kebenaran. Sedangkan Al-Ghazali meletakkan sumber suprarasional seperti ilham para ahli Sufi sebagai lebih tinggi dan lebih menepati kebenaran. 

Kata Osman tidak. Al-Ghazali tidak menyanggah semua bentuk dan aspek falsafah mahupun sains tetapi sekadar menolak hal-hal tertentu sahaja yang dilihat boleh bertentangan dengan Islam,. Bahkan kritikan beliau telah menyebabkan ilmu falsafah Islam menjadi lebih halus lalu selepas itu lebih dikenali sebagai ilmu hikmah. Ah. Nama itu... hikmah sangat kena mengena dengan aktiviti NG0 saya. 
Sesungguhnya perkembangan terbaru yang menjadi asbab artikel ini dipersembahkan petang ini bukan hari Selasa adalah melibatkannya. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).

Dengan itu tak perlulah dipanjangkan lagi penerangan. Cukuplah disebut bahawa ia adalah Webinar pertama saya seumur hidup dan keseluruhan syarahan serta sesi soal jawab (ada tertera diri saya bersoal jawab sama) yang dibuat dalam bahasa Inggeris boleh dilihat dalam video yang dimuatnaik oleh pihak penganjur. Lihat di bawah...







2 ulasan:

  1. Assalamualaikum... maaf ingin bertanya sedikit tentang sejarah bangsa.. apa pendapat saudara Radzi Sapiee tentang hikayat Sulalatus Salatin.. adakah saudara rasa hikayat ini benar benar mengisahkan sejarah nusantara yang sebenar..atau adakah ia seperti bible yang telah rosak keasliannya... atau pun ia sebuah hikayat yang dicipta oleh musuh Melayu untuk menutup cerita sebenar? Jika di ikutkan ada beberapa kisah seperti di luar logik misalnya Batala yang keluar dari muntah seekor lembu putih..dan jika diikutkan dalam hikayat ini bererti hang Tuah berasal dari Goa (Sulawesi).. Mungkin kita akan tahu kebenarannya satu hari nanti...

    BalasPadam
  2. Wassalam. Kitab Sulalatus Salatin itu sendiri ada lebih 20 versi. Antara versi2 ini ada perbezaan2 yang ketara. Misalnya Hang Tuah berasal dari Goa. Kalau dalam bentuk cetakan moden itu cuma ada pada versi yang diselenggarakan oleh A. Samad Ahmad dan diterbitkan Dewan Bahasa dan Pustaka berdasarkan pengamatan terhadap 3 versi manuskrip Jawi lama Sulalatus Salatin. Dalam cetakan2 lain tidak ada. Oleh itu susah juga hendak mengatakan yang mana paling tepat. Bagi sesetengah versi boleh jadi telah diselitkan cerita2 kemudian yang tidak pernah wujud dalam versi2 terdahulu. Boleh jadi perubahan berlaku semasa peringkat salinan oleh mereka yang bukan paka tetapi setakat menyalin dengan tangan sahaja.

    Jadi ya. Boleh jadi ada isi yang telah dirosakkan oleh Inggeris demi untuk mengelirukan bangsa Melayu. Tetapi ini bukan alasan bagi menolak terus maklumat sejarah daripada kitab Sulalatus Salatin. Cuma perlu pandai menyaring dan kalau boleh dirujuk silang dengan pelbagai sumber lain.

    Secara keseluruhan kerangka besar cerita masih konsisten walaupun berlainan versi. Tentang cerita2 yang pelik tak masuk akal ada yang melihat ia sebagai metafora yang boleh diberikan tafsiran logik. Ada yang melihat memang perkara tidak masuk akal itu memang pernah berlaku kerana ia tidak mustahil dan pernah dilihat oleh mereka yang terlibat dalam dunia mistik termasuk dalam ilmu persilatan dan kebatinan Melayu. Jadi tepuk dada tanyalah selera. Hendak mengukur perkara yang besar lalu menilik kebenarannya kita sendiri perlu cukup ilmu di dada dan sedia diuji dengan pelbagai perkara.

    BalasPadam