Bersambung daripada artikel Islam di China - Menetapkan Dinasti Ming sebagai kerajaan beragama Islam abad ke-15 hingga ke-17?.
Jam 2.41 petang. Selepas waktu rehat makan tengah hari kemudian menunaikan solat Zohor di masjid ISTAC saya kembali ke dewan utama lalu mendapati hadirin sedang mengerumuni sesuatu.
Rupa-rupanya ada orang buat demonstrasi seni khat. Menariknya mereka berpeluang untuk mendapat hasil kerja percuma. Caranya tulis nama sendiri dengan tulisan Jawi lalu orang ini menulisnya kembali gaya khat di atas kertas khas yang disediakannya.
Namanya Dr Chen, itu yang saya dengar. Seorang Cina Muslim, beliau adalah doktor perubatan, bukan doktor falsafah seperti boleh ditemui ramai di ISTAC.
Kata Chen beliau boleh melakukan akupuntur. Kemudian timbul minat pada seni khat Arab sedangkan beliau tidak tahu membaca tulisan Jawi ketika itu. Ini adalah cerita beberapa tahun lalu. Beliau belajar bersungguh-sungguh teknik khat Arab lalu boleh menulis dengan baik dalam gaya Thuluth.
Chen juga tahu cara menulis khat tradisional China (kaligrafi). Dua gaya ini digabungkan untuk hasil-hasil kerja beliau....
Ditunjukkan di hadapan hadirin bagaimana ia dilakukan, apakah alatan yang perlu, jenis kertas, dakwat dan sebagainya...
Cara menulis, lengkok permainan tangan dan sebagainya memang berseni.
Kemahiran digunakan untuk mengangkat potongan ayat-ayat Quran menjadi hasil seni yang mengujakan. Untuk demonstrasi ini ditulis nama Allah...
Kemudian nama Muhammad...
Menurut Chen tak rugi belajar dan menguasai seni khat. Pergi ke mana-mana hasil kerjanya laris dibeli orang. Selain itu ia juga cara berdakwah yang boleh menarik minat orang bukan Islam untuk mengetahui lebih lanjut tentang Islam...
Sebagai penghargaan terhadap perkongsian ilmu beliau, Sheikhul Quliyyah ISTAC, Profesor Datuk Dr Osman Bakar menghadiahkan senaskah buku "Islam in China". Inilah buku yang diluncurkan pada pagi hari lalu satu forum berkenaan menyusul selepas itu. Rujuk kembali artikel Islam di China - Menetapkan Dinasti Ming sebagai kerajaan beragama Islam abad ke-15 hingga ke-17?.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan